Wednesday, January 13, 2021

Wooow....Hebatnya

IQ Ahmad Maslan
Kita sudah membaca kenyataan Lim Guan Eng, Khairy Jamaludin dan A Kadir Jasin mengenai kenyataan Ahmad Maslan yang mengulas isu desakan parti Umno untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) dengan membuat perbandingan di antara tukang parut kelapa dengan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).

Kenyataan Ahmad dianggap suatu kesombongan dan menghina pekerja biasa yang menolak idea agar PRU diadakan semasa Covid-19 masih menyerang.

Ahmad ditunjukkan temu bual media dengan seorang pemarut kelapa yang tidak bersetuju PRU diadakan kerana Covid-19.

"Saya dipertontonkan dengan Astro Awani atau TV3, tidak pasti, dia ada temu bual seorang pemarut kelapa. Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana COVID-19.

"Tapi saya jawab kenapa perlu PRU, kerana banyak negara yang sudah lakukan, antaranya di Amerika Syarikat, Singapura dan kita juga dah laksana pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

"Sabah itu kes tinggi pun punca mereka kerana orang-orang pulau naik motorbot masuk tanpa saringan dan sebagainya. Itu antara punca saya difahamkan, dan ia merebak di pulau sekitar itu.

"Kita perlukan PRU kerana kerajaan ini juga merupakan kerajaan yang paling tipis (majoriti) di dunia. Kerusi parlimen ada 222, kalau nak jadi kerajaan kena ada 111 campur satu (kerusi) lagi minima. Haa, dan itu yang kerajaan Malaysia ada sekarang.

"Rasanya yang parut kelapa tadi itu dia tidak perasan, yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah hanya lepasan sekolah tinggi kot. Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD, saya rasa dia boleh ulas dengan lebih tepat."

Begitu kata-kata Ahmad Maslan. Program TV dianjurkan oleh Umno Tanjung Malim.

Ucapan Ahmad terus dibidas ramai pengguna media sosial secara lantang dan terbuka.

Kerajaan Penyamun
Sebelum itu, Ahmad Maslan mendakwa salah satu sebab utama Umno tidak berpuas hati dengan kerajaan PN sebab langkah gabungan itu meneruskan kes mahkamah. Kes untuk Umno dan para pemimpinnya.

Ahmad Maslan menekankan faktor itu mengatasi faktor tidak puas hati ahli UMNO terhadap pengagihan jawatan yang sudah terasa, memperlihatkan kes-kes tersebut merupakan kezaliman zaman PH.

Kes diteruskan di mahkamah maka kata Ahmad Maslan, PRU perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru supaya tiada lagi pendakwaan.

Khairy Jamaluddin juga mengkritik kenyataan Ahmad Maslan dan menggesanya tidak menggambarkan Umno kecewa dengan kerajaan PN kerana isu mahkamah.

Khairy berkata kenyataan itu memberi gambaran Umno ingin melihat berlaku campur tangan pihak eksekutif dalam proses kehakiman yang tidak sepatutnya berlaku.

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin juga mengatakan Ahmad tidak berfikiran 'pisang goreng' namun lebih sesuai kalau dikatakan 'pecal basi'.

Menurut A Kadir, pisang goreng sangat digemari ramai dan sudah menjadi hidangan ikonik Nusantara, berbanding dengan pecal basi jika dimakan sakit perut.

"Kalau Khairy sifatkan pemikiran Ahmad Maslan sebagai pecal basi lain ceritalah. Pecal sangat sedap. Tapi kalau basi amat mengecewakan orang yang meminatinya dan boleh menyebabkan cirit-birit," kata Kadir menerusi tulisan di dalam Facebook.

"Kita kena faham pasal apa otak YB Pontian lulusan Victoria University, Wellington, New Zealand ini jadi macam pecal basi. Harapan dia kalau PRU diadakan awal dan Umno/BN menang lepaslah dia daripada tuduhan."

New Zealand 'Negara Islam' Terbaik
Bagi Kadir, Ahmad Maslan ini mengaji saja di New Zealand tapi nampaknya dia tak belajar apa-apa yang baik daripada negara itu.

Di New Zealand, menteri dan ahli politik buat salah sikit pun mereka cepat-cepat minta maaf dan letak jawatan.

Tapi mereka bukan Melayu-Islam macam Ahmad Maslan. Bukan Melayu dan bukan orang Islam.

Sesungguhnya Malaysia dan New Zealand adalah dua negara berbeda dalam segala hal, termasuk dari segi politik.

Ahli politik di sana lebih berkredibiliti dan dipercayai daripada hampir semua kepimpinan politik di Malaysia.

Namun di New Zealand, ragbi dianggap sukan utama yang lebih dahsyat dari politik dan dianggap sebagai agama.

Orang New Zealand tidak bersolat, berpuasa, berzakat, naik haji tetapi selain itu, tindakan dan perbuatan mereka lebih kepada amalan orang Islam.

Semua itu menjadi ukuran bagaimana kita harus melakukan pembaharuan sewajarnya untuk memastikan perubahan politik selepas 2020 di mana orang tua terus memimpin.

Kita mahukan orang baru untuk memimpin Malaysia dan mungkin parti baru yang tiada isu korupsi dan rasuah.

Sebagai wahana untuk melakukan reformasi secara damai dan membawa perubahan yang bermakna untuk rakyat Malaysia tidak bergantung kepada parti, namun kita masih dengan parti lama untuk sekian kali.

Kita tidak nampak perubahan menjelang PRU 15 ini dan dengan wabak Covid-19 terus mengancam negara, orang politik terus sibuk berpolitik untuk melepaskan diri dari mahkamah.

Sehingga itu, New Zealand, tetap menduduki tempat tertinggi sebagai 'negara Islam no 1 di dunia'!

Semoga memberi manfaat.

Sumber artikel: www.sentiasapanas.com

No comments:

Post a Comment