nuffnang

Wednesday, August 20, 2014

Tinggalkan Suami Kerana Tandas

UTTAR PRADESH - Enam orang wanita yang baru setahun berkahwin, meninggalkan suami masing-masing dan pulang ke rumah ibu bapa mereka disebabkan kediaman suami tidak mempunyai kemudahan tandas.

Agensi berita, BBC melaporkan, kesemua wanita dari perkampungan Khesiya di daerah Kushinagar itu kembali ke rumah ibu bapa selepas suami mereka tidak menyediakan tandas di kediaman masing-masing.

Hampir separuh daripada 1.2 bilion rakyat India tidak mempunyai tandas di rumah dan golongan wanita sering menderita disebabkan masalah itu.

Keadaan itu juga menyebabkan kaum wanita terdedah kepada jenayah rogol yang berleluasa di India.
Seorang daripada pengantin baharu, Gudiya berkata, dia berasa sukar untuk melepaskan hajat di kawasan terbuka disebabkan rumah suaminya tidak mempunyai tandas.

"Ibu bapa saya mempunyai tandas di rumah, tetapi rumah suami saya, Ramesh Sharma tidak mempunyai kemudahan itu.

"Saya tidak suka keluar rumah untuk membuang air. Ini menyebabkan saya bergaduh dengan suami dan kembali ke rumah ibu bapa saya," katanya.

Selain Gudiya, Neelam Sharma, Sakina, Seeta, Nazrum Nisa dan Kalavati turut meninggalkan suami atas alasan sama.

Menurut Ashima Parveen yang tinggal di Khesiya, kesemua enam wanita itu berkahwin pada tahun lalu.
"Di kampung, mereka sukar untuk keluar ke kawasan terbuka untuk membuang air kerana musim hujan yang menyebabkan tanah lecak," katanya.

Dalam ucapan Hari Kemerdekaan India Jumaat lalu, Perdana Menteri, Narendra Modi berjanji untuk menyelesaikan masalah pembuangan air secara terbuka dalam kalangan rakyat negara ini.

"Kita kini berada dalam abad ke-21, tetapi golongan wanita masih terpaksa keluar ke tempat terbuka untuk membuang air dan terpaksa menunggu waktu malam untuk melepaskan hajat," kata beliau.

Sumber : utusan malaysia

No comments:

Post a Comment