Wednesday, September 29, 2021

Tak Tegas Punca Akta 355 Tertangguh Sekian Lama

Berkemungkinan sikap tidak tegas dan berani Ahli Parlimen beragama Islam punca Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 masih tertangguh sehingga ke hari ini.

Presiden Parti BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim mengakui kecewa kerana Ahli Parlimen majoritinya beragama Islam, tetapi mereka seolah-olah melebihkan agenda politik berbanding menegakkan hukuman kesalahan jenayah syariah.

“Kita gagal membentuk sebuah negara Islam sekiranya ahli politik takut untuk bertegas, mereka patut dahulukan agenda agama demi bangsa.

“Akta 355 ini sudah lama dicadangkan, tetapi apabila ada Ahli Parlimen yang lebih rela menjaga persahabatan dan politik semata-mata, akhirnya mengabaikan hak sebenarnya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Difahamkan, pindaan Akta 355 adalah bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Setakat ini mengikut Akta 355, hukuman yang dikenakan adalah tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Atas dasar itu, Ustaz Zamani turut menasihatkan Ahli Parlimen bukan Islam supaya membuktikan sumpah yang dilakukan di hadapan Yang Dipertuan Agong ketika menerima lantikan dahulu, untuk terus menjunjung Perlembagaan, selain sedar mereka berada di bawah pentadbiran negara Islam.

“Ini masanya, buktikan sumpah tersebut dengan menghayati Perlembagaan dan bukan hanya beri sokongan di atas kertas sahaja.

“Jangan pula ada yang membantah Akta 355 apabila dibentangkan kelak,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Datuk Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan, kerajaan telah bercadang untuk menggubal 11 undang-undang syariah utama.

Katanya, ia termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada, dan lapan undang-undang syariah subsidiari.

“Penggubalan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) merupakan sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan tersebut,” katanya.

Pada 26 Mei 2016, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang pernah membentangkan Akta 355 sebagai RUU persendirian di Dewan Rakyat.

Ia bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam. - ismaweb.net

Tak Masuk Akal Hakim Putuskan Perkataan Bapa Termasuk Ibu

“Bagaimana Hakim itu boleh memutuskan bahawa perkataan “bapa” juga termasuk “ibu” tidak masuk akal. Kanak-kanak umur dua tahun pun tahu perbezaan antara “bapa” dan “ibu” dan tidak pernah memanggil bapa kepada ibu dan sebaliknya. 

Masakan penggubal Perlembagaan dan Ahli-Ahli Parlimen yang meluluskan Perlembagaan itu kesemuanya tidak tahu perbezaan di antara “bapa” dan “ibu” atau terkeliru dalam menggunakan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua, Bahagian ll, perenggan 1(b),” kata mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Ujar Tun Abdul Hamid dalam ulasannya mengenai hujah yang digunakan oleh hakim dalam kes penghakiman kerakyatan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara,

“Kita perlu mengambil ingatan terlebih dahulu bahawa tugas hakim adalah untuk membuat keputusan mengikut undang-undang, bukan untuk membuat atau meminda undang-undang untuk mencari remedy bagi sesuatu kes di hadapannya.”

Tegasnya, “Hakim hanya boleh mengguna undang-undang yang ada untuk memutuskan kes di hadapannya. Bahawa, pada pandangannya terdapat diskriminasi dan rungutan plaintif-plaintif yang disokong oleh pandangan awam tidak memberi kuasa kepada Hakim untuk meminda undang-undang atas nama “tafsiran” untuk memberi remedy kepada plaintif-plaintif”.

“Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir, memberi penghakiman memihak kepada plaintif-plaintif yang bererti semua anak-anak dalam kategori tersebut adalah warganegara dengan kuat kuasa undang-undang.”

“Tetapi, beliau merujuk kepada Perkara 8 mengenai kesamarataan dan menghalang diskriminasi dan mengatakan bahawa peruntukan-peruntukan Perkara 14(1)(b), Jadual Kedua, Bahagian ll, perenggan 1(b) dan Perkara 8 sepatutnyalah ditafsirkan secara harmoni dan bertujuan (harmoniously and purposively) dan, memutuskan bahawa perkataan “bapa” hendaklah dibaca sebagai termasuk “ibu”. Oleh itu anak-anak kepada ibu-ibu itu juga berhak menjadi warganegara dengan kuat kuasa undang-undang.”

Menurut Tun Abdul Hamid, “kesilapan paling nyata yang dilakukan oleh Hakim Akhtar ialah menggunakan (apply) peruntukan Perkara 8 dalam “mentafsirkan” Perkara 14(1)(b) dan Jadual Kedua, Bahagian ll, perenggan 1(b). Sebenarnya, Perkara 8 tidak terpakai kepada Perkara 14(1)(b) dan Jadual Kedua, Bahagian ll, perenggan 1(b) kerana semua dikriminasi yang disebut dalam Perlembagaan adalah dikecualikan daripada operasi Perkara 8(2) dan dibenarkan. Atas alasan ini sahaja rayuan terhadap penghakiman itu patut dibenarkan”.

Tambahnya, “jika seorang Hakim berpendapat sesuatu undang-undang itu patut dipinda, beliau boleh mengesyorkannya dalam penghakimannya”.

“Saya pernah berbuat demikian dan ada cadangan saya yang Parlimen telah membuat pindaan-pindaan berkenaan. Bukanlah tugas Badan Kehakiman untuk menyelesaikan masalah Badan Perundangan dan Badan Perundangan tidak sepatutnya mengharapkan Badan Kehakiman menyelesaikan masalahnya. Dan Hakim tidak boleh mengambil alih bidang kuasa Parlimen kerana Hakim bukan Parlimen, dan sebaliknya.”

“Sesuatu penghakiman itu tidak semestinya betul semata-mata kerana kita sukakan hasilnya (result/outcome). Ia betul jika ia mengikut undang-undang yang terpakai pada masa itu,” kata Tun Abdul Hamid. - www.samudera.my

Lihat juga
“Bapa” juga bermaksud “ibu”: Hakim mengambil alih kuasa Parlimen

Monday, September 27, 2021

Cerita Cari Kerja Dan ‘Kabel’

RABU lalu di Dewan Rakyat, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dalam jawapan bertulis memberitahu, seramai 155,893 pekerja diberhentikan di seluruh negara ketika pandemik Covid-19 melanda sejak 2020 sehingga Julai 2021.

Daripada jumlah itu, 141,191 pekerja di Semenanjung Malaysia diberhentikan oleh 5,095 majikan. Di Sabah pula, 355 majikan terlibat dalam pemberhentian ke atas 5,706 pekerja dalam tempoh 2020 hingga September 2021.

Sementara itu di Sarawak, sebanyak 509 majikan terlibat dengan pemberhentian membabitkan 8,996 pekerja dalam tempoh yang sama.

Pemberhentian pekerja ini merangkumi sektor penginapan dan rantaian perkhidmatan makanan serta minuman, pembuatan, pembinaan dan pentadbiran serta khidmat sokongan.

Dan keesokannya pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan kenyataan bahawa beliau yakin sasaran kerajaan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini dapat dicapai ekoran lebih 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan sejak Januari hingga 10 September lalu.

Baguslah kalau baki daripada 500,000 peluang pekerjaan itu dapat diwujudkan pada tahun ini yang cuma tinggal beberapa bulan lagi saja. Ini kerana yang kena berhenti atau kena buang kerja pun terlalu ramai. Siswazah yang masih tidak dapat pekerjaan yang selayaknya mengikut kelulusan dan kemahiran mereka pun ramai juga.

Cubalah tanya pekerja pekerja di pusat beli-belah atau yang bekerja dalam perkhidmatan e-hailing, ramai lepasan universiti dan kolej swasta yang bekerja di situ. Mereka masih tercari-cari peluang pekerjaan dengan kelayakan yang ada.

Saya pernah menulis dalam kolum ini, bagaimana seorang lepasan universiti lulusan kejuruteraan bekerja sebagai barista di sebuah kedai kopi premium. Katanya, dia tidak memilih kerja. Asalkan ada gaji tetap setiap bulan untuk diri sendiri, tanpa menyusahkan keluarga lagi, itu sudah cukup baik. Hendak cari kerja ketika ini bukan main susah.

Dan masih saya ingat lagi, satu kejadian di sebuah pusat-beli belah di Shah Alam, semasa bulan Ramadan lalu. Seorang pekerja perempuan, di kios minuman popular ditengking oleh seorang pelanggan, gara-gara dia memberitahu masa berbuka sudah tiba, mereka tutup kedai sebentar, tapi pelanggan itu mendesak agar dia dapat membeli minuman pada masa itu juga.

“Ini yang susahnya, kalau tak sekolah. Bukan tahu nak jaga pelanggan,” kata lelaki itu yang saya masih ingat sampai sekarang. Sebabnya, ayat itu turut merentap hati saya sebenarnya. Budak itu mungkin sebaya anak saya.

Dan pekerja itu dengan selamba berkata – “Saya lulusan universiti bang, Sains Komputer. Nak tengok ijazah saya ada di rumah.” Lelaki itu terkedu dan berlalu sambil mengomel entah apa-apa. Saya pun malas nak ambil tahu. Yalah, orang lain pun berlapar dan menahan dahaga juga masa bulan Ramadan. Tak adalah sampai hendak mengamuk hal-hal remeh.

Tetapi bukan hal mengamuk itu saya mahu tekankan, hakikatnya, ramai siswazah bekerja di pusat beli belah, di restoran makanan segera, bawa Grabcar dan menjadi penghantar makanan untuk survival hidup mereka. Jangan kata, mereka ini manja. Tidak, budak-budak sekarang kuat bekerja.

Dalam group WhatsApp saya bersama kawan-kawan universiti dan sekolah pun, kami selalu berbincang dan bertanya – Anak yang grad tu dah dapat kerja ke? Rata-rata menjawab, kerja sementara, bawa Grabcar atau penghantar makanan. Yang perempuan pula menjual barangan secara online dan ada yang bekerja sebagai jurujual di pusat beli-belah. Tak kurang juga yang jual insurans dan terlibat dalam penjualan hartanah.

Yang menjadikan mereka ini tidak dapat kerja yang selayaknya, apabila dalam temuduga mereka ditanya tentang pengalaman. Rata rata majikan mahukan pengalaman bekerja sekurang kurangnya dua tahun.

Yalah, kalau mereka tidak diberi peluang bekerja oleh mana mana syarikat pun, macam mana pula boleh mendapat pengalaman bekerja itu? Kebanyakan kita pun bekerja bermula dari bawah, dari ‘kosong’ pengetahuan dan pengalaman. Janganlah tanya yang bukan-bukan masa temuduga macam mereka itu hendak mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pula!

Kadang-kadang majikan bayar gaji bukan banyak pun, tetapi minta macam macam. Perah tenaga pekerja semaksimum boleh. Dengan kata-kata, bersyukurlah dapat kerja di musim pandemik ini. Kalau tak nak kerja, ramai lagi yang mahu kerja.

Ini pun satu isu juga. Isu gaji rendah dan mengambil kesempatan dalam suasana pandemik ini. Buang pekerja. Ambil pekerja baru yang sanggup dibayar gaji rendah. Inilah yang dikatakan buruk perangai.

Beberapa bulan lalu pula, saya ada berbual dengan seorang pekerja bank. Muda lagi. Dia datang ke tempat saya kerana PKP, jadi mereka yang keluar jumpa pelanggan. Saya bertanyakan umurnya. Baru 24 tahun. Senang ya dapat kerja. Alhamdullilah, kata saya.

Dia agak lurus bendul. Terus saja cakap , ibu bapanya ada ‘kabel’ dalam bank itu. Dan mengakui, susah dapat kerja kalau tidak ada kabel kerana sebelum itu dia sudah hantar banyak resume di syarikat-syarikat korporat.

Isu guna orang dalam atau kabel ini memang tak pernah habis agaknya. Kalau layak itu, tidaklah ralat sangat pun, tetapi kalau tidak layak, ia memotong peluang orang yang lebih layak untuk mendapatkan pekerjaan itu.

Ada juga temuduga yang sudah diatur, dipanggilnya ramai calon, tetapi sebenarnya mereka sudah memilih seorang kerana dia ada kabel di situ. Adik beradik, saudara mara atau kawan-kawan. Sudahnya yang datang beramai-ramai itu buang masa saja. Sudah beli pakaian dan kasut baru untuk temuduga itu dan lebih menyedihkan yang mengeluarkan wang untuk pakaian baru tersebut atau duit tambang adalah ibu bapa di kampung yang mengharapkan anaknya berjaya dalam temuduga berkenaan.

Main-mainkan perasaan saja! Ini berlaku, bukan cerita rekaan. Guna kabel ini selayaknya dihumban ke dasar laut. Ini kerana ia satu perbuatan di luar rasa kemanusiaan, yang menyuburkan amalan kronisme dalam pelbagai hal. Semua benda pun hendak pakai orang dalam. Akibatnya, tenaga kerja yang boleh digilap dan bagus, bekerja di pusat beli-belah saja.

Dan peluang pekerjaan yang dikatakan banyak itu, janganlah ia hanya datangnya melalui ekonomi gig semata-mata. Tak kan isu pengangguran hanya diselesaikan dengan bawa Grab atau menjadi penghantar makanan. Kita dah nak masuk fasa endemik ini, peluang pekerjaan pun jangan sama macam masa pandemik lagi. 

Oleh: Fauziah Md Arof

Krisis Sosial Apabila Tua

MALAYSIA berdepan masalah sosial dan kebajikan yang kritikal dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang. Punca-punca utama yang akan meledakkan masalah ini ialah simpanan wang rendah, ketiadaan sistem bantuan sosial padu dan jangka hayat rakyat semakin panjang.

Berdasarkan perangkaan sehingga suku pertama tahun ini terdapat 32.75 juta penduduk di negara ini termasuk 3.1 juta warga asing. Jumlah penduduk berusia 65 tahun dan ke atas berjumlah 3.5 juta.

Dianggarkan mereka berusia antara 45-59 tahun adalah seramai 5.21 juta manakala golongan antara 30-44 tahun berjumlah 8.034 juta. Menjelang 2030, dianggarkan mereka berusia 60 tahun ke atas akan meningkat 15 peratus. Angka jumlah golongan tua semakin meningkat tidak menjadi masalah kalau mereka mempunyai simpanan saraan hidup mencukupi.

Tetapi apa yang menggerunkan ialah terdapat 5.8 juta mereka berusia 55 tahun dan ke bawah yang mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan kurang RM10,000. Apa yang lebih parah, mereka dengan simpanan kurang RM10,000 berjumlah 2.37 juta orang manakala antara RM1,000-RM5,000 berjumlah 2.32 juta manakala selebihnya iaitu 1.1 juta ada simpanan antara RM5,000-RM10,000.

Apa maknanya semua angka ini? Apabila 5.8 juta pencarum ini sampai ke usia 55 tahun mereka hanya akan ada simpanan sama nilai kereta Perodua Kancil 850 second hand atau dua telefon pintar Apple 13.

Jika usia seseorang tidak panjang tidak mengapa. Wang bukan isu.

Tetapi kita tidak tahu bila ajal akan datang. Angka menunjukkan usia rakyat negara ini semakin panjang. Selain kewangan untuk diri sendiri, perbelanjaan lain akan ditanggung oleh mereka yang melepasi usia produktif 60 tahun.

Apa yang akan berlaku apabila terdapat hampir enam juta rakyat dengan simpanan kurang RM10,000? Malaysia akan menghadapi masalah sosial yang buruk. Angka sebenar kemiskinan akan melonjak dan kerajaan berdepan kos penjagaan sosial yang tinggi.

Ketika ini, Malaysia tidak ada sistem bantuan sosial yang menyeluruh walaupun ada skim bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jika 5.8 juta orang harus diberikan elaun bulanan RM500, negara perlu menyuntik bantuan sosial berjumlah hampir RM3 bilion sebulan atau RM38.8 bilion setahun.

RM38 bilion itu lebih separuh daripada RM69 bilion yang diperuntukkan kerajaan untuk perbelanjaan pembangunan bagi tahun ini. Jumlah itu tidak lagi termasuk subsidi kesihatan yang bakal ditanggung untuk menjaga masyarakat yang semakin tua.

Sudahlah negara ini hanya mempunyai 13,000 pakar kesihatan semua bidang bagi menjaga 32.7 juta rakyat atau ratio seorang pakar untuk 2,515 penduduk berbanding Singapura seorang pakar kesihatan untuk setiap 999.8 penduduk.

Kerajaan perlu menerima realiti akan berlaku dalam 10 tahun dan perlu mula memikirkan penyelesaian dari sekarang cara terbaik menangani masalah ini.

Ada pepatah mengatakan apabila seorang yang ditolak ke sisi tebing yang tinggi, bukan sahaja orang ditolak akan jatuh. Orang yang menolak juga berada di sisi cerun sama. Dan Malaysia berada di sisi cerun tinggi sama. – UTUSAN ONLINE

Friday, September 24, 2021

Dadah: Makin Kuat Kempen, Makin Menjadi-Jadi…Di Mana Salahnya?

SAMA juga makin kuat kempen rasuah, rasuah semakin membarah. Selagi anak ikan yang menjadi mangsa, selagi itulah masalah tidak dapat diselesaikan. Sedangkan jerung terus bermaharajalela.

Saya begitu teruja apabila isu dadah yang menjadi musuh nombor satu negara dibangkitkan di Parlimen. Perkara sebeginilah yang kita mahu dengar setiap kali, isu berkaitan agama, bangsa dan negara, bukannya perebutan kuasa.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai pembaharuan penjara dan pusat tahanan mahukan butiran lebih lanjut dan peruntukan sebenar dalam Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 2020 yang baharu, menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Perkara ini dibangkitkan susulan penangkapan pasangan kekasih kerana memiliki biskut ganja dan laporan bahawa mereka akan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Kasihan anak ikan akan digantung sampai mati jika disabitkan. Sedangkan raja dadah masih bebas dan bermaharajalela, walaupun sudah kerap kali membaca berita mengenai kegiatan. Semua orang tahu, siapa raja pengedar dadah, siapa yang menjadi penagih dan siapa yang menjadi penyalah guna dadah. Raja dadah begitu bermaharajalela terutama di Pulau Pinang. Laluan masuk seperti di pelabuhan dan sempadan mesti dikawal ketat. Sebab itu, amat penting sekali, meletakkan mereka yang mempunyai integriti bertugas di sini.

Biar saya berterus terang berasaskan kajian yang telah dilakukan, penagih rata-ratanya orang Melayu (termasuk bumiputera). Manakala penyalahguna adalah orang Cina. Penagih bermaksud, mereka mengambil dadah sehingga membahayakan diri dan oranglain. Manakala, penyalaguna adalah dalam kalangan mengambil apabila perlu. Misalnya, ketika berada di kelab malam.

Justeru, permasalahan dadah mesti segera ditangani secara serius jika mahukan anak bangsa selamat pada masa akan datang. Pengedarnya mesti ditangkap, didakwa dan seterusnya menerima hukuman mati.

Sistem keadilan jenayah dan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori yang jelas telah memangsakan pesalah kecil berpendapatan rendah atau keldai dadah, dan bukannya ‘raja pengedar dadah’ hendaklah dikaji semula. Begitu juga isu dasar dekriminalisasi terhadap orang-orang yang memiliki (sejumlah kecil dadah) dan bukan mereka yang memperdagangkan untuk membuat keuntungan.

Dalam membantu menyelesaikan masalah ini, saya ingin mencadangkan beberapa perkara.

Pertama, pengedar dadah atau raja dadah mesti dihukum mati bukannya anak ikan.

Kedua, jangan mangsakan penagih dadah dengan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka. Begitu juga menganggap mereka sebagai penjenayah, mereka adalah pesakit yang perlu dirawat.

Ketiga, pihak berkuasa yang ada hubung kait dengan dadah, seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis, kastam dan lain-lain hendaklah diperkasakan. Bekerja dengan penuh integriti tanpa ada apa jua salah guna kuasa dan rasuah.

Banyak kali juga membaca, raja dadah dilepaskan polis disebabkan habuan besar yang diberikan. Ada juga polis yang tidak melaporkan kerana tidak mahu kawasannya dikenali sebagai kawasan hitam, yang boleh menghalang kenaikan pangkat dan macam-macam. Ini tidak termasuk, ‘habuan’ yang disediakan di kelab malam dan banyak lagi. Kadangkala tengok sarjan polis dan sarjan tentera, kehidupan mereka berbeza sekali. Sarjan polis naik Honda, sarjan tentera naik Axia.

Keempat, AADK, bukan tempat buangan. Pegawai yang berpengalaman dan benar-benar mahir dalam selok- belok berkaitan dadah hendaklah ditempatkan di sana. Meletakkan pegawai-pegawai PTD bagi penempatan sementara sebelum dinaikkan pangkat hendaklah dielakkan sama sekali. Terutama dalam kalangan mereka bermasalah.

Dalam kata lain, jadikan AADK, agensi nombor satu negara. Jika kita benar menganggap dadah itu musuh nombor satu negara, maka perangi ia habis-habisan, letakkan orang di tempat yang betul.

Sudah sampai masanya, mereka yang berpengalaman membuat kajian tentang dadah, termasuk pengarah-pengarah dadah negeri yang bergelumang dengan masalah dadah daripada mula bekerja hingga ke hari ini diberikan peluang untuk menjadi Ketua Pengarah AADK.

Saya amat bersimpati dengan mereka, setiap kali ada kekosongan, maka setiap kali orang luar dibawa masuk. Penempatan PTD yang tidak ada kepakaran dalam isu ini hendaklah dilihat secara serius.

AADk memerlukan mereka yang benar-benar pakar dan tegas untuk membantu menguruskan masalah dadah. Bukannya yang baharu mahu belajar dan terpaksa belajar selok-belok mengenai cara menangani dadah. Bukan tidak boleh, tetapi menunjukkan kita tidak serius akan bahaya musuh nombor satu.

Kelima, seperti yang dicadangkan, penyelidikan berterusan mesti dilakukan dan perlu membuahkan hasil. Kita tidak mahu kajian-kajian yang dibuat hanya menjadi bahan jurnal, tidak ada tindakan seterusnya.

Sekiranya kajian berjaya, seperti yang dicadangkan, produk pembuatan di sini atau di luar negara boleh melalui proses Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA – KKM) sama seperti ubat farmasi lain.

Misalnya, keputusan Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu yang telah “mengklasifikasikan semula kanabis sebagai ‘dadah yang kurang berbahaya’ dan mengeluarkannya daripada senarai bahan opiate yang boleh membunuh dan ketagih.

Pastikan juga potensi dan kelemahan ganja dalam perubatan tetap menjadi bidang penyelidikan yang aktif. Ada negara telah menghalalkan ganja (termasuk ketum) untuk pelbagai tujuan termasuk perubatan.

Keenam, semua kementerian yang tidak berkaitan dadah mesti memberi kerjasama kepada AADK. Jangan biarkan AADK keseorangan dalam menangani masalah ini. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, misalnya perlu menyediakan perumahan kos rendah untuk membentuk manusia, bukan seperti sarang burung, supaya anak-anak senang berada di rumah. Tidak ada guna kempen Rumahku Syurgaku jika keadaan rumah begitu sempit untuk dihuni.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Setiap kementerian mesti diberikan peruntukan untuk program pencegahan ini. Biro pelencongan hendak ditubuhkan setiap kementerian.

Ketujuh, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) sepatutnya menjadi pembantu kepada AADK bukan pesaing. Jika ada orang-orang politik yang memimpin PEMADAM hendaklah berperanan secara profesional bukan seperti berfungsi sebagai parti politik.

Jika dahulu PEMADAM begitu aktif mencari dana, hari ini PEMADAM seolah-olah bergantung sepenuh kepada kerajaan. Perbelanjaan mengadakan mesyuarat agung begitu tinggi. Program pencegahan tidak menampakkan perubahan.

Kelapan, kerajaan mesti memberikan peruntukan yang banyak kepada setiap kawasan Parlimen bagi tujuan pencegahan dan program pelencongan sosial.

Kesembilan, program latihan dan tarbiyyah hendaklah diberikan kepada penguat kuasa, supaya ada jiwa takut kepada tuhan dalam menjalankan tugas.

Akhirnya, jangan biarkan slogan perangi dadah habis-habisan, dadah musuh nombor satu negara dan lain-lain lagi hanya sebagai retorik. Semakin dikempenkan, semakin dadah berleluasa.

Rupa-rupanya, ia tidak sampai kepada pemimpin dan masyarakat. Masih ramai pemimpin yang berada di luar sana, tidak tahu berkaitan dadah dan bahayanya. Jadi, bagaimana mereka mahu bersama memerangi dadah?

Begitu juga dengan kesungguhan pegawai AADK sendiri ada yang hanya bekerja untuk gaji bukan kerana menyelamatkan anak bangsa. Tidak menjiwai tugas. Justeru, pengambilan warga AADK perlu diambil mengikut bidang berkaitan dadah, terutama ilmu kemanusiaan, psikologi dan kaunseling.

Oleh: Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Mereka Ketepikan Perkara Paling Asas, Bahasa Dan Sejarah

Jangan sampai pejuang UEC jadi pemimpin, negara boleh pecah belah

Tidak mustahil negara akan berpecah belah sekiranya pejuang-pejuang lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – yang nyata berkiblatkan China diangkat jadi pemimpin.

Lebih malang dan mungkin menjadi tragedi atau malapetaka sekiranya kerajaan membenarkan dan mengiktiraf UEC dilaksanakan di negara kita.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, UEC mendewakan bahasa lain, mengagungkan sejarah mereka, jadi di mana sifat patriotisme sekiranya mereka berada dalam politik kita.

“Inikah pemimpin yang mengatakan mereka ingin perpaduan kaum, yang ingin harmonikan kaum, yang inginkan integrasi kaum.

“Kalau lahirlah mereka ini suatu hari nanti, memegang negara kita, apa akan jadi negara kita.

“Apakah negara kita hanya jadi boneka kepada negara lain,” soalnya dalam program eksklusif Pidato Pertiwi bertajuk ‘UEC Barah Perpaduan’, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pejuang-pejuang UEC yang kononnya mempunyai aspirasi memajukan negara, hakikatnya mengetepikan perkara paling fundamental sekali dalam pembentukan asas pembinaan kaum negara iaitu bahasa dan sejarah negara.

“Bukan kita nak ketepikan bahasa lain tetapi kita tak ada masalah dengan bahasa Cina ke India tetapi pokoknya jangan ketepikan bahasa Kebangsaan, ini yang jadi fundamental.

“Apa yang kita nak kita didik kepada anak-anak generasi masa depan,” katanya.

Pada masa sama beliau turut mempersoalkan apa akan jadi sekiranya anak-anak bangsa didoktrin dengan bahasa lain.

“Kalau mereka ini didoktrinkan dengan bahasa lain, sejarah lain, mana mungkin mereka ini dapat merasai cinta pada negara,” katanya.

Malah tegas Haji Aminuddin lagi, konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak mungkin dapat dijayakan sekiranya perkara ini diteruskan, sebaliknya akan wujud keluarga pecah belah.

“Satu orang fikir pasal negara, satu lagi fikir negara lain, tidak mungkin akan wujud,” katanya.

Atas dasar itu, beliau menyeru supaya pemimpin melihat isu ini secara matang dan tidak terlalu pentingkan diri.

“Lihat secara matang, bukan kerana undi, kerana takut hilang kuasa dan sebagainya menyebabkan kita berkompromi dengan benda yang paling asas sekali dalam perjuangan kita,” katanya. - ismaweb.net

Pautan video:
https://www.facebook.com/2049757038611479/posts/2924979041089270/

Thursday, September 23, 2021

Sudah Berubahkah UMNO, BN?

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 8 Mei 2018 merupakan satu sejarah politik hitam yang ‘menyeramkan’ untuk Barisan Nasional (BN) sejak ditubuhkan pada 1973. Hilang kuasa, tersungkur teruk di medan PRU sekali gus menyaksikan parti pembangkang menerusi Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara buat julung kalinya. Dunia antarabangsa turut tergamam.

Pemimpin tertinggi BN masih ingatkah fenomena, situasi dan suasana malam 80518, 22 bulan era pentadbiran PH, 2018 hingga 2021? Ya, dalam tempoh tiga tahun ini macam-macam terjadi.

Tiga Perdana Menteri bertukar, dijatuhkan kononnya mahu selamatkan negara. Pertarungan, percaturan dan perebutan politik nombor menguasai nafsu pemimpin politik untuk merebut kuasa ketika negara berada dalam situasi cukup kritikal dan mencemaskan menangani pandemik Covid-19.

Tidak dinafikan, segala insiden dipecat, dibuang dan meninggalkan parti disebabkan tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan ataupun sebab-sebab politik lain telah mencetuskan pelbagai kontroversi, ancaman dan perpecahan dalaman UMNO dan juga parti komponen BN lain. Namun perlu diingat, pemimpin datang dan pergi tetapi parti tetap akan kekal, dahulu, kini dan selamanya sekiranya semua ahli termasuk pemimpin mendahulukan kepentingan dan masa depan parti.

NASIB BN
Tersungkurnya BN menceritakan segala-galanya. Kisah benar politik yang perlu dijadikan panduan, rujukan dan iktibar pada masa akan datang. BN yang berdiri gah di bawahnya 14 komponen jatuh kerana kawan-kawan yang setia ketika berkuasa melarikan diri. Kini BN hanya tinggal empat anggota komponen, iaitu UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Selepas kalah, ramai juga pemimpin BN menuding jari antara satu sama lain. Ada juga yang berlagak dan bercakap besar dan cuba menutup kelemahan masing-masing.

Tapi mereka lupa, logo dacing itulah yang telah memberikan segala bentuk identiti, keperluan, kehendak, keinginan dan ‘kemewahan’ ketika berada dalam gelanggang politik sama ada kerajaan ataupun parti. Siapalah mereka tanpa lencana BN di dada?

Ketika berkuasa ataupun kuasa dalam genggaman, pemimpin utamanya gagal menilai pembacaan politik yang sahih dan benar. Mereka anggap diri mereka terlalu kebal dan kuat kerana pengaruh kuasa dimiliki telah menutup mata mereka. Analisis separuh masak dijadikan panduan, kumpulan kipas jadi kumpulan sorak, suara realiti dan rasional dinafikan serta dimatikan. Sikap angkuh, sombong berleluasa.

KARAKTER PEMIMPIN
Persoalannya, apakah karakter pemimpin-pemimpin UMNO, BN sudah berubah selepas PRU-14? Ataupun mereka sudah mula lupa peristiwa seram 8 Mac 2018 selepas masuk semula dalam Kabinet melalui pembentukan kerajaan campuran pada 2020?

Wah, ada juga perangai pemimpin BN masih tak berubah. Mereka masih berlagak besar umpama sudah menang besar selepas Langkah Sheraton dan pembentukan satu lagi kerajaan baharu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perlu ingat, rakyat berikan mandat kepada PH pada PRU-14. Apa yang sedang berlaku dan sudah berlalu merupakan suatu kemalangan politik disebabkan gelagat sekumpulan pemimpin yang terlalu ghairah mahu merebut jawatan Perdana Menteri dan kuasa politik. Kepimpinan lemah yang gagal mentadbir menjadi puncanya.

BN yang kini memiliki 42 kerusi di Dewan Rakyat perlukan kepimpinan yang kuat, mantap, bersih dan berwibawa untuk mengharungi cabaran PRU-15 nanti. Hayatilah segala peristiwa politik yang berlaku dalam tempoh tiga tahun secara mendalam. Kekuatan sebenar UMNO, BN terletak pada perpaduan dalam dan luar parti.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini penampilan BN dilihat semakin tersasar dan kurang persefahaman antara pemimpin-pemimpin utamanya. BN perlu keluar dari zon penafian itu dan perlu buang segala liabiliti politik secara ikhlas dan telus sebelum masuk gelanggang PRU-15.

Kepimpinan tertingi BN perlu berani terima teguran, kritikan dan pandangan. Hormatilah antara satu sama lain. Bergeraklah di bawah bumbung BN. Kepimpinan BN dan UMNO perlu tunjukkan pegangan, prinsip politik yang konsisten, bukannya kerap bertukar. Berikan satu hala tuju, mesej jelas kepada peringkat akar umbi dan rakan-rakan BN lain.

PM-9
Pelantikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dan Naib Pengerusi BN sebagai Perdana Menteri kesembilan perlu dijadikan suntikan semangat politik buat BN secara khususnya untuk bergerak ke depan demi menjamin harapan rakyat dan negara. Ini merupakan peluang terbaik untuk mengembalikan keyakinan, kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan selepas PRU-14 yang telah meletakkan politik negara dalam keadaan huru-hara selama tiga tahun.

Berikanlah masa secukupnya untuk Ismail Sabri melakukan tugas dan tanggungjawabnya. Di pihak UMNO pula, walaupun bukan Presiden UMNO dan Pengerusi BN, beliau perlukan sokongan padu untuk selamatkan, pulihkan negara daripada ancaman Covid-19. Itulah keutamaan ketika ini.

Perlu ada satu persefahaman yang baik antara beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam segala proses melibatkan parti dan kerajaan.

Tanpa jawatan kerajaan kerana kes mahkamah, Ahmad Zahid sering diserang. Tidak dinafikan bukan senang untuk membawa karakter Presiden UMNO. Apa yang pasti, perbicaraan mahkamah terhadapnya masih berjalan. Selagi belum terbukti bersalah, selagi itulah beliau perlu diberikan penghormatan sewajarnya.

Ini bukan situasi suka Ahmad Zahid atau tidak. Segala keputusan parti perlu konsisten, kukuh sepanjang masa dan dihormati. Tindakan baling batu sembunyi tangan ataupun gerakan secara sulit hanya akan memecah-belahkan parti.

Inilah juga masanya untuk BN, UMNO melakukan reformasi politik secara drastik untuk terus kekal relevan seiring cabaran dan tuntutan politik semasa yang semakin mencabar. Antaranya penglibatan generasi muda, peranan BN secara agresif dan memperkasakan sistem penyampaian politik bagi menghadapi PRU-15.

Tidak timbul soal BN sudah bangkit ataupun tidak, tetapi rakyat mahu melihat sejauh manakah kebangkitan imej baharu BN selepas PRU-14?

Oleh: DATUK ANBUMANI BALAN

Diskriminasi Di Sekolah?

LAPORAN tentang diskriminasi yang didakwa berleluasa terhadap etnik India semasa mereka menuntut dahulu bukan sahaja mengejutkan, tetapi digesa banyak pihak untuk disahkan kebenarannya. Tinjauan ini mendapati etnik Cina juga mengalaminya.

Bukan sahaja berbentuk cacian, ia juga didakwa berlaku dalam bentuk peraturan persekolahan, malah dasar pendidikan dalam sistem negara. Semua ini didakwa kerana etnisiti mereka.

Sudah tentu tinjauan ini dilakukan berdasarkan pendekatan mentalis, iaitu dengan memperoleh pengakuan sama ada secara lisan mahupun bertulis daripada sebilangan pemaklum itu sendiri. Tidak dapat dinafikan jawapan mereka sama ada jujur atau sebaliknya digunakan dalam melaporkan hasilnya.

Dari satu sisi, tindakan melayan kelompok lain yang tidak sama dengan kita baik dari segi etnisiti mahupun kepercayaan keagamaan dengan disarati buruk sangka, sikap perkauman dan segala macam yang negatif tidak sepatutnya berlaku setelah kita sudah senegara sekian lama. Akan tetapi ia tetap berlaku kerana kita kurang malah langsung tidak saling mengenali untuk sekurang-kurangnya bertoleransi.

Oleh itu, ada keperluan mendesak untuk kita kenal antara satu sama lain berdasarkan fahaman peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta, iaitu kita akan lebih mudah menerima sesuatu itu setelah kita mula mengenalinya. Ini hendaklah pertama-tamanya dilakukan melalui sistem pendidikan negara dengan mengadakan hanya satu aliran persekolahan khususnya di peringkat tadika dan sekolah rendah.

Sehubungan itu, malang sekali sistem kita membenarkan pengasingan etnik berlaku pada usia cukup muda, iaitu semasa tadika lagi yang pula diteruskan di sekolah rendah. Ia kemudiannya didapati gagal mencantumkan anak bangsa kita apabila mereka ke sekolah menengah yang berupa satu aliran sahaja.

Ini kerana ramuan perpaduan tidak dipupuk sebelum itu pada persekolahan pelbagai aliran. Sebenarnya kejutan budaya adalah antara sebab utama berlakunya kurang atau tiada toleransi sesama kita yang pelbagai kaum ini.

Kejutan budaya ialah keadaan seseorang atau sesebuah kelompok mengalami sentakan ekoran tindakan tertentu yang dilakukan seseorang atau kelompok lain berdasarkan amalan mereka. Ini kerana tiadanya kebiasaan dengan tindakan itu akibat tiadanya pergaulan antara yang terlibat untuk memahaminya.

STEROTAIP

Sehubungan itu, didapati pada kebanyakan waktu, seseorang atau kelompok bertindak secara negatif terhadap yang satu lagi kerana tidak mengenalinya secara dekat untuk mengetahui cara hidup etniknya pada tindakan berkenaan. Oleh itu, sangat penting untuk kita yang pelbagai etnik ini mengenali budaya etnik lain untuk mula mengurangkan dan akhirnya melenyapkan stereotaip, iaitu pemikiran yang penuh prasangka terhadap pihak lain dan etnosentrisme, yakni etnik kita sahaja yang baik, hebat dan segala macam lain yang positif.

Tidak dapat dinafikan melalui stereotaip sering berlaku konsep salah tentang perkara tertentu pada budaya etnik lain. Ini kerana kita tidak memahami budaya lain meskipun diamalkan di negara ini. Justeru, mempunyai pemahaman salah tentang sesuatu amalan etnik lain yang kekadangnya sengaja tidak mahu kita fahami kerana etnosentrisme.

Dari satu sisi lain pula, dakwaan diskriminasi terhadap etnik bukan Melayu oleh etnik Melayu tidak pernah pun diajukan secara rasmi oleh pemimpin bukan Melayu, baik dalam pemerintahan terdahulu mahupun yang sekarang. Ia tidak kedengaran pun di Parlimen daripada pembangkang tentang wujudnya diskriminasi dalam apa-apa jua bentuk termasuk bidang pendidikan pada sesetengah dasarnya.

Walaupun ia banyak sekali didakwa di peringkat masyarakat khususnya Cina, rata-ratanya perkataan diskriminasi tidak pernah digunakan oleh pemimpin bukan Melayu termasuklah ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah walaupun oleh mereka dari parti politik Cina yang ditanggapi paling cauvinis di negara ini.

Persoalannya di sini ialah keabsahan kewujudan tindakan sedemikian, iaitu layanan formal berlainan kerana etnisiti khususnya secara institusi sebagai dasar negara. Ia yang sepatutnya tidak boleh sesekali wujud dalam bentuk diskriminasi hendaklah segera diputuskan di Parlimen, lebih-lebih lagi oleh ahli Parlimen bukan Melayu akan kewujudannya di negara ini.

MODEN
Ini penting agar citra negara baik dalam dan luar negara hendaklah selalu baik pada pandangan semua pihak. Ini kerana diskriminasi memberi gambaran Malaysia mengamalkan sikap membeza-bezakan kerana etnisiti warganya, biarpun pada zaman moden ini dengan langsung tidak mengendahkan hak asasi manusia untuk mewujudkan kesamaan.

Oleh itu, kita harus berhati-hati dalam membuat dakwaan yang berat ini dengan hakikat terang-terangan bahawa etnik Cina misalnya, bukan sahaja dapat terus hidup sebagai orang Cina dengan sepenuhnya meskipun dalam kehidupan nasional antaranya dengan kebenaran mempunyai persekolahan sendiri yang dibiayai kerajaan lagi.

Mereka juga memiliki ekuiti lumayan yang tidak disekat dalam apa-apa jua cara oleh etnik Melayu. Begitu juga dengan perkongsian kuasa daripada etnik Melayu dalam pemerintahan negara.

Sudah tentu semua ini dan banyak lagi yang lain sama sekali tidak mungkin dimiliki untuk dinikmati etnik bukan Melayu kalau diskriminasi betul-betul wujud di negara ini.

Dengan ini, barangkali ia bukan diskriminasi seperti yang didakwakan itu hanya tanggapan dan semu pula daripada etnik bukan Melayu. Oleh itu, ia harus disahkan segera oleh pemimpin bukan Melayu dalam kerajaan.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

Buat Aduan Tapi Tiada Tindakan

NAMPAKNYA isu penggunaan papan tanda dan iklan bukan dalam bahasa Melayu masih tidak selesai.

Rungutan sudah kerap tersiar dalam pelbagai akhbar tetapi masalah pengabaian bahasa Melayu masih menjadi kudis dalam masyarakat.

Adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) ada membuat pemantauan? Adakah pegawai-pegawai PBT menyemak siaran dan aduan di media massa?

Adakah mereka tidak berani bertindak atau hanya bersikap menunggu ulang tahun ke-10 aduan barulah hendak diambil tindakan?

Umum boleh melihat papan tanda dan iklan di pekan serta bandar. Tiada penggunaan bahasa Melayu, lebih mendaulatkan bahasa lain, kedudukan tulisan bahasa Melayu yang sangat kecil dalam iklan, kesalahan ejaan dan bahasa boleh dilihat di sana sini.

Hendak diberi contoh, tidak muat ruangan akhbar ini. Pada 30 April lalu, saya menulis dalam Forum Utusan Malaysia, mengadu isu sama dalam konteks tempat saya di Batu Pahat, Johor.

Sebuah premis perniagaan yang tajuk besar iklannya Cozzy Confinement Center didapati keterangan iringan semua dalam bahasa Inggeris.

Sebuah pusat perniagaan dipanggil Old Street diikuti keterangan dalam bahasa Cina tanpa sebarang perkataan dalam bahasa Melayu.

Sebuah restoran pula mengiklankan kedainya sebagai Thai Street Food tanpa sebarang penggunaan bahasa Melayu.

Sehingga kini, papan tanda dan iklan di premis perniagaan berkenaan masih kekal seperti biasa, tiada perubahan. Oleh itu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu turun padang.

Meskipun pejabat DBP hanya ada di ibu negeri, mereka boleh mengatur pemeriksaan berjadual dari semasa ke semasa. Sinergi perlu diwujudkan dengan PBT di daerah-daerah.

Status bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Janganlah ada pihak mengambil mudah dan tidak ada rasa bersalah melanggarnya secara sewenang-wenang.

Slogan Kita Jaga Kita, perlu ditambah kepada Kita Jaga Bahasa Kita.

Oleh: MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor.

Monday, September 20, 2021

Keluarga Malaysia Bermula Dari Kita

TARIKH 10 September 2021 menjadi langkah mula ke arah harapan lebih cerah buat negara kita apabila kawasan paling teruk dilanda Covid-19 (Lembah Klang) dibenarkan melangkah ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Garis sempadan antara Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dipisahkan oleh sekatan jalan raya diberhentikan bermula detik 12.01 tengah malam, hari sama.

Maka berpusu-pusulah warga Lembah Klang berhimpun di tempat-tempat menarik bagi ‘melepas gian’ setelah sembilan bulan bermula 13 Januari lalu, sempadan tiga negeri ini ditutup untuk aktiviti rentas sempadan. Viral di media sosial suasana sekitar pusat peranginan, rekreasi, pusat beli-belah dan tempat makan dipenuhi warga kota, rata-ratanya menikmati masa berkualiti bersama keluarga tersayang.

ENDEMIK
Kejayaan penduduk Lembah Klang menerima ‘nikmat’ ini banyak berpunca daripada sikap disiplin kendiri kita semua yang sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di luar rumah. Selain itu, antara faktor lain yang tidak kurang pentingnya juga adalah kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang digerakkan bermula 24 Februari lalu.

Ini merupakan kejayaan kita semua tanpa mengira darjat, pangkat, kedudukan mahupun bangsa. Apabila kita saling melengkapi dan sama-sama bermuafakat untuk melawan virus maut ini, maka secara tidak langsung berjaya membawa kedudukan kehidupan makin bertambah baik.

Konsep Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus dilihat dari skop lebih besar dan meluas. Bagaimana konsep berkenaan mampu memberi hasil setimpal dan seimbang bagi perjuangan dan harapan kita melawan pandemik Covid-19.

Namun, jangan terhenti di situ. Selepas ini, Covid-19 akan menjadi endemik dalam kehidupan seharian kita. Virus maut itu tetap ada di sekeliling kita.

Eloklah kiranya konsep Keluarga Malaysia itu diserap dan diasimilasi mengikut peranan dan skop masyarakat yang lebih kecil dan berfokus.

Dengan adanya roh atau semangat kekeluargaan seperti yang diterapkan melalui konsep tersebut, tidak mustahil kita mampu mengorak langkah lebih laju dalam mengubah kualiti kehidupan seharian.

BERDAULAT
Air yang dicincang tidak akan putus. Ia jelas menggambarkan betapa kekuatan ikatan antara ahli keluarga walaupun berbeza bentuk muka, nama panggilan atau darjat.

Begitulah juga dengan rakyat di negara ini. Kita perlu mempunyai ikatan saling melengkapi sesama sendiri untuk membuatkan kehidupan makin bertambah baik dari hari ke hari.

Jika dalam kalangan kita sendiri asyik bertelagah dan sibuk menjatuhkan sesama sendiri, akhirnya kita akan terlepas untuk menjadikan better nation di negara berdaulat ini. Justeru, pentingnya untuk kita mengait kebersamaan dan memberhentikan penggalian perbezaan terutama bagi tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

Selagi mana kita tidak punya kesedaran yang cukup dalam membentuk sebuah Keluarga Malaysia dalam erti kata sebenar, selagi itulah kita tidak mampu membentuk kualiti kehidupan lebih baik daripada sebelum ini.

Semoga Malaysia mampu menjadi sebuah negara contoh di persada antarabangsa dengan resipi Keluarga Malaysia yang kita pegang saat ini.

Siapa lagi yang perlu berperanan ke arah itu, jika tidak kita sendiri?

Oleh: Sarfarizmal Md. Saad

Sunday, September 19, 2021

Keluarga Malaysia Bukan Bermakna Sama Rata Sama Rasa

JIKA keadilan itu menjadi asas perpaduan dalam Keluarga Malaysia maka muktamadkan makna keadilan itu, bukan samarata samarasa tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberikan hak kepada yang berhak.

Sebelum ini saya telah menulis mengenai konsep Keluarga Malaysia yang perlu diberikan makna, berasaskan kepada tiga tonggak iaitu Perlembagaan, Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Ini bukan perkara baharu, tetapi telah disediakan oleh pemimpin terdahulu. Digubal dengan mengambil kira asal-usul, sejarah dan semangat hidup berbilang bangsa.

Malangnya, ia hari ini seolah-olah tidak pedulikan. Malah kita sendiripun melanggarnya. Justeru, konsep Keluarga Malaysia ini perlu diikat tiga tonggak tersebut supaya sesiapa yang melanggarnya, boleh dikenakan tindakan. Jika tidak, sesuatu dasar atau gagasan akan berlalu begitu sahaja apabila peralihan kuasa berlaku.

Berapa banyak dasar dan gagasan setakat ini telah gagal, malah keadaan semakin tenat. Contoh, Rukun Negara, ideologi negara, seolah-olah gagal. Ramai yang tidak mempraktikkan kepercayaan kepada Tuhan. Hidup seolah-olah tidak bertuhan. Begitu juga kesetiaan kepada raja dan negara, diikuti prinsip seterusnya. Wujudkah kesetiaan itu?

Hari ini terpaksa melakukan kempen penghayatan Rukun Negara. Kenapa perlu kempen sekiranya ia sudah menjadi dasar? Inilah masalah yang kita hadapi sejak dahulu. Dasar sangat cantik, perlaksanaan ke laut.

Paling malang, dasar Bahasa kebangsaaan. Setiap tahun kita terpaksa berhabis duit dan tenaga, kempen bulan Bahasa. Kenapa perlu berkempen lagi Bahasa kebangsaan, sedangkan itu sudah termaktub dalam perlembagaan? Tidakkah Bahasa kebangsaan mesti dikuasai oleh semua rakyat?

Tidak berlaku dalam sejarah dunia, sesebuah negara terpaksa berkempen Bahasa kebangsaan yang sedia termaktub dalam perlembagaan. Saban tahun kempen, hasil apa? Adakah tahap penguasaan BM dalam kalangan rakyat negara kita bertambah baik? Tidak juga. Semakin ramai yang tidak bertutur atau berkomunikasi dalam Bahasa kebangsaan.

Paling malang, semakin rancak kempen sesuatu dasar, keadaan tidak menjadi semakin baik, tetapi semakin buruk dan tenat.

Sama juga kempen anti-dadah. Memerangi dadah merupakan dasar utama negara. Kita kempen, perangi dadah habis-habisan, dadah musuh nombor satu negara. Hasilnya apa? Adakah dadah semakin berkurang? Dadah makin jelas berleluasa. Lebih-lebih lagi apabila kita melantikkan mereka untuk memerangi dadah dalam kalangan yang bukan bidang. Tidak ada pengalaman.

Banyak lagi dasar atau gagasan gagal, yang tidak perlu diceritakan di sini. Kempen cintai alam sekitar, cintai sungai kita. Pencemaran semakin buruk, sungai semakin kotor.

Kenapa gagal? Soalnya, tiada penegasan dan penguatkuasaan. Dasar tinggal dasar.

Justeru, jangan biarkan gagasan Keluarga Malaysia, menerima nasib seperti dasar-dasar sebelum sebelum ini. Ia mesti bersifat mengikat (binding). Jika tidak, sejarah akan terus berulang, jika kita lalai. Lihat apa yang telah terjadi kepada gagasan 1Malaysia dan Islam Hadhari. Datang sahaja Persana Menteri (PM) baharu, hilang gagasan sebelum ini. Bayangkan berapa banyak tenaga dan wang ringgit telah dihabiskan membuat persediaan dan kempen-kempen. Alangkah indahnya, jika tenaga dan wang ringgit tersebut digunakan bagi tujuan lain, seperti membantu mereka yang memerlukan.

Justeru, Keluarga Malaysia perlu dimuktamadkan menjadi dasar negara dan diteruskan pada masa akan datang, tidak kira siapapun Perdana Menterinya. Kita tidak mahu, jika berlaku lagi pertukaran PM, kita akan menjadi satu lagi konsep atau gagasan baharu. Saya amat yakin, jika Anwar Ibrahim ditakdirkan menjadi PM, pasti tidak akan ada Keluarga Malaysia, tetapi Masyarakat Madani. Sampai bila kita mahu mewujudkan budaya sebegini. Jadi, bahan ketawa setiap masa.

Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Dalam menghuraikan semangat Keluarga Malaysia, rakyat Malaysia mesti difahamkan maksud keluarga itu bukanlah samarata dan samarasa. Tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberikan hak kepada yang berhak. Kena bezakan antara equality (persamaan) dan equity (keadilan)

Equality atau samarata samarasa tidak boleh memberikan keadilan. Tetapi pastinya equity, boleh memberikan keadilan kerana ia membawa maksud memberikan hak kepada yang berhak.

Inilah bentuk Keluarga Malaysia yang telah berjaya dibentuk pada suatu masa dahulu sehingga negara mencapai kemerdekaan. Pemimpin negara kita faham apa makna equality dan begitu dalam memahami equity. Kontrak sosial yang telah disepakati dan diterima, menunjukkan betapa pentingnya equality dan equity difahami

Berbeza hari ini, kita mahu memahami equality, iaitu persamaan hak, dengan mengenepikan equity iaitu keadilan, memberikan hak kepada yang berhak.

Contoh, heboh diperkatakan kerajaan akan mengiktiraf UEC, Sijil Sekolah Persendirian Cina. Jika tidak diiktiraf sokongan kerajaan di Parlimen akan terjejas.

Dalam kata lain, jika UEC diiktiraf itu namanya keluarga Malaysia, jika tidak diiktiraf, maka ia bukan Keluarga Malaysia. Tengok betapa licik manipulasi dalam memberi makna keluarga Malaysia.

Ini bukan sifat pemimpin yang memahami apa maksud equality dan equity. Mereka langsung tidak melihat kepada sejarah kenapa perkara ini berlaku. Saya sudah jelaskan artikel terdahulu, tidak perlu diulangi lagi. Sistem Pendidikan perkauman ini sudah terkeluar daripada sistem. Tidak boleh diterima sama sekali. Pasti akan mengundang malapetaka.

Sama juga tindakan hendak menyamakan sistem Pendidikan aliran kebangsaan dengan aliran vernakular. Sudah tentu berbeza. Ibarat mahu menyamakan kedudukan bangsa Melayu selaku Bahasa kebangsaan dengan Bahasa ibunda yang lain. Teramat malang sekali, apabila tidak ada penegasan dibuat. Menyamakan semua itu bukan semangat keluarga Malaysia, kerana di situ tidak ada equity.

Cuba kita lihat dalam bidang sukan, adakah wujud keluarga Malaysia? Semakin lama kita merdeka, keluarga sukan kita semakin menjadi bersifat perkauman. Sukan bolasepak misalnya, sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, kita lihat padang bola sepak penuh dengan warna. Maka tidak hairan kita boleh pergi sampai keringkat Asia, Piala Dunia. Kita ada Mokhtar Dahari, Soh China, Santokh Singh, James Wong, Arumugam dan lain-lain. Begitulah warna-warna sukan Ketika itu

Hari ini, boleh sepak dipenuhi dengan satu warna. Maka tidak hairanlah, sekadar boleh pergi peringkat Asia Tenggara, sehingga mendapat 10-0. Inilah nasib sukan kita.

Begitu juga dengan sukan-sukan yang lain, sukan badminton, bola keranjang, sepak raga dan banyak lagi, penuh dengan satu warna. Kalau dahulu sukan menyatukan, tetapi tidak kini. Kita menjadi hairan, kenapa keluarga Malaysia semakin hari, semakin bersifat perkauman, bukan menjadi keluarga perpaduan seperti yang diidamkan dalam pembinaan negara bangsa.

Banyak lagi bidang lain yang tidak perlu diceritakan di sini. Dalam kata lain, acuan asasnya terlalu perkauman. Setiap bangsa ada media tersendiri, akhbar sendiri, radio sendiri, TV sendiri, NGO tersendiri, parti politik tersendiri. Hatta, institusi Pendidikan berasaskan kaum

Bermula sekolah peringkat rendah, menengah, sehingga ke universiti. Tidak mencerminkan keluarga Malaysia

Universiti dan Kolej Universiti, sangat bersifat perkauman, Kolej Universiti New era, Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti AIMST dan banyak lagi universiti swasta.

Kita amat hairan, kenapa kita benarkan NGO dan parti politik perkauman memiliki universiti berasaskan bangsa mereka. Perkara ini tidak pernah berlaku dalam dunia luar, kecuali negara kita yang pelik ini.

Akhirnya, marilah kita melakukan muhasabah dalam melahirkan keluarga Malaysia. Sedap didengar tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan selagi kita tidak memahami maksud persamaan (equality) dan keadilan (equity).

Perkara-perkara seperti kedudukan agama Islam (tanpa nafikan hak agama lain), hak istimewa Melayu dan Bumiputera, kedudukan Bahasa Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, itulah equity, tidak boleh dituntut menjadi equality. Jika asas ini difahami, amanlah keluarga Malaysia, jika tidak berantakan.

Oleh: Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Asia Pasifik ‘Wilayah Panas’

BEIJING: Keputusan Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia membina ‘pakatan baharu’ diberi nama AUKUS mendapat kecaman China.

AUKUS dianggap China sebagai ‘amat tidak bertanggungjawab’ dan ‘berfikiran sempit’.

Pakatan itu menyaksikan AS dan UK memberi Australia teknologi membina kapal selam berkuasa nuklear untuk pertama kalinya.

Ini secara luas dilihat sebagai usaha melawan pengaruh China di wilayah Laut China Selatan yang menjadi tuntutan bertindih beberapa negara.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata, pakatan itu berisiko ‘merosakkan keamanan serantau dan memperhebatkan perlumbaan senjata’.

BBC melaporkan, beliau mengkritik apa yang disebutnya sebagai ‘mentaliti Perang Dingin yang sudah usang’ dan memberi amaran ‘AUKUS akan melukai kepen­tingan mereka sendiri’.

Media kerajaan di Beijing menggunakan ruangan editorial mengecam perjanjian itu manakala Global Times mengatakan Australia kini ‘mengubah dirinya menjadi musuh China’.

PELUANG BERSEJARAH
Melalui AUKUS, AS akan berkongsi teknologi kapal selam untuk pertama kalinya dalam tempoh 50 tahun, sebelum ini berkongsi dengan UK.

Ini bermakna Australia akan membangun kapal selam berkuasa nuklear yang lebih cepat dan sukar dikesan daripada armada berkuasa konvensional.

Kerjasama baharu itu diumumkan dalam sidang akhbar secara maya bersama Presiden AS, Joe Biden; Perdana Menteri UK, Boris Johnson dan rakan sejawatannya dari Australia, Scott Morrison, kelmarin.

Sementara nama China tidak dise­but secara langsung, ketiga-tiga pemimpin itu berulang kali merujuk kepada masalah ke­selamatan wilayah yang mereka katakan telah ‘berkembang de­ngan ketara’.

“Ini adalah peluang bersejarah bagi ketiga-tiga negara, dengan sekutu dan rakan yang berpikiran sama, untuk melindungi nilai bersama dan mempromosikan keamanan dan kemakmuran di wilayah Pasifik,” jelas kenyataan bersama pemimpin berkenaan.

Menurut penganalisis, AUKUS mungkin pengaturan keselamatan paling penting antara ketiga-tiga negara sejak Perang Dunia Kedua.

“Ini menunjukkan ketiga-tiga negara memu­lakan garisan baharu melawan gerakan agresif (China),” kata Guy Boe­kenstein dari Asia Society Australia.

AS TAMBAH TENTERA
Dalam pada itu, Australia memaklumkan, lebih ramai tentera AS akan ditempatkan untuk penugasan di negara itu.

Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton berkata, Canberra sudah bersedia mene­rima lebih ramai tentera laut AS untuk penugasan secara bergilir-gilir melalui Darwin.

“Kita mempunyai aspirasi memastikan bilangan tentera terbabit bertambah. Keupayaan udara dan maritim serta kedudukan pasukan akan ditingkatkan.

Dutton menegaskan, Indonesia, Vietnam dan Korea Selatan sebagai rakan strategik Australia di Pasifik.

PERAIRAN NATUNA DIANCAM?
Sementara itu, di sebelah pihak Indonesia pula, mereka meningkatkan kawalan di kepulauan Natuna di Laut China Selatan selepas kapal AS dan China dikesan berhampiran perairan antarabangsa.

Lapor al-Jazeera, Komander Armada Barat Angkatan Laut Indonesia, Arsyad Abdullah berkata, lima kapal tentera laut dibantu unit rondaan udara dikerahkan ke Laut Natuna Utara untuk mengawal kawasan berkenaan.

“Kedudukan tentera laut sa­ngat ‘tegas’ dalam melindungi kepentingan nasional di wilayah Indonesia untuk memastikan tiada toleransi terhadap pencerobohan,” katanya.

Pada 2017, Indonesia menama­kan semula wilayah utara zon ekonomi eksklusifnya di Laut China Selatan sebagai Laut Natuna Utara, sebagai sebahagian daripada penentangan terhadap cita-cita wilayah maritim China.

KETEGANGAN CHINA-JEPUN
Terdahulu, Jepun menetapkan ‘garis merah’ di sekitar kepulauan yang dituntut China.

Dalam temu bual eksklusif CNN, Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi berkata, Kepulauan Sensaku, dikenali sebagai Pulau Diaoyu di China, adalah wilayah Jepun dan akan mempertahankannya.

Untuk itu, Jepun memperluas angkatan pertahanannya di wilayah berkenaan.

“Menentang tindakan China di Kepulauan Senkaku dan bahagian lain di Laut China Timur, kita harus menunjukkan Jepun dengan tegas mempertahankan wilayah kita,” jelas Kishi.

Oleh: WARTAWAN LUAR NEGARA

Saturday, September 18, 2021

Pengotor! Pengotor! Pengotor! Itulah Sikap Sebahagian Rakyat Malaysia

Pantai dijadikan `tong sampah’

PETALING JAYA: Pengotor! Mung­­kin itu ungkapan paling tepat untuk menggambarkan sikap sebahagian rakyat Malaysia yang mencemari pantai, tasik dan air terjun di seluruh negara selepas dibenarkan untuk kembali be­riadah.

Kawasan riadah yang kembali bersih ketika tempoh pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mula dicemari sam­pah-sarap terutama sisa ma­kanan, lampin pakai buang bayi dan puntung rokok.

Keadaan menjijikkan itu bo­leh dilihat di semua pusat pela­ncongan dan rekreasi di seluruh negara yang dibuka semula sejak minggu lepas.

Tinjauan Utusan Malaysia di pantai di beberapa negeri mendapati kawasan itu seolah-olah menjadi ‘tong sampah’ kepada pengunjung.

Di KEDAH, sikap pengunjung yang dikatogerikan dalam kumpulan pengotor meninggalkan sampah merata-rata sehingga mencacatkan pemandangan di kawasan peranginan di Pantai Merdeka di negeri itu sangat me­ngecewakan.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila monyet menyelongkar tong-tong sampah yang diletak­kan pihak berkuasa tempatan untuk mencari makanan hingga menjijikkan lagi pemandangan di pantai itu.

endapati kira-kira 20 tong sampah disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sepanjang pantai itu namun ada pengunjung bagaikan tidak nampak dengan terus membuang sampah ikut sesuka hati.

Seorang pengunjung dari Sungai Petani, Norshuhaida Muhammad Ali, 44, berkata, Pantai Merdeka masih bersih tetapi jika tidak dikawal, sampah yang dibuang pengunjung akan mencatatkan pemandangan.

Namun, katanya, PBT kena menyelesaikan masalah monyet liar dari kawasan hutan berdekatan daripada mencari makanan dalam tong-tong sampah di situ.

Di PERAK, tinjauan menemui lampin pakai buang bayi dibuang begitu sahaja di pantai Ban Pecah, Tanjung Piandang dekat Parit Buntar.

Selain itu, turut ditemukan sisa makanan, sampah plastik, bekas botol plastik dan bekas makanan di merata tempat.

Sementara itu, di Pantai Teluk Batik di sini pada zahirnya kelihatan bersih tetapi ketika tinjauan menemui sampah kecil seperti puntung rokok, penyedut minuman dan cebisan tisu yang dibuang di atas tanah di kawasan tempat duduk konkrit yang disediakan di kawasan peranginan itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, masalah sampah kecil seperti puntung rokok dan lain-lain adalah disebabkan sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

Di MELAKA, sikap sesetengah pengunjung membuang dan meninggalkan sampah di merata-rata di Pantai Klebang di sini menjejaskan imej pusat tumpuan ramai itu.

Lebih 15 tan sampah dikumpulkan setiap hari khususnya pada cuti hujung minggu, kerana masyarakat sudah bebas menjalankan aktiviti di situ, memandangkan Melaka sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pekerja SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Azman Abdul Aziz meluahkan kecewa dengan sikap segelintir pengunjung yang pengotor meninggalkan sampah selepas beriadah.

Katanya, paling banyak dibuang secara merata-rata adalah sisa makanan termasuk bungkusan makanan dan minuman.
Azman memberitahu, tidak terkecuali lampin pakai buang, botol plastik dan kaca, puntung rokok, tisu serta kertas.

Lebih mengecewakan, kata beliau, segelintir peniaga kenderaan saji (food truck) sendiri tidak membuang sisa makanan ke tempat pembuangan sampah disediakan.

Di NEGERI SEMBILAN, kebanyakan pantai-pantai di Port Dickson kini ibarat pusat pembuangan sampah selepas pantai-pantai di negeri itu dibuka kepada orang ramai sejak hujung minggu lalu.
“Selepas berbulan-bulan di­tinggalkan sepi, persekitaran di semua pantai di negeri ini bersih namun kini ia kembali tercemar dengan bekas-bekas makanan dan minuman serta pelitup muka,” kata beliau.

Seorang pengunjung, Mohd. Hazmi Abd. Halim, 37, dari Nilai, Seremban berkata, dia terkejut melihatkan terdapat banyak sampah ketika bersiar-siar di pantai Bagan Pinang tiga hari lalu.

“Memang menyakitkan mata, jadi saya turut bantu mengutip sampah-sampah di sini. Sayang kalau keindahan pantai dicemari dengan pemandangan begini, orang ramai sepatutnya membantu menjaga alam sekitar, kebenaran sudah diberi untuk melancong tapi sikap tidak berubah,” katanya.

Di PAHANG, tinjauan di beberapa lokasi pantai yang menjadi tumpuan didapati kawasan itu mula dicemari dengan longgokan sampah.

Banyak sampah seperti plastik bungkusan, bekas makanan dan minuman kertas, malah lampin pakai buang ditinggalkan.

Seorang pengunjung, Ainatun Nadrah Nordin, 30, berkata, sejak kerajaan membenarkan aktiviti rekreasi dan riadah, lokasi tumpuan awam terutama di kawasan pantai mula kotor dengan sampah seperti bekas makanan dan minuman.

“Walaupun ada tong sampah namun pengunjung ‘malas’ atau tong sampah itu sudah terlebih muatan. Paling banyak dibuang merata pinggan dan cawan kertas serta plastik bungkusan makanan,” katanya ketika ditemui di Pantai Batu Hitam semalam.

Di TERENGGANU, keindahan pantai-pantai di beberapa daerah negeri ini dicemari longgokan sampah yang ditinggalkan pengunjung selepas selesai aktiviti rekreasi di kawasan berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pantai Pandak di sini mendapati, walaupun kemudahan tong sampah disediakan tetapi sisa plastik dan bekas makanan tetap dibuang merata-rata terutama di kawasan lapang.

Lebih menyedihkan apabila sebahagian besar kawasan lapang yang ditumbuhi lalang di situ dijadikan tong sampah oleh orang ramai. – UTUSAN

Akan Adakah Peniaga Tamak `Mengambil Kesempatan' Atas Alasan Pandemik Covid-19

Jangan tutup lagi Langkawi

LANGKAWI: Penggiat industri pelancongan di sini akan menanggung kerugian lebih besar se­kiranya projek rintis gelembung pelancongan gagal sehingga mengakibatkan pulau itu ditu­tup sekali lagi.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Langkawi (PPIL), Mohd. Ali Selamat berkata, pihaknya percaya penggiat industri itu akan ‘gulung tikar’ dan tidak mampu bangkit sekiranya pulau legenda itu ditutup buat kali kedua kerana pandemik Covid-19.

Menurutnya, kebanyakan peng­giat industri di pulau peranginan itu telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memulakan perniagaan masing-masing.

Katanya, mereka sekarang ternanti-nanti limpahan ekonomi daripada kemasukan pe­ngunjung setiap hari.

“Mereka mahu kerajaan kekal membuka Langkawi kepada pelancong walaupun kes Co­vid-19 menunjukkan peningkatan selepas mengambil langkah berani melaksanakan gelembung pelancongan di pulau ini .

“Penggiat industri meng­harap­kan penutupan ge­lembung pelancongan di Phu­ket, Thailand selepas peningkatan kes Co­vid-19 tidak akan berlaku di Langkawi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagaimanapun Mohd. Ali berkata, pihaknya menaruh keyakinan projek rintis itu akan berjaya sekiranya pelancong, penggiat industri dan penduduk saling bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Malah, tambahnya, keputusan mewajibkan pelancong melakukan ujian pengesanan Covid-19 di lapangan terbang dan terminal feri sebelum memasuki Langkawi adalah langkah tepat dalam membendung penularan wabak di pulau ini.

“Pihak penguat kuasa juga perlu ditambah dalam memastikan orang ramai mematuhi SOP di lokasi tumpuan pelancong,” jelasnya.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, lima kes positif Covid-19 dikesan selepas saringan dijalankan melalui ujian RTK-Ag melibatkan individu yang ingin masuk ke Pulau Langkawi.

Menurutnya, kesemua kes positif yang dikesan merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala dan telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari. – UTUSAN

Adakah PBT Juga Tidak Menyukai Bahasa Dan Identiti Melayu...

Tanpa kerjasama PBT pasti sukar

SAYA bersetuju dengan pandangan Guru Kampungan Melaka dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertajuk Tolonglah martabatkan bahasa Melayu pada 8 September lalu.

Saya berpendapat, agensi yang paling layak untuk bertindak dalam mengangkat martabat bahasa Melayu adalah melalui kuasa yang diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri melalui bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Daerah.

Tanpa tindakan PBT, agak sukar bagi pihak swasta atau kerajaan khususnya syarikat pengiklanan dalam mematuhi segala arahan yang telah kerajaan putuskan mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam memartabatkan bahasa ibunda.

Sehingga hari ini, kita masih melihat iklan-iklan yang terang-terangan mengabaikan bahasa Melayu dan tulisan Rumi.

Oleh: DZANMUO, Bakri, Muar

Friday, September 17, 2021

Perlukah Reset Malaysia?

HARI ini kita menyambut Hari Malaysia. Penantian Hari Malaysia amat bermakna bagi satu konsep politik Keluarga Malaysia.

Perpaduan yang mencerminkan ciri ke-Malaysian menggambarkan pendirian sebenar rakyat hari ini adalah jauh sekali lagi. Untuk merealisasikan perpaduan Keluarga Malaysia, memerlukan satu daya pemikiran perubahan ke arah pembentukan sebenar satu Keluarga Malaysia yang lebih mampan dan jitu.

Ini bermakna perpaduan yang perlu reset adalah berfalsafahkan penyatuan dan tolak ansur dalam keadilan sosial. Penyatuan ini bersifat terangkum dengan kepelbagaian antara masyarakat Melayu, masyarakat bumiputera Sarawak dan Sabah dengan masyarakat bukan Melayu.

Malahan penyatuan ini juga mempunyai ciri inklusif antara perpaduan komponen yang menggambarkan komponen kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak dan Sabah. Melalui keterangkuman penyatuan ini dapat menggambarkan suasana kestabilan dan keharmonian dalam hubungan sesama masyarakat tersebut bagi membangunkan sosioekonomi negara yang sedang menghadapi krisis.

Malahan tolak ansur dalam perpaduan Keluarga Malaysia mampu merungkai sebarang keretakan dan ketidakpercayaan dalam pembahagian kek ekonomi dan tugas mengurus tadbir negara ini. Tanpa ada tolak ansur, integrasi perpaduan yang digunakan sejak zaman Pakatan Harapan, kemudian PN akan menghalang kekuatan falsafah penyatuan yang terangkum dan inklusif.

Bagi merealisasikan konsep penyatuan dalam perpaduan Keluarga Malaysia adalah bermula dengan langkah mengasimilasikan dan bukan dengan mengintegrasikan.

Asimilasi ini perlu berpegang kepada satu bangsa dan satu budaya matang bersosialisasi. Amalan budaya sosialisasi matang dan sejahtera adalah melihat sudut positif bagaimana ke arah penyatuan demi kepentingan hasrat rakyat supaya suhu perpecahan dalam keadilan sosial negara ini akan reda.

Perpaduan Keluarga Malaysia juga perlu berkonsepkan integriti dan akauntabiliti agar masyarakat Keluarga Malaysia dilihat dengan persepsi positif. Keberadaan rakyat hari ini adalah sebahagian besar masanya dalam media sosial. Jaringan media sosial di negara ini sudah berkembang dengan matang dan mampu menilai apakah yang dibuat oleh setiap netizen hari ini.

Ini bermakna media sosial rakyat sentiasa membicarakan setiap tindakan dan keputusan yang mencerminkan perpaduan Keluarga Malaysia. Jadi, ini memerlukan satu promosi dalam setiap tindakan keputusan kerajaan dalam hal perpaduan Keluarga Malaysia dilihat baik pada mata rakyat walaupun pahit untuk kepimpinan kerajaan.

Promosi ini perlu telus, integriti dan akauntabiliti agar tidak dibicarakan dengan tanggapan persepsi kurang baik dalam media sosial rakyat.

Perpaduan Keluarga Malaysia juga perlu saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Kelemahan yang ada dalam kepimpinan kerajaan memerlukan kelengkapan kepimpinan masyarakat dalam erti kata perpaduan nilai hubungan. Begitu juga kekurangan yang ada dalam kepimpinan kerajaan dan masyarakat perlu dilengkapi dengan bantuan kepimpinan masyarakat madani.

KOTAK PEMIKIRAN

Perpaduan Keluarga Malaysia hari ini perlu melangkaui garisan kotak pemikiran kebiasaan agar dilihat luar biasa supaya mampu memikul amanah rakyat dan negara.

Bukan sebarangan yang boleh dilantik dalam mengeluarkan kaca mata konsep kebiasaan yang berada dalam benak pemikiran rakyat hari ini.

Rakyat hari ini lebih berani mengkritik secara terbuka berbanding sebelum ini. Namun, apa yang diperlukan adalah jentera kerajaan mencernakan kritikan ini dengan konsep luar biasa agar rakyat kembali yakin kepada neraca perpaduan yang diset semula. Bukan mudah tetapi boleh direalisasikan jika ada keyakinan untuk menghadapi sebelum terlambat. Menghadapi dengan sifat rendah diri dan memperbetulkan apa yang tidak betul dilihat lebih baik daripada impak buruk nanti.

Jadi, untuk melihat keseriusan kerajaan yang sudah bersedia dengan konsep luar biasa dalam mengatur semula perpaduan, kepimpinan kerajaan perlu mengutamakan keadilan sosial daripada kepentingan politik dalam suasana menyelesaikan tiga krisis yang sedang melanda negara hari ini iaitu kesihatan, ekonomi dan politik.

Sokongan dan kerjasama erat antara pemimpin politik dan pemimpin lapisan negeri dalam hubungan simbiotik mampu mengharungi dan menyelesaikan ketiga-tiga krisis tersebut. Ini amat penting dalam matlamat mengeset semula perpaduan yang menjurus kepada keadilan sosial.

Hubungan simbiotik yang saling bergantungan antara pemimpin politik dan pemimpin lapisan negeri diperkasakan dengan lebih kerap turun padang dan mendengar keluhan rakyat yang jauh daripada perhubungan sedia ada dengan kedua-dua kepimpinan kerajaan tersebut.

Perpaduan Keluarga Malaysia yang berjaya adalah berteraskan sikap positif hubungan simbiotik antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Tidak perlu ada dua darjat dalam hubungan tersebut walaupun berlainan kepartian. Ini untuk memperlihatkan ketersediaan kerajaan Pusat dalam memberikan sebarang bantuan dan khidmat nasihat demi kepentingan rakyat. Amalan sebegini yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu perlu diperkasakan agar tiada kerajaan negeri yang ditinggalkan dalam usaha mengeluarkan Malaysia daripada ketiga-tiga krisis tersebut.

Perpaduan Keluarga Malaysia perlu bersifat menjiwai dan mengasihani kehendak setiap lapisan rakyat tanpa meninggalkan sesiapa pun. Konsep yang digunakan semasa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diteruskan kerana rakyat terkesima dengan konsep no one is left behind. Ini amat penting dalam membina semula sistem keadilan sosial bertunjangkan perpaduan asimilasi bagi pembentukan nilai jati diri negara ini,

Oleh: Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dan
          Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah

Thursday, September 16, 2021

Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia Kena Saman Isu Kedaulatan Pulau Batu Puteh

Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia dicabar di mahkamah kerana menarik balik permohonan negara pada tahun 2018 untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyatakan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura

Warganegara Malaysia Mohd Hatta Sanuri memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Mei, dengan menyenaraikan perdana menteri (yang tidak bernama) dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Pada saat pemfailan saman pada bulan Mei, jawatan perdana menteri masing lagi disandang Muhyiddin Yassin. Namun, bulan lalu, dia mengundurkan diri dan Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia.

Pada akhir Mei 2018, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kerajaan PH pimpinan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ, yang merupakan mahkamah tertinggi PBB.

Kerajaan Singapura dilaporkan "gembira" apabila Malaysia telah memberitahu ICJ pada 28 Mei tahun itu pihaknya akan menarik balik permohonan semakan itu.

Pulau berbatu itu dengan ukuran tidak lebih dari separuh padang bola - dikenali sebagai Pulau Batu Puteh di Malaysia dan Pedra Branca di Singapura. Ia terletak kira-kira 15km dari pantai selatan Semenanjung Malaysia.

Menurut salinan writ saman yang dilihat oleh Malaysiakini, plaintif Hatta, 45, berkata tuntutan yang difailkan di mahkamah itu untuk dirinya sendiri dan 32 juta warganegara Malaysia yang lain.

Menurutnya, semua rakyat Malaysia menerima akibat tindakan secara sepihak daripada defendan menarik balik permohonan semakan ICJ tanpa terlebih dahulu membentangkan dan membincangkannya di parlimen.

Hatta mendakwa kerajaan sehingga kini belum memberikan penjelasan kerana menarik balik permohonan semakan ICJ berdasarkan bukti-bukti baru yang menyokong pihak Malaysia dalam usaha menuntut kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Puteh.

"Ia adalah sangat tidak adil bagi plaintif apabila semakan semula itu ditarik balik begitu sahaja tanpa sebab atau penjelasan, seolah-olah isu tuntutan Pulau Batu Puteh ini merupakan sesuatu perkara yang remeh dan boleh dilepaskan atau dilupakan begitu sahaja sedangkan ia melibatkan kedaulatan negara Malaysia ini.

"Plaintif selaku rakyat serta semua 32 juta lebih rakyat Malaysia lainnya berhak mendapatkan penjelasan mengapa keputusan menarik diri daripada semakan keputusan dan tidak meneruskan prosiding yang dimulakan sebelum ini yang dibuat secara unilateral dan senya-senyap tanpa sebarang perbahasan atau perbincangan umum dengan semua rakyat Malaysia sebelum keputusan (tarik balik kes) dibuat,” kata Hatta dalam tuntutan samannya.

Plaintif antaranya memohon mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan memberikan penjelasan bertulis mengenai alasan penarikan permohonan semakan ICJ dan untuk pengisytiharan bahawa mereka telah cuai dan melanggar kepercayaan semua warganegara Malaysia.

Pampasan RM10 juta
Hatta meminta pengisytiharan agar defendan membayar sekitar RM10 juta ganti rugi (atau berdasarkan pertimbangan mahkamah selanjutnya) kepada warganegara Malaysia, yang dihitung berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan kerugian ekonomi yang ditanggung oleh semua rakyat Malaysia, termasuk kepada dirinya.

Dia juga meminta perintah mahkamah, antara lain, supaya defendan mendedahkan secara terperinci jumlah kos yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menyiapkan permohonan semakan ICJ pada 3 Februari 2017 sehinggalah ke saat para defendan tiba-tiba menarik balik permohonan tersebut seperti yang disahkan oleh ICJ pada 1 Jun 2018 .

Melalui Memorandum Kehadiran yang diajukan pada 26 Ogos dan dilihat oleh Malaysiakini, Jabatan Peguam Negara (AGC) mewakili pihak defendan dalam kes tuntutan saman ini.

Menurut senarai kertas kausa dalam talian di ecourtservices.kehakiman.gov.my, perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes dalam talian di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Isnin minggu depan.

Hatta diwakili oleh firma guaman Tetuan Mohaji, Hazury & Ismail.

UEC Akan Jadi Penyebab ‘Mereka’ Lebih Angkuh

SUASANA hari ini perlukan keinsafan yang tinggi dari kita semua. Suasana yang sangat perlu untuk kita memperbanyakkan ibadah, doa dan muhasabah.

Negara kita masih dalam suasana kecelaruan politik yang tidak berkesudahan.

Mari kita insafi dengan melihat kepada jawapan Saidina Umar Al-Khattab, apabila ditanya tentang satu soalan kepadanya. (rujuk dalam Kitab Muntalaq, bab Golongan Baik Yang Binasa).

Apakah sebuah negara bisa hancur dan binasa sedangkan negara itu sedang makmur?

Jawapan Saidina Umar ini sangat yang perlu kita jadikan pengajaran.

“Ya, negara yang makmur akan hancur apabila orang-orang jahat daripada penduduk negara tersebut mengatasi orang-orang yang baik. Tunggulah masa kehancurannya.”

Inilah sebab-sebab berlakunya segala kemusnahan dan penyakit yang paling merbahaya.

Jika negara dikuasai oleh golongan fujjar, orang yang melakukan kejahatan, orang yang berkepentingan hawa nafsu, berkepentingan parti dan berkepentingan dirinya tunggulah masa kehancurannya.

Apabila orang zalim atau fasik berkuasa dan menjadi pemimpin, dia akan melantik mereka yang sama jahat dan fasik sepertinya untuk mengurus sesuatu urusan. Orang yang jahat selalu tertipu dengan tawanan nafsunya lalu tertutup pintu hatinya. Malah mereka akan lalai dari mendatangkan kebaikan kepada bangsa dan negara sendiri.

Sikap tidak kisah apa yang berlaku kepada orang lain dan generasi akan datang demi semata-mata menjaga kepentingan parti politik dan kepentingan peribadi adalah bunga-bunga sebuah kehancuran.

Jika kita singkap kembali sejarah, tentera Tartar masuk memusnahkan Baghdad, saat itu bukan ketika negara Islam lemah dan miskin.

Allah SWT sangat sayang kepada orang beriman, kepada sebuah negara Islam. Jika kefasadan melata, rasuah berleluasa, kezaliman bermaharaja akan rosak masyarakat dan akan hancurlah negara.

Solusi kepada masalah dalam negara kita ini adalah sangat perlu ada orang benar-benar beriman dan mencintai Allah bangun memperbaiki dan menjaga watan berdaulat ini.

Zalim bagi seorang pemimpin, jika hanya kerana menjaga kepentingan parti, kerana mengekalkan kerusi, UEC yang merosakkan negara diiktiraf.

UEC akan menyebabkan kaum Cina lebih angkuh, semakin jauh dari mencintai negara, semakin tidak menghormati dan menghayati sejarah sebenar watan ini, dan semakin sukar mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menyatukan seluruh rakyat.

Sangat wajar seluruh rakyat dan pemimpin yang cintakan watan ini bersatu menolak UEC tanpa kompromi. Bersatulah wahai seluruh bangsaku demi masa depan generasi di tanah air berdaulat ini.

Oleh: Kaslawati Kassim

Hanya Satu Perayaan Bulan Kebangsaan?

2021 merupakan tahun ke-58 penubuhan Persekutuan Malaysia. Gagasan penggabungan wilayah Nusantara tertentu iaitu Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara, iaitu nama lama untuk Sabah disuarakan seawal 1887 oleh British untuk membentuk tanah jajahan yang besar.

Ia disuarakan semula oleh mereka pada 1942 dan 1955. Namun, ia tidak mendapat sebarang sambutan. Ia hanya diterima pada 1961 untuk direalisasikan apabila disuarakan oleh Persekutuan Tanah Melayu.

Beberapa faktor diutarakan sebagai pewajaran penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963 menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu yang sudah merdeka dengan Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. Antaranya untuk mengukuhkan ekonomi secara bersama, menjaminkan keadaan politik lebih stabil lagi selamat ekoran ancaman komunis, jalan pintas untuk kemerdekaan wilayah yang masih dikawal British dan mengeratkan hubungan antara kesemua wilayah ini.

Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan penggabungan lima wilayah ini bersekali dengan Brunei yang menarik diri adalah penyatuan semula wilayah Nusantara untuk mengukuhkan solidariti Nusantara yang teruk terjejas. Kalaupun tidak, hilang seketika akibat penjajahan British dan Belanda.

Walaupun bertujuan murni untuk bersekali semula, ia mendapat tentangan hebat daripada wilayah Nusantara lain biarpun serumpun sebagai Kepulauan Melayu. Dalam hal ini, Filipina menuntut Sabah bagi pihak waris Sultan Sulu yang pernah memerintah di sana. Indonesia pula membantah keras dengan mengumumkan permusuhan ke atas Malaysia.

ANTIKLIMAKS
Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun yang lebih meriah perayaannya di Sabah dan Sarawak antaranya hendaklah diraikan dalam konteks solidariti Nusantara ini di seluruh Malaysia. Sehubungan itu, Semenanjung yang baru sahaja meraikan Hari Kemerdekaan dua minggu sebelumnya dengan meriah sekali saban tahun didapati tidak menyambut Hari Malaysia dua minggu kemudian semeriah Hari Kemerdekaan.

Ini tidak sepatutnya berlaku tetapi dapat difahami bahawa Hari Malaysia semacam antiklimaks setelah perayaan Hari Kemerdekaan. Namun, ia hendaklah tetap diperingati di Semenanjung untuk bersama-sama menjulang semangat solidariti Nusantara dengan Sabah dan Sarawak yang meraikannya melalui perayaan besar-besaran di sana.

Ini merupakan status quo tentang sambutan Bulan Kebangsaan kita, iaitu dua peristiwa penting negara diraikan dalam tempoh dua minggu antara satu sama lain diperingati secara bersama di seluruh negara tetapi dikendalikan secara berlainan oleh Semenanjung sahaja untuk Hari Kemerdekaan dan Sabah atau Sarawak secara bergilir bagi satu Malaysia untuk Hari Malaysia.

Dari satu segi, cara begini bukan sahaja saling melengkapi, ia juga memperlihat persefahaman baik lagi utuh antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

PSIKOLOGI
Sehubungan dua perayaan negara dalam tempoh sesingkat dua minggu, pernah ada cadangan agar dipilih hanya satu daripada dua tarikh keramat ini, sama ada 31 Ogos atau 16 September untuk kita raikan secara bersama-sama sekali gus besar-besaran di segenap pelosok negara sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Gagasan begini baik sekali dalam pengertian keukhuwahan sebagai kesatuan satu entiti sahaja adalah lebih bagus dari segi psikologi berbanding dengan kesatuan dua entiti.

Dalam hal ini, tarikh yang diputuskan itu hendaklah diterima baik walaupun ia mungkin tiada kesignifikanan langsung dengan wilayah tertentu dalam Persekutuan Malaysia. Dalam hal ini, kita boleh mengambil contoh Amerika Syarikat terdiri daripada 50 negeri yang masing-masing mempunyai tarikh kemerdekaan sendiri. Namun atas satu semangat kenegaraan, tarikh 4 Julai dipersetujui semua negeri.

Semangat terus bergerak sebagai satu komuniti nasional yang bersatu dalam semua bidang, sama ada kecil mahupun besar adalah amat penting bukan sahaja untuk memperlihat tetapi memupuk integrasi nasional. Dengan adanya semacam pengasingan dalam konteks perayaan Hari Malaysia yang tidak disambut meriah oleh semua wilayah di dalam Persekutuan Malaysia, ia memang satu pemisahan fizikal yang ketara dari satu segi lain.

Berkenaan pemisahan ini, persetujuan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung untuk mengenakan kawalan imigresen, tidak dapat dinafikan satu langkah pemisahan yang tidak baik untuk integrasi nasional, iaitu hubungan erat lagi mesra antara Semenanjung-Sabah-Sarawak.

Walaupun ia diwujudkan untuk pelbagai tujuan keselamatan, namun didapati sangat pelik oleh banyak pihak di luar Malaysia apatah lagi dalam negara sendiri bagi menyekat sesama warga senegara untuk bergerak dengan mudah ke mana-mana tempat di dalam tanah air yang dikongsi bersama.

MUHIBAH
Sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak memikirkan cara lebih muhibah bukan sahaja baik untuk semua yang bernegara dan senegara di bawah naungan Malaysia dalam pengertian nasionaliti Malaysia. Lebih penting lagi cara yang boleh menghentikan pemisahan yang semacam membahagi-bahagikan kita kepada Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti berasingan.

Selain itu, usaha untuk menaut tiga wilayah Malaysia ini boleh dimulakan dengan memilih hanya satu tarikh sebagai Hari Kebangsaan. Ia untuk diperingati sebagai hari rakyat negara berdaulat ini berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajahan di wilayah masing-masing dan hari negara tercinta ini ditubuhkan secara bersepakat dengan destini sepunya untuk kesejahteraan rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta kemakmuran semua wilayah Malaysia.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong