BERAKHIRLAH sudah nama Stadium Putra yang dimasyhurkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum Sukan Komanwel 1998 berlangsung untuk memberikan laluan kepada Arena Axiata ekoran termeterainya perjanjian sepuluh tahun dengan peruntukan bernilai RM55 juta.
Keputusan itu seolah-olah nama Putra itu tiada apa-apa nilai sentimental kepada pihak yang mengubahnya sedangkan nama asal itu adalah sempena nama Bapa Malaysia dan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang telah menabur jasa tidak terkira banyaknya dalam pembangunan sukan negara, apatah lagi negara secara keseluruhannya.
Mat Sport cuba segarkan semula ingatan anda yang mungkin terlupa atau sengaja enggan mengambil tahu bahawa sejarahlah yang membentuk jati diri, asal-usul dan cara atau budaya hidup kita sekarang.
Tunku Abdul Rahman ialah Perdana Menteri pertama kita.
Almarhum juga merupakan anak Melayu pertama yang bergelar Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai 1958 hingga 1974; jawatan yang sebelumnya bertukar tangan daripada seorang Mat Salleh kepada Mat Salleh lain sebanyak lapan kali.
Tunku juga warganegara Malaysia pertama yang menerajui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 1958 hingga 1977 sekali gus mendorong langkah Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Sultan Ahmad Shah menyandang jawatan berkenaan masing-masing pada 1978-1994 dan 1994-2002.
Begitu besar jasa Tunku namun di mana lagi gelanggang sukan di Malaysia yang dinamakan sempena nama Almarhum selain Stadium Putra di Bukit Jalil itu?
Jangan salah faham! Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban dinamakan bersempena Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia. Ejaan Tuanku pun berbeza.
Adakah hanya wang ringgit yang mempengaruhi pertimbangan kita sekarang atau ‘only dollars and cents make any sense now’? Nilai sejarah dan jasa tokoh?
Mungkin bagi sesetengah pihak, hanya relevan bagi mereka yang hidup dalam zaman silam dan yang mahu dibuai oleh kenangan demi kenangan yang tidak berkesudahan.
Perlukah kita meniru Pusat Staples, Los Angeles; Arena 02, London atau Arena Mercedes Benz, Shanghai atau Arena Allianz, Munich dan Stadium Emirates, London milik Arsenal?
Kajilah mengapa gelanggang sukan berkenaan dinamakan sedemikian. Jika bukan kerana syarikat korporat itu melabur berbilion-bilion wang sejak pembangunan awalnya atau ketika kerja-kerja pecah tanahnya lagi, mana mungkin jenama mereka boleh dimasyhurkan sebegitu.
Apalah salahnya kalau nama Putra itu dikekalkan sekali dengan nama baharu yang berbunyi Arena Putra-Axiata. Janggalkah kalau begitu? Yang lama dilupa jangan, yang baharu kita majukan.
Bohonglah kalau hendak dikatakan wang itu tidak penting dalam hidup ini tetapi mengapa sehingga kita sanggup membuang nama negarawan kita ini.
Salah bagi sesiapa yang cuba berkata: “Apalah ada pada nama.” -
Oleh : Mat Sport
No comments:
Post a Comment