Tulisan ini adalah tulisan politik.
Setakat saya berbual politik dengan rakan taulan, kenalan dan saudara mara, saya dapati satu garisan linear yang sama dan dipersetujui ramai orang kepada parti-parti di dalam Pakatan Harapan iaitu mereka bersetuju bahawa PH tidak mewakili satu bentuk politik 'patronage'.
Maksudnya, imej dan wajah PH bukan sebuah gagasan parti yang berdiri di atas naungan wang dan korupsi.
Ya, mungkin ada salah laku juga dalam kerangka beberapa politikus di dalam PH. Tetapi umumnya imej PH tidak mewakili kumpulan manusia yang perasuah, salah guna kuasa,kluster mahkamah, aristokrat kayangan, opportunis, penunggang agama dan pengkhianat mandat rakyat.
Dalam bab itu, saya rasa bersyukur. Sekurang-kurangnya jalur politik yang dipilih ini dan hala tuju perjuangan untuk masyarakat berada di landasan yang betul. Sebab itu jika diperhatikan bentuk tema kempen lawan PH ialah tidak dapat tidak hanya berlegar dalam ruang katarsi 'PH hancing', 'khadam Cina' , dan 'kerajaan kafir'. Hanya skrip dan ratib ini yang berulang-ulang.
Ratib ini tidak pergi jauh dari kerangka label itu. Kerana jika pergi kepada agenda rakyat seperti keadilan sosial, reformasi institusi serta melawan rasuah, terasa benar pada kumpulan lawan PH, air liur yang terludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.
Prejudis pada DAP adalah pengukuhan dakyah propaganda. Tetapi benarkah ia sekadar propaganda? Dalam lewat waktu ini, saya mengendurkan sedikit nafas dan cuba berada dalam kasus pemikiran ketakutan Melayu pada DAP.
DAP sebagai ‘hantu raya’ rupanya bukan sekadar imej yang berlegar dalam fikiran Melayu di kampung yang DAP haram tak pernah jejak kaki, tetapi juga bergentayangan dalam benak fikir Melayu terdidik di bandar. Rupanya memang ada rasa tidak selesa sungguh pada DAP.
Pada mereka, DAP adalah satu kumpulan manusia politik yang progresif dan pintar tetapi celupar mulut dan terlalu mempamer sisi cauvanis.
Terasa benar jahat cinanya berbanding MCA. Soal mereka; Mengapa DAP terlalu lantang dalam hal-hal sentimen Melayu? Apakah DAP hanya sekadar ingin memerintah Pulau Pinang? Tidak mahu memerintah negara? Jika mahu bersama memerintah negara, mahu tidak mahu perlu ambil hati Melayu.
Tulisan jawi dua mukasurat dalam buku teks pelajar sekolah jenis kebangsaan pun sudah melenting. Papan tanda ada tulisan jawi pun sudah mahu bising. Orang melayu sendiri pun ramai yang tidak tahu baca jawi.
Bahkan tidak kisah pun jika ada tulisan jawi pada papan tanda kedai atau tidak. Tetapi jika datang idea seperti itu, janganlah melenting cepat. Melayu tak suka. Melayu jadi berbulu mata. Ramai melayu melihat, DAP terlalu sangat kecinaan.
Jika mahu bersama perintah negara, jangan terlalu ingin menjaga kelompok pengundi anda sahaja. Perlu jaga semua. Jangan terlalu celupar dan ingin protes berkata-kata. Kena belajar simpan di dalam hati.
Celupar mulut sebenarnya penyakit yang merentas parti dan tidak mengira bangsa dan agama. Berdepan kumpulan walaun dan parti bersalut tarbiyah, lagi ramai yang celupar mulut. Kena maki jadi makanan harian kami di dalam Parti Amanah. Tak percaya tunggu komen di bawah.
Justeru saya tidak menafi, memang ada politikus dalam DAP yang celupar mulut. Dan apabila bertembung beberapa isu yang melibatkan agama dan identiti melayu, ia menjadi bahan yang terlalu cepat panasnya. Ada mufti yang pernah berkata;"Demikianlah DAP"..
Saya kira DAP perlu belajar mengendalikan sentimen orang Melayu. Jika berhasrat untuk bersama mentadbir negara. Orang Melayu sebenarnya santun. Sebab itu Melayu mudah beremosi. Melayu ini bangsa yang lemah dengan Hari Raya. Tidak salah jika sesekali DAP angkat agenda warisan Melayu. Mesti orang Melayu suka.
Melihat barisan kepimpinan baru DAP, saya kira DAP ada upaya untuk berganjak dari politik tumpu menjaga pengundinya sahaja kepada bentuk politik santun untuk semua dengan tumpuan kepada Melayu. Idea serahkan pada Amanah dan PKR untuk ambil hati pengundi Melayu dan kami DAP jaga hati pengundi Bukan Melayu sudah boleh dilipat simpan.
Pakatan Harapan perlu bergerak dari strategi pengasingan imej demografi pengundi seperti ini. Ini cabaran untuk parti DAP. Ia boleh dilakukan. Lihat bagaimana Melayu mengundi calon MCA dan MIC di kawasan kerusi majoriti Melayu.
Apabila Pakatan Harapan boleh sampai kepada titik calon bukan Melayu boleh menang bertanding di kawasan majoriti totok Melayu, maka pecahlah dakyah politik rasis agama dan bangsa yang dimainkan lawan politik di sana. Inilah satu-satunya modal mereka. Pakatan Harapan satu-satunya kolasi pilihan untuk rakyat menolak bentuk politik berasaskan bangsa yang sekadar mencari siapa lebih Melayu dan siapa lebih Islam. Bukan mencari siapa lebih Al-Qawim ( kompetensi) dan Al-Amin ( Amanah ).
Tok nenek kita telah memberikan petua untuk tujuan ini. Bukan tok nenek Melayu sahaja. Tetapi tok nenek kita semua anak bangsa negara. Iaitu;
Yang kurik itu kendi, Yang merah itu saga,
Yang molek itu budi, Yang indah itu bahasa.
Oleh:
ZAMIR GHAZALI