Monday, January 4, 2021

Jangan Cabar Kedaulatan Negara

GEORGETOWN: Tindakan pemilik restoran di negeri ini yang menghiasi gambar era revolusi rakyat China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tse-tung di dinding bangunan premisnya seolah-olah sengaja mencabar kedaulatan negara.


Malah, Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang, Datuk Abdul Kadir Md. Ali berkata, tindakan tersebut juga menghina kedudukan Raja-raja Melayu sebagai penaung dan tonggak kekuatan masyarakat.

Katanya, tindakan pemilik premis itu seperti jarum halus yang cuba menarik masyarakat ke arah ideologi komunis yang diharamkan di negara ini.

“Negara kita sudah merdeka lebih 60 tahun, sebagai seorang warganegara pemilik premis masih itu sepatutnya memahami Perlembagaan negara ini.

“Perbuatan ini jelas tidak menunjukkan rasa hormat kepada negara serta satu cabaran kepada kedaulatan negara dan menghina institusi Raja-Raja Melayu,” katanya semalam.

Abdul Kadir berkata, tindakan seumpama itu me­nunjukkan isyarat yang mana ada individu cuba menghidupkan kembali ideo­logi komunis di negara ini.

“Perkara ini perlu diben­dung dengan segera kerana kita bimbang gerakan komunis menyusup masuk.

“Tindakan tegas perlu diambil kepada pemilik premis agar perbuatannya tidak menjadi ikutan individu lain,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu mewujudkan kembali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi memastikan tiada lagi individu berani mencabar dan menghina kedaulatan negara.

“Ketika ISA masih diguna pakai, perkara-perkara se­perti ini dengan sengaja mempamerkan ideologi komunis jarang berlaku.

“Oleh itu, adalah wajar kerajaan wujudkan kembali ISA untuk kestabilan serta keharmonian negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment