Titah Darurat: Penderhaka harus dihukum!
MALAYSIA menghadapi satu detik bersejarah menjelang awal tahun 2021 apabila pengisytiharan darurat diumumkan oleh pihak Istana Negara berdasarkan peruntukkan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.Proklamasi darurat bermakna negara dan rakyat sedang menghadapi ancaman berskala nasional yang memerlukan keterlibatan semua jentera pihak pemerintah tanpa sebarang gangguan.
Umum tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara ini berhak menitahkan darurat setelah baginda memperkenan nasihat dari Perdana Menteri yang mewakili jemaah menteri, ketua-ketua pasukan bersenjata serta ketua-ketua kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan.
Ini bermakna bukan hanya Perdana Menteri seorang saja yang memberi pendapat atau nasihat kepada Agong, namun beliau juga bertindak mewakili suara kolektif pihak kerajaan Malaysia.
Dan Yang di-Pertuan Agong juga pernah menolak nasihat untuk darurat tersebut seperti yang pernah terjadi dalam hujung tahun lepas apabila, melalui kebijaksanaan baginda, merasakan negara masih belum memerlukannya. Ini ialah bukti bahawa Agong kita bertindak secara adil, neutral dan bebas tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan selain dari kepentingan negara.
Sebelum proklamasi darurat diumumkan, Yang di-Pertuan Agong telah menerima mengadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendengar sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Oleh yang demikian, sebarang perlecehan, ejekan, sindiran, putar-belit akan niat sebenar proklamasi darurat seperti yang dinyatakan dalam perutusan rasmi Istana Negara, boleh dianggap sebagai khianat serta derhaka.
Sama ada ia dilakukan oleh orang biasa atau mereka yang ternama, secara terang-terangan atau terselindung, ia wajar dilihat sebagai suatu bentuk hasutan dengan niat jahat untuk menghilangkan hormat dan ketaatan rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.
Ada yang masih “menyalak” mengenai pilihan raya umum (PRU) apabila mempertikaikan darurat kesihatan ini.
Saya memetik kata-kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin: “Keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya semasa pandemik Covid-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs. Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Ketua Kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada jangkitan Covid-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam.”
Tidakkah kita belajar kesan penularan Covid-19 setelah pilihan raya negeri (PRN) Sabah sebelum ini? Mereka yang terdesak mahukan PRU segera ternyata datang dari kalangan ahli-ahli politik yang berpolitik 24 jam terutama dari Pakatan Harapan (PH) serta kelompok kluster mahkamah dari Umno.
Rakyat biasa yang tiada kepentingan politik terus memerhati sikap mereka tersebut. Apa yang majoriti rakyat dambakan ialah pemulihan ekonomi, keselamatan nyawa dan sistem keadilan utuh, semua bergantung kepada kestabilan politik yang sedikit sebanyak disumbangkan oleh darurat sekarang ini.
Bercakap soal sistem keadilan yang utuh, tiada seorang pun Perdana Menteri sebelum ini selain Tan Sri Muhyiddin yang dengan jelas dan terbuka membuat penegasan ini: “Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah. The judiciary will continue to be the beacon of justice in our country and I will never interfere in the business of the court,”.
Inilah kata-kata yang mendatangkan gerun di hati kelompok yang korup tetapi berselindung di sebalik nama rakyat, bangsa dan agama.
Terdapat segelintir manusia yang mengaku sebagai warganegara Malaysia tetapi mempertikai titah Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat tersebut. Kononnya ia bersulamkan kepentingan politik pihak tertentu, kononnya negara tidak memerlukan darurat, kononnya Perdana Menteri perlu ditukar, kononnya ekonomi serta hak asasi manusia akan terancam, dan kononnya PRU masih boleh diadakan sewaktu darurat.
Soalan saya kepada mereka itu, siapa kamu mahu mempertikaikan kebijaksanaan keputusan Agong?
Dan khusus kepada Ketua Pembangkang yang juga merupakan seorang bekas banduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya ingin ingatkan jika rakyat boleh hormat keputusan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang membebaskan dan mengampunkan anda dari hukuman penjara kes liwat, walaupun ada yang tidak setuju dengan tindakan Agong ketika itu, kenapa tidak pihak anda hormat saja keputusan Agong sekarang mengisytiharkan darurat tidak kiralah apa jua sebab untuk darurat itu?
Oleh : Dr Muhammad Faiz Bin Na’aman
No comments:
Post a Comment