Isu ini paling ketara menyentuh tentang kos sara hidup. Apa yang sedang dihadapi oleh mereka bukanlah sesuatu yang dimomok-momokkan tetapi sebaliknya nyata dan benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian mereka.
Kos sara hidup yang tinggi membimbangkan mereka kerana terpaksa berbelanja dengan kadar yang tinggi pada setiap hari.
Tidak sebagaimana dahulu, nilai wang kini semakin kecil. Wang sebanyak RM50 kini tidak sebagaimana nilai wang RM50 yang boleh dibelanjakan 20 tahun yang lalu.
Serba serbi mahal dengan pelbagai bil yang perlu dibayar pada setiap bulan. Ada yang terpaksa meminjam untuk menampung kehidupan mereka. Pinjaman yang dibuat pula terpaksa dibayar bertahun-tahun lamanya sebelum dapat dilangsaikan.
Kos semakin tinggi bagi mereka yang memiliki keluarga besar dan menetap di bandar-bandar besar. Ramai yang ditakrifkan sebagai miskin bandar. Nilai pendapatan berjumlah RM5,000 di bandar-bandar besar lebih rendah berbanding berada di kawasan luar bandar.
Namun itu bukan bermaksud kos sara hidup di luar bandar tidak tinggi. Kosnya pun semakin tinggi. Ini jelas kelihatan apabila golongan yang menetap di luar bandar pun terpaksa menanggung pelbagai perbelanjaan seharian.
Bukan setakat untuk diri sendiri semata-mata tetapi juga melibatkan anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Jadi, ini secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap kualiti kehidupan seseorang.
Ketika ini, Finland dikelaskan sebagai negara paling bahagia di dunia. Dengan kualiti kehidupan yang amat baik dan kadar perbezaan taraf dan kemiskinan terendah dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), maka tidak menghairankanlah Finland berada pada kedudukan teratas negara bahagia.
Di Malaysia pula, menurut kajian oleh Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar (Murninets) pada tahun 2018, penduduk luar bandar dikatakan lebih bahagia berbanding penduduk bandar.
Meskipun penduduk luar bandar juga terasa tempias kos sara hidup yang semakin tinggi, tetapi mereka dikatakan lebih bahagia berbanding penduduk kawasan bandar.
Pengukuran kebahagiaan bukan semata-mata dari segi ekonomi tetapi juga kualiti alam sekitar, hubungan kekeluargaan, kesihatan, aktiviti komuniti, keselamatan dan lain-lain.
Sering kali kebahagiaan dikaitkan dengan kemampanan. Dalam hal ini, sesuatu aspek dalam kehidupan seseorang sewajarnya mampu berkembang dengan baik.
Misalnya, dalam aspek kesihatan dan pendidikan, setiap manusia mendambakan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang semakin baik. Dengan memperoleh kualiti perkhidmatan kesihatan yang semakin baik, maka mereka akan menjalani kehidupan seharian yang lebih positif, misalnya lebih produktif semasa bekerja.
Tidak kurang juga, dalam aspek mendapatkan akses sistem pendidikan yang berprestasi baik. Dengan berada dalam kehidupan semakin baik, maka secara tidak langsung kebahagiaan juga akan dapat dinikmati.
Justeru itu, ketika kita sedang berusaha untuk merealisasikan kehidupan bahagia, maka aspek kemampanan perlu diberikan penekanan terlebih dahulu.
Jika tidak, kebahagiaan hanya sekadar seronok untuk diucapkan sedangkan hakikatnya, tidak pula dirasai oleh kita tatkala menghadapi suasana kehidupan yang serba mencabar dewasa ini.
Oleh : Prof. Madya Rohami Shafie
No comments:
Post a Comment