Friday, May 25, 2012

Hentikan Prasangka

KEBEBASAN bukan hak mutlak manusia. Kebebasan adalah hak Allah Yang Maha Berkuasa. Hanya Allah yang berhak melakukan apa-apa yang dikehendaki-Nya di alam semesta ciptaan-Nya. Setiap makhluk ciptaan-Nya tidak bebas daripada apa jua ketentuan dan larangan-Nya.

Inilah juga skrip penciptaan dan kehidupan manusia bermula dengan manusia pertama bernama Adam yang asalnya ditempatkan di syurga. Di syurga yang penuh kenikmatan, Adam hidup bersama Hawa yang dijadikan daripada tulang rusuknya. Mereka diberikan kebebasan melakukan apa sahaja, kecuali mendekati sebatang pohon yang buahnya dilarang sama sekali Adam dan Hawa menjamahnya.

Namun di sebalik segala kenikmatan kehidupan di syurga, Adam akhirnya terhasut oleh Hawa atas godaan Iblis untuk memakan buah larangan. Itulah dosa Adam dan Hawa yang menyebabkan mereka dibuang ke dunia yang penuh pancaroba. Di syurga yang penuh kenikmatan, mereka masih kecundang kepada nafsu dan hasutan Iblis dengan melanggar satu-satunya larangan Allah yang sepatutnya amat mudah dipatuhi. Itulah sifat manusia. Jika di syurga boleh tewas, apatah lagi dalam kehidupan dunia sekarang.

Kisah masyhur Adam dan Hawa ini terdapat dalam al-Quran dan dalam kitab-kitab sebelumnya. Betapa manusia diperingatkan supaya mentaati Allah dengan mematuhi perintah dan menjauhi larangan-Nya. Lalu anak cucu Adam dan Hawa diperintahkan menjalani kehidupan di dunia mengikut peraturan yang Allah tetapkan.

Peraturan hidup ini dipanggil syariat yang berubah mengikut zaman dan perkembangan kehidupan di dunia dalam batas agama yang dibawa oleh rasul-rasul Allah. Sesiapa yang mematuhi syariat, dijamin mendapat kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Di dalam Quran, manusia yang taat kepada Allah diistilahkan sebagai orang yang bertakwa.

Namun, bukan semua manusia mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku kepada Adam dan Hawa. Disebabkan runtunan nafsu dan hasutan syaitan yang mendapat arahan daripada Iblis supaya menyesatkan manusia sepanjang zaman, sebilangan besar mereka terus melanggar peraturan hidup yang Allah tetapkan.

Di dalam Quran (surah Al Maaidah) diceritakan betapa generasi kedua manusia, iaitu salah seorang anak Adam bernama Qabil telah melakukan kesalahan yang lebih besar dan tidak mendapat keampunan Allah sebagaimana ibubapanya.

"Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika mereka mempersembahkan korban, maka diterima daripada salah seorang daripada mereka (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa."
"Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam."
"Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh)ku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim."


Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah dia seorang di antara orang-orang yang rugi. - Al-Maaidah 5: 27, 28, 29 dan 30

Punca ibadat korban Qabil tidak diterima ialah kerana dia tidak bertakwa. Dia tidak mematuhi perintah Allah yang melarang anak-anak Adam yang dilahirkan kembar (lelaki dan perempuan) berkahwin sesama adik beradik sekembar. Qabil enggan mematuhi perintah ini, lalu masuklah dia ke dalam golongan orang yang tidak bertakwa.

Lalu Allah tidak menerima ibadat korbannya dan dia marah pula kepada Habil yang diterima korbannya. Habil adalah anak Adam yang sepatutnya berkahwin dengan pasangan kembar Qabil. Disebabkan Qabil dari awal melanggar perintah Allah, dia tidak bertakwa dan akhirnya melakukan kesalahan lebih besar yang membawanya ke neraka.

Pada zaman seterusnya, terlalu banyak manusia yang melanggar perintah Allah seperti Qabil. Manusia lebih cenderung mencipta peraturan hidup mengikut tuntutan nafsu, bukan berlandaskan perintah Allah.

Antara lain mereka menuntut pelbagai kebebasan sekalipun bertentangan dengan syariat Allah. Mereka namakan kebebasan ini 'hak asasi manusia.' Mereka menuntut kebebasan bercakap, kebebasan hubungan seks, kebebasan berdemonstrasi dan merusuh sekalipun boleh menyebabkan huru-hara. Segala tuntutan dibuat atas nama demokrasi.

Golongan
Di kalangan mereka pun ada golongan berserban yang akan 'menghalalkan' apa jua tuntutan puak mereka ini. Ambil contoh demonstrasi Bersih 3.0. Setelah jelas berlaku rusuhan yang menyebabkan kerosakan harta awam dan polis, mereka cuba pula berdolak-dalik dengan menyalahkan polis.

Kenapa sejak awal lagi mereka enggan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya menunjuk perasaan di tempat lain yang lebih tertutup dan selamat seperti Stadium Merdeka dan Stadium Bukit Jalil? Kenapa mahu melakukan di Dataran Merdeka yang terbuka dan dikelilingi jalan-jalan yang sentiasa sibuk? Nampak sangat mereka mahu mencontohi revolusi di negara-negara lain yang juga bermula di dataran.

Mereka kononnya bertindak atas nama demokrasi, tetapi permintaan pihak-pihak berkuasa yang mewakili kerajaan yang dipilih melalui proses demokrasi, tidak pula mahu dipatuhi dan dihormati.

Alasan demonstrasi ini ialah untuk menuntut pilihan raya yang bersih. Soalnya, adakah dakwaan ini hanya berasaskan prasangka, atau fitnah semata-mata? Anehnya 'fatwa' yang menghalalkan demonstrasi itu datangnya dari Kelantan, negeri yang berterusan diperintah oleh pembangkang sejak 1990. Jika pilihan raya di Malaysia boleh dimanipulasi, tentulah pembangkang tidak boleh berkuasa begitu lama di Kelantan. Nampak sangat dakwaan tersebut tidak berasas dan lebih bersifat prasangka sahaja.

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah memalukan satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. - Al Hujuraat 49: 12

Sebenarnya kebanyakan manusia yang terikut-ikut berdemonstrasi ini hanyalah kerana prasangka. Mereka ini dihasut membuat kesimpulan dengan persepsi, bukannya bukti. Padahal Allah melarang prasangka. Dan dalam ayat ini Allah mengingatkan orang-orang yang beriman supaya bertakwa (taat). Sudah tentulah sesiapa yang melanggar perintah Allah ini adalah orang yang tidak beriman dan tidak bertakwa, sebagaimana Qabil.

Lebih buruk dan besar dosa mereka, jika demonstrasi itu diadakan dengan tujuan mencetus revolusi berdarah untuk merebut kuasa melalui tindakan tidak demokratik. Demokrasi dinodai sekadar untuk dijadikan alasan bagi menghalalkan tindakan yang tidak demokratik. Padahnya, jika Nabi Adam dihukum sekadar dibuang ke dunia kerana melanggar larangan-Nya, kita anak Adam akan dibuang ke neraka. Betapa seburuk-buruk kehidupan di dunia adalah jauh lebih baik daripada tinggal berhampiran dengan neraka. Malangnya ramai manusia tidak percaya kepada kehidupan di akhirat.
 
Oleh : Kalam Maulana Arrif

No comments:

Post a Comment