Sunday, January 8, 2017

PBT Yang Tidak Amanah

SPRM tolong pantau PBT
SAYA ingin merujuk dakwaan oleh Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkaitan beberapa pusat judi haram yang beroperasi di sekitar Sekinchan dan beberapa kawasan lain di Selangor sejak beberapa tahun lalu,

Mereka yang tinggal atau bekerja di Selangor tentu perasan peningkatan mendadak pusat judi haram (kafe siber gelap), pelacuran (rumah urut) dan kedai-kedai menjual arak (kedai runcit) di negeri tersebut sejak kerajaan negeri beralih tangan pada 2008.

Saya tidak mahu berpihak kepada sesiapa atau menuduh mana-mana pemimpin politik menjadi ‘kepala’ kepada kebanjiran pusat maksiat ini tetapi saya berharap pihak berkuasa dapat bertindak demi kepentingan awam dan bukan kepentingan individu politik.

Kepincangan jelas berlaku sepanjang hampir 10 tahun pemerintahan baharu tetapi seolah-olah tiada langsung tindakan terhadap pihak pentadbiran khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) mengundang tanda tanya adakah mereka ini ‘kebal’?

Tanpa mengambil kira ideologi politik, saya melihat hanya pihak polis yang bertindak selama ini hasil aduan orang ramai terhadap pusat maksiat terbabit dan itu pun jika tiada campur tangan pemimpin politik.

Pihak PBT nampaknya lepas tangan sepenuhnya dalam hal-hal sedemikian sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) langsung tidak nampak ‘bayang’.

Saya harap kepimpinan baharu SPRM mengambil berat isu ini kerana kesannya berangkai dan boleh menjejaskan masa depan generasi pewaris negara.

Jika pihak PBT, SPRM, polis mahupun mana-mana pihak berkuasa lain perasan, tindakan Jamal disokong orang ramai sekalipun mereka tidak menyokong ideologi politiknya.

Ini menunjukkan orang ramai sudah muak dengan drama amaran ‘tindakan tegas’ sedangkan pusat maksiat semakin bercambah.

Pada tahap ini, rakyat Selangor cuma mahu pusat-pusat maksiat ini ‘dimusnahkan’ tidak kira oleh pihak berkuasa ataupun pihak lain.

Satu-satunya cara untuk mengekang sepenuhnya aktiviti jenayah ini adalah campur tangan SPRM dalam mengesan pegawai mahupun orang politik yang melindungi aktiviti maksiat di negeri tersebut.

Jika itu pun tidak boleh dilaksanakan, nampaknya rakyat hanya boleh meminta bantuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk ‘menjentik’ pihak berwajib agar bertindak.

Teruna Kacak
Gombak, Selangor

No comments:

Post a Comment