nuffnang

Wednesday, March 9, 2011

Lee Kuan Yew Akui Silap Label Muslim

SINGAPURA - Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengakui beliau silap tentang integrasi kaum Melayu dan Islam yang begitu baik di Singapura, lapor agensi berita Bernama semalam.

Kuan Yew membuat penarikan balik itu menerusi satu kenyataan kepada akhbar The Straits Times semalam.

Sebelum ini Kuan Yew membuat kenyataan berhubung kesukaran penduduk Muslim di Singapura berintegrasi dengan penduduk bukan Islam dalam buku terbarunya, Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.

"Hard Truths adalah sebuah buku berdasarkan kepada siri temu ramah selama 32 jam dalam tempoh masa dua tahun," kata Kuan Yew.

"Saya telah membuat satu kenyataan mengenai integrasi umat Islam dengan komuniti lain pada dua atau tiga tahun lepas. Menteri-menteri dan Anggota Parlimen, kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu, sejak itu memberitahu saya bahawa Melayu Singapura sebenarnya mengambil usaha-usaha khusus untuk berintegrasi dengan masyarakat yang lain, terutama selepas kejadian 11 September 2001 (apabila pengganas menyerang Amerika Syarikat) dan bahawa apa yang saya nyatakan itu adalah ketinggalan zaman.

"Saya mengaku silap. Saya harap trend ini (integrasi) akan berterusan pada masa hadapan," kata Kuan Yew.

Buku itu, berasaskan kepada siri temu bual yang diberikan oleh Kuan Yew kepada sepasukan tujuh wartawan daripada akhbar The Straits Times, diterbitkan oleh syarikat Straits Times Press dan dilancarkan pada 21 Januari lalu.

Dalam kenyataan yang kontroversi itu, Kuan Yew berkata: "Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya kebangkitan Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.

"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah."

Sementara itu, agensi berita Dpa melaporkan Persatuan Muslim Profesional menyambut baik kenyataan Kuan Yew itu.

Menurut persatuan itu, kenyataan tersebut memang patut ditarik balik.

Beberapa pemimpin kerajaan di negara ini berusaha untuk dilihat tidak sependapat dengan kenyataan Kuan Yew itu.

Ekoran pilihan raya umum akan diadakan sebelum Jun depan, pentadbiran Singapura pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berusaha untuk tidak meminggirkan penduduk Muslim yang mewakili 15 peratus daripada lima juta warga Singapura.- Agensi/kosmo

No comments:

Post a Comment