PETALING JAYA: Bahasa Melayu seolah-olah menumpang di negara sendiri ekoran sikap masyarakat yang lebih menyanjungi bahasa Inggeris sedangkan kedudukannya adalah jelas termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan.
Bercakap dengan Utusan Malaysia, Yang di-Pertua Dewan Negara yang juga pejuang bahasa Melayu, Tan Sri Rais Yatim meluahkan kekecewaan beliau apabila usahanya untuk terus menyelamatkan bahasa kebangsaan semakin tidak diendahkan.
“Bahasa Melayu yang dahulunya ibarat pokok dan bahasa Inggeris adalah dedalunya, tetapi keadaan ketika ini adalah yang sebaliknya. Pertama sekali, kita tengok dalam kalangan agensi kerajaan yang mana terdapat beberapa jabatan yang terus mengetepikan bahasa Melayu.
“Kita harus memandang isu ini sebagai satu penyakit iaitu penyakit budaya, penyakit tamadun. Saya dan beberapa rakan yang memperjuangkan bahasa kebangsaan kita ini sudah tidak ramai. Kami semakin sedikit dan terpinggir,” katanya kecewa.
Industri media termasuklah antaranya televisyen dan radio seringkali menggunakan bahasa rojak ataupun bahasa bercampur-campur. Kebelakangan ini, rancangan hiburan tanah air lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris yang diangkat sebagai nama program.
Rais menjelaskan, institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi medan pertuturan bahasa Melayu tidak lagi mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu dalam pembelajaran.
“Sebab yang paling merejam kepada karya bahasa Melayu apabila wujudnya pengalihan bahasa kepada nahu Inggeris,” katanya.
Dalam Perkara 152, Perlembagaan Persektutuan Tanah Melayu 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963 telah menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sementara itu, bagi Felow Utama Institut Kajian Etniik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong, usaha mewujudkan masyarakat yang mencintai bahasa Melayu, jati diri rakyat Malaysia harus diperbaiki terlebih dahulu.
“Kita perlu serius dalam hal ini, sudah sampai waktunya kita berani bercakap masalah yang jelek ini. Kita harus sedarkan rakyat, kita perlu ubah sikap dahulu usaha mengetengahkan serta menyanjungi bahasa Melayu.
“Kita boleh lihat orang Melayu sendiri memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu.
“Sememangnya kita pernah mewujudkan dasar mewajibkan percakapan bahasa Melayu dan ingin membawa bahasa ini di mata dunia tetapi jika bahasa ini juga ibarat melukut di tepi gantang’ di watannya sendiri, bagaimana pula pandangan masyarakat dunia,” katanya.
– UTUSAN
No comments:
Post a Comment