SEBELUM Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), timbul cadangan untuk membolehkan keahlian terus ke dalam Barisan Nasional (BN) tanpa perlu melalui mana-mana parti komponen.
Pasca PRU-13 pula, timbul saranan baharu untuk menggabungkan beberapa parti komponen mewakili kaum yang sama mahupun menjadikan BN satu parti tunggal atas alasan pengundi bandar dan pengundi muda tidak lagi mengundi berdasarkan kaum.
Kesemua cadangan itu mempunyai kelebihan serta kelemahan tersendiri, dan perlu dikaji dengan lebih mendalam pelaksanaannya termasuk kesan kepada masa depan sistem politik negara di samping impak berangkai ke atas sistem sosio-ekonomi rakyat.
Penerimaan pemimpin politik dalam parti-parti komponen mahupun penerimaan ahli serta pengundi juga perlu diambil kira kerana cadangan ini boleh membawa kepada perpecahan dalaman khususnya bagi pihak yang merasakan ia merugikan parti mahupun pengundi mereka.
Bagi penganalisis politik antarabangsa (Asia Tenggara), Ahmad Zaki Hassan, cadangan parti tunggal tidak boleh dilaksanakan dengan segera kerana perlu berbincang antara parti komponen dan dikaji secara mendalam terlebih dahulu.
"Secara peribadi, saya melihat sistem parti komponen BN kini lebih dinamik berbanding parti tunggal. Walaupun tidak nampak begitu dalam PRU-13, sistem ini dinamik sepanjang 12 PRU sebelum ini dan sistem ini akan kekal relevan untuk PRU akan datang.
"Apa yang perlu diubah adalah cara kerja, cara kerjasama dan cara bertindak. Kalau jadi parti tunggal tetapi semua ini tidak berubah, maka tiada hasilnya, seperti mengubah nama atau kulit sahaja," katanya.
Tegasnya, tiada makna jika sekadar menghapuskan parti-parti komponen tetapi tiada perubahan lain terutama sekali jika tidak tahu tujuan dan haluan sebagai parti tunggal.
Mengambil contoh DAP sebagai 'parti tunggal', beliau melihat kehadiran orang Melayu dan India dalam parti dikuasai orang Cina itu tidak menonjol dan sekadar pengikut untuk mencukupkan syarat sahaja sehinggakan idea 'pelbagai kaum' itu tidak tercapai maknanya.
"Jika BN jadi 'tunggal' seperti DAP, kaum paling ramai dalam parti yang akan menguasainya sehinggakan BN kelak akan dilihat memperjuangkan satu kaum sahaja.
"Seperti mana Melayu melihat Cina mendominasi DAP, orang Cina juga akan melihat Melayu mendominasi 'BN tunggal' jika kaum itu menjadi majoriti ahlinya. Ini akan memburukkan lagi pandangan serong orang Cina kononnya BN memperjuangkan orang Melayu sahaja," ujarnya.
Beliau melihat gabungan parti komponen yang mewakili kaum yang sama lebih realistik daripada 'parti tunggal' untuk semua tetapi ia tidak boleh dilakukan secara drastik kerana walaupun prinsip perjuangan mereka hampir sama tetapi ada bezanya.
Bagaimanapun, beliau merasakan saranan untuk penyertaan ahli secara terus kepada BN tanpa perlu melalui parti komponen adalah lebih sesuai kerana ahli diberi pilihan dan boleh menjadi langkah awal ke arah sistem parti tunggal.
"Penyertaan terus ke dalam BN boleh menjadi elemen tambahan, lebih kepada penyokong dan bukan mengejar jawatan. Jika kumpulan ini mencapai tahap majoriti, maka ketika itu mungkin sesuai dibincang saranan menjadi parti tunggal.
"Saya juga kurang setuju alasan pengundi muda dan di bandar tidak mengundi mengikut kaum untuk menjadikan BN parti tunggal kerana selain segelintir orang Melayu yang tidak 'undi kaum sendiri', majoriti yang lain undi mengikut kaum masing-masing," tegasnya.
Ahmad Zaki memberi contoh, walaupun berlaku tsunami Cina kepada pembangkang tetapi undi jumlah orang Cina yang mengundi Pas dalam PRU-13 sama ada berkurangan atau tidak berubah, dan Pas kehilangan kerusi akibat orang Melayu serta ahli parti itu sendiri menolak mereka.
"Sistem parti komponen BN masih dinamik. UMNO memang kuat dan mampu mendapat majoriti mudah untuk memerintah tetapi untuk kelangsungan BN tidak boleh melihat satu komponen sahaja. Komposisi kaum di negara ini memerlukan kerjasama kaum lain untuk dapatkan majoriti dua pertiga," jelasnya.
Penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula melihat beberapa perkara pokok perlu diselesaikan sebelum menyarankan BN menjadi parti tunggal kerana idea sama pernah dikemukakan sebelum merdeka dahulu.
"Idea serupa dikemukakan pada 1952 dan memang nampak bagus ketika itu. Namun, pada masa itu orang-orang Melayu baru sahaja belajar berpolitik dan berorganisasi sedangkan orang Cina dan India sudah mantap.
"Orang Cina dengan persatuan-persatuan, sekolah, termasuk parti komunis dan masih berhubung dengan tanah besar China sementara orang India kuasai kesatuan pekerja serta koperasi. Dengan jumlah penduduk sama banyak ketika itu, Melayu akan menjadi pengikut sahaja (dalam parti tunggal)," dakwanya.
Menurutnya lagi, itu adalah kenyataan sejarah ketika negara belum merdeka dan kini dengan 63 peratus majoriti penduduk Melayu dan bumiputera, orang Cina dan India pula perlu tanya diri sendiri adakah mereka bersedia terima kepimpinan Melayu dalam 'BN tunggal'.
Tambahnya, itu antara persoalan pokok sebelum menjadikan BN sebuah parti tunggal kerana penerimaan semua rakyat terhadap politik tanpa perkauman dan tahap kematangan politik di negara ini amat penting.
"Melalui sistem komponen kini, kedudukan semua kaum dalam BN setara dan sudah cantik dengan berjuta-juta ahlinya. Adakah ahli-ahli ini akan setuju untuk korbankan perkara pokok yang dikanunkan dalam perlembagaan dengan duduk di bawah satu organisasi tunggal?
"Jika parti-parti komponen memperjuangkan kaum masing-masing, apa pula ideologi akan dibawa BN tunggal itu? Jika UMNO setuju (bubar), sediakah korbankan Perkara 153, Islam, hak istimewa Melayu dan sebagainya," soal beliau.
Zainal Abidin menjelaskan Perikatan dahulu ditubuhkan untuk tuntut kemerdekaan sementara BN dibentuk pada 1974 dengan mempelawa semua parti politik turut serta membangunkan negara mengikut perundangan selepas tragedi 13 Mei di samping mengurangkan politiking.
"Penubuhan Perikatan dan BN mempunyai matlamat, apa matlamat menjadikan BN parti tunggal, untuk negara atau diri sendiri? Kena tengok juga rakyat sudah matang, politik jalanan bukti rakyat Malaysia belum matang berpolitik.
"BN sepatutnya jawab dahulu tuduhan 'Red Bean Army' kononnya UMNO 'big brother' dan MCA mengikut telunjuk. Kekuatan BN adalah perundingan antara komponen dan BN itu sendiri kontrak sosial yang terbaik, mengajak bersama-sama berpolitik sambil membangunkan negara," tegasnya.
Beliau turut membidas jentera UMNO yang 'tidur' selepas menang pilihan raya tetapi tidak berusaha menyangkal tuduhan-tuduhan yang dibuat pihak yang asyik berhimpun di jalanan itu, dan kini berdepan pula 'perangkap' untuk bubar parti dan menjadi parti tunggal.
"Tanpa semangat dan pendidikan politik, pembubaran UMNO hanya akan menyebabkan orang lain 'naik tocang'. Jangan yang dikejar tak dapat, dikendong pula berciciran," katanya.
Oleh : Nurul Anuar kari
I like this web site really a great deal, Its a proper cool workplace to read and find information.
ReplyDelete"'Taint't worthwhile to wear a day all out before it comes." by Sarah Orne Jewett.
Visit my page - earn money from home