Saturday, March 19, 2011

Pantau Syarikat Warga Asing Bina Sistem Maklumat Keselamatan Negara

ISU keselamatan negara perlulah diambil perhatian dan dititikberatkan oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan soal keselamatan negara tidak diperkotak-katikkan oleh negara luar yang selama ini memang mencemburui keamanan negara kita.

Saban hari, saya terbaca di Internet yang membicarakan soal keselamatan negara terutama di bawah KDN. Bagaimana begitu mudah rakyat Indonesia memasuki negara ini berulang kali walaupun telah 'ditangkap' juga berulang kali oleh anggota keselamatan.

Yang menjadi kemusykilan, bagaimana 'sistem' kemasukan pelancong atau pekerja asing dinilai dan ditapis oleh 'sistem maklumat' kerajaan? Jika pelancong atau pekerja asing tersebut telah menukar nama atau identiti, adakah sistem keselamatan negara dapat mengetahui identiti asal pelancong atau pekerja asing tersebut? Jawapan yang saya ada sekarang ialah TIDAK.

Saya dikejutkan dengan penemuan pertama apabila seorang pelancong 'tulen' dari seberang mengakui bahawa nama asalnya tidak sama dengan yang tertera di dalam pasportnya sekarang. Kata pelancong tersebut, mereka hanya memerlukan kurang daripada Rp2 juta (RM700) untuk menukar identiti diri atau membuat pasport berlainan di negara asal mereka dan kemudian boleh memasuki mana-mana negara tanpa ada sekatan.

Ini terbukti, dia dapat masuk ke negara ini tanpa dapat dikesan identiti asalnya. Walaupun 'kesalahan lalu' yang dibuat bukanlah terlalu berat iaitu 'duduk melebihi tempoh yang ditetapkan visa', namun ia membuatkan kita berasa curiga mengenai sistem keselamatan yang ada di setiap pintu masuk negara ini dalam memastikan tidak dibolosi penjenayah-penjenayah berat.

Kedua, saya difahamkan sistem biometrik yang digunakan dalam kad pekerja asing (I-Kad) dan sistem kawalan pintu masuk yang diberikan kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh warganegara asing yang 'memenangi' banyak anugerah dan mempunyai 'patent pending' di lebih 100 buah negara telah tidak berfungsi sejak awal tahun 2010.

Akibatnya, kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang besar kerana warganegara asing berkenaan enggan bekerjasama menyelesaikan masalah-masalah yang ditimbulkan, telah cabut ke luar negara membawa bersama keuntungan berpuluh-puluh juta.

Oleh yang sedemikian, saya amat-amat berharap pihak kerajaan terutamanya Perdana Menteri serta Menteri Dalam Negeri mengarahkan pegawai kerajaan agar lebih berwaspada dalam isu keselamatan dalam negara terutamanya melibatkan pembinaan 'sistem-sistem keselamatan negara' agar tidak diberikan kepada syarikat-syarikat yang berdaftar di Malaysia, tetapi dimiliki oleh warganegara asing atau selepas diberikan kontrak yang besar, ia dipindah milik kepada syarikat-syarikat lain yang pada zahirnya juga berdaftar di Malaysia tetapi dimiliki warganegara asing.

Apakah perlu kita mendapatkan khidmat syarikat asing untuk membantu membina sistem maklumat keselamatan negara, sedangkan di dalam negara kita mempunyai banyak pakar pembina sistem yang lebih canggih dan selamat? Tidakkah ini akan mendedahkan keselamatan negara kepada ancaman luar jika sistem keselamatan negara dibina oleh syarikat berdaftar di Malaysia tetapi sebenarnya dimiliki oleh warganegara asing atau syarikat asing?

Pada masa kini, banyak isu dan komen di Internet menyatakan, kerajaan Malaysia telah memberikan Letter of Award (LOA) untuk membina 'sistem kawalan keselamatan' dengan nilai kontrak RM400 juta selama lima tahun pada Mei/Jun 2008 kepada sebuah syarikat tempatan, tetapi setelah satu tahun kontrak tersebut dilaksanakan, dan memperoleh keuntungan bersih lebih RM110 juta dalam masa yang singkat, syarikat tersebut kemudian menjual 100 peratus sahamnya dengan harga RM170 juta kepada sebuah syarikat berdaftar di Malaysia tetapi dimiliki 98 peratus warganegara asing

Sama dengan syarikat yang diberikan kontrak I-Kad itu, syarikat warganegara asing itu juga menggunakan taktik-taktik seperti memenangi banyak anugerah dan patent pending di lebih 100 buah negara, tetapi sebenarnya tidak mempunyai sebarang reference site pun.

Ini adalah mengenai isu keselamatan negara dan ia mesti berpaksi kepada cintakan negara, bukannya mencari keuntungan singkat dan kerajaan yang akan mengalami masalah di kemudian hari. Oleh yang sedemikian, kawalan khas iaitu seperti 'mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum menjual saham kepada warganegara asing' perlu dimasukkan dalam terma perjanjian dan perlu ada exit clause dalam kontrak tersebut supaya kerajaan mempunyai hak untuk menghentikan kontrak tanpa membayar apa-apa pampasan kepada syarikat tersebut.

Kerajaan harus lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek mega dan perlu mendapat maklum balas daripada rakyat terlebih dahulu atau melantik juru perunding khas, sebelum membuat sesuatu keputusan yang membabitkan jumlah kos yang besar kerana dikhuatiri ia akan menyusahkan rakyat dan kerajaan semula di kemudian hari.

Kerajaan harus menjalankan Due Diligence kepada akaun-akaun dan inbois-inbois untuk memastikan syarikat tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti window dressing dan creative accounting untuk memberikan gambaran palsu bahawa kedudukan kewangan syarikat tersebut betul-betul kuat dan berpuluh juta hasil pendapatan datang dari luar negara, tetapi sebenarnya pendapatan dan keuntungan yang dilaporkan adalah dari Malaysia, yang belum mempunyai apa-apa hasil pun.

Oleh : Mat Noor Amin
Johor Bahru

No comments:

Post a Comment