Sunday, August 24, 2014

PAS Munafik....!

Jadilah ayam sabung bukan lembu laga 


TEGURAN Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki terhadap kepemimpinan parti itu supaya meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi agenda peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pakatan pembangkang, bukanlah suara atau gesaan beliau seorang.

Sebaliknya, itulah perasaan dan keinginan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi yang semakin bosan dengan sikap kepimpinan parti itu yang semakin tidak bermaya dalam mempertahankan pendirian dan perjuangannya apabila berhadapan dengan pakatan pembangkang.

Ketika minum pagi bersama sekumpulan pemimpin Pas peringkat akar umbi di Selangor, pagi semalam, penulis dapat merasakan keresahan mereka berhubung kedudukan Pas sekarang.

Justeru apabila mereka membaca kenyataan Mohd.Zuhdi sedikit sebanyak ia melegakan kerana itulah suara mereka sebenarnya.

"Dulu kami bangga jadi ahli Pas, kerana Pas memperjuangkan negara Islam dan memiliki barisan kepemimpinan ulama, tetapi sekarang semuanya sudah berubah. Suara ulama sudah tidak membawa apa-apa kekuatan lagi dalam Pas, sebaliknya ia ditenggelami dengan suara-suara golongan bukan ulama yang sebahagian besar mereka adalah penyokong Anwar dan begitu mempertahankan hubungan Pas dengan PKR dan DAP,'' kata seorang pemimpin Pemuda Pas dari sebuah kawasan di Selangor.
Pemimpin Pemuda itu juga menegaskan, kepemimpinan Pas tidak boleh menafikan kenyataan Mohd.Zuhdi kerana itulah keadaan yang berlaku dalam Pas sekarang.

"Kadang kala kami di peringkat akar umbi merasakan seolah-olah Anwar, PKR dan DAP yang menjadi penentu kepada apa yang Pas perlu lakukan. Pemimpin Pas terlalu percayakan mereka sehingga tidak boleh membuat keputusan yang tepat biarpun ia berkaitan maruah Pas'' katanya.
Dalam soal ini, penulis terbaca dalam komentar oleh seorang penulis blog yang dipercayai penyokong kuat Pas, antaralah beliau menulis;

"Itulah kesilapan yang telah dilakukan pucuk pimpinan Pas. Sikap bermusuh dengan UBN (UMNO-BN) yang telah ditanam bersungguh-sungguh dan dihadami, akhirnya membutakan mata sebilangan besar daripada kita. Kita tidak lagi menggunakan naqli dan agli apabila membuat keputusan kita hanya mendengar rintihan Anwar Ibrahim.''

Seorang lagi pemimpin Pas yang diminta pandangannya berhubung kenyataan Mohd. Zuhdi berkata, masih ramai pemimpin Pas sendiri yang sangat percaya, tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP akan memberikan kemenangan kepada Pas dan memartabatkan Islam.

"Sampai ke tahap itu sekali mereka berkhayal, malah ada antara mereka dalam mesyuarat tertutup di peringkat pusat secara lantang menentang sebarang usaha untuk mengkaji semula hubungan dengan PKR dan DAP.

"Malah mereka menuduh pemimpin yang membuat cadangan itu biarpun ia bertujuan melihat sama ada hubungan tersebut menguntungkan Pas atau tidak sebagai ejen UMNO,'' kata pemimpin tersebut ketika dihubungi.

Pemimpin itu turut berhujah, apa yang berlaku dalam perebutan kerusi Menteri Besar (MB) Selangor benar-benar telah menjejaskan imej Pas sebagai parti Islam yang menjadikan Majlis Syura Ulama sebagai rujukan.

"Pas boleh bagi alasan apa sahaja tetapi orang sudah menuduh Pas buat `pusingan U' dan tunduk kepada kehendak PKR dan DAP serta terlalu taksub untuk menjaga tahaluf siyasi dengan kedua-dua parti tersebut sehinggakan mahu mempertahankan pendirian sendiri pun sudah tidak berdaya,'' katanya.

Sejak awal lagi, ramai pihak sudah menjangkakan tahaluf siyasi Pas tidak akan mendatangkan apa-apa keuntungan kepada mereka, tetapi oleh kerana sudah ditanam dengan perasaan benci kepada pemimpin-pemimpin UMNO, fakta itu diketepikan begitu sahaja.

Perlu difahami, Pas kini semakin `rosak' dalam perjuangan politiknya bukan kerana golongan ulama tetapi disebabkan oleh segelintir pemimpin bukan ulama yang terlalu mengagung-agungkan Anwar dan kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Golongan inilah sedikit sebanyak menghakiskan keyakinan Pas untuk berjuang sendirian atau sekurang-kurangnya tidak tunduk kepada kehendak dan kemahuan politik PKR dan DAP.

Keadaan itu juga memungkinkan, Pas perlu bergantung sepenuhnya kepada kedua-dua parti tersebut untuk membuat keputusan. Dalam bahasa mudah, Pas sebenarnya merelakan parti itu `dibuli' oleh sekutunya.

Ditanya pandangan ini kepada seorang lagi pemimpin muda Pas di peringkat pusat, beliau berkata, di dalam Pas sekarang terdapat dua kelompok iaitu satu kelompok yang benar-benar menghayati perjuangan Pas manakala kelompok kedua terdiri daripada mereka berada dalam Pas tetapi hati lebih banyak `berkiblat' kepada PKR dan DAP.

"Kelompok pertama ini tidak ada masalah, apa pun kata pucuk pimpinan mereka akan akur walaupun mereka tidak puas hati tetapi kelompok kedua hanya mahu pucuk pimpinan mengikut kehendak mereka, kalau bertepatan dengan apa yang mereka inginkan mereka akan sokong tetapi kalau sebaliknya mereka riuh sekampung,'' katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, pemimpin Pas itu mengakui apa yang diinginkan oleh ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi ialah kepimpinan itu parti itu sentiasa konsisten, tegas dan berprinsip dalam membuat keputusan serta mempertahankan pendirian.

"Janganlah hanya berani berhadapan dengan pemimpin UMNO dan BN sahaja tetapi ibarat bertembung dengan `hantu' apabila bertemu dengan pemimpin PKR dan DAP.

"Kalau sikap seperti itu berterusan ia bukan sahaja akan menyebabkan ahli-ahli Pas tawar hati untuk menyokong parti tersebut malah orang Melayu atas pagar pun akan menarik sokongan mereka. Kesudahannya yang tetap meraih sokongan ialah PKR dan DAP,'' katanya.

Sememangnya, kemelut politik di Selangor seharusnya menjadi titik tolak kepada kepemimpinan Pas untuk bermuhasabah sama ada tindakan yang dilakukan akan memberi keuntungan politik kepada mereka atau tidak.

Akuilah Pas kini menjadi bahan lawak dalam laman-laman sosial akibat sikap tidak konsisten parti itu dalam mempertahankan prinsip, pendirian dan keputusannya. Perasaan hormat kepada Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam semakin luntur akibat didendangkan dengan nyanyian `Langkah Kajang ke Putrajaya'.

Usahlah terpedaya dengan hujah-hujah dangkal kononnya, sikap setia Pas bersama-sama pakatan pembangkang akan menakutkan UMNO. Sebenarnya itu adalah hujah kelompok yang sengaja mahu menghancurkan masa depan dan tidak mahu Pas bangkit sebagai sebuah harakah Islamiah.

Apa yang mereka mahu ialah Pas mengikut kehendak mereka, patuh kepada kemahuan mereka dan bersedia berkorban untuk kepentingan mereka, kesetiaan Pas kemudian parti itu akan dilayan bagaikan selepas madu sepah dibuang.

Justeru, Pas perlu benar-benar menjadi pejuang yang mempunyai semangat ayam sabung yang akan bertarung sampai ke mati dalam mempertahankan pendirian dan prinsipnya. Jangan jadi lembu laga, gertaknya hebat tapi lari lintang pukang apabila diasak lawan.

Semoga pemimpin-pemimpin Pas akan mengkaji semangat ini kerana seperti mana dicoretkan oleh seorang penulis blog pro parti itu;

"Kita ada kuasa mengubah dan selagi matahari belum terbit di ufuk barat dan selagi sakaratul maut tidak di kerongkongan, selagi itulah kita boleh mengubah dengan kuasa yang `dipinjamkan' kepada kita. Belum terlambat untuk mengubah dan meletakkan Pas kembali ke landasan asalnya iaitu sebagai ulama atau penegur kepada umara' atau pemerintah.''

Namun persoalannya, mampukah ia dilakukan ketika penguasaan ulama semakin longgar sedangkan cengkaman pemimpin yang 'berkiblatkan' kepada PKR dan DAP semakin kukuh? Kemelut MB Selangor menjadi bukti perkara itu!

Oleh : Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment