Friday, January 1, 2021

‘Dilema, Lupa Diri’ Menteri UMNO?


KADANG-KADANG kita terlupa dengan presiden UMNO
 yang sebelum-sebelumnya terbiasa bahawa ’presiden
UMNO itu jugalah PM’, tetapi rupa-rupanya terlupa
juga PM bukannya presiden UMNO lagi.
KATA seorang perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Malim kepada saya kelmarin, UMNO sudah beralah banyak kali dengan parti ini.

Ditanya parti yang mana? Sejak bila? Jawabnya, semenjak Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) angkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, 1 Mac tahun lalu sehinggalah masuk tahun baharu 2021 hari ini.

Adakah dipercayai soal setiakawan UMNO/Barisan Nasional (BN) akan terus terikat dengan cara yang tidak menguntungkan, melalui gabungan/kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikepalai Bersatu ini?

Maaf cakap, ini (gabungan dengan PN) bukanlah semangat setiakawan seperti zaman BN. Setiakawan zaman BN boleh dipercayai. Tetapi PN usianya baru setahun jagung lapan bulan, bolehkah dipercayai? Lagipun, kerajaan yang dibentuk waktu ini tidak kuat. Majoriti tipis satu, dua kerusi Parlimen sahaja. Bila-bila masa sahaja boleh tumbang. Maka, lebih baiklah UMNO tarik diri.

Tetapi kalau UMNO tarik diri keluar kerajaan, apa pula nasib bakal diterima menteri-menteri dalam kalangan pemimpin UMNO?

Sepanjang tiga, empat bulan yang berlalu ini, saya akui tidak berapa seronok bila mana dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai mengenai fi’il terbaharu menteri-menteri UMNO ini.

“Ada yang pertama kali jadi menteri, kelihatannya ‘sudah lupa diri.’ Tergolong dalam manusia yang tidak pandai mengendalikan kejayaan.

“Bahkan ada si empunya diri merasakan dirinya jadi menteri bukan disebabkan oleh parti (UMNO). Tetapi kononnya daripada hasil kemampuan dan kepandaian masing-masing,” katanya.

Berapakah bilangan menteri dan timbalan menteri UMNO dalam kerajaan PN hari ini? 14 orang bukan?

Antaranya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Kanan – Menteri Pertahanan; Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan); Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli) dan Datuk Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi).

Selain itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan); Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar) dan Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Dua orang lagi, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara) manakala Datuk Seri Dr. Adham Baba selaku Menteri Kesihatan.

Sementara itu, ahli Parlimen UMNO yang dilantik sebagai timbalan menteri ialah Datin Mastura Yazid di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

Ahli Parlimen Kuala Krau yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri I, sementara Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, manakala Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Buat pemimpin UMNO di bahagian hadapan, jangan leka. Ini kerana musuh akan terus mempraktikkan amalan pecah perintah (divide and rule) menyebabkan kalangan pemimpin UMNO terperangkap. Ini suatu ingatan mesra kerana dek terlalu sangat mengejar matlamat/misi kementerian, muncul pula dilema ini, adakah inginkan kerajaan PN atau perjuangan sebenar untuk survival UMNO?

Jangan dilupa kesusahan yang ditanggung UMNO dalam 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan dulu. Jangan dilupa jentera-jentera UMNO-lah yang bersungguh-sungguh membantu ‘kita naik dahulu.’

Kadang-kadang kita terlupa dengan presiden UMNO yang sebelum-sebelumnya terbiasa bahawa ‘presiden UMNO itu jugalah PM (perdana menteri)’, tetapi rupa-rupanya terlupa juga PM bukannya presiden UMNO lagi. Dan lagi sehingga terlupa bahawa ‘lebih selesa berbincang masa depan politik dengan PM. Ini berbanding berbincang pasal UMNO dengan presiden sendiri’.

Kepada ahli Parlimen UMNO yang menjawat menteri, manfaatkan diri untuk parti. Iaitu yang bukan sekadar untuk perkuatkan bahagian masing-masing atau untuk ‘bawa masuk projek’ ke kawasan Parlimen sendiri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikatakan serius soal ini. Katakanlah jika Pas tidak mahu ikut sertai Muafakat Nasional (MN), begitukah hal sama didakwa akan dilakukan oleh Ahmad Zahid? Heboh sekejap apabila dikatakan Ahmad Zahid akan bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). Namun, persoalan tinggal tanda tanya.

Dalam isu hubungan UMNO-Pas, dipercayai harapan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin agak tinggi. Beliau yang berjumpa dengan Zahid baru-baru ini mahu MN terus diperkukuhkan.

Oleh : Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim

No comments:

Post a Comment