Saturday, March 12, 2011

Sikap Pasif Rakyat Terhadap Pertahanan Negara

BEGITU aneh dan ironis kandungan buku terbaru bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) bertajuk Hard Truths: To Keep Singapore Going yang mempunyai maklumat dasar pertahanan negara tersebut dan lebih bermakna berbanding dengan dokumen rasmi Kementerian Pertahanan republik tersebut.

Tidak keterlaluan jika diandaikan pembaca Hard Truths akan lebih memahami strategi pertahanan Singapura kerana LKY tidak bersembunyi dan malu-malu dalam menakrifkan apa yang beliau telah laksanakan semasa memegang jawatan tertinggi lebih dua dekad yang lalu.

Bukan mudah bagi kepimpinan Singapura untuk meyakinkan rakyat bahawa perbelanjaan besar diperuntukkan untuk pertahanan adalah kerana keadaan yang memaksa, bukannya hanya kerana mahu bermegah.

Memang benar strategi yang digunakan oleh kepimpinan Singapura terutama sekali LKY adalah melampau dan kadangkala tidak masuk akal, tetapi hakikatnya ialah sebahagian besar rakyat mereka menerima dalil dan hujah yang dikemukakan.

Bayangkan tanggapan LKY yang memberi persepsi jika pertahanan Singapura tidak hebat seperti hari ini, Malaysia sudah pasti akan mengambil kesempatan daripada kelemahan tersebut. Walaupun rakyat Malaysia menilai kenyataan tersebut adalah propaganda LKY sebagai justifikasi perbelanjaan pertahanan yang besar, tetapi rakyat Singapura menerima kenyataan itu sebagai suatu yang benar dan tidak menganggapnya sebagai satu mitos.

Peruntukan tahunan pertahanan Singapura dalam lingkungan 5-6 peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) adalah antara yang ke-10 tertinggi di dunia. Tetapi jika dikaitkan dengan per kapita pula, maka peruntukan tersebut adalah kedua tertinggi di dunia iaitu hanya di belakang Israel. Begitu juga jika dikaitkan dengan jumlah jet pejuang F-15 dengan nisbah keluasan negara, Singapura dalam kes ini berada jauh di hadapan, diikuti Israel dan negara-negara lain yang mempunyai F-15.

Hakikatnya adalah segala apa yang berkaitan dengan pertahanan Singapura, statistik dan fakta menggambarkan sesuatu yang ekstrem. Anehnya rakyat mereka menerima hakikat ini sebagai keperluan untuk melangsungkan kemajuan negara mereka.

Sebaliknya, begitu ironis sekali sebilangan rakyat Malaysia kerana tidak mempunyai persepsi pertahanan yang selari seperti mana yang dimiliki oleh rakyat Singapura. Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang dilancarkan pada November 2010 langsung tidak mendapat perhatian sewajarnya walaupun dokumen tersebut dianggap begitu penting.

Malah Kementerian Pertahanan Malaysia telah menerbitkan dokumen DPN versi yang mudah difahami tetapi ia masih tidak mampu menarik perhatian rakyat. Apakah rakyat Malaysia mempunyai pendirian bahawa hal ehwal pertahanan adalah masalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) begitu sukar untuk diselami dan difahami.

Sikap kurang prihatin terhadap hal ehwal pertahanan seperti yang dipamerkan oleh sebahagian rakyat Malaysia adalah tidak sihat kerana ia mampu mempengaruhi senario politik semasa. Jika ada golongan yang mempersoalkan mengapa perlu berbelanja besar untuk memperoleh jet pejuang Sukhoi, kapal selam Scorpene ataupun kapal tempur pesisir, isu itu boleh dijadikan modal politik oleh mereka yang mempunyai agenda tertentu.

Jika rakyat tidak mengambil berat dan lepas tangan mengenai hal ehwal pertahanan, maka modal politik tersebut boleh memberi tekanan kepada kerajaan dan besar kemungkinan akan menghasilkan implikasi jangka panjang yang tidak baik kepada pertahanan negara.

Sikap acuh tidak acuh terhadap hal ehwal pertahanan juga memberi kesan mendalam kepada tahap kesediaan organisasi ATM. Isu pertahanan pada hari ini berkait rapat dengan penggunaan teknologi termaju dan sudah pasti ATM mahukan anggota tentera dari kalangan yang terbaik. Tetapi hakikatnya ialah mereka yang terbaik ini tidak mahu menyertai ATM.

Ini berbeza dengan angkatan tentera Singapura (SAF). Rakyat mereka begitu bangga kerana mereka akur bahawa hanya yang terbaik akan diterima SAF. Sebab itu, LKY mendabik dada menyatakan Kabinet kerajaan Singapura adalah yang terbaik dan terpintar di dunia, mempunyai komposisi sekurang-kurangnya 30 peratus dari kalangan pegawai tertinggi SAF. Malah Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga asalnya dari SAF.

Tidak dapat dinafikan bahawa kepentingan ekonomi selalunya dikaitkan secara langsung dengan dasar pertahanan. Negara yang mempunyai sistem pertahanan mantap akan memudahkan kelangsungan kepentingan ekonomi mereka. China yang baru saja memintas Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia setiap tahun memperuntukkan perbelanjaan pertahanan yang besar bagi menjaga kepentingan ekonomi yang terdapat di seluruh pelosok dunia. Begitu juga dengan India yang dianggap sebagai kuasa ekonomi baru dunia pada tahun lalu telah meningkatkan peruntukan pertahanan sehingga 11.6 peratus berbanding dengan empat peratus pada tahun sebelumnya.

Langkah tentera darat Amerika Syarikat (AS) mendakwa prebet tentera Bradley E. Manning atas tuduhan membantu musuh yang boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup membayangkan betapa sensitifnya apabila berhadapan dengan isu pertahanan. Manning dipercayai bertanggungjawab menyalurkan maklumat mengenai kabel sulit Jabatan Negara AS serta rekod perang Iraq dan Afghanistan kepada WikiLeaks.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia membuat anjakan dan perubahan daripada sikap pasif kepada lebih prihatin terhadap hal ehwal pertahanan negara. Tidak salah mempersoalkan strategi dan jumlah peruntukan pertahanan negara tetapi jangan sampai ke tahap memperlekehkan atau mempersenda apa yang dimiliki. Jika rakyat sentiasa mengambil sikap negatif terhadap pertahanan negara, maka yang akan rugi adalah generasi akan datang.

Oleh : Azmi Hassan
Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi
dan Sains GeoSpatial (INSTEG), UTM

1 comment:

  1. wah best baca topik ni bro.... saya bangga ngan ATM, sebab berjaya berdiri sekurang2nya hapir sama ngan SAF, namun kenapalah rakyat malaysia suka mempolitikkan isu2 Pertahanan malaysia ni. takut2 nanti segala kelemahan pertahanan kita dapat didengari dengan senang oleh musuh2 kita.

    ReplyDelete