Sunday, January 22, 2017

Apa Dah Jadi Dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan...!

UniKL iktiraf UEC bagi syarat kemasukan

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa menjelaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke universiti tersebut.


Beliau berkata walaupun di bawah kendalian Mara, UniKL adalah institusi pengajian tinggi swasta yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerima permohonan pemegang sijil tersebut.

"Ramai yang terlepas pandang dan menyangka UniKL sebuah univesiti awam kerana ia di bawah Mara tetapi sebenarnya ia IPTS. Saya sudah periksa polisi UniKL dan sememangnya kita dibenarkan mengambil lulusan UEC dan pensijilan antarabangsa lain seperti O-Level," katanya selepas melawat Pusat Pembelajaran Permai di Ampang.

Justeru, Annuar menggalakkan lepasan UEC untuk memohon pelbagai jurusan yang ditawarkan oleh UniKL termasuk Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang menjadi fokus utama universiti itu.

"Semua lepasan UEC ini merupakan pelajar yang berkualiti dan kita harap penjelasan ini akan membuka mata mereka untuk melanjutkan pelajaran di UniKL.

Daripada pergi ke Taiwan dan negara lain, ambil peluang belajar di sini kerana kita ingin lihat kepelbagaian latar belakang," katanya.

Sijil UEC adalah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

KPT sebelum ini memaklumkan pengiktirafan sijil itu hanya terpakai sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta dan bukan universiti awam kerana kurikulumnya tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan.- www.malaysiakini.com

Kerajaan belum iktiraf UEC, tegas KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menegaskan pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) masih di peringkat perbincangan, belum dimuktamadkan.

Dalam kenyataannya, KPT memberi maklum balas sedemikian sebagai merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon yang dipetik sebagai berkata UEC akan diiktiraf 'tidak lama lagi'.

“Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh telah mengadakan pertemuan tidak rasmi, pada bulan Mac, dengan pelaksana UEC di Kuching untuk meninjau pandangan mereka dan membincangkan hal tersebut.

“KPT mahu menekankan bahawa dasar semasa masih diguna pakai, dengan UEC harus menerima syarat semasa kementerian untuk kemasukan ke dalam universiti awam,” jelas kementerian itu.

UEC adalah ujian standard untuk pelajar sekolah tinggi persendirian Cina anjuran Dong Zong, Gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM).

Semalam, gerakan penyokong sekolah satu aliran mengeluarkan kenyataan bagi membantah sebarang usaha untuk mengiktiraf UEC.

Pengerusi gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (SERAP), Shahril Hamdan menggesa Chong agar menjelaskan perkara itu.

“Kami menentang sekeras-kerasnya hal ini dan kami mahu Chong menjelaskan sama ada kenyataannya itu berdasarkan harapan sendiri atau sememangnya ianya telah dipersetujui oleh pihak kerajaan,” kata Shahril dalam kenyataannya.

Shahril, yang juga ahli majlis eksekutif Pemuda Umno berkata, Chong harus menyedari UEC tidak menggunakan kurikulum nasional dan telah menggunakan kurikulum Taiwan selain diuruskan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), berbanding kerajaan.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Sarawak secara prinsipnya bersetuju mengiktiraf UEC sebagai syarat untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam dan pusat pengajian tinggi awam negeri Universiti Malaysia Sarawak.

Langkah itu menjadikan negeri pertama mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh Sekolah-sekolah Menengah Bebas Cina (MICSS) itu.

Putrajaya sebelum ini tidak menerima UEC sebagai syarat untuk menyertai institusi awam, kerana ia dikatakan gagal mengikuti dasar-dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan.

No comments:

Post a Comment