Sebelum zaman penjajahan British, Port Dickson dikenali sebagai Tanjung manakala Georgetown pula terkenal dengan nama Tanjong Penaga. Begitu juga Butterworth yang dipanggil sebagai Bagan.
Malah, kawasan-kawasan baharu yang diterokai penjajah seperti Cameron Highlands dan Bukit Fraser turut menggunakan nama Inggeris.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican menyifatkan, tempat-tempat yang dinamakan oleh penjajah perlu diubah kerana ia sebenarnya memadam sejarah awal tempat tersebut.
Katanya, walaupun sebelum ini ada usaha-usaha dari kerajaan untuk mengembalikan nama asal, suatu gelombang pembaharuan diperlukan bagi memartabatkan identiti asal negara ini.
“Apabila penjajah mengambil alih nama asal seperti di Georgetown dan Butterworth, ia bermaksud mereka menjarah identiti tempat itu. Mereka bukan sahaja merosakkan sejarah tetapi memadam sejarah tempat yang sudah sekian lama wujud.
“Jadi, usaha mengembalikan nama seperti Bukit Melaka ini perlu diteruskan, perlu ada gelombang dengan mengubah nama penjajah kepada nama asal. Perkara ini tidak sepatutnya menjadi polemik kerana ia melibatkan identiti, budaya dan bahasa kita, ini proses menyah penjajah dan mengembalikan identiti kita.
“Dalam keadaan sekarang ini, tidak ada apa yang menghalang kita, tidak ada sebarang sekatan. Mengapa tidak ubah? Kalau saya Perdana Menteri, saya akan ubah nama-nama tempat, nama-nama jalan,” katanya.
Papan tanda
Beliau mengulas mengenai Bukit St. Paul yang kini dikenali dengan nama asalnya Bukit Melaka, malah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sudah memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan lokasi tersebut sebagai Bukit Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis menegaskan, penukaran nama tersebut adalah untuk mengembalikan semula nama asal bukit berkenaan dan tindakan itu dilihat mampu menjadi produk baharu pelancongan negeri.
Jelasnya, Bukit Melaka merupakan nama asal lokasi itu ketika pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka sebelum kedatangan penjajah.
Pada masa sama, kata Ahmad Murad, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu tegas dengan permohonan nama kawasan-kawasan baharu seperti taman perumahan, bandar dan bangunan yang tidak mematuhi penggunaan nama bahasa Melayu.- UTUSAN
No comments:
Post a Comment