Tuesday, May 15, 2012

Demo Kera Si Gila

MENTARI menyala membakar ubun-ubun. Jerit dan pekik menjadi gegak gempita. Panas dan meluap dengan bau manusia yang dibakar rasa dan jiwa. Sengaja dibakar-bakar. Laungan yang entah apa butirannya bergema di segenap perut kota. Dari tempat aku berdiri, di sebalik tiang besar di kaki lima sebuah bangunan usang, suasananya sangat tegang.

Gerombolan mamai berbaju kuning mara bagai air longkang yang melimpah turun di celah-celah simen yang pecah. Hari itu kota jadi kuning. Kota menjadi gila dan digilakan oleh manusia yang gila kuasa secara gila. Sejak selepas subuh, dari Masjid Negara aku menyusup hingga ke sini, melepasi celah-celah gelung kawat berduri dan barisan polis. Waktu itu sunyi dan dada kota keperangan disimbah neon jalanan.

Aku bermalam di Masjid Negara. Hari ini tentu laluan masuk dihalang angkara gerombolan mamai itu. Ibu menghalang. Katanya, hanya orang gila sahaja yang buat kacau sampai orang lain susah. Ibu pernah menelan pengalaman pahit dan ngeri semasa 13 Mei 1969. Ibu tak percaya ada kewarasan bila meja bulat jadi jalan raya.

Masa kecil ayah selalu ceritakan nyawanya di hujung pedang apabila dikepung semasa tragedi 13 Mei. Waktu itu ayah penjual ikan di Central Market. Sekarang Central Market jadi Pasar Budaya. Tak busuk dan hanyir macam dulu. Tetapi budaya apa? Entah. Aku tak ingin ambil peduli.

Kata ayah, pagi itu dari Lebuh Pasar hingga Central Market penuh dengan orang ramai. Mereka menyerbu ke jalan-jalan raya. Mereka membunuh. Kalau nasib tak baik dibunuh. Ayah terkepung. Tetapi sempat juga ayah merodok belati ke perut salah seorang daripada mereka. Ayah sempat tengok si bangsat itu mengelupur, darah menyembur. Baju pagoda putih ayah bertukar bintik merah. Ayah lari tetapi jumpa jalan mati. Kata ayah, nasib baik seorang lelaki Cina membuka pintu dan ayah masuk bersembunyi hingga kumpulan lelaki itu pergi. Dulu ayah pernah bawa aku pergi kedai lelaki Cina itu masa Tahun Baru Cina. Dia baik. Bertuahlah ayah aku dan lelaki Cina itu tak terasuk hasutan pemimpin politik supaya membunuh kaum yang lain.


Hari ini bukan 13 Mei. Hari ini 28 April. Gagak-gagak berteriak terkejut dengan riuh rendah manusia separuh haiwan yang mengalir ke segenap lorong di perut kota. Sekawan merpati tidak jauh dari tempat aku berdiri manja memagut beras seolah tiada apa berlaku.

Merpati, kata Sasterawan Negara Usman Awang lambang keamanan. Merpati tidak gelojoh dan angkuh seperti gagak. Keangkuhan itu membuatkan gagak menguasai kota dengan kebangsatannya. Perusuh hari ini juga bangsat seumpama gagak hitam yang kotor. Tetapi mahu kelihatan bersih walaupun memagut bangkai yang terapung dibawa arus Sungai Kelang. Itu kotor bukan bersih.

Biasanya kota ini tidak begini. Sekalipun sesak teruk tetapi nafas dan dengusnya adalah bahasa yang boleh aku faham. Saban hari aku melintas di sini. Aku sangat faham dengus dan nafasnya yang sangat materialistik ini. Tetapi hari ini berbeza. Jerit dan tingkahnya luar biasa sekali.

Dalam kepanasan yang hanya disejukkan oleh sebotol air mineral, aku cuba mencari kewarasan gerombolan yang keluar membuat honar di tengah-tengah kota. Aku cuba mencari jawapan dari persoalan aku sendiri. Akhirnya tahulah aku bahawa gerombolan itu adalah parasit yang bahlul tentang sepak terajang politik.

Mereka menelan semuanya yang dihamburkan oleh sang pemimpin. Mereka pun mengajuk semula kata-kata berani pemimpin bagai burung belatuk di belakang rumah aku. Kata-kata itu diajuk dan diulang-ulang. Apakah otak mereka di kepala lutut? Ya, sudah semestinya kerana mereka sedikit pun tidak dapat berfikir helah sang pemimpin itu.

Sesekali hati menjadi begitu sedih melihat lelaki berketayap sebaya ayah ikut melalak tidak tentu arah dan kelihatan marah-marah. Dia melaungkan ayat-ayat yang diajar oleh pemimpin mereka. Kasihan. Mereka ini juga telah dibahlulkan apabila maki hamun diselang seli dengan laungan Allahhuakbar.

Perjuangan. Perjuangan apa? Berjuang untuk apa? Hari ini diuar-uarkan gerombolan sebagai hari kebangkitan rakyat. Kononnya hari rakyat bangkit menuntut demokrasi. Hei, demokrasi apa kejadahnya kalau penuh dengan maki hamun. Rasa aku ingin memekik sahaja di depan gerombolan yang bahlul itu.

Non partisan. Aku pun bukan penyokong kerajaan yang buta tuli. Aku bukan ahli parti. Aku non partisan. Ikut suka akulah nak undi siapa dan undi aku satu rahsia. Tak payahlah aku ikut melalak sokong itu dan ini. Tetapi aku banyak baca buku-buku ilmu sains politik. Hinggakan ibu menyampah dengan buku-buku politik yang berselerak di bilik aku. Buku Lenin ada. Buku Marx ada. Burhanudin Helmi, Syed Sheikh Al Hadi ada juga.

Selepas baca banyak buku, satu parti pun aku tak masuk. Aku tahu sifat sebuah parti politik. Apakah mereka ingat aku ini bangang sangat tidak tahu ada sesetengah pemimpin yang kaut duit rakyat dan hidup kaya raya? Aku tahulah. Tetapi untuk ajar pemimpin begitu, bukan begini caranya.

Mereka tahu tak aku pun bagai nak muntah kalau bersarapan sambil membaca kenyataan-kenyataan bengap di surat khabar. Tapi bukan cara begini untuk mendidik pemimpin. Apakah mereka tahu itu? Sebab itu aku non partisan. Kalau aku nak katakan, aku katakan sahaja tidak kira parti apa, siapa pemimpinnya dan apa sejarahnya.

Jadi, kalau penganjur gerombolan buat rusuhan kononnya nak demokrasi, aku akan suruh mereka itu telan air Sungai Kelang itu puas-puas. Itu ubat untuk orang yang hipokrit.

Tiba-tiba satu lembaga melompat di tepi aku. Sepantas kilat aku mengangkat penumbuk kerana di tempat begini, tangkas jangan disimpan-simpan. Seorang anak muda, rambut gondrong berbaju T putih kusam mengangkat dua tangan tanda minta maaf. Dia tercungap-cungap.

"Kau siapa?" tanya aku

"Bukan siapa-siapa" kata dia.

"Aku tahulah kau bukan siapa-siapa. Kalau kamu siapa-siapa, tentu dah jadi menteri. Tentu kaya raya."

"Abang buat apa di sini?"

"Macam kamu juga. Kau buat apa di sini?"

"Saya ada tugas. Tugas untuk negara."

"Kau SB?"

"Mana abang tahu?"

"Betullah kau ni polis."

"Saya bukan polis Bang, saya dari SB. Sungai Buluh."

"La...jadi bukan polislah. Eh, aku macam pernah tengok muka kau. Di mana ya?"

"Saya ingat. Di ceramah Isham di dewan Cina."

"Aku tengok kau teruja sangat dengan Isham. Hebat sangatkah dia?"

"Dia hebat. Anak muda kena jadi macam dia masa muda dulu. Berani. Rempuh apa saja."

"Kau tanya dia kalau berani kenapa lari?"

Haba kemarahan gerombolan baju kuning terus panas. Bahangnya terasa sampai aku pun menggigil dan mengetap bibir. Aku lihat polis hanya membuat benteng dan tidak ada sebarang provokasi pun. Di sebelah gelung kawat duri pula gerombolan perusuh membaling botol minuman, kayu dan kon merah ke arah polis.

Perkataan yang paling jelas aku dengar ialah demokrasi. Kemudian diselang seli dengan maki hamun. Lepas itu Allahhuakbar. Takkanlah menuntut demokrasi di tepi jalan, tepi longkang yang berkeladak itu. Sebab itu aku kata gerombolan itu bahlul, buat tuntutan tak kena tempat. Kerja sia-sia ini susah lagi menyusahkan orang. Ini mesti mereka mendapat "wahyu" dari sang pemimpin yang meyakini mereka bahawa demokrasi itu ada di jalan-jalan raya. Atau tidak ada peluang dalam pilihan raya.

"Abang setuju tak?"

"Setuju apa?"

"Setuju negara ini tak ada demokrasi."

"Ala...jangan cakap pasal demokrasilah. Suruh dia orang itu baca buku banyak-banyak. Mana ada demokrasi. Itu mitos orang politik sahaja."

"Saya tak setuju."

"Aku tak minta kau setuju pun, aku minta kau fikir."

"Saya percaya demokrasi itu bukan mitos. Demokrasi itu benar-benar wujud dan mesti diwujudkan."

"Gaya kau bercakap ni sebiji macam aku pernah dengar. Ini bukan dari kepala otak kau ni, mesti kau pungut dari mana-mana atau dari siapa-siapa."

Aku tahu tumpuan dia bukan kepada jawapan aku. Matanya liar dan tercangak-cangak macam rusa baru terlepas dari kandang. Telefon bimbitnya berdering dan dia menjawab macam menyembunyikan sesuatu dari aku. Kemudian bunyi lagi dan dia melaporkan keadaan di sekitarnya.

Gerombolan terus berpusu-pusu dengan jerit dan pekik di depan aku. Dari jauh kelihatan orang bertali arus macam pasar malam Jalan Tuanku Abdul Rahman setiap petang Sabtu. Sesekali macam setiap kali perarakan di Batu Caves. Tapi di Batu Caves tak ganas dan terpekik terlolong macam lembu kena sengat tebuan.

Yang tepatnya mereka itu boleh aku bandingkan dengan sekumpulan lembu yang dilepaskan oleh tuannya dari kandang. Iya...itu memang tepat, mereka macam lembu. Orang yang macam lembu begini tak hairanlah senang dicucuk hidung oleh ayat-ayat berbisa yang dimuntahkan oleh pemimpin. Sebab itu aku nak tergelak bila orang yang kerjanya kunyah kata-kata yang dimuntahkan pemimpin mahu pula cakap pasal demokrasi. Kata-kata kerajaan tak demokratik itu diajuk-ajuklah, dipanjang-panjangkan dan dileret-leretkan kepada orang lain.

Petang kelmarin masa borak dengan kawan-kawan, Non Panjang, Marjan Posmen, Din Korea, Mi Gereja, E Dolah dan Zakir, benda ini juga didebatkan. Kemudian habis begitu sahaja selepas melencong cerita Mi Gereja tangkap hantu. Non Panjang memang suka cerita hantu. Mi Gereja pula lepas satu bab, satu bab lain pula pengalaman dia tangkap hantu. Non Panjang punyalah angguk kononnya tanda khusyuk dengan cerita Mi Gereja. Apa lagi makin banyaklah versi hantu dia. Lepas cerita tangkap hantu, masuk pula cerita Mi Gereja tangkap harimau.

"Kau datang buat apa hari ini?" Aku bertanya setelah lama masing-masing melempar pandangan ke tengah lautan manusia itu. Dia terpinga-pinga sambil mengesat peluh yang merenik di dahi.

"Berjuang." Sepatah sahaja jawabnya tetapi sudah cukup membuatkan aku ketawa besar. Aku tak sedar ketawa aku yang kuat itu membuatkan gerombolan berpaling ke arah aku. Aku ketawa lagi dan mereka meneruskan perjalanan sambil meraung, menjerit dan memekik. Maka terfikir aku alangkah baiknya kalau mereka ini dilepaskan ke hutan untuk menghalau kera dan lotong.

"Apa yang kau nak perjuangkan? Nak menentang penjajah macam Mat Kilau?"

"Menentang kezaliman"

"Fuh...macam dialog drama swasta. Siapa zalim?"

"Kerajaan yang zalim"

"Kalau kerajaan zalim, kau tak sempat sampai ke tempat ini. Kau dah kojol. Kalau zalim, gerombolan itu tidak boleh keluar rumah, dibedil mampus semuanya."

"Dulu kawan saya kena zalim. Dia kena gari sebab dia ikut berhimpun."

"Cakap kepada kawan kau itu, kalau setakat kena gari tak payah nak buat heboh. Kalau manja tak usahlah datang ke tempat macam ini. Suruh dia tidur celah ketiak mak dia."

Dia mati akal. Cuma kelihatan muka sahaja yang bengis dan garang. Tetapi aku pasti sangat dia akan lari lintang pukang kalau aku pekik "polis". Aku tahu sangat fiil orang yang suka buat demonstrasi. Mereka hanya berani dalam kelompok, keluar kelompok menikus tak angkat kepala. Masa tahun 1998 dulu pun sama juga. Setiap Sabtu buat huru-hara dan aku ikut juga nak tengok apa sudahnya. Kesian juga tengok rakyat yang tak tahu cerita hujung pangkal tiba-tiba menjadi benteng barisan depan yang menelan air kimia dan gas pemedih mata percuma.

"Kau dibayar berapa?"

"Ini bukan soal wang Bang, ini soal perjuangan. Soal demokrasi."

"Ala...cakap sajalah berapa. Bukan aku nak minta pun."

"Mana ada bayar."

"Ala...aku dah lama hiduplah."

"Sebenarnya adalah sikit. Tetapi bukan upah, duit penat lelah saja. Kami buat kerja ni kerana Allah.

"Siapa yang cakap kerana Allah?"

"Orang atas cakap macam tu."

"Kalau kerana Allah, buatlah dengan percuma. Aku datang tak ada orang bayar pun, tapi bukan kerana Allah."

"Abang sokong jugalah?"

"Sokong apa?"

"Perjuangan demokrasi hari ini."

"Aku datang nak tengok drama. Kah..kah..kah..." Aku ketawa dan dalam hati bagai nak terajang sahaja Melayu yang bengap di depan aku ini.

Melintas di depan aku sekumpulan anak muda membawa pemidang yang bertulis kata-kata menuntut pilihan raya bersih. Aku pun tertanya-tanya, apakah dengan kerja sekotor itu layak menuntut sesuatu yang bersih? Dunia ini penuh dengan perbuatan dungu dan kelakar rupanya.

"Kau tengok itu?"

"Mana?"

"Itu. Kalau zaman Yap Ah Loy dulu mereka kerja lombong bijih saja di tepi Sungai Kelang ini."

"Mereka menuntut hak sama rata, tak kira Melayu, Cina atau India."

"Kau setuju"

"Memanglah setuju"

"Kau memang bodoh. Keadilan bukan sama rata. Dan sama rata itu bukan adil."

"Abang perkauman?"

"Perkauman itu apa? Jangan pandai sebut sahaja tapi tak tau makna."

Bodohnya anak muda Melayu ini. Kalau ikut hati aku mahu bagi kuliah sahaja kepada dia tentang perkauman. Hancur negara kalau banyak yang berotak selut begini. Pandangan aku tepat ke mukanya.

Tiba-tiba keadaan bertukar menjadi hiruk pikuk. Kelihatan dari jauh gerombolan meredah benteng polis. Anak muda di sisi aku sudah hilang. Anehnya polis tidak menghayun cota yang lekat di tangan. Satu. Dua. Dan kali ketiga rempuhan itu berjaya melepasi benteng polis.

Di sebelah kiri tiba-tiba kedengaran pembesar suara. Suaranya pernah aku dengar. Aku tahu semua orang pernah mendengarnya. Bagai api keluar dari mulutnya setiap kali membakar semangat gerombolan untuk terus mara. Kemudian gerombolan menyerang polis, belasah dan mengheret untuk dijadikan punch bag. Aku meluru ke arah gerombolan yang mengerumuni seorang polis muda.

Dengan sekuat daya aku merempuh gerombolan, mereka tersungkur. Ada yang terundur ke belakang. Aku mengepit celah ketiak polis muda yang setengah pengsan itu dan membawa keluar. Terasa kepala aku seperti diketuk, aku terus mengheret polis muda ke kelompoknya supaya selamat. Gerombolan terus melutu aku.

Tiba-tiba anak muda tadi muncul di depanku dengan sebatang kayu sehasta panjangnya. Dia terus menghayun kayu itu tepat ke arah muka polis muda. Sepantas kilat pula aku memusing dan kayu itu hinggap di kepala aku. Berpinar-pinar. Terasa bendalir suam di pipi dan baju putih sudah ada titisan merah. Mata aku terus berpinar. Aku bertahan untuk tidak lelap. Kalau aku lelap, mereka akan lutu polis muda ini. Pemuda itu masih memegang kayu itu. Dia pucat lesi.

"Ini demokrasi kau. Demokrasi gila," pekik aku sekuat hati. Dia lesap di celah-celah warna kuning.
 
Oleh :Chairil Ehsan

No comments:

Post a Comment