Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara!
ISU memperkasakan sekolah kebangsaan atau sekolah nasional timbul kembali. Apakah sekolah kebangsaan selama ini tidak perkasa?
Apakah sistem pendidikan kita tidak berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri kemalaysiaan yang kental?
Adakah kita pernah membuat bancian atau survey sejauh mana pengetahuan kita mengenai negara sendiri, kefasihan bahasa kebangsaan, kaum-kaum di antara kita, adat istiadat kita dan lain-lain?
Apakah kita selama ini hanya ambil mudah dan take for granted kepada semua hal tersebut? Apakah kita selama ini merasakan semuanya elok-elok belaka?
Semasa negara akan mencapai kemerdekaan ke-57 tahun ini, apakah tahap kemalaysiaan kita sudah sebati? Apakah masing-masing masih mementingkan diri sendiri, hanya memikirkan kaum-kaum sendiri dan dalam kelompok masing-masing sahaja? Cuba tanya diri sendiri?
Pada 12 Februari 2014 lalu, saya ada menulis dalam kolum Cuit ini bertajuk 'Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara!'
Ini mengenai kisah sistem persekolahan kita yang cukup unik di dunia tetapi sedikit demi sedikit sedang menghakis kedaulatan dan kerukunan negara ini.
Saya bukan rasis apabila membangkitkan isu ini. Begitu juga dengan Razali Ibrahim yang mencadangkan supaya sekolah vernakular dihentikan pembinaan. Begitu juga dengan Ismail Sabri yang menyokong Razali.
Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan waras, kita harus menerima hakikat bahawa hanya satu sistem pendidikan tunggal yang diperlukan oleh sesebuah negara - bukan dua atau tiga atau empat - bagi mewujudkan Satu Bahasa, Satu Bangsa dan Satu Negara.
Di Malaysia sekarang, semua orang tahu, kita ada sistem sekolah kebangsaan (SK), sekolah Cina (SJKC), sekolah Tamil (SJKT), sekolah agama, sekolah swasta Inggeris, sekolah antarabangsa - yang membahagi-bahagikan murid-murid kita - generasi Malaysia akan datang, kepada satu 'kecelaruan' yang amat sangat.
Sudah banyak kali kita membangkitkan isu ini. Malah kelmarin satu pertemuan meja bulat (yang besar) telah diadakan anjuran beberapa NGO. Ia diadakan dengan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.
Saya ada membaca dalam satu portal berita Singapura, negara itu sendiri tidak membenarkan rakyatnya menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa, tanpa kebenaran kerajaan kerana bimbang akan terhakis jati diri Singapura ke atas kanak-kanak itu.
Malah dalam satu perbahasan di alam maya, rakyat republik itu tidak bersetuju jika sistem itu dilonggarkan. (International and private schools in Singapore generally do not admit Singapore students without permission from the Ministry of Education. - http://en.m.wikipedia.org/wiki/Education_in_Singapore)
Tetapi di Malaysia ia bebas. Waima menteri pun ada yang menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa, malah ke sekolah berasrama penuh di England dan Australia.
Sepatutnya, mana-mana anak Malaysia wajib melalui sistem pendidikan kebangsaan tunggal iaitu SK.
Jika kita semua mengaku sistem SK itu lemah dan banyak cacat-celanya maka perkasakanlah. Jika ada yang merasakan istilah sekolah kebangsaan tidak lagi sesuai, tukar istilahnya kepada sekolah nasional? Asalkan matlamat pemerkasaan itu berjaya.
Apa salahnya jika semua SK dinaik taraf menjadi seperti sekolah premier atau setaraf MRSM?
Di Singapura, sistem persekolahannya sudah diiktiraf dunia. Sistemnya adalah standard - dan murid-murid yang pandai atau sebaliknya diajar di bawah satu bumbung.
Mengapa kita perlu berundur ke belakang? Mengapa masih membiarkan kita mempunyai sistem pengantar yang pelbagai?
Semasa negara akan memasuki usianya ke-57 tahun beberapa hari lagi, kita semua mahu melihat satu perubahan yang nyata dalam sistem pendidikan kita.
Ia memerlukan satu iltizam politik yang kuat - cukup kuat!
Jika kita masih lagi teragak-agak, maka masa depan negara akan terjejas.
Di Singapura bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris tunggal - bukan bahasa Cina atau Tamil atau Melayu. Di Malaysia bahasa pengantarnya ialah Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.
Sepatutnya di Malaysia bahasa pengantarnya ialah bahasa Melayu tunggal dan diperkasakan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain diajar sebagai bahasa ibunda.
Saya sarankan kita baca mengenai sistem pendidikan Singapura yang saya rasa amat mantap, walaupun negara itu merdeka lebih lewat daripada kita. Tidak keterlaluan jika saya syorkan, tiru sahaja mana-mana sistem mereka jika itulah yang terbaik untuk kita semua.
Sistem pendidikan di Korea, Jepun, malah Amerika, Jerman, England, Perancis; waima Saudi, Indonesia dan Thailand sendiri cukup mantap sehinggakan bahasa yang dituturi mereka amat seragam dan jati diri kenegaraan mereka cukup utuh.
Ingatlah perpaduan negara antara kaum hanya akan dicapai melalui asas pendidikan yang tunggal dan mantap.
Saya ulang lagi, ajarlah asas Perlembagaan Negara serta Rukun Negara sebagai subjek khusus dari peringkat sekolah rendah lagi. Jadikan ia sebagai subjek wajib yang memerlukan semua murid kecil itu mementaskannya sebagai drama di hadapan ibu bapa semua.
Minta kanak-kanak itu melakonkan watak-watak tokoh kemerdekaan negara dan kisah-kisah pembentukan Perlembagaan negara ini.
Ulang lagi pementasan wajib itu di peringkat sekolah menengah. Ia adalah satu proses indoktrinasi jati diri yang cukup positif.
Daripada anak dipersembahkan kepada setiap ibu bapa dan akhirnya ia akan menjiwai ke sanubari kita semua untuk selama-lamanya.
Pendidikan bukan semata-mata hanya untuk lulus peperiksaan, ia juga harus dilakukan melalui pementasan. Ajar anak-anak kita pandai bercakap, petah berbahas dan yakin pada diri sendiri.
Ayuh penggubal dasar pendidikan negara, fikirkan secara inovatif dan kreatif demi generasi Malaysia akan datang. Masa sudah terlalu suntuk.
Selagi sistem persekolahan kita masih caca-marba, seperti sekarang, maka selagi ada bulan dan bintang - jangan diharap perpaduan kaum di negara ini akan tercapai.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Oleh : Zaini Hassan
No comments:
Post a Comment