Monday, January 18, 2021

Ini Kerja Orang Gila Kuasa! Pelbagai Cara Dibuat Hingga Rakyat Terus Terhimpit

Tunggu darurat tamat, wabak pulih, rakyat akan pilih siapa layak jadi pemimpin
BANGI – Pelik dengan sikap pembangkang yang lebih cenderung menyalahkan semua keputusan dan tindakan kerajaan, khususnya dalam isu memerangi wabak COVID-19, kata penganalisis politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

“Semua tak kena. Tiada apa yang betul di mata mereka. Kalaulah ditakdirkan darurat hari ini diisytiharkan oleh Pakatan Harapan (PH), boleh lihat apa reaksi mereka.

“Sepatutnya bila dah dilantik menjadi wakil rakyat, mereka perlu membawa aspirasi rakyat. Rakyat nak kehidupan terjamin kehidupan selesa dan sebagainya.

“Inilah aspirasi yang sepatutnya ada dalam minda pemimpin. Sebaliknya, hari ini mereka asyik bertelagah,” katanya dalam Webinar Intelektual Negara (Darurat dan Implikasinya kepada Rakyat), secara dalam talian, hari ini.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Sebaliknya, terdapat beberapa pemimpin pembangkang mempersoal keputusan pelaksanaan darurat, dengan menganggap undang-undang sedia ada termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memadai untuk menangani wabak COVID-19.

Prof Ridhuan Tee berkata, inilah puncanya apabila pemimpin politik tidak pandai menguruskan perbezaan antara mereka kerana yang ‘tersepit’ dan terkesan bahananya adalah rakyat.

“Kalau tidak nanti gajah sama gajah bergaduh pelanduk mati di tengah-tengah. Kita memang tak boleh elak perbezaan pendapat, maka kita mengharapkan pemimpin yang ada perlu berjiwa besar.

“Buang sifat gila kuasa, hipokrasi. Kerana yang jadi mangsanya rakyat. Saya gesa pada pemimpin, saya merayu, darurat ini pun tidak lama sampai Ogos sahaja.

“Bagilah peluang seluas-luasnya untuk kerajaan fikirkan, fokuskan, selepas itu, selepas keadaan dah elok nak bergasak ke nak apa pun buatlah sampai PRU15 akan datang. Ketika itu, rakyatlah yang akan tentukan siapa yang layak memimpin,” katanya.

Justeru, katanya, setiap parti perlu bersifat profesional kerana negara sedang menghadapi masa yang genting ketika ini.

“Saya lihat, ini semua kerja orang gila kuasa. Dia tak dapat kuasa, kemudian nak dapatkan kuasa maka pelbagai cara diambil untuk dapatkan kuasa. Tetapi kehidupan rakyat terus terhimpit.

“Cuba lihat politik negara maju. Apabila parti A memerintah, parti B kena terima hakikat perkara-perkara baik yang dilakukan oleh parti pemerintah. Di sini kita tak nampak perkara tersebut. Salah semuanya di mata mereka,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment