HARAM mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa dua maksud iaitu ditegah atau tidak dibenarkan oleh agama Islam; tidak halal dan ditegah atau dilarang oleh undang-undang; tidak sah. Apabila timbul isu berkaitan rokok elektronik atau vape baru-baru ini, ramai yang tertanya-tanya apa pilihan bagi perokok jika vape diharamkan. Persoaan itu timbul apabila ramai perokok sudah beralih kepada vape yang kononnya lebih selamat malahan tinjauan yang dibuat menunjukkan sesuatu yang positif menggunakan vape berbanding rokok. Jika vape diharamkan, apa cara untuk menghilangkan ketagihan? Kini vape tidak diharamkan. Yang kekal haram adalah rokok. Haram atau tidak, sebenarnya tidak memberi sebarang kesan kepada orang ramai. Jika sudah ada fatwa yang mengharamkan rokok (bukan setakat di Malaysia sahaja) kenapa masih ramai umat Islam merokok? Rokok seludup yang dalam status undang-undang juga haram tetapi dijual secara ‘gelap’ atau terbuka.
Kerajaan mengharamkan cetak rompak lagu atau filem tetapi gejala ini berleluasa melalui pelbagai medium. Samalah juga jika kerajaan mengharamkan vape. Adakah jika diharamkan, pengguna vape di tempat terbuka boleh ditangkap? Apakah jaminan kerajaan bahawa vape tidak akan diseludup? Jika berlaku penyeludupan pelbagai jenis dadah yang memang haram, apakah tidak akan berlaku kemasukan vape secara haram? Jika berdasarkan senario ini, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa. Haram atau tidak, gejala itu tetap wujud.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah penguatkuasaan dan usaha ke arah menyedarkan masyarakat mengenai rokok dan vape. Bahaya rokok sudah diketahui umum. Banyak sudah tulisan berkaitan yang memperkatakan kesan terhadap kesihatan. Kotak rokok yang dihiasi gambar mengerikan itu juga tidak mampu ‘menggoda’ perokok supaya insaf. Selak juga pernah menulis beberapa kali mengenai isu rokok dalam ruangan ini. Mengenai vape, belum ada kajian khusus yang menyatakan kesan terhadap kesihatan tetapi kebanyakan pakar kesihatan menyatakan ada kesan yang tidak baik. Kesan jangka panjang. Bab kesan tidak baik ini, apa pun yang kita `masukkan’ ke dalam tubuh badan akan memberi kesan. Ubat pun kadang-kadang memudaratkan! Vape yang asapnya lebih tebal dikatakan tidak menyebabkan mulut berbau busuk seperti perokok sehingga di dalam solat, bau itu boleh mengganggu keselesaan jemaah. Seorang sahabat yang telah meninggalkan rokok memberitahu, beliau kini sedar betapa busuknya asap rokok sehingga ‘melekat’ ke baju dan rambut apabila berada dalam kalangan perokok lebih-lebih lagi di tempat tertutup termasuk di tandas awam. Syukurlah awak sudah insaf! Bayangkan selama ini, awak sudah menyusah dan meresahkan ramai orang ketika merokok di gerai, kedai makan, di dalam tandas, berdiri di sebelah makmum yang tidak merokok ketika solat dan puntung rokok yang berselerak di dalam tandas atau tempat awam.
Pihak berkuasa perlu berusaha untuk mendidik masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kesihatan sama ada untuk diri sendiri atau orang sekeliling. Bantu rakyat mengurangkan tabiat merokok. Jangan pula dalam usaha ke arah itu, vape ditunjukkan sebagai jalan keluar kepada perokok. Kita tidak mahu perokok terus merokok dan vape pula sebagai tambahan. Setakat ini banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya merokok. Zon larangan merokok ditambah setiap tahun. Sehingga kini Kementerian Kesihatan mewartakan 21 zon. Mulai Januari depan, kawasan lain yang akan turut diwartakan ialah semua taman awam dan Taman Negara. Di bawah Pelan Strategik Kebangsaan bagi kawalan tembakau, perancangan berperingkat untuk mewartakan tempat-tempat awam yang lain termasuk hotel, kedai makan tidak berhawa dingin, pasar awam dan lain-lain. Masalahnya sekarang, sejauh mana penguatkuasaannya? Adakah kita melakukan sesuatu secara tidak bersungguh-sungguh?
Dalam keadaan penguatkuasakan undang-undang dan fatwa rokok itu haram, kerajaan masih memberi kelonggaran untuk perokok tegar. Ada kawasan khas disediakan. Baru-baru ini, ketika menyaksikan Grand Prix Motosikal Shell Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hanya kawasan berumput dikhaskan untuk perokok merokok. Mereka tidak boleh sesuka hati merokok. Perbuatan mereka diperhatikan apabila Kementerian Kesihatan menurunkan pasukan penguat kuasa. Kaunter khas disediakan untuk membolehkan perokok membayar kompaun. Mengikut peraturan, setiap kesalahan dikenakan denda RM250 tetapi ada diskaun, hanya RM150. Mungkin RM150 kecil tetapi wang itu sia-sia sahaja kerana nilai itu boleh membeli lebih daripada 10 kotak rokok. Melihat kerenah mereka yang dikompaun, ada yang merungut dan marah. Resit dikoyak.
Seorang pegawai kesihatan memberitahu, maki hamun sudah menjadi ‘makanan’ pegawai-pegawai penguat kuasa. Beliau mengakui memang sukar untuk menguatkuasakan undang-undang. Sudah tentulah kekangannya pegawai penguat kuasa. Dalam konteks ini, langkah penurunan kuasa kepada pemilik premis untuk menguatkuasakan peraturan itu amat dialu-alukan. Kementerian juga akan mempergiatkan usaha ke arah memperkasakan masyarakat untuk menolak budaya merokok serta berani menegur perokok di zon larangan. Saya percaya, setiap perokok sedar bahawa merokok difatwakan haram, membahayakan kesihatan sama ada diri sendiri atau orang sekeliling tetapi jika sudah ketagih apa yang mampu dilakukan?
Biar pun harga rokok terus melambung, ramai yang tidak peduli. Sekali lagi fatwa dan harga tidak menggerunkan perokok. Bagi perokok yang beragama Islam, adakah mereka bersedia menerima fatwa merokok itu haram? Khabarnya, ada tiga hukum merokok iaitu harus (jika terasa pening atau sakit sekiranya tidak merokok), makruh (jika tidak memberi sebarang kesan) dan haram (jika merosakkan). Mungkin lebih ramai yang memilih harus dan makruh walaupun ‘cerita’ bahaya mengenai rokok yang mempunyai lebih 6,000 jenis bahan kimia dan toksik itu sudah ada dalam pengetahuan mereka. Sebagai ulangan, dalam rokok ada gas beracun pada ekzos kereta, racun rumpai, peluntur cat, pembersih lantai, racun semut putih, gas beracun, minyak pemetik api, minyak roket, racun gegat, sebatian organik yang mudah terbakar, bahan bateri kereta, racun serangga dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan pelbagai penyakit.
Vape juga ada bahan yang menyebabkan kanser iaitu formaldehyde, bahan awet yang digunakan untuk mayat. Bagi orang Islam yang sekadar mahu menerima hukuman ‘makruh’, merokok sama seperti memakan petai atau jering, ulam yang baik untuk kesihatan. Cuma rokok bukan ‘ulam’. Seperti jering dan petai, mulut perokok juga menimbulkan bau busuk.
Kajian menunjukkan, 70 peratus perokok sentiasa mencuba untuk berhenti merokok tetapi kebanyakannya gagal. Selepas lapan kali ke klinik merokok, barulah mereka boleh berhenti. Begitulah sukarnya untuk membuang tabiat selepas ketagih. Kini sudah ada usaha pihak berkenaan mempengaruhi anak-anak dengan shisha berbentuk pen yang berharga RM10. Jika gejala ini tidak dibendung, golongan ini akhirnya akan terjebak dalam gejala merokok atau vape. Bertindaklah sekarang supaya anak-anak muda kita tidak terjebak dalam sesuatu yang tidak memberi faedah sama ada ia haram atau tidak.
Oleh: Hassan Mohd. Noor
No comments:
Post a Comment