Friday, November 8, 2019

Agenda Pengganas Komunis Hapuskan Islam, Institusi Diraja

Pelik bila ada pihak mahu iktiraf komunis pejuang kemerdekaan
BANGI – Perjuangan kumpulan pengganas komunis hanya untuk memporak-perandakan dan merampas apa yang telah dicapai oleh sebuah negara merdeka.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zaini Mohd Said berkata, sejak dahulu lagi, pengganas komunis berjuang untuk menjatuhkan kerajaan, sama ada British atau kerajaan merdeka untuk dijadikan sebagai republik komunis.

Beliau berkata, mereka akan komited dengan sistem komunis atau berlindung di bawah negara berpengaruh supaya sistem sedia ada di sebuah negara merdeka dapat dipecahkan.

“Melalui itu juga, Raja-Raja Melayu, kerajaan, Perlembagaan dan agama Islam dihapuskan. Negara diambil alih oleh pengaruh dan ideologi lain.

“Mereka (komunis) mahu rampas apa yang kita capai sebagai negara merdeka,” katanya dalam temubual rancangan Cakap Serupa Bikin, di TV Pertiwi, hari ini.

Justeru, beliau hairan dan tidak bersetuju apabila ada pihak tertentu yang mahu mengiktiraf pengganas komunis, kononnya sebagai pejuang kemerdekaan.

“Saya mendengar komunis pejuang kemerdekaan ini baru-baru saja lagi. Masa mula berkhidmat dahulu, saya tidak pernah dengar pun yang komunis ini pejuang kemerdekaan.

“Apa yang pasti mereka ini adalah ‘pengganas’, kerana kita lebih menilai mereka daripada tindak-tanduk kumpulan itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha mengkomuniskan rakyat di negara ini bukanlah perkara baharu yang berlaku pada masa kini, sebaliknya telah dijalankan sejak dahulu lagi.

“Berdasarkan pengalaman saya, usaha mengkomuniskan telah dilaksana masa dulu lagi. Cuma sekarang ia ditingkatkan lagi untuk mempengaruhi orang ramai menyokong fahaman yang mereka pelopori masa kini.

“Dahulu sudah ada usaha ini, tapi tidaklah secara terang-terangan. Polis mungkin tahu, tetapi tidak menghebahkan seperti sekarang,” katanya. - www.ismaweb.net

1 comment:

  1. perfekt günstig uhren, combining elegant style and cutting-edge technology, a variety of styles of perfekt günstig omega uhren, the pointer walks between your exclusive taste style.

    ReplyDelete