Gunalah nama bahasa kebangsaan
SETIAP pemaju hartanah dan perumahan wajar komited menggunakan bahasa kebangsaan bagi menamakan kawasan taman perumahan dan nama jalan.
Ini bagi membina identiti dan jati diri bangsa Malaysia yang berilmu dan sentiasa cintakan bahasa kebangsaan.
Usaha ini boleh dilakukan melalui kerjasama erat dengan pihak majlis perbandaran, majlis daerah dengan pemaju hartanah dan pemaju kawasan perumahan yang dibangunkan. Biarlah ia menggambarkan sejarah dan asal usul tempat yang sesuai dan menarik. Sebagai contoh, nama “Batang Berjuntai” sudah diubah kepada Bestari Jaya, di daerah Kuala Selangor yang lebih moden, sopan dan sesuai dengan budaya dan kesantunan bangsa.
Selama ini pihak pemaju lebih gemar dan berminat menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa asing bagi tujuan salah satu tarikan terhadap strategi pemasaran. Mungkin juga untuk menampakkan ada ‘kelas’ tersendiri. Tetapi sebenarnya mencemarkan bahasa dan budaya sendiri.
Mungkin sebelum ini tiada larangan khas atau khusus berkaitan menamakan kawasan perumahan atau taman perumahan. Kini pihak majlis perbandaran sudah ada pekeliling berhubung larangan penggunaan nama asing bagi projek perumahan, bangunan dan jalan yang akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Justeru, pekeliling tersebut antara lain bagi mengingatkan semua PBT di negara ini berkaitan garis panduan yang perlu dipatuhi untuk kelulusan permohonan bagi mamajukan kawasan perumahan dan juga nama jalan dan bangunan sebelum sesuatu projek itu dibangun dan dimajukan. Ketegasan dalam pelaksanaannya mestilah dilakukan.
Adalah lebih berkesan apabila pihak PBT bertegas menjalankan tugas dan tanggungjawab melaksanakan langkah menggunakan nama beridentitikan Malaysia dengan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan betul bagi nama kawasan perumahan, nama jalan yang dicadangkan.
Tidak rugi menggunakan nama beridentitikan Malaysia untuk memartabatkan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di mana sahaja dalam persekitaran kehidupan kita. Ia juga akan menggambarkan bangsa Malaysia yang cintakan bahasa dan budayanya pada setiap masa.
Bagi mendapatkan nama yang baik, tepat dan betul, pihak pemaju hartanah dan perumahan boleh merujuk kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sentiasa sedia memberikan khidmat berkaitan bahasa kebangsaan. Ia boleh dilayari melalui Khidmat Nasihat-Pusat Rujukan Persuratan Melayu@DBP-PRPM iaitu Khidmat Nasihat bahasa betul sama ada berkaitan ejaan, perkataan, istilah, nama dan terjemahan perkataan.
Semoga usaha memartabatkan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan yang akan dilaksanakan oleh semua PBT di seluruh negara kepada pemaju hartanah dan perumahan akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai ditegur oleh pihak tertentu apabila melakukan kesalahan sama. Jadilah bangsa yang sentiasa menghormati dan memartabatkan bahasanya.
Oleh: Dr. Aminudin Mansor
No comments:
Post a Comment