Bukan Islam sahaja melarang penzinaan, agama lain pun diyakini berpendirian sama. Jadi, apa masalahnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak secara proaktif? Cukuplah semasa menghadiri majlis-majlis agama, berdegar-degar menyeru semua pihak agar mengikuti ajaran al-Quran dan Sunah. Tetapi pada masa lain pula menggalakkan budaya hedonisme iaitu yang mementingkan keseronokan hidup semata-mata. Rasanya pelbagai acara menyanggah firman Allah itu sedang bersusun-susun menunggu waktunya untuk dilaksanakan dalam kalendar pelbagai pihak pada masa ini, terutamanya apabila menjelang hujung tahun. Contohnya ialah sambutan tahun baharu, pasti hasil tuaian akan diperoleh dalam masa sembilan bulan akan datang!.
Penulis bukan sengaja hendak berleter. Tetapi percayalah krisis moral penduduk negara ini terutamanya yang bakal mengisi kepemimpinan negara pada masa hadapan berada dalam keadaan yang amat kronik. Ditegaskan bahawa ia bukan kecil terpencil, sekali gus dipandang mudah oleh sesiapa sahaja yang berbumbungkan langit Allah dan bermastautin pada bumi Allah.
Pendedahan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam baru-baru ini amat mengejutkan bahawa purata sebanyak 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes membabitkan remaja yang mengandung anak luar nikah. Secara purata terdapat 1,500 kes remaja mengandung setiap bulan iaitu 50 kes sehari di seluruh negara. Kemudiannya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyambut pendedahan itu dengan menyatakan kesediaan kerajaan untuk membantu dan melindungi kebajikan remaja mengandung anak luar nikah yang diabaikan oleh keluarga.
Persoalannya, selesaikah punca sebenarnya yang mendasari malapetaka remaja berzina dan melahirkan anak luar nikah ini? Semua pihak terutamanya kerajaan tidak dapat tidak perlu menutup segala pintu yang menjadi punca utamanya. Kembali kepada mukadimah di atas, kenapa penulis membangkitkan perasaan takut? Tidak cukupkah lagi dengan pelbagai musibah, bala bencana yang melanda negara ini? Belum cukup lagi amaran Allah ini?
Mengenai petaka ini Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Umatku akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana tidak tersebar pada mereka anak zina. Apabila anak zina tersebar pada mereka, maka hampir sahaja Allah akan menurunkan bala kepada mereka.” - Musnad Ahmad.
Penyembuhan kepada masalah yang amat teruk ini perlu dicari - ubatnya adalah pegangan agama kerana manusia yang bercerai jiwanya daripada agama tiada bezanya jika dibandingkan dengan binatang. Jangan cuba-cuba salahkan pihak tertentu, semuanya perlu bermuhasabah kerana setiap jiwa itu mempunyai peranan masing-masing.
Kepada penzina di luar sana, manfaatkan sekejap secebis otak yang dianugerahkan Allah untuk berfikir, tidak perlu lama, rasanya dua atau tiga minit sudah memadai untuk cuba memahami analogi ini. Sanggupkah anda membenarkan ibu, anak perempuan, adik beradik perempuan, ibu saudara dan sepupu serta cucu perempuan disetubuhi secara haram? Pasti jawapan daripada seorang manusia yang waras ialah tidak akan sesekali membenarkannya berlaku, malah mungkin sanggup mati untuk menghalangnya. Maka begitulah juga keadaannya dengan perempuan yang anda hajati untuk melakukan zina atau merogolnya kerana mereka semestinya mempunyai segala susur galur kaitan kekeluargaan seperti yang dinyatakan itu. Sebagaimana perasaan anda, begitulah juga perasaan mereka!
Oleh : Tarmizi Abdul Rahim
No comments:
Post a Comment