PETALING JAYA – Penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew, sekali lagi mencuri tumpuan netizen apabila kali ini menggerakkan misi bantuan membawa pelbagai barangan keperluan seperti bekalan makanan, pelitup muka serta komputer tablet ke Sabah.
Ebit Lew menerusi satu muat naik di laman Facebook miliknya hari ini memohon doa daripada orang ramai agar urusannya itu dipermudahkan.
“Doakan ya, misi bantuan ke Sabah. Saya bawa 1,000 set makanan, 100 kerusi roda, 75,000 keping pelitup muka serta 200 unit Samsung Tab bagi kegunaan pelajar di sana yang benar-benar memerlukan.
“Terima kasih. Terharu sangat dengan My Jet dan Zen Aviation yang menaja kapal terbang untuk kami. Semoga Allah S.W.T tambah rezeki buat MyJet. Terima kasih juga kepada Lapangan Terbang Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tidak mengenakan sebarang caj. Baik sangat semua,” luah pendakwah itu.
Tambah beliau, barangan berkenaan akan dihantar dahulu hari ini manakala beliau bersama pasukannya akan bertolak lusa dengan Malaysia Airlines (MAS).
“Saya hantar barang dahulu, penerbangan saya dijadualkan lusa dengan MAS.
“Terima kasih tidak terhingga juga kepada MAS kerana memberi kadar istimewa kepada pasukan kami. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya.
Muat naik status yang dibuat setakat pukul 3 petang tadi itu telah mendapat 732 komen dan 935 perkongsian di laman sosial Facebook daripada pengguna yang rata-ratanya memuji dan mendoakan urusan pendakwah berkenaan. - kosmo.com
No comments:
Post a Comment