KUALA LUMPUR 13 Mac - Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) didakwa cuba mewujudkan situasi panik di kalangan pembeli dengan kenyataan kenaikan harga rumah pada separuh pertama tahun ini.
Kenyataan itu seolah-olah memberi tekanan kepada para pembeli supaya mendapatkan rumah sekarang atau terpaksa menanggung harga kediaman yang tinggi pada masa depan.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shahrom Md. Ariffin yang menyelar kenyataan Rehda itu menyifatkan kenyaaan tersebut sebagai jalan mudah untuk membantu pemaju mendapatkan keuntungan pada masa yang singkat.
Malah, beliau mempersoalkan mengapa kenyataan itu tiba-tiba dikeluarkan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kemudahan pinjaman 100 peratus bagi pemilikan rumah, baru-baru ini.
''Tahukah Rehda kenyataan mereka itu memberi kejutan kepada pasaran, sedangkan kenaikan bahan-bahan mentah seperti minyak mentah masih lagi di peringkat awal dan ia masih belum pasti akan melonjak ke paras tertinggi dalam masa terdekat ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Rehda yang mendakwa harga rumah yang bakal dilancarkan pada tahun ini dijangka naik dua peratus hingga 50 peratus, atau secara puratanya 13 peratus.
Kenaikan itu diunjurkan daripada kajian oleh Rehda pada Disember lalu yang melibatkan 135 daripada 972 ahlinya.
Kajian bagi separuh kedua 2010 mendapati harga bahan binaan dan petrol semakin meningkat mendorong kepada kenaikan harga rumah yang dilancarkan pada Januari hingga Jun 2011.
Selain kenaikan harga barangan mentah, persatuan itu dikatakan berdepan dengan masalah kekurangan bank tanah di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Tegas Shahrom, prestasi jualan pasaran rumah di Malaysia sekarang bukan disebabkan permintaan yang tinggi tetapi didorong oleh pembiayaan mudah daripada sektor kewangan serta skim-skim pinjaman perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan.
''Jadi, janganlah disebabkan faktor-faktor ini para pemaju mengambil kesempatan daripada keadaan semasa,'' jelasnya.
Berikutan itu, Shahrom mencadangkan supaya kerajaan komited untuk melaksanakan konsep bina dan jual untuk mengekang tindakan 'besar kepala' di kalangan pemaju perumahan.
Idea yang dikemukakan oleh kerajaan itu wajar dipraktikkan kerana pemaju perumahan lebih mengejar keuntungan berbanding kualiti rumah yang disiapkan.
''Sekurang-kurangnya dengan cara ini para pemaju tahu bagaimana untuk memastikan kualiti produknya adalah setara dengan harga yang perlu dibayar oleh para pembeli,'' ujarnya.
Sementara itu, Penasihat Korporat Sunway Group, Tan Sri Ramon Navaratnam pula meminta kerajaan dan pemaju berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Perbincangan itu perlu untuk menawarkan harga rumah yang masih mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan sederhana.
''Sekiranya peningkatan kos bahan binaan merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, kedua-dua pihak perlu mencari pendekatan terbaik bagi menangani isu tersebut.
''Pelbagai cara dapat dilakukan untuk mereka seperti menstruktur semula kos, mengubah reka bentuk atau bahan binaan yang mampu digunakan tanpa memberi kesan kepada faktor-faktor keselamatan,'' ujarnya.
Oleh : Sarah Nadlin Rohim
utusan malaysia
No comments:
Post a Comment