KETIKA Badan Perhubungan Pas Terengganu menganjurkan Majlis Mesra Media Februari lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik memudarkan sedikit kemesraan yang cuba diserlahkan.
Beliau yang tiba dan menyapa kami, tidak berlengah mengheret perbualan dengan mempersoalkan laporan media berhubung kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menggelar Pas sebagai singkatan kepada 'Parti Ajaran Sesat'.
Bakar yang berwajah 'bengkeng' yang dikenali dengan kenyataan-kenyataan kerasnya, menganggap tuduhan terhadap Pas suatu yang dianggap cukup berat dan memberi tempoh tiga hari untuk Ahmad menarik balik kenyataan itu, sebelum tindakan diambil.
Beliau kelihatan cukup serius ketika kalangan kami pula bersahaja memanjangkan perbualan dengan bertanya apa salahnya dengan 'ge'lor' (gelaran) itu, sebagaimana UMNO dan penyokongnya dikafirkan sekian lama.
Mungkin bagi Abu Bakar tuduhan menyentuh akidah dan tidak pernah ditarik balik itu yang menyemarakkan api sengketa sesama Islam ketika setiap ceramah mereka disamakan dengan kerja dakwah dianggap begitu ringan persoalannya.
Tercetus pula cadangan agar Ahmad lakukan sumpah laknat mubahalah yang selama ini ditolak oleh Pas bagi mengelak pemimpin pakatan pembangkang berbuat demikian bagi membersihkan diri daripada kehinaan kerana sarat dengan persoalan moral.
Dan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat bertanya apakah tindakan yang diambil kerana kata dua yang diberikan sudah melewati tiga bulan.
Sidang DUN kali ini juga agak luar biasa sedikit apabila hujah dalam persoalan agama ini tidak begitu disanggah oleh Pas sebagaimana lazimnya dan Khazan menggulung perbahasan dengan jelas dan terang tanpa disanggah.
Ia bermula dengan pertanyaan lisan oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung ajaran-ajaran di negeri ini yang difatwakan sesat dan apakah garis panduan yang digunakan turut mengambil kira pandangan ulama antarabangsa.
Ternyata Pas tidak termasuk senarai 'sesat' bersama aurat Aurat Muhamadiah, ajaran Azhar Wahab dan Ayah Pin berdasarkan hasil kajian dan keputusan majlis fatwa berkaitan dengan ajaran dan fahaman bertentangan dengan akidah, syariat Islamiah, Al Sunnah wal Jamaah.
Namun Khazan menyifatkan gelaran terhadap Pas itu ada asasnya dan kerana Pas telah banyak melakukan pembohongan dan penyelewengan dengan mempolitikkan agama yang perlu dihentikan.
''Kurang bijaksana jika kerajaan bertindak melalui proses pentadbiran kerana boleh timbul tanggapan lain bahawa kerajaan bertindak semata-mata untuk kekalkan kuasa parti kerajaan," ujarnya.
Isu Pas merupakan persoalan politik yang lebih wajar ditangani melalui penjelasan parti kerajaan kepada masyarakat bahawa parti itu memperjuangkan Islam dengan cara tidak betul atau dengan perkataan yang lain 'sesat'.
Sukar untuk ditepis bahawa apa yang berlaku dalam masyarakat berpunca daripada ajaran yang difatwakan oleh pemimpin Pas yang menjadikannya parti itu seolah-olah agama yang menjadi penentu pilihan sama ada syurga atau neraka.
Tidak menyokong parti Pas cuba diberi gambaran seolah-olah tidak menyokong agama dan terkeluar dari agama, sedangkan tidak semua urusan hidup itu agama.
Contoh lampu jalan itu urusan dunia, terserah sama ada nak tukar lampu merah dari berhenti kepada berjalan. Tidak sebagaimana urusan agama seperti sembahyang subuh tidak boleh dibuat empat rakaat.
Dalam pelbagai perkara berkaitan kehidupan seperti politik, perniagaan, perkahwinan, makan minum, hubungan keluarga merupakan urusan dunia dengan panduan agama.
Kita tak boleh terus dikelirukan, kerana politik ada tunjuk ajar panduan oleh agama tetapi bukan bererti ia agama, cuma agama diambil sebagai panduan.
"Agama juga mengajar jual-beli yang menjadi urusan dunia dan ia boleh dilakukan di masjid tetapi tidak wajar berjaja dan berkempen melariskan produk dengan turut menjanjikan pahala dilakukan di situ.
''Nak bercakap politik boleh, seperti adab berpolitik, tanggungjawab pemimpin dan rakyat tetapi apabila kita masukkan produk kita (parti) untuk didagangkan, inilah yang merosakkan institusi masjid dan porak-perandakan masyarakat," ujar Kahzan.
Justeru apabila terdapat saranan dan arahan politik jangan dicampur-adukkan dan dibawa ke dalam masjid, UMNO dianggap menolak agama dan berfahaman sekular dan ia terus dijaja sehingga kini untuk mendapat pulangan politik.
''Nabi Muhamad SAW menyebut bahawa ini duniamu dan kamu lebih tahu mengenai urusan duniamu.
''Hanya mereka yang berfahaman syiah mengaitkan politik dan pemerintah sebagai urusan agama apabila kuasa Nabi mahu diturunkan kepada keturunan Baginda," ujar Khazan.
Perpecahan di kalangan umat Melayu dan Islam berlarutan sekian lama kerana mengejar kuasa politik dan soal siapa yang lebih Islam dijadikan sandaran untuk membezakan parti yang lebih baik dan boleh dipercayai.
Ia sampai ke satu peringkat keterlaluan bahawa mengundi Pas untuk menegakkan negara Islam menjanjikan syurga - tentunya suatu yang menyesatkan kerana masuk syurga bergantung kepada amalan dan akidahnya.
Hubungan UMNO dengan parti-parti bukan Islam, suatu yang dianggap menyimpang daripada agama sebelum ini dan dianggap 'wala' yang tunduk kepada kehendak bukan Islam.
Sedangkan Pas kini sebenarnya berwatak sedemikian dengan menggunakan istilah 'tahalusiasi (yang juga bawa makna kerjasama politik) apabila ia bergabung dalam pakatan pembangkang bersama DAP yang terus tegas menolak negara Islam tetapi kian mengukuhkan pengaruh hasil kerjasama itu.
Namun ketika pakatan mereka makin erat dan bayangan ke Putrajaya makin jelas, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas tiba-tiba bertukar nada mengatakan 'negara Islam' tidak wujud dalam al-Quran dan landas perjuangan beralih kepada negara berkebajikan.
Sememangnya ada kerjasama yang diizin oleh agama dan ada yang ditegah. Yang diharuskan ialah untuk maslahah yang tidak korbankan prinsip agama, malah terus memelihara Islam dan menyekat anasir tidak baik.
''Kalau kita bekerjasama dengan bukan Islam tetapi jawatan Yang Dipertua Majlis Agama, suatu jawatan paling besar dalam negeri dipegang oleh orang lain, apa maknanya," soal Khazan.
"Kita lihat di Selangor dalam usaha mencegah kemungkaran, arak yang dirampas terpaksa dipulangkan dan ini suatu yang amat memalukan Islam," ujar Khazan.
Kerana nama Melayu juga, UMNO dituduhkan memperjuangkan asabiyah, atas bangsa semata-mata dan mengetepikan perjuangan menegakkan agama.
''Sedangkan dalam konteks negara, Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan," ujarnya.
Islam tidak melarang kasih kepada bangsa dan tanah air. Tiada yang meminta dilahirkan di sini sebagai bangsa Melayu, namun kita berhak merasa kasih dan bangga tanpa menganiaya orang lain.
''Kerana peralatkan agama, UMNO dilemparkan tuduhan itu dan sedangkan nabi berkata, asabiayah kamu menolong saudara kamu melakukan kekejaman," ujarnya.
Bila ada kalangan pemimpin Pas bernada berlainan menyatakan kebenaran, ia ditepis sebagai pandangan peribadi dan jika kepincangan didedah, ia didiamkan.
Semua ini dituding sebagai mainan musuh politik atau mereka telah termakan hasutan sedangkan dibolehkan pula mengaibkan peribadi pemimpin dan dibiarkan, biarpun fitnah.
Sebahagian daripada saham kekalutan umat Islam yang mencemaskan kuasa politik Melayu Islam ini dilaburkan oleh Abdul Hadi melalui fatwa yang dicetuskannya ketika emosi politiknya membuak-buak tanpa dapat dibendung.
''Dia kena perbetulkan, sebagai manusia ada salah silapnya dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat," ujar Khazan lagi.
Bagi Khazan, Abdul Hadi memikul dosa yang cukup besar yang mendiamkan segala kesalahan, apatah lagi dia seorang ulama, juga pemimpin dan pastinya tahu pula kesalahan.
Ia menuntut mereka yang berjiwa besar dan Abdul Hadi tentunya akan lebih dihormati, dimuliakan dan dikenang apabila pergi tetapi dia mungkin tidak mempunyai kekuatan lagi apabila tersilaukan kuasa yang dirasakan semakin hampir untuk digapai.
Hadi tidak bercita-cita untuk menerajui negara. Puncak perjuangan kelihatan bukan lagi agama dan kebenaran yang berubah-ubah.
Apabila ada yang merasakan syaitan juga boleh dijadikan kawan untuk kemenangan, justeru kini Hadi dan Pas yang makin seronok mencari untung di jalanan bersama kacau-bilau Bersih membantu memenangkan siapa?
Oleh : Wan Zulkifli Wan Yaacob