Tuesday, January 19, 2021

Setiakah Mereka Kepada Negara?



Selain ahli politik Cina, kaum Cina juga ikut menyelar tindakan pihak berkuasa ke atas restoran makanan yang memaparkan motif komunis China pada hiasan kertas dindingnya yang disifatkan sebagai tarikan pelanggan semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Dalam membidas tindakan polis yang dianggap membabi buta, mereka mengutarakan pelbagai hujah untuk mempertahankan perbuatan pemilik restoran terbabit.

Dalam hal ini, sasaran restoran tersebut semasa pandemik Covid-19 dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan berniat jahat selain tiadanya keutamaan dalam menjalankan tugas. Serbuan ke atas restoran Cina itu didakwa didorong kebencian terhadap kaum Cina. Ia ikut dicemar sebagai serangan ke atas pihak tidak bersalah yang hanya ingin menghiaskan restorannya.

Seperkara lain, masakan yang dihidangkan itu dikatakan berasal dari Hunan, iaitu wilayah asal Mao Tse Tung, lalu perhiasan yang menggunakan imejnya dianggap sesuai sekali. Malah imejnya sebagai strategi pemasaran disifatkan sangat bertepatan kerana masakan Hunan didakwa mendapat jolokan makanan keluarga Mao Tse Tung.

Seterusnya, diusulkan lebih baik dan banyak lagi faedah kiranya masalah rasuah yang ditangani, bukannya perkara seremeh perhiasan kertas dinding restoran. Vaksin pandemik Covid-19 yang belum tiba lagi di Malaysia ikut diketengahkan sebagai tindakan lebih wajar diutamakan, sehinggakan dibuat perbandingan antara kita yang belum menerimanya dengan Israel yang sudah berjaya menyuntik 12 peratus penduduknya.

Tidak cukup dengan tuduhan sembarangan, ikut dikaitkan serbuan ke atas restoran di Pulau Pinang itu sebagai terpaan politik kerajaan Pusat ke atas negeri pembangkang. Ia dituduh untuk menghalalkan penamatan perkhidmatan feri dan pelbagai projek lain, selain melemahkan semangat penduduknya yang rata-rata menyokong pembangkang.

Sindiran agar wang kertas China yang mempamerkan wajah Mao Tse Tung pada pelancong China ke sini dan juga sesiapa yang memilikinya ikut dirampas. Kewujudan imej Mao Tse Tung itu selama beberapa tahun sebelum dikesan pihak berkuasa juga ditonjolkan sebagai tindakan lambat yang tidak munasabah. Salah laku serius menyelitkan daging kuda dan kanggaru pada daging lembu import turut diungkit sebagai ancaman lebih berbahaya jika dibandingkan strategi pemasaran restoran berkenaan.

Kesemuanya bukan sahaja jauh tersasar daripada persoalan sebenar, ia jelas memperlihat betapa jauh sekali terbabasnya matlamat hidup kaum Cina Malaysia di negara yang mereka dakwa sebagai tanah air mereka. Ini kerana isu sebenarnya, iaitu kesalahan di sisi perundangan negara untuk mendukung sebarang fahaman yang boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara, didapati tidak difahami atau sengaja tidak mahu difahami mereka.

BERBAHAYA
Komunisme disenaraikan sebagai antara ancaman berbahaya dalam Dasar Keselamatan Negara. Dengan ini, ia dianggap sebagai menggugat sistem politik kita yang berbentuk demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Oleh itu, ia kesalahan besar dan bukan merupakan antara nilai teras negara yang wajib kita tunjangi. Malah, ia amat bertentangan kerana mencabar sistem demokrasi negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, segala usaha dan tindakan yang akan melemahkan institusi negara seterusnya mengancam ketenteraman awam dan keselamatan, hendaklah dipatahkan setuntas-tuntasnya. Justeru, beberapa nilai teras negara wajib didukung setiap rakyat. Ia adalah kedaulatan yang perlu dilindungi pada setiap masa, kestabilan sosiopolitik yang memerlukan kerjasama rakyat untuk membantu kerajaan dan perpaduan yang mengkehendaki semua etnik sama-sama menjayakan aspirasi negara. Untuk mempertahan nilai teras negara ini, setiap rakyat wajib memelihara kedaulatan serta memperkukuh perpaduan dan memperteguh jati diri kebangsaan.

Berbalik kepada tindakan pemimpin dan kaum Cina yang rata-ratanya berhabis-habisan mempertahan tindakan pemilik restoran itu dan keras sekali mengutuk tindakan polis, ia sebenarnya petunjuk kepada satu masalah kenegaraan lebih besar, iaitu tujuan kewujudan bersama dalam masyarakat majmuk. Sepatutnya mereka bersekali dengan etnik lain, khususnya Melayu yang merupakan kelompok majoriti dan dominan untuk sama-sama membela kebenaran selain saling menyokong dalam menghadapi ancaman.

Namun, ini tidak berlaku. Sebaliknya ia mahu dilihat sebagai isu perkauman dengan mentohmahkan satu etnik menzalimi satu etnik lain, sedangkan isunya yang terang lagi bersuluh ialah tentang nilai dan prinsip satu sistem lain yang bukan sahaja bertentangan tetapi kebalikan kepada yang kita amalkan di negara ini. Dari satu segi, pemaparan imej Mao Tse Tung itu adalah serangan ideologi ke atas keyakinan kita yang mendukung fahaman demokrasi. Oleh itu, tindak balas kita melalui tindakan polis adalah kesetiaan rakyat kepada institusi negara yang bernama demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Dengan sikap yang diperlihat etnik Cina ini, ia tidak dapat lari daripada ditanggap sebagai menyokong komunisme. Sesuatu yang begitu ketara kesalahannya perlu disanggah dan bukannya dilindungi dan secara mati-matian pula. Ini bukan sahaja boleh menunjukkan kurang terikatnya etnik Cina kepada negara, ia juga boleh memberi gambaran mereka tidak setia kepada negara ini.

Oleh : PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong

No comments:

Post a Comment