TUNGKARAN HATI
Wadah kecil pengumpulan ilmu, maklumat dan sebagainya untuk dikongsi bersama...
Tuesday, April 9, 2019
‘Bukan tukang sogok, gendang rebana’
HAIRAN dengan pendirian Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Walaupun budayawan itu dari sebuah parti kerajaan Pakatan Harapan (PH), pendirian Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu Negeri Sembilan itu dalam beberapa isu nasional semasa yang ‘berbahang’ kelihatan ‘tidak memihak’ kepada PH.
Berkesempatan bertemu Rais yang akan mencecah usia 77 tahun 15 April ini di Wisma Packer 195, pejabat guamannya di Jalan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur Selasa lalu, Tumpang membangkitkan ‘persoalan’ itu.
Rais yang berkhidmat di bawah enam Perdana Menteri (dua kali dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan dikira tujuh semuanya kerana pernah bekerja dengan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman, begitu berpengalaman luas antaranya sebagai Menteri Luar, Menteri Penerangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Bagi Tumpang, realitinya, mana-mana pemimpin adalah juga kuda lejang atau soldadu perjuangan rakyat. Maka, adalah elok pemikiran tahap tinggi Rais yang bernas, jitu dan mudah difahami ini Tumpang kongsikan dengan orang politik dan menteri-menteri kerajaan hari ini.
MENGAPA KRITIS?
Saya tak mahu jual ‘saya punya hal saya’ demi menyumbang kepada kesejahteraan negara dan bangsa. Kalau jawatan seseorang itu ‘dimandulkan’, ia sudah lari dari perjuangan asas tentang nilai. Juga hak asasi kita untuk memperbaiki keadaan.
Sebagai lama dalam sistem, saya tumpukan kepada soal-soal ketrampilan, integriti, isi jati tidak begitu tertarik dengan retorik mengampu. Saya tak terikat lagi dengan tukang sogok, tukang gendang rebana. Saya hendak orang Melayu berfikir.
BEZA HAK MELAYU DENGAN KAUM LAIN
Bagi rakyat Malaysia, hak mereka ada. (Cuma) hak Melayu jangan disentuh. Itu prinsipnya. Mengenai hak Raja-raja, hak istimewa Melayu dan bahasa kita (semua kaum) bersama, (isu-isu mempersoalkan) itu sudah selesai. Tidak boleh dibangkitkan lagi.
TAHAP INTELEK MELAYU
Intelek Melayu terlampau bergantung kepada imbuhan atau hal-hal berkaitan habuan, pangkat dan kedudukan. Mereka tidak berani seperti dahulu menyuarakan hal tertentu demi kebenaran, perjuangan dan keintelektualan mereka.
Kalau seseorang itu intelek atau yang berkuasa di menara gading atau seseorang yang namanya pemikir tetapi tidak berani menyanggahi perkara yang nampak tidak baik, itu sudah lari dari tanggungjawab asas seorang intelek.
TABIK PROF. TEO...MANA PROF. MELAYU LAIN?
Dalam dunia Melayu Malaysia, begitu ramai intelek Melayu. Tetapi apabila persoalan seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) timbul, kenapa cuma Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong muncul?
Mengapa tidak profesor-profesor lain. Ini sesuatu yang pelik. Apabila Prof. Teo muncul, saya angkat topi pada dia. Cuma dia bukan Melayu tetapi dia pula yang menentang UEC.
PERNAH DITEGUR TUN M?
Tidak pernah. Itupun saya sedia terima kalau teguran itu berpatutan. Jika tidak, saya akan beri hujah, balas balik. Tapi dalam soal di mana hal-hal (isu-isu) rakyat begitu banyak, menteri harus cepat membuat garapan.
Masa masih ada lagi. Masih ada tempat untuk kerajaan PH menjadi payung besar kepada rakyat dan juga parti Bersatu untuk mengolah pendekatan mereka mengikut manifesto yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Sebenarnya banyak yang telah PH buat untuk rakyat termasuklah peruntukan RM45 juta membiayai skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI untuk golongan suri rumah. Mengenai tol (hapus kutipan tol dari pukul 11 malam hingga 5 pagi), sudah ada sedikit perubahan.
Berkaitan dengan bantuan kemajuan syiar Islam (peruntukan RM1.2 bilion) dan elaun untuk petani dan nelayan pun semuanya ada rekod-rekod semenjak setahun ini yang sangat menggalakkan.
KEMENTERIAN PERLU AGRESIF?
Saya tidak nampak Kementerian Komunikasi dan Multimedia memainkan peranan-peranan yang jelas terhadap capaian-capaian yang telah dibuat oleh Dr. Mahathir. Padahal sudah banyak yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat.
Jangan harapkan media sosial. Saya bersetuju dengan Tun Daim Zainuddin iaitu kita jangan banyak ‘pukullah’ orang dari kerajaan terdahulu. Itu dunia sudah tahu. Bawa saja ke mahkamah. Tak payah lagi ‘gendang kecapi’ itu ini.
PRESTASI MENTERI?
Kurang ketrampilan. Saya harap para menteri tidak kecil hati. Mereka perlu membuat beberapa jentera bengkel iaitu cara dan kaedah sebagai anggota pentadbiran memahami undang-undang asas seperti akta dan fungsi menteri Tahun 56.
Juga, mengkaji kanun etika anggota pentadbiran yang dikeluarkan selain memahami hubungan antara penjawat awam dengan menteri di bawah Perintah Am.
MANFAATKAN INTAN
Selain itu, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara harus mengadakan kursus bagaimana menteri harus berkhidmat mengetuai sesuatu kementerian.
Saya nampak ini tidak dijalankan sekarang. Semasa Tan Sri Samsudin Osman sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) ada dibuat.
Saya sarankan KSN adakan kursus bengkel ini sebagai mekanisme mentadbir negara menerusi kementerian.
Misalnya ramai menteri tidak faham apa itu tender terbuka, tender terhad, sebut harga? Asas ini mesti difahami.
KISAH LAMA DI WISMA PUTRA
Saya masih teringat dalam mengendalikan sesuatu isu antarabangsa, Menteri Luar biasanya akan buat hubungan interpersonal terlebih dahulu. Berjumpa dahulu menteri sesama menteri dengan minum kopi, teh.
Saya dengan Menteri Luar Singapura sebelum ini, George Yeo setiap minggu kami ada perbincangan. Bila sudah buntu, baru kami pergi ke peringkat tinggi antara Perdana Menteri dengan Perdana Menteri.
Saya faham ini ada dibuat tapi terbaiknya dikhususkan Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina mesti ada hubungan istimewa hingga ‘angkat gagang telefon’ boleh bercakap.
LATIH DUTA BERBAHASA INGGERIS
Perkara kedua adalah melatih para duta kita dalam bidang bahasa Inggeris aras tinggi. Kebanyakan pegawai yang saki baki sekarang kurang capaian bahasa Inggeris mereka.
Dahulu Malaysia terkenal sebab kebolehan Menteri Luar kita beretorik, berhujah dan melapor menerusi bahasa Inggeris. Kita dihormati oleh Washington. Trend dihormati ini perlu dikembalikan.
HATRIK DI RANTAU?
Hatrik BN di Rantau? Semacam trend yang PH sudah nampak tulisan di dinding. Kata orang putih writing on the wall.
Sekiranya dalam PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih sudah berlaku, di Rantau lagilah sukar (untuk PH menang). Di Semenyih dulu PH menang 8,000 undi, sekarang defisit 1,900 undi. Di Rantau, berkemungkinan sebab manifesto PH belum terasa di peringkat bawah.
Mungkin persaingan calon PKR itu akan datangkan keputusan negatif kepada PH.
Sumber:
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment
Newer Post
Older Post
Home
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment