RAKAN penulis, seorang pemimpin muda di Teluk Intan, bertanyakan tentang isi perjanjian UMNO dan Pas yang dikatakan pernah ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia/Presiden Perikatan dan Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia (Pas) merangkap Menteri Besar Kelantan pada tahun 1972.
Terus terang, penulis sememangnya tidak pernah mendengar tentang wujudnya Perjanjian 13 Perkara yang disebutkan oleh rakan tersebut. Al-maklum, penulis belum pun lahir ketika satu kemuncak perjanjian muafakat politik dapat dilakukan antara dua parti utama orang Melayu beragama Islam ketika negara berhadapan dengan situasi politik yang sukar.
Perjanjian 13 Perkara UMNO-Pas itu berlaku tiga tahun selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Kita dapat mengagak bahawa iklim dan suhu politik berada di takat yang paling tinggi dalam sejarah negara.
Pas menang agak besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 tersebut, apabila mendapat hampir 23.75 peratus (%) undi popular, dengan 12 kerusi. DAP yang juga merupakan sekutu Pas juga menang besar.
Penulis bernasib baik, kerana ada beberapa blog yang memberikan tumpuan kepada isi Perjanjian 13 Perkara yang dimaksudkan oleh rakan tersebut. Bukanlah tujuan tulisan ini untuk mengemukakan jalan politik baru, namun elok agaknya kita menyusur apakah 13 isi yang dimaksudkan dalam perjanjian tersebut.
Menurut blog tersebut, antara isi perjanjian tersebut adalah seperti berikut:
1. Sebuah kementerian akan diberi kepada Pas, iaitu Kementerian Kemajuan Tanah dan Tugas-Tugas Khas yang akan bertanggungjawab dalam hal ehwal tanah, pembukaan dan kemajuannya, dan juga perkara-perkara lain yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri dari satu masa ke satu masa.
2. Menteri tersebut akan dilantik dengan persetujuan Raja-Raja menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.
3. Jawatan-jawatan timbalan menteri, setiausaha Parlimen, setiausaha politik dan sebagainya bolehlah dipenuhi setelah menteri berkenaan berunding dan mendapat persetujuan Perdana Menteri.
4. Perdana Menteri akan menimbang calon-calon yang ditunjuk oleh parti Pas bagi menjadi anggota Dewan Negara apabila ada kekosongan.
5. Perdana Menteri akan menimbang pemimpin-pemimpin Pas yang layak untuk menyertai rombongan-rombongan rasmi keluar negara dan juga jawatan-jawatan perkhidmatan di luar negara yang difikirkan sesuai, perlu dan munasabah.
6. Kerajaan akan menimbang mana-mana ahli Pas yang difikirkan sesuai untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa-jawatankuasa, lembaga-lembaga dan perbadanan-perbadanan bagi pertimbangan Perdana Menteri. Begitu juga sebaliknya di Kelantan, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Perikatan akan diberi pertimbangan yang sama oleh kerajaan negeri Kelantan untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa-jawatankuasa, lembaga-lembaga dan perbadanan-perbadanan dalam negeri itu.
7. Dua orang anggota Dewan Negeri Kelantan dari Parti Perikatan yang ditunjuk oleh partinya akan dilantik menjadi ahli Exco negeri.
8. Dua orang anggota Dewan Negeri Kedah dan Terengganu dari parti Pas di tiap-tiap negeri itu yang ditunjuk oleh partinya akan dilantik menjadi ahli-ahli Exco negerinya masing-masing.
9. Selama kerajaan campuran Perikatan-Pas ini wujud tiada sebarang pertandingan antara Pas dengan Perikatan di dalam pilihan raya kecil di dalam kawasannya masing-masing kecuali kawasan-kawasan di mana telah dimenangi oleh parti yang lain maka perundingan hendaklah diadakan terlebih dahulu.
10. Begitu juga kawasan-kawasan pilihan raya yang dimenangi oleh Pas dalam pilihan raya umum 1969 yang kemudiannya Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan berhenti daripada menjadi ahli Pas, maka sekiranya berlaku pilihan raya kecil dalam kawasan yang tersebut, maka satu perundingan hendaklah diadakan, jika sebarang persetujuan tidak tercapai maka pertandingan seperti biasa bolehlah diadakan.
11. Hendaklah tiada sebarang ikatan atau perjanjian untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang. Segala sesuatu dibincangkan kelak, apabila tiba waktunya.
12. Kebebasan anggota Pas dalam Kabinet Pusat, Exco negeri, Parlimen dan Majlis Undangan Negeri untuk membangkang sebarang cadangan atau undang-undang yang berlawanan dengan Islam hendaklah terjamin.
13. Sebuah jawatankuasa penyelaras hendaklah ditubuhkan dengan anggota-anggotanya terdiri sama banyak antara Pas dengan Perikatan.
Kepada penulis, perjanjian ini sangat signifikan, sebagai tanda bahawa dalam tempoh politik yang sukar, kerjasama UMNO dan Pas pernah menjadi suatu model politik yang munasabah dan diterima baik. Memang pada hakikatnya, tempoh kerjasama politik ini tidak panjang, namun ia masih lagi penting sebagai sumber rujukan kepada generasi baharu Malaysia.
Yang perlu kita hargai adalah jiwa besar kepimpinan Tun Abdul Razak yang bersedia untuk menandatangani perjanjian yang sedemikian signifikan dalam perjalanan politik UMNO dan Pas. Setelah diteliti, hanya lima isi terakhir perjanjian tersebut yang menjurus kepada kerjasama politik, sedang lapan isi awal menjurus kepada faedah perjawatan kepada Pas.
Memang benar, Perjanjian 13 Perkara tersebut tidak panjang umur. Namun semangat kerjasama dan duduk semeja tidak boleh kita pandang enteng dan dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Tidak salah agaknya, untuk generasi pemain politik 2013, memandang jauh empat dekad ke belakang, dan mengakui bahawa UMNO dan Pas pernah mewujudkan muafakat politik yang diharapkan rakyat.
Penting, untuk generasi baharu memahami bahawa muafakat politik UMNO dan Pas bukanlah satu utopia politik yang tidak mungkin direalisasikan. Ia pernah direalisasikan oleh kalangan generasi terdahulu daripada kita.
Apa yang penulis dapat simpulkan, muafakat politik wajar menjadi jalan tengah kepada usaha pemerkasaan politik Melayu-Islam. Malah, percikan awal muafakat ini pernah disuarakan pasca PRU-12 lagi. Namun, ia tidak berlaku dan masyarakat masih lagi mengharapkan ideal politik yang sama.
Tidak salah kita beristiqamah dengan harapan bahawa ia boleh direalisasikan. Usia empat dekad Perjanjian 13 Perkara UMNO-Pas' bukanlah terlalu antik untuk dirujuk dan diraikan semula. Soal siapa lebih untung daripada perjanjian tersebut, tidak wajar kita pertikaikan.
Penulis cuma berharap lebih ramai generasi politik sekitar empat dekad lalu dapat memberikan pencerahan mengenai isi Perjanjian 13 Perkara' ini. Apakah punca ia gagal dipertahankan dalam tempoh masa yang lebih lama? Apakah mungkin wahana politik sama dapat dijayakan kembali?
Oleh : Kharuddin Mohd Zain
Buang ego masing-masing. Tak perlu bubar mana-mana parti. Jangan ada perasaan buruk sangka. Bergabung, dan berbincang. Perbetulkan keadaan bersama dari dalam dan percayalah hikmah di atas setiap kejadian. Kebenaran mengatasi segala-galanya. "o.f"
ReplyDelete