Sunday, November 15, 2015

Tun Mahathir Dan Dasar Luar Negara

Kenapa dasar luar (foreign policy) Malaysia di bawah Tun Mahathir penting demi survival negara - Oleh Wan Fayhsal
Tadi pagi saya dan rakan sempat hadir ke seminar "Malaysian Foreign Policy: Present and Future Trends" anjuran ICON Centre for Global Affairs di Carcossa Seri Negara.

Banyak pembentangan menarik berhubung dasar luar Malaysia - suatu tajuk yang amat jarang diwacanakan.

Saya sempat hadir ke sesi pertama yang dipengerusikan oleh tuan rumah Dr. Razak Baginda dengan menampilkan pembentang seperti Dr. Karminder (INTAN), Dr. Mustafa Izzudin (ISEAS) dan Cik Elina Noor (ISIS).

Sesi pertama membicarakan sejarah dan keadaan semasa dasar luar Malaysia yang selalunya dibicarakan melalui pembahagian fasa kepimpinan tertinggi negara (Perdana Menteri) daripad zaman Tunku Abdul Rahman sampailah ke zaman DS Najib.

Kita tahu zaman Tunku dan Tun Razak lebih kepada neutral dan berkecuali (walaupun Tunku pro-British lebih) dan yang menongkah arus dasar luar adalah Tun Mahathir dengan "Buy British Last", "Dasar Pandang Timur", dasar luar berpaksikan kepentingan "Islam dan Dunia Muslim" dan juga dasar kerjasama erat "Selatan-Selatan" (South-South Cooperation).

Selepas daripada zaman Tun Mahathir, dasar luar negara kata Dr. Karminder agak "ambivalent" yakni satu pemisahan daripada dasar luar Tun Mahathir yang mana hala tuju dan posisinya agak kabur. Ini kemungkinan kerana gaya dan sifat kepimpinan Tun Abdulah Badawi.

Di bawah DS Najib, para pembentang mengatakan ianya agak seimbang tapi ketika sesi soal jawab saya bangun dan berhujah bahawa dasar luar DS Najib lebih berat kepada Amerika berdasarkan bukti-bukti empirikal seperti pelantikan arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis sebagai duta bertaraf menteri, mendapat kerusi Majlis Keselamatan PBB, "Golf Diplomacy" dengan Obama dan banyak lagi.

Menilai isi pembentangan yang bernas daripada para pengkaji dan sarjana dasar luar Malaysia tersebut, aqal saya cuba menghubungkan keresahan, kerisauan dan cadangan Tun Mahathir berhubung keperluan adanya "Council of Elders" yang baru-baru ini heboh diperdebatkan oleh ramai pihak kononnya itulah alasan kenapa Tun Mahathir menyerang DS Najib.

Daripada itu saya cuba memahami realpolitik antarabangsa dan sosok Tun Mahathir dalam mencorak dasar luar Malaysia selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Para pembentang ungkapkan pelbagai jenis bentuk analisa tentang dasar luar Tun Mahathir yang dikatakan tidak demokratik, "microphone diplomacy" (kelantangannya) dan bermacam-macam lagi yang positif dan negatif tapi saya fikir ada sesuatu yang tidak terungkap akan kekuatan dasar luar Malaysia di bawah Tun Mahathir yang mana seperti dikatakan para pembentang, sebaik saja Tun Mahathir meninggalkan jawatan Perdana Menteri, kekuatan dasar luar tersebut turut luput bersama-samanya. Apakah kekuatan dasar tersebut?

"KEPERCAYAAN" (TRUST).
Dalam semua Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir ada satu kekuatan "Soft Power" yang tiada galang ganti oleh mana-mana pemimpin yang ada dan akan lahir di Malaysia dalam jangka masa sederhana kelak iaitu kemampuan Tun Mahathir untuk membina jalinan diplomatik atas dasar "kepercayaan" yang bersifat peribadi (personal), bukan menggunakan perkakas kenegaraan (state apparatus).

Kelebihan ini membolehkan Tun Mahathir mendapat akses kepada kemudahan diplomasi yang unik seperti mendapat akses kepada pelaburan ekonomi melalui PETRONAS di Sudan (jasa DS Anwar Ibrahim juga amat besar dalam hal ini kerana jaringan aktivisme Islam beliau di Timur Tengah), Vietnam, Timor Leste, dan banyak lagi negara dunia ketiga; mendapat bantuan ekonomi dan perdagangan daripada Jepun, juga dunia Islam. Kemampuan ini lahir sedikit sebanyak kerana dasar luar Tun Mahathir berhubung "prosper your neighbour" yang bersifat "win-win" untuk kedua belah pihak.

Tidak lupa juga jasa penting Tun Mahathir dalam Perang Bosnia. Semua ini mengukuhkan kedudukan negara di mata dunia yang menarik ramai negara-negara sedang membangun untuk menjadi rakan rapat (ally) dengan Malaysia yang selalunya diterjemahkan kepada keuntungan ekonomi dan politik.

Pendek kata, Tun Mahathir adalah "salesman brand Malaysia" paling unggul kerana kekuatan peribadinya yang dipercayai oleh ramai pemimpin dunia ketiga di Asia, Afrika dan Latin Amerika.

Bila Tun Mahathir tidak lagi memimpin negara, nama Malaysia masih harum dan dipercayai oleh negara-negara tersebut yang masih berbekas daripada diplomasi yang Tun Mahathir buat dahulu.

Ini sebenarnya adalah sumber kekuatan untuk kita terus "survive" dari segi ekonomi dan geopolitik

Maka pada hemat saya ketika negara kita berhadapan dengan cabaran ekonomi yang serius khususnya melibatkan penyusutan pendapatan negara daripada hasil minyak dan gas juga komoditi, Malaysia perlukan usaha diplomasi ekonomi yang ada "sentuhan peribadi" daripada Tun Mahathir untuk seperti contoh, membuka akses kepada pasaran di Afrika.

Hanya dengan perutusan surat atau panggilan telefon, Tun Mahathir mampu menyusun atur "high profile trade entourage" untuk negara - seperti contoh membantu PETRONAS masuk semula ke negara-negara Afrika yang kini banyak China yang kuasai.

Beza kita dan China ialah negara Afrika hargai nilai persahabatan kerana Tun Mahathir menerapkan dasar seperti contoh "affirmative action" membangunkan kapasiti kaum peribumi Afrika (contoh ialah ENGEN di Afrika Selatan) manakalah negara China menggunakan kekuatan "cash is king" untuk melabur dan membina infrastruktur.

Sentuhan halus dasar luar Malaysia di bawah Tun Mahathir lebih tulus dan kekal lama berbanding apa yang China buat kepada negara Afrika yang kini dipandang serong seperti ulang siaran dasar penjajahan kuasa Barat yang hanya "expropriate natural resources" (merampas sumber asli).

Bukan itu saja, Tun Mahathir berupaya membuka laluan diplomasi dengan negara kuasa besar seperti Russia (kerana Putin percaya kepada Tun Mahathir) untuk mengimbangi pergolakan di rantau kita antara China dan Amerika.

Di saat inilah sementara beliau masih hidup saya fikir Malaysia dapat susun semula dasar luar negara kita bagi membantu dasar dalam negara khusus melibatkan ekonomi dengan bantuan ilmu, pengalaman dan "networking" (jaringan) Tun Mahathir.

Saya tidak yakin dasar luar negara yang ada kini dapat bantu kita keluar daripada kemelut ekonomi dan politik yang amat mencabar kerana skandal 1MDB juga percaturan menteri kita yang agak pro-Washington dalam kemelut Laut Cina Selatan - semua ini menghakis kepercayaan negara-negara yang jadi rakan rapat dan rakan dagang kita yang utama seperti China.

Ini menyukarkan syarikat-syarikat negara kita untuk mendapat insentif istimewa seperti "credit facility" dalam perdagangan malah juga melibatkan pertahanan.

Kekuatan "soft power" Tun Mahathir yang masih berbekas pada negara akan beransur hilang kalau Tun Mahathir semakin dipinggirkan daripada politik negara.

Di saat kecemasan begini ianya adalah satu kebodohan untuk kita memperkecilkan kekuatan Tun Mahathir yang tidak ada pada mana-mana pemimpin politik baik UMNO atau Pakatan.

Kalau saya seorang Perdana Menteri, saya tidak akan teragak-agak untuk mendengar nasihat Tun Mahathir dan melantik beliau menjadi "Minister Mentor" seperti Lee Kuan Yew kerana kebolehan dan kekuatan "soft power" Tun Mahathir adalah unik dan tidak boleh dibeli daripada mana-mana jururunding (consultant). Mendiang Lee Kuan Yew juga punya kekuatan yang sama seperti Tun Mahathir dalam hal ini - seperti juga almarhum Sukarno yang terkenal dengan gerakan Pan Asia-Afrika.

Semoga Allah lanjutkan usia Tun Mahathir untuk selamatkan negara berbekalkan kudrat yang beliau masih mampu infaqkan seperti halnya "soft power" tadi khusus bagi memudahkan generasi pelapis pemimpin muda untuk mendepani cabaran dan kemelut politik, ekonomi dan geopolitik yang semakin mengganas kini. Amin.

No comments:

Post a Comment