Persoalan ini wujud kerana awal-awal lagi biarpun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sanggup bermuzakarah dengan sesiapa sahaja, ada pemimpin parti tersebut secara terbuka menolak ia dilakukan dengan UMNO, manakala pemimpin paling berpengaruh dalam Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menyatakan, muzakarah berkenaan adalah berkaitan dengan kenapa menolak Islam.
Sebab itu, mana-mana pihak tidak boleh tersinggung apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan keikhlasan Pas dalam soal muzakarah berkenaan.
Begitu juga dengan penganalisis politik, Prof. Datuk Dr.Mohamed Mustafa Ishak yang mempersoalkan apakah muzakarah ini sama seperti sandiwara Pas dalam hukum hudud dan apakah ini agenda puak Anwarinas hendak menarik kembali sokongan simpati orang Melayu kepada Pas? Ahmad Zahid dan Mohamed Mustafa menimbulkan persoalan itu kerana mungkin sudah serik dengan mainan politik Pas yang sebelum ini dilihat begitu beria-ia menolak sebarang kerjasama dengan UMNO hatta berkaitan dengan perpaduan orang Melayu sekali pun.
Malahan semua orang sudah pasti tidak boleh melupakan bagaimana pemimpin-pemimpin Pas yang dilihat cuba berbaik-baik dengan UMNO dikecam dengan pelbagai tuduhan, malahan ada antaranya disingkirkan daripada pemilihan parti itu.
Namun begitu, UMNO tetap bersabar dengan kerenah berkenaan kerana sebagai sebuah parti yang sentiasa mementingkan perpaduan ummah dan perkembangan umat Islam, UMNO sama sekali tidak akan menutup pintunya untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja. Atas sebab itulah sejak awal lagi UMNO sentiasa bersedia mengadakan muzakarah dengan Pas.
Malangnya, acap kali juga kita menyaksikan keikhlasan UMNO dipersoalkan, ada pemimpin dan penyokong Pas menganggap kesediaan UMNO itu disebabkan parti itu sudah lemah selepas apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan lebih daripada itu, mereka melihat biarpun UMNO sebuah parti Melayu yang dipimpin oleh orang Islam namun perlu ditentang dan dianggap seolah-olah 'musuh kamu yang paling nyata.'
Kesudahannya segala perancangan untuk bermuzakarah antara dua parti besar orang Melayu ini hanya tinggal kenangan.
Oleh itu, jika benar Pas ikhlas untuk mengadakan muzakarah bersama UMNO, berpeganglah kepada firman Allah dalam surah Al-Hujarat ayat 10 yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Inilah niat ikhlas UMNO, iaitu hendak menamatkan persengketaan dengan Pas yang sudah berakar umbi sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Apabila UMNO bersedia hendak bermuzakarah dengan Pas, bukanlah kerana UMNO sudah lemah tetapi pemimpin-pemimpin parti itu ingin memperkukuhkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam.
Sesetengah pemimpin dan penyokong Pas tidak boleh terlalu jumud apatah lagi berfikiran sempit apabila menganggap UMNO sudah lemah kerana hakikatnya yang lemah bukannya UMNO tetapi Pas.
Namun soal siapa kuat siapa lemah tidak harus menjadi persoalan kerana agenda yang lebih utama dalam merealisasikan muzakarah yang diidam-idamkan itu adalah memastikan kedua-dua parti sepakat dan sekata dalam soal memperjuangkan orang Melayu dan umat Islam.
Kita bosan apabila Pas seolah-olah begitu sukar untuk bersama-sama UMNO dalam soal berkenaan sedangkan kaum lain biarpun berbeza fahaman dan ideologi politik, bersedia bersatu jika ada perkara berkaitan kepentingan bersama.
Tetapi ini tidak berlaku antara UMNO dan Pas. Sebaliknya Pas sering menganggap apabila UMNO bercakap soal orang Melayu itu assabiyah dan bermotifkan politik perkauman dan apabila UMNO menyentuh soal Islam, ada pemimpin Pas akan menganggap UMNO tidak layak bercakap soal Islam. Kalau beginilah cara dan pemikiran cetek yang ada pada sesetengah pemimpin dan penyokong Pas, sampai bila pun penyatuan pemikiran antara dua parti ini sukar dicapai.
Satu perkara yang harus diperingatkan kepada golongan berkenaan adalah apabila UMNO dan Pas bermuzakarah, ia bukanlah bermaksud UMNO harus masuk Pas dan Pas perlu masuk UMNO. Apa yang orang Melayu dan umat Islam ingin saksikan adalah kedua-dua parti sekata dalam persoalan berkaitan kepentingan umat Islam.
Soal Pas hendak bersama pakatan pembangkang atau terus bertanding dalam pilihan raya, itu hak Pas kerana ia dibenarkan dalam amalan demokrasi di negara kita. Apa yang kita mahu lihat, Pas tidak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya dan menolak apa sahaja usaha baik UMNO.
Kalau Pas merasakan dasar dan perjuangan mereka boleh memberikan alternatif yang lebih baik berbanding UMNO, maka teruskanlah. Biar rakyat menilai dan membuat keputusan. Masalahnya Pas acap kali memomok dan merendah-rendahkan segala keikhlasan UMNO dalam meningkatkan martabat orang Melayu dan umat Islam.
Situasi inilah yang mengizinkan puak-puak yang tidak mahu melihat orang Melayu UMNO dan Pas duduk semeja akan berasa lega dan bertepuk tangan. Justeru wujudlah kelompok-kelompok tertentu yang dari semasa ke semasa semakin tidak gentar dengan jumlah orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Mereka yakin bahawa UMNO dan Pas tidak mampu bersatu sungguhpun untuk kepentingan orang Melayu dan umat Islam. Akibatnya, orang Melayu menjadi lemah.
Oleh itu diharapkan kali ini, Pas benar-benar ikhlas untuk bermuzakarah dengan UMNO. Tidak salah untuk dua kelompok yang bersaudara sesama Islam duduk berbincang, berdialog dan mencari titik persamaan.
Mungkin halangan terbesar Pas akan datang daripada sekutu mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang sudah tentu tidak akan menyenangi langkah Pas tersebut, tetapi inilah masanya Pas membuktikan bahawa mereka bukan 'pak turut' dan bersedia bermuzakarah dengan sesiapa sahaja dengan kepentingan Islam.
Kita tidak pasti sama ada Pas akan mempunyai keberanian ini atau tidak, tetapi apa yang pasti selama ini pun setiap usaha Pas dalam soal Islam contohnya, mendapat tentangan daripada kedua-dua sekutunya itu.
Pas perlu menunjukkan ketegasannya kerana bermuzakarah dengan UMNO bukan soal politik tetapi soal masa depan orang Melayu dan umat Islam.
Kalau itu pun ditentang oleh kedua-dua parti berkenaan dan kemudiannya Pas pula akur dengan membatalkan hasrat bermuzakarah tersebut, jelaslah ada pihak yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu dan Pas mahu terus menjadi pak turut.
Oleh : Zulkiflee Bakar
No comments:
Post a Comment