BEKAS orang kuat CIMB kata, dalam webinar semalam mencadangkan pembentukan kontrak sosial baru untuk memastikan masa depan lebih baik dari segi ekonomi, politik dan sosial. Mengambil contoh abangnya, bekas Perdana Menteri, yang cuba menghapuskan tindakan afirmatif menerusi Model Ekonomi Baharu tetapi gagal. Dengar katanya baik-baik;
“Cubalah tarik balik tindakan afirmatif hari ini dan PAS, Umno serta yang lain akan membantah kerana menganggapnya menggugat hak Melayu. Jika mendesak pembaharuan pengundian akan dilihat sebagai mengurangkan hak Melayu. Jadi ia tidak boleh dilakukan secara berasingan.”
Katanya, membiarkan sistem seperti sedia ada bererti masalah sama akan berulang-ulang sambil memberikan sebagai contoh bagaimana Pakatan Harapan (PH) tetap dibelenggu isu-isu sama.
Ingin saya bertanya, sedar atau tidak bahawa dasar afirmatif ini bukan sahaja dapat membantu Bumiputera, tetapi juga bukan-Bumiputera turut semakin kaya.
Cuba baca buku, Tan Teong Jin, Ho Wah Foon, Tan Joo Lan (2005). Kajian mereka mempunyai sedikit kelainan berbanding dengan penyelidik-penyelidik Cina yang lain. Tulisan mereka agak lembut, objektif, berpijak di bumi nyata serta memahami realiti dan sejarah.
Bagi mereka, sebenarnya dasar DEB banyak mendorong masyarakat Cina terutama para usahawannya untuk gigih berdikari dan seterusnya menjadi lebih cemerlang dalam sektor korporat. Mereka merumuskan bahawa kemakmuran hidup dan masa depan masyarakat Cina bergantung kepada dinamika politik dan status ekonomi Melayu.
Dengan berkembangnya ekonomi orang Melayu, mereka turut dapat merasai kenikmatannya. Perniagaan mereka turut berkembang kerana saling bergantungan antara satu sama lain dari segi penawaran dan permintaan.
Yang menyebabkan dasar afirmatif (DEB) ini tidak mencapai matlamatnya dalam jangka masa ditetapkan kerana rasuah dan kroni berleluasa. Inilah yang perlu dihapuskan terlebih dahulu, bukan kontrak sosial
Satu lagi, semenjak beliau menerajui CIMB habis semua identiti negara hilang entah ke mana. Cuba masuk CIMB sudah tak rasa macam berada di Malaysia, tetapi seperti di New York. Nak cari satu perkataan Bahasa Melayu pun susah. Terbawa-bawa hingga kini. Boleh dikatakan semua GLC pun terikut-ikut.
CIMB yang dahulunya Bank Bumiputera, sudah hilang habis identiti Bumiputera. Sebab itu, sukar sama sekali untuk saya menerima pendapat beliau. Kenapa perlu disemak kontrak sosial ini, apa yang perlu dilakukan adalah melaksanakan kontrak sosial dengan telus agar perpaduan terjamin.
Menyemak kembali kontrak sosial hanya akan menghiriskan hati-hati yang telah terluka. Sama seperti kita mahu mengiktiraf Komunis. Saya cukup hairan, kenapa ahli ekonomi ini tidak langsung menyentuh mengenai isu pendidikan yang telah memisahkan kita sekian lama sehinggga menyebabkan sukar berlaku interaksi. Ada yang tidak boleh langsung berbahasa Kebangsaan. Terlebih orang putih tidak boleh juga, sehingga tenggelam jati diri negara.
Satu lagi kenapa tidak sentuh soal rasuah yang begitu menjadi barah, termasuk dalam sektor perbankan. Nak jadi panel bank, nak dapat projek bank, kalau tidak rasuah, tidak sah. Persepsi rasuah ini tidak kurangnya menjadi perpaduan negara tergugat.
Makan rasuah lebih hina daripada makan babi. Masih tak faham lagi ke. Bila sebut sahaja babi, terasa jijiknya. Bila sebut rasuah, selamba saja. Tak pula rasa jijiknya. Walhal, hukum-hakam rasuah sangat jelas. Masuk neraka. Sekurang-kurangnya, makan babi masa darurat boleh juga disentuh.
Tengok isu kartel daging, semakin terserlahlah bahawa selama ini gejala rasuah telah menjadi darah daging dalam kalangan pihak berkuasa. Patutlah anak-anak kita ini ramai yang tak menjadi. Rupanya banyak makan hasil haram. Ini juga penghalang perpaduan bukan?
Sebelum menutup tirai, satu lagi, dasar apa yang menjadi bekas orang kuat CIMB sehingga dapat menerajui CIMB suatu masa dulu.
OLEH : PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
No comments:
Post a Comment