Diminta failkan kembali pertuduhan sama ke atas ADUN
BANGI – Tindakan menarik balik dua pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran tanpa memberikan sebarang tunjuk sebab memberi gambaran bahawa Peguam Negara tidak berwibawa.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan ini secara terbuka menunjukkan wujudnya campur tangan politik dan pilih kasih jika dibandingkan dengan pertuduhan yang dikenakan kepada tahanan lain di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Penarikan pertuduhan tanpa sebab dalam kes Harimau Kebangkitan Tamil Eelam (LTTE) yang membabitkan ADUN DAP ini hanya mengesahkan reputasi buruk Peguam Negara yang sudah banyak kali menyemak dan menggugurkan pertuduhan yang dibuat ke atas ahli politik daripada Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan kerajaan yang melaung-laungkan prinsip ketelusan supaya tidak menggunakan kuasa pregoratif Peguam Negara sewenang-wenangnya seperti yang pernah diamalkan pada zaman Barisan Nasional (BN).
Beliau menegaskan masalah keganasan bukan masalah yang boleh dipandang enteng kerana ia mampu menjejaskan keselamatan negara.
“Sekalipun jika pertuduhan ini ditarik balik kerana masalah-masalah teknikal, rakyat mahu Jabatan Peguam Negara menyelesaikan masalah-masalah itu dengan segera dan failkan kembali pertuduhan yang sama ke atas Adun itu.
“Saya percaya bahawa kes yang berkaitan keganasan lebih-lebih lagi di bawah SOSMA tidak akan dibawa ke mahkamah melainkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh,” katanya.
Semalam, Mahkamah Sesyen Seremban membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Gunasekaran.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada jam 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu. - www.ismaweb.net
No comments:
Post a Comment