Wednesday, July 31, 2019

Melihat Keghairahan Chauvinist

Menjadikah tiga pulau jadian?
ADA sahabat saya dalam kalangan pengamal perancangan bandar meramalkan sejak awal lagi bahawa projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation, PSR) akan menjadi satu isu besar yang perlu ditangani dengan bijaksana oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ramalan mereka nampaknya kini menjadi realiti. Pada 11 Julai lalu, satu demonstrasi oleh sekumpulan 400 orang menolak projek PSR ini berlangsung dekat Tugu Negara, Kuala Lumpur. Mereka berhimpun di situ pada pukul 8 pagi sebelum berarak ke Parlimen dan berhimpun di pintu masuk Parlimen. Setibanya di situ, mereka menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut mereka, proses kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) `bersikap autokratik’ kerana ia mengabaikan bantahan dan pandangan awam. Mereka juga menegaskan bahawa gambaran `penerimaan’ oleh segelintir nelayan terhadap projek PSR itu adalah sebenarnya daripada kelompok nelayan `yang sudah bersara dan separuh masa’, sedangkan projek berkenaan akan menjejaskan 10,000 nelayan sepenuh masa.

BOM JANGKA

Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa aktiviti mengorek pasir di Perak untuk maksud projek tambak laut di Pulau Pinang itu merupakan `satu bom jangka’ yang akan menghakis pantai negeri itu. Turut hadir dalam demonstrasi itu Mansor Yusof, pengerusi Persatuan Nelayan Perak dan Nazri Ahmad, pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang.

Perdana Menteri dilaporkan berjanji akan meneliti memorandum bantahan tersebut. Beliau menambah bahawa andainya dakwaan yang dinyatakan oleh kumpulan itu berasas, kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan sewajarnya. Pada 13 Julai lalu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu lebih 200 orang (terdiri daripada nelayan, penduduk dan ahli pertubuhan bukan kerajaan) di Jeti Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang bagi mendengar masalah sebenar.

Minggu lalu (16 Julai), Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyatakan bahawa beliau telah menerima permintaan daripada Anwar untuk mengatur satu sesi taklimat yang lebih menyeluruh mengenai PSR. Kon Yeow berjanji satu sesi taklimat khusus bersama Anwar akan diatur dalam masa terdekat.

PROJEK PSR
Projek tambak laut PSR melibatkan kerja tebus guna seluas 1,821.085 hektar kawasan laut di bahagian selatan Pulau Pinang. Matlamat utama projek mega ini adalah membina tiga pulau jadian (artificial islands) dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut. Mengikut portal https://anilnetto.com/ tiga pulau jadian itu mempunyai keluasan seperti berikut - pulau A (2,300 ekar), pulau B (1,400 ekar) dan pulau C (800 ekar).

Bila siap dilaksanakan nanti, projek ini (yang dijangka mengambil masa antara 30 hingga 50 tahun) akan mewujudkan bank tanah yang bernilai tinggi, cukup untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Jabatan Alam Sekitar khabarnya telah meluluskan laporan EIA projek ini pada 4 Julai 2019 lalu.

Dalam risalah kecilnya setebal 20 halaman bertajuk “Kesan-kesan penambakan laut di Malaysia” (kini ada dalam talian), Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyatakan bahawa projek mega PSR ini “jelas akan menyebabkan pemusnahan alam semula jadi, menjejaskan sektor perikanan dan sumber pendapatan rakyat yang bergantung kepada sektor perikanan.”

Sambil mengingatkan kerajaan bahawa sektor perikanan merupakan sumber pendapatan beribu-ribu orang selain menjamin sekuriti makanan kita, badan NGO itu menggesa agar sektor ini tidak “dikorbankan oleh Kerajaan untuk suatu pembangunan yang tidak diperlukan”. Ketika melancarkan risalah kecil itu pada 27 Februari 2019 lalu, presiden SAM (S.M. Mohamed Idris yang meninggal dunia pada 17 Mei 2019 lalu) menggesa kerajaan supaya membatalkan semua projek tambak laut di negara ini.

KESAN BURUK
Pada Mei lalu, akhbar ini ada menyatakan bahawa projek PSR di Pulau Pinang ini akan mendatangkan kesan buruk kepada Perak. Mengikut Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin, aktiviti perlombongan pasir laut akan berlaku sehingga ke kawasan pesisir pantai Perak, menyebabkan berlakunya kawah besar di dasar laut yang akhirnya akan mengakibatkan hidupan marin pupus selain menjejaskan kehidupan lebih 6,000 nelayan di kawasan Tanjung Piandang sehingga ke Manjong, Perak.

Tambah Hafizudin lagi, kewujudan tiga buah pulau jadian itu boleh mengubah haluan ombak dan akibatnya kawasan pantai Tanjung Piandang di Perak dan Nibong Tebal akan terhakis. Tanjung Piandang dan Nibong Tebal adalah kawasan yang kaya dengan paya bakau. Disebabkan perubahan ombak itu, hakisan akan berlaku di kawasan paya bakau dan ini akan menyebabkan “udang, kerang dan habitat di paya bakau akan musnah sehingga mendatangkan kesan buruk kepada masa depan kita”. (“Utara Perak akan turut terjejas akibat tambak laut”, Utusan Malaysia, 20 Mei 2019).

PETISYEN
Pada 10 Mei lalu, kumpulan NGO Penang Forum mengambil inisiatif memulakan satu petisyen di talian menggesa kerajaan pusat campur tangan untuk membatalkan projek mega ini. Bercakap bagi pihak kumpulan itu, Khoo Salma Nasution berkata, ketiadaan konsultasi awam dan maklumat yang terperinci mengenai projek mega ini (yang akan menghasilkan satu kawasan yang sama besarnya dengan Forest City di Johor) telah menimbulkan keresahan beberapa pihak yang akan terkesan olehnya.

Tempias projek mega ini akan dialami bukan hanya oleh 4,817 nelayan tempatan di Pulau Pinang, bahkan juga 6,080 nelayan di Perak. Berucap bagi pihak warga nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata “Laut adalah sumber kehidupan kita. Hormatilah hak kita”.

Bercakap bagi pihak Penang Forum, Khoo berkata “Malaysia tidak perlu ada satu lagi Forest City”.

Sukar bagi kita meramalkan sama ada projek mega tambak laut ini akan akhirnya dapat diteruskan atau akan dibatalkan. Sementara itu, soalnya apakah wajar satu referendum diadakan supaya semua warga Malaysia diberi peluang untuk sama-sama menentukan jawapannya?

Oleh: Datuk Salleh Buang 

Saturday, July 27, 2019

Berbicaralah Dengan Isteri

Wow… Bila suami layan isteri bercakap boleh buat otak bergeliga
Tidak salah untuk dengar isteri berceloteh atau membebel sepanjang hari kerana ia mungkin akan menjana pendapatan hasil idea bernas yang timbul.

Lumrah wanita memang suka bercakap.

Tengok sahajalah di rumah, yang banyak bercakap pastinya si isteri.

Ada sahaja benda yang isteri nak cakapkan, sampaikan ada suami yang mengeluh kerana rasa rimas dan malas nak layan.

Menurut pakar, otak wanita tidak dapat menyimpan maklumat secara khusus, misalnya apa yang difikirkan di siang hari akan berlegar-legar dalam fikirannya dan perlu diluahkan.

Otak wanita menggunakan pertuturan sebagai cara untuk meluahkan perasaan.

Disebabkan otak wanita tidak mampu menyimpan maklumat, satu-satunya cara untuk wanita mengetepikan masalah ialah dengan cara bercakap mengenai perkara itu.

Jika isteri anda kategori wanita yang banyak cakap, suami jangan cepat melenting!

Mungkin melayani isteri yang banyak cakap ini anda rasa menjengkelkan, namun di sebaliknya ada kelebihan yang suami dapat.

Menurut Mohd Fhais yang berkongsi di laman Facebooknya, melayani isteri bercakap ini boleh membuatkan otak suami bergeliga.

Benarkah dakwa ini? Jom baca penjelasannya.

Tahu tak? Layan isteri bercakap boleh buat otak bergeliga.

Serius tau, semakin kerap dengar celoteh isteri semakin otak ini jadi bergeliga, selalu idea fresh datang dengan sendiri.

Padahal yang dia duk ngomel tu tak ada kaitan langsung dengan kerja pun..

Menurut kajian Profesor Madya Dr. Sabitha Marican dari UUM wanita boleh bercakap sekurangnya 20 ribu patah perkataan sehari.

Orang lelaki pula hanya 7 ribu sahaja. 3 kali ganda lebih banyak!

Sebab itu bila kita layan isteri bercakap kebarangkalian otak kita jadi lebih bijak adalah 3 kali ganda lebih tinggi daripada kita duk berborak dengan kawan lelaki.

Bayangkan jika berborak dengan lelaki, otak kita hanya akan memproses maklumat sebanyak 7 ribu patah perkataan sahaja. Mungkin kurang dari itu. Berbanding borak dengan wanita otak kita di paksa untuk proses 20 ribu maklumat sekali gus. Lebih banyak memproses akan membuatkan otak jadi lebih cepat berfikir.

Sebab inilah kenapa otak wanita 10 kali ganda lebih cepat memproses maklumat daripada otak lelaki kerana mereka dah berlatih bercakap 20 ribu patah perkataan sehari sejak kecil lagi.

Jadi memang tak hairanlah kalau isteri kita dalam kereta bercakap, basuh pinggan bercakap, lipat baju bercakap, malah tengah makan pun dia boleh bercakap. Sebabnya mereka ada kuota yang perlu dipenuhi.

Lepas ini kalau nampak isteri berceloteh jangan marah, pasang telinga betul-betul sebab mungkin idea jutaan ringgit boleh datang tiba-tiba..

Kerana setiap patah yang keluar dari mulut isteri itu pembawa rezeki…

Sumber: www.freemalaysiatoday.com

Friday, July 26, 2019

Apabila PBT Pekak Dan Buta.....

Gunalah nama bahasa kebangsaan
SETIAP pemaju hartanah dan perumahan wajar komited menggunakan bahasa kebangsaan bagi menamakan kawasan taman perumahan dan nama jalan.

Ini bagi membina identiti dan jati diri bangsa Malaysia yang berilmu dan sentiasa cintakan bahasa kebangsaan.

Usaha ini boleh dilakukan melalui kerjasama erat dengan pihak majlis perbandaran, majlis daerah dengan pemaju hartanah dan pemaju kawasan perumahan yang dibangunkan. Biarlah ia menggambarkan sejarah dan asal usul tempat yang sesuai dan menarik. Sebagai contoh, nama “Batang Berjuntai” sudah diubah kepada Bestari Jaya, di daerah Kuala Selangor yang lebih moden, sopan dan sesuai dengan budaya dan kesantunan bangsa.

Selama ini pihak pemaju lebih gemar dan berminat menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa asing bagi tujuan salah satu tarikan terhadap strategi pemasaran. Mungkin juga untuk menampakkan ada ‘kelas’ tersendiri. Tetapi sebenarnya mencemarkan bahasa dan budaya sendiri.

Mungkin sebelum ini tiada larangan khas atau khusus berkaitan menamakan kawasan perumahan atau taman perumahan. Kini pihak majlis perbandaran sudah ada pekeliling berhubung larangan penggunaan nama asing bagi projek perumahan, bangunan dan jalan yang akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Justeru, pekeliling tersebut antara lain bagi mengingatkan semua PBT di negara ini berkaitan garis panduan yang perlu dipatuhi untuk kelulusan permohonan bagi mamajukan kawasan perumahan dan juga nama jalan dan bangunan sebelum sesuatu projek itu dibangun dan dimajukan. Ketegasan dalam pelaksanaannya mestilah dilakukan.

Adalah lebih berkesan apabila pihak PBT bertegas menjalankan tugas dan tanggungjawab melaksanakan langkah menggunakan nama beridentitikan Malaysia dengan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan betul bagi nama kawasan perumahan, nama jalan yang dicadangkan.

Tidak rugi menggunakan nama beridentitikan Malaysia untuk memartabatkan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di mana sahaja dalam persekitaran kehidupan kita. Ia juga akan menggambarkan bangsa Malaysia yang cintakan bahasa dan budayanya pada setiap masa.

Bagi mendapatkan nama yang baik, tepat dan betul, pihak pemaju hartanah dan perumahan boleh merujuk kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sentiasa sedia memberikan khidmat berkaitan bahasa kebangsaan. Ia boleh dilayari melalui Khidmat Nasihat-Pusat Rujukan Persuratan Melayu@DBP-PRPM iaitu Khidmat Nasihat bahasa betul sama ada berkaitan ejaan, perkataan, istilah, nama dan terjemahan perkataan.

Semoga usaha memartabatkan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan yang akan dilaksanakan oleh semua PBT di seluruh negara kepada pemaju hartanah dan perumahan akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Jangan sampai ditegur oleh pihak tertentu apabila melakukan kesalahan sama. Jadilah bangsa yang sentiasa menghormati dan memartabatkan bahasanya.

Oleh: Dr. Aminudin Mansor

Thursday, July 25, 2019

Cerita Apa Ini.....

Konspirasi politik bukan kesalahan jenayah
Kes video seks yang pelakunya dikatakan mirip wajah seorang menteri Kabinet belum nampak pengakhirannya. Tidak jelas bagaimana kes ini akan diakhiri. Selagi tidak diakhiri, ia menjadi api dalam sekam, duri dalam daging yang membakar dan merobek PKR dan menjadi beban yang sangat besar buat Pakatan Harapan.

Apakah kes ini sememangnya dirancang supaya tiada pengakhiran yang segera? Apakah ada pihak berkepentingan yang sengaja membiarkan kes ini berterusan supaya mereka punya masa untuk membuat “deal” di belakang tabir? Apakah terdapat usaha tersusun untuk memanjangkan kes ini supaya ia terus berlarutan agar pihak yang berkonflik semakin tajam perpecahannya dan menjadi lemah? Dan kalau kes ini berlarutan tanpa sebarang penyelesaian tuntas, siapakah yang mendapat untung daripadanya?

Persoalan ini membawa kita kepada satu istilah yang kerap digunakan sekarang apabila merujuk kepada kes video seks tersebut – konspirasi politik.

Istilah konspirasi merujuk kepada satu bentuk pakatan, komplot atau persekongkolan antara 2 orang atau lebih secara rahsia untuk melakukan tindakan bagi mencapai tujuan yang dipersetujui bersama.

Manakala politik merujuk kepada kuasa yang membolehkan pemegang kuasa menentukan sumber bernilai dalam pelbagai bentuk diagihkan kepada siapa, bila dan bagaimana.

Justeru itu, konspirasi politik secara mudahnya adalah suatu komplot rahsia antara 2 atau lebih orang untuk mendapatkan kuasa. Memandangkan kuasa yang bakal diperolehi itu akan menentukan bagaimana sumber bernilai diurus dan diagihkan, maka konspirasi politik adalah aktiviti lumrah dalam persaingan untuk mendapatkan kuasa di mana-mana negara di dunia.

Memandangkan ia adalah lumrah dan wujud sebagai sebahagian daripada sifat yang terkandung dalam persaingan kuasa untuk merebut sumber, ia tidak dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah. Ia mungkin boleh dianggap sebagai kesalahan moral dan etika, tapi bukan kesalahan jenayah.

Dan dalam konteks negara kita Malaysia, tiada undang-undang yang menyatakan konspirasi politik itu suatu kesalahan jenayah. Malahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah dituduh sebagai dalang kepada konspirasi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri yang kemudiannya mencetuskan gerakan reformasi 1998.

Walaupun Mahathir pernah dituduh sebagai dalangnya tapi tiada undang-undang negara yang boleh menyabitkan beliau dengan kesalahan konspirasi politik. Kalau hendak disabitkan dengan kesalahan, yang termaktub dalam undang-undang hanyalah kesalahan penyalahgunaan kuasa, misalnya mempengaruhi polis untuk meneruskan atau tidak meneruskan tindakan yang sewajarnya.

Inilah yang terjadi kepada Anwar pada tahun-tahun reformasi. Beliau dipenjarakan pada waktu itu bukan kerana liwat tetapi kerana penyalahgunaan kuasa, yakni beliau dikatakan menggunakan kedudukan dan kuasanya sebagai timbalan peradana menteri ketika itu untuk mempengaruhi polis bagi mengetepikan siasatan ke atas tuduhan liwat yang dibuat oleh Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali.

Justeru, berkonspirasi politik bukanlah suatu kesalahan jenayah. Kecuali kalau dapat dibuktikan seseorang itu menggunakan kedudukan dan kuasanya untuk mempengaruhi institusi negara misalnya polis, bagi mencapai matlamat politiknya – hanya setelah hal itu dibuktikan barulah boleh ia dikatakan kesalahan jenayah dalam bentuk penyalahgunaan kuasa.

Justeru, kalau diteliti daripada kes video seks yang pelakunya dikatakan mirip wajah seorang menteri Kabinet itu terdapat 2 bentuk konspirasi politik yang diketengahkan kepada masyarakat awam.

Pertama, konspirasi untuk menjatuhkan menteri Kabinet tersebut. Jatuh-menjatuh, cantas-mencantas adalah suatu tindakan politik yang lumrah dalam persaingan kuasa. Tiada apa-apa kesalahan jenayah dalam tindakan politik ini. Yang menjadi kesalahan jenayah adalah kaedah yang digunakan, yakni menerbitkan dan mengedar kandungan lucah kepada masyarakat awam.

Kedua, konspirasi untuk menghalang ahli Parlimen yang dijanjikan dengan jawatan perdana menteri daripada mendapatkan jawatan tersebut. Ini juga bukanlah kesalahan jenayah. Yang menjadi kesalahan jenayah dalam konteks konspirasi ke-2 ini, seperti mana konspirasi pertama ialah kaedahnya.

Apakah kaedah yang digunakan untuk menghalang ahli Parlimen yang dijanjikan jawatan perdana menteri itu melibatkan penyalahgunaan kuasa? Apakah kuasa yang dimiliki itu digunakan untuk mempengaruhi institusi negara, dalam kes ini polis, agar ahli Parlimen tersebut akhirnya diketepikan daripada menjawat jawatan perdana menteri?

Pada 12 Jun 2019 ketika ditanya wartawan tentang video seks tersebut, Mahathir berkata, “I don’t think this thing is true. Because nowdays you can produce all kinds of pictures if you are clever enough” atau dengan kata lain Mahathir berpandangan video tersebut adalah palsu dan dengan teknologi hari ini ia boleh dimanipulasikan. Selanjutnya Mahathir turut menyatakan, “This is cooked up by somebody who has a political agenda” yang membawa maksud video ini dibuat oleh seseorang yang punya agenda politik yang tertentu.

Kenyataan Mahathir ini dibuat sebelum pihak polis selesai menjalankan siasatan mereka. Kalau diteliti dari kenyataan Mahathir itu, tumpuan beliau bukan kepada siapa pelaku aktiviti seksual tersebut tetapi kepada ketulenan video dan siapa dalang di belakangnya.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, pada 18 Julai 2019, setelah lebih kurang sebulan melakukan siasatan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador akhirnya mengeluarkan kenyataan bertulis yang menyatakan kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi tetapi hasil pengecaman wajah adalah negatif. Namun begitu beliau tidak pula memperincikan bagaimana keputusan negatif itu diperolehi.

Yang lebih memusykilkan lagi apabila tersebar berita bahawa pakar forensik imej digital dari syarikat di Indonesia pula memutuskan pengecaman wajah mereka yang didakwa melakukan aktiviti seksual itu adalah positif.

Selanjutnya Hamid turut menyatakan dalang yang terbabit di dalam “pakatan jahat” menghasilkan video tersebut adalah seorang pemimpin parti politik.
Dikatakan juga pemimpin parti politik itu mengupah pihak tertentu dengan biaya ratusan ribu ringgit untuk menghasilkan video seks itu. Sekali lagi tiada perincian yang dihuraikan oleh beliau bagaimana penemuan ini diperolehi.

Membandingkan kenyataan Mahathir pada 12 Jun 2019 dan kenyataan Hamid pada 18 Julai 2019 suatu persoalan timbul – apakah fokus ketua polis negara dalam siasatan terhadap video tersebut dipengaruhi oleh kenyataan Mahathir selaku pemegang kuasa tertinggi pemerintahan negara? Apakah Hamid bertindak bebas daripada pengaruh Mahathir? Apakah Hamid benar-benar bertindak mengikut keluhuran undang-undang negara?

Jika Hamid benar-benar bebas dan dan mematuhi keluhuran undang-undang negara, kenapa fokus siasatan hanya tertumpu kepada mencari dalang semata-mata? Kenapa siasatan untuk mencari dan membuktikan siapa pelakunya tidak diberi tumpuan yang sama penting? Konspirasi politik bukanlah kesalahan jenayah. Tapi menerbit dan mengedar bahan lucah adalah kesalahan jenayah.

Begitu juga dengan melakukan seks di luar tabii turut termaktub dalam Kanun Keseksaan perkara 377B sebagai suatu kesalahan jenayah. Sehinggalah ahli Parlimen kita membatalkan perkara tersebut, tidak dapat tidak ia masih tetap menjadi sebahagian daripada undang-undang negara.

Seperti mana yang dihuraikan sebelumnya – konspirasi politik bukan suatu kesalahan jenayah. Tapi menyalahgunakan institusi negara, kedudukan dan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat untuk menjayakan agenda politik diri sendiri atau diri proksi yang menaungi bukan sahaja suatu kesalahan jenayah tetapi juga suatu kesalahan moral dan etika.

Oleh: Hafez Darwis

Thursday, July 18, 2019

Untungnya Berpoligami

Wawancara

Wartawan : Apa nama pak cik?

Lelaki : Husin

Wartawan : Pak cik ada berapa orang isteri?

Lelaki : Alhamdulillah saya ada 4 orang isteri.

Wartawan : Berdasarkan pengalaman Pak cik, apa nasihat pak cik untuk kaum lelaki di luar sana?

Lelaki : Saya galakan mereka untuk berkahwin 3 atau 4 orang isteri.

Wartawan : Kenapa pak cik?

Lelaki : Kerana berurusan dengan 4 orang isteri umpana berurusan dengan syarikat penerbangan atau syarikat telekomunikasi di mana mereka sentiasa berlumba - lumba memberi khidmat terbaik dengan harga berpatutan.

Wartawan : Apa pula pandangan pak cik kepada lelaki yang hanya ada seorang isteri?

Lelaki : Sesungguhnya lelaki yang beristeri seorang umpama sedang berurusan dengan syarikat Astro. Perkhidmatan tak bagus, selalu terputus bekalan siaran bila hujan dan cerita berulang ulang. Bil pula mahal.

Tuesday, July 9, 2019

Panglima Awang atau Ferdinand Magellan

Benarkah anak Melayu yang pertama mengelilingi dunia?
Bangsa Melayu di Nusantara pernah menjadi pelaut gagah yang membangun empayar maritim yang pengaruhnya tersebar melangkaui Kepulauan Melayu.

Digelar ‘penunggang monsun’ (monsoon riders) oleh pedagang-pedagang Cina, pelaut-pelaut Melayu dikatakan telah belayar jauh ke Madagascar seawal kurun ke sembilan Masihi menerusi kempen perluasan empayar oleh kerajaan Srivijaya dan telahpun tiba di Australia lebih awal dari penerokaan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Eropah.

Setelah kejatuhan kerajaan Srivijaya dan kemudiannya Majapahit pada kurun ke 13 Masihi, Melaka mengambil peranan sebagai pusat kekuasaan bangsa Melayu di Nusantara.

Kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan ulung diakui oleh penulis Portugis yang mengatakan sesiapa yang menjadi Tuan di Melaka adalah penguasa di Venice, kota perdagangan terkenal di Eropah pada kurun ke 15 Masihi.

Pihak Portugis telah menjajah Melaka pada tahun 1511 dan di sinilah titik pertemuan Ferdinand Magellan dengan seorang anak Melayu, Enrique of Malacca (Henry the Black), atau lebih dikenali di dalam sastera Melayu sebagai Panglima Awang.

Ferdinand Magellan
Sejarah telah mencatatkan Ferdinand Magellan, seorang pelayar Portugis yang berkhidmat dengan kerajaan Sepanyol adalah manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia. Apakah ini benar?

Penjajahan Barat
Pada kurun ke 14 Masihi, Portugis dan Sepanyol muncul sebagai kuasa maritim yang terkuat di dunia, sebagaimana kedudukan Amerika Syarikat dan China pada ketika ini.

Demi mengelakkan pertelingkahan di antara kedua-dua kuasa ini, pihak Portugis dan Sepanyol memeterai Perjanjian Tordesillas 1494 yang meletakkan Amerika di bawah pengaruh Sepanyol dan Asia di bawah kekuasaan Portugis. Melaka, secara rasminya terletak di bawah pengaruh Portugis menerusi Perjanjian ini.

Pihak Portugis tiba di Melaka pada tahun 1509 dan pada awalnya diterima baik.

Namun begitu, peperangan meletus di antara Portugis dengan Melaka tidak lama kemudian menyebabkan Melaka ditawan pada tahun 1511.

Sungguhpun Melaka ditawan, kewujudan kuasa-kuasa Melayu yang lain seperti Acheh dan Johor menyebabkan pihak Portugis tidak berani keluar melewati benteng kota A’Famosa bagi menguasai seluruh Semenanjung Melayu, sepertimana pihak Portugis menguasai Brazil, Mozambique dan Timor-Leste.
Sewaktu kempen penerokaan ke timur ini, Ferdinand Magellan ada bersama rombongan Diego Lopez de Sequira, orang-orang Eropah yang pertama tiba di Semenanjung Melayu.

Setelah Melaka dijarah, banyak pemuda Melayu yang ditawan dan dijadikan ‘harta rampasan perang’.

Antara yang telah dijadikan ‘harta rampasan perang’ adalah Awang, yang kemudiannya dijadikan abdi Ferdinand Magellan.

Catatan Antonio Pigafetta, seorang pengembara dan ilmuan berketurunan Itali, yang turut menyertai ekspedisi Magellan mengelilingi dunia ada mengatakan bahawa Enrique atau Awang, adalah pemuda yang berasal dari Pulau Sumatera.

Awang telah dibaptiskan sebagai penganut agama Katolik oleh penguasa Portugis yang menamakannya ‘Enrique’.

Lagipula, catatan dari wasiat Magellan ada, secara tersirat menyatakan Awang berumur 18 tahun ketika di bawa pulang ke Lisbon, Portugal pada tahun 1512.

Ada pendapat yang mengatakan Awang merupakan tentera Melayu yang turut berjuang menentang Portugis sewaktu peperangan ke atas Melaka dan ada juga pandangan yang mengatakan Awang telahpun menjadi hamba Sultan Mahmud sebelum kedatangan Portugis ke Melaka.

Pengembaraan Magellan
Sewaktu menyertai kempen menentang pihak Moors di Afrika Utara, Magellan telah dituduh mengamalkan rasuah dan tuduhan ini menyebabkannya tersinggung dan berpaling untuk berkhidmat dengan Raja Charles, Raja Sepanyol pada tahun 1517.

Pihak Portugis telah berjaya menguasai aliran perdagangan dari Eropah ke India langsung ke Melaka dan Pulau Timor pada tahun 1515.

Demi menguasai kepulauan rempah, Magellan mengusulkan kepada Raja Sepanyol bahawasanya adalah penting untuk menemukan jalan ke Kepulauan Rempah melalui jalan maritim barat menerusi Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.

Raja Sepanyol amat teruja dengan cadangan ini dan mengurniakan Magellan lima buah kapal dengan lebih 270 awak-awak kapal, dan salah satunya adalah Awang.

Pengembaraan yang pertama seumpanya di dunia itu berangkat dari Pelabuhan Sancular de Barrameda pada tahun 1519 dan mereka berdepan dengan pelbagai kesulitan – kebuluran, penyakit, kemurungan, pertelingkahan dan pembunuhan sesama sendiri dan keadaan cuaca yang tidak diduga.

Kebanyakan manusia zaman kini merungut terpaksa menaiki kapal terbang moden untuk jangka masa melebihi 6 jam walaupun pesawat tersebut dilengkapi sofa empuk, makanan lazat, set hiburan dan ruangan yang nyaman serta dijamin keselamatannya.
Bayangkan sekiranya kita menyertai ekspedisi Magellan di tengah-tengah lautan jauh dari sebarang daratan selama hampir dua tahun tanpa makanan yang mencukupi di dalam kapal ekspedisi yang kecil dengan risiko berdepan kecederaan dan kematian hampir setiap hari – sesuatu yang sulit digambarkan.

Selama pelayaran ini, Magellan telah menjadi sangat akrab dengan Awang yang tidak lagi dianggap sebagai abdi, malah lebih sebagai seorang sahabat karib.

Wasiat Magellan ada meninggalkan Awang dengan sebahagian hartanya dan apabila Magellan meninggal, Awang hendaklah dibebaskan sebagai orang yang merdeka.

Awang juga dikatakan amat menyayangi dan setia bersama Magellan ke mana sahaja beliau pergi.

Setelah 18 bulan ekspedisi ini meninggalkan Sepanyol, mereka akhirnya tiba di Pulau Samar, timur Filipina pada tahun 1521.

Awang yang menyertai pelayaran ini akhirnya telah pulang ke rantau asalnya, rantau kepulauan Melayu.

Pada waktu inilah khidmat Awang amat diperlukan bukan sahaja sebagai pelaut yang hebat, tetapi juga sebagai penterjemah dan wakil Sepanyol untuk berunding dengan masyarakat, pedagang dan kerajaan tempatan.

Walaupun masyarakat di kepulauan Filipina ada bahasa daerah mereka sendiri, bahasa Melayu masih boleh difahami secara umum kerana kedudukan bahasa tersebut sebagai bahasa perdagangan pada ketika itu.

Lagi pula, kepulauan Filipina pernah menerima pengaruh dari kesultanan Melayu Brunei pimpinan Sultan Bolkiah atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Ragam, yang sewaktu itu sedang menggapai zaman kegemilangannya.

Malah, kerajaan Brunei pimpinan Sultan Bolkiah ada menubuhkan kerajaan satelitnya, Kota Saludong, yang bertempat di bandaraya Manila pada hari ini.

Dengan kehebatan diplomasi Awang berinteraksi dengan penguasa tempatan, Magellan akhirnya telah menjadi sahabat kepada Raja Humabon, pemerintah Cebu yang kemudiannya meminta Magellan untuk memerangi masyarakat orang asli di Mactan, diketuai Lapu-lapu.

Awang Telah Merdeka
Magellan telah dibunuh di dalam peperangan menentang Lapu-lapu dan Awang sendiri, yang berjuang bagi pihak Sepanyol tercedera dibantai pahlawan-pahlawan pimpinan Lapu-lapu seramai 1500 orang. Pigafetta ada mencatatkan, setelah kematian Magellan, Awang telah mengalami kemurungan yang dashyat dan tidak lagi ingin berkhidmat, malah lebih suka menyendiri dan berkelubung dalam selimut.

Walaupun wasiat Magellan ada menyatakan Awang dimerdekakan setelah kematiannya, komandan yang menggantikan Magellan, Duarte Barbosa enggan melakukan sedemikian dan memaksa Awang untuk terus mengabdi kepada mereka.

Menurut Awang sendiri, memandangkan Magellan sudah meninggal, tiada ertinya lagi untuknya mengabdi dan tiba masanya untuk dirinya bebas merdeka.

Berang atas kelakuan biadap Barbosa, Awang kemudiannya merancang untuk menghancurkan delegasi Sepanyol pimpinan Barbosa dengan kerjasama Raja Humabon.

Pigafetta mencatatkan bahawa Awang ada menyeru pihak Sepanyol untuk ke pantai menghadap Raja Humabon yang kononnya ingin menghadiahi Raja Sepanyol dengan harta dan permata.
Setelah rombongan Sepanyol tiba di pantai, tentera Raja Humabon menyerang rombongan Sepanyol ini dan banyak yang telah mati dibunuh.

Rekod rasmi Sepanyol ada menyatakan Awang telah dibunuh akan tetapi Pigafetta sendiri tidak pasti sekiranya Awang telah benar-benar dibunuh.

Awang mungkin masih hidup dan setelah itu hidup sebagai individu yang merdeka.

Portugis Atau Melayu
Walaupun Magellan mewakili Raja Sepanyol, Magellan adalah seorang berketurunan Portugis dan Awang pula adalah seorang berketurunan Melayu dari Sumatera.

Sekiranya Awang tidak terbunuh dan berjaya pulang ke Sumatera, ini bererti Awanglah orang pertama yang berjaya mengelilingi dunia – dari saat dirinya ditawan di Melaka pada tahun 1511 dan di bawa ke Lisbon dan kemudiannya pulang lagi ke rantau kepulauan Melayu pada tahun 1521.

Tidak mungkin Magellan orang yang pertama berjaya mengelilingi dunia kerana beliau sendiri terbunuh di Filipina dan tidak berkesempatan pulang ke Sepanyol.

Sejarah sering dicatat dan dikisahkan oleh pihak yang memenangi peperangan yang sentiasa berkeinginan mengagungkan bangsa mereka sendiri.

Tidak mungkin penguasa Eropah ingin mencatatkan Awang, atau Enrique, seorang Melayu, sebagai individu pertama yang berjaya mengelilingi dunia melebihi kehebatan bangsa mereka sendiri.

Disebabkan itu, pengiktirafan tersebut kekal bersama Magellan.

Persoalan sama ada orang Portugis atau orang Melayu merupakan insan pertama berjaya mengelilingi dunia – itu adalah soalan yang perlu dijawab berdasarkan tafsiran sejarah menurut sudut pandang masing-masing.

Magellan dan Awang secara kolektif patut diiktiraf sebagai dua manusia pertama yang berhasil mengubah sejarah dunia menerusi keberanian, kecekalan dan kehebatan mereka berkhidmat sebagai pelaut yang agung.

Kisah Panglima Awang seharusnya dijadikan sebahagian daripada sejarah kegemilangan bangsa Melayu Nusantara untuk direnungi dan dikongsi bersama, tidak kira untuk Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand mahupun negara kita sendiri, Malaysia.

Oleh : Mohd Hazmi Mohd Rusli

Monday, July 8, 2019

8 Fakta Bau Badan Lelaki Perlu Tahu

Umum mengetahui bahawa kajian menyatakan yang bau lelaki boleh membuat umur golongan wanita lebih panjang.

Namun golongan lelaki perlu tahu bau tersebut bukanlah bau badan yang busuk kerana ia bukan membuatkan pasangan menjadi semakin sayang, tetapi sebaliknya.

Bagaimanapun sudah banyak kajian dilakukan berkenaan kesan bau badan lelaki dan peranannya sebagai “senjata” untuk memikat hati wanita.

Pendapat setiap orang sentiasa akan muncul berbeza-beza.

Begitu juga dengan kecenderungan untuk memilih pasangan sama ada bergantung kepada faktor bau badan atau tidak, terpulang kepada individu itu.

Namun satu perkara kita tidak dapat nafikan, bau badan merupakan antara elemen yang sangat penting terutamanya bagi wanita.

Jadi apa yang membuatkan wanita begitu tertarik dengan bau badan seorang lelaki dan adakah benar wanita suka bau lelaki berpeluh semata-mata?

Berikut adalah fakta yang golongan lelaki dan wanita perlu tahu.

1. Salah satu sebabnya ialah bahan kimia yang dirembeskan oleh lelaki dikenali sebagai feromon. Wanita juga turut mengeluarkan feromon.

Dan bahan inilah yang menjadi sebahagian daripada faktor tarikan bau di kalangan pasangan lelaki dan wanita. Malah dalam proses pembiakan haiwan feromon juga memainkan peranan sangat besar.

2. Menurut kajian kebanyakan wanita lebih cenderung dan suka lelaki yang menggunakan minyak wangi daripada asas sitrus dan woody.

Manakala bau yang kurang memberi rangsangan kepada mereka ialah bauan ceri dan juga bau arang atau asap yang berlegar di udara.

3. Tanggapan bahawa wanita suka bau peluh lelaki adalah tak benar sama sekali.

Feromon merupakan bahan yang tiada bau jadi pastikan diri anda sentiasa bersih dan bebas daripada peluh.

4. Wanita mempunyai reseptor deria bau lebih kuat berbanding lelaki.

Jadi sebab itulah mereka lebih sensitif dengan apa jua jenis bau yang ada di sekeliling.

Mungkin disebabkan itu jugalah mereka amat senang dengan bau seperti androstenol, sejenis bau yang terhasil bila peluh dan oksigen bercampur di udara.

5. Kerap mandi tidak menjamin wanita suka akan bau anda sebagai lelaki.
Namun dengan menggunakan minyak wangi seorang lelaki boleh menonjolkan karakter bau unik mereka kepada wanita.

Malah penggunaan minyak wangi mampu membantu lelaki lebih yakin.

6. Kajian juga mendapati wanita amat suka dengan bau buah-buahan seperti grapefruit.

Lelaki yang menggunakan haruman seperti ini dilihat mempunyai karakter lebih muda pada persepsi mereka.

7. Dalam sebuah kajian berkaitan hubungan intim mendapati wanita yang berada pada ketika tahap paling subur boleh mengesan lelaki yang mempunyai testosteron yang kuat.

8. Percayakah anda bau ketiak boleh membuatkan seorang wanita itu semakin sayang kepada pasangannya?

Ketika anda berpeluh badan mengeluarkan feromon seperti andrestenon dan androstenol yang menjadi signal biologi bahawa betapa kuat dan dominan seorang lelaki itu.

Sumber : www.freemalaysiatoday.com

Sunday, July 7, 2019

Angkara Skandal Pegawai Bank, Penjual Kereta Terpakai Dan Penarik Kereta

Pengguna terbeban
Sukar untuk di­percayai bahawa wujud ‘skandal’ di antara se­setengah pegawai bank dengan ejen menjual kereta terpakai yang mana mereka mengeks­ploitasi individu yang mempunyai masalah untuk menjelaskan pembiayaan bulanan.

Dikhabarkan, seorang pegawai itu mampu memperoleh ‘duit kopi’ sehingga 10 peratus daripada nilaian kereta yang berjaya dilelong.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Mahkamah Timbang Tara, Prof. Tan Sri Dr. Muslim Yacob yang menggesa agar kegiatan tersebut dihentikan kerana jelas berlaku penganiayaan terhadap pengguna.

Beliau berkata, tidak hairanlah apabila wujud kes-kes pengguna berdepan masalah kereta ditarik meskipun belum tiga bulan berturut-turut gagal menjelaskan bayaran bulanan.

“Pegawai-pegawai bank ini sesetengahnya dia sudah deal dengan ejen tarik kereta terutamanya dan penjual kereta-kereta terpakai. Memang sudah ada pembeli.

“Mereka sasar kereta-kereta yang mempunyai harga jualan balik yang tinggi seperti Honda, Toyota dan sebagainya. Melalui skandal ini ejen kereta terpakai dapat memperoleh kereta ber­kenaan dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran melalui proses lelong yang sudah diatur oleh pegawai bank,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Muslim berkata, ekoran nilai­ kereta yang dilelong terlalu rendah, maka pihak bank sekali lagi didakwa bertindak memangsakan pengguna dengan memaksa peminjam menyelesaikan baki pembiayaan yang masih ada.

Ujarnya, ia tidak ubah se­perti perangkap serampang dua mata yang membolehkan bank menikmati keuntungan berganda sedangkan pengguna ditekan tanpa belas kasihan.

“Setelah dapat duit jualan melalui lelongan yang dibuat oleh sebuah syarikat pelelong, kalau kata ada baki yang menyebabkan bank rugi, peminjam menanggung risiko iaitu nilaian kerugian itu dikenakan kepadanya.

“Orang ini memang tidak akan bayar sebab dia sakit hati, kereta sudah dilelong tapi masih perlu membayar dengan jumlah yang besar. Akhirnya, bank akan mufliskan peminjam,” jelasnya.

Melayu Alami Krisis Identiti

SEBENARNYA pada hari ini orang Melayu khususnya golongan muda sedang mengalami krisis identiti amat serius dalam soal sama ada ingin mengekalkan sifat-sifat sebagai Melayu atau mempertahankan ideal dan nilai Islam sebagai seorang Muslim.

Ini kerana ramai dalam kalangan mereka tidak faham mengenai apa itu Islam. Jika Islam itu agama, adakah sama seperti Kristian dan agama lain? Perkataan Arab iaitu din yang sering diguna bagi merujuk kepada Islam tidak bermaksud agama.

Semua sarjana dan ulama bersetuju bahawa perkataan din merujuk kepada sistem kehidupan berkaitan dengan Tuhan. Berdasarkan hakikat itu, kerangka pemikiran orang Melayu perlu jelas.

Satu lagi hakikat yang saya mahu sentuh adalah tiada ayat al-Quran yang dimulakan dengan perkataan “Wahai orang-orang Islam” tetapi yang selalunya ada adalah “Wahai orang-orang yang bertakwa” atau “Wahai manusia.”

Tetapi apa yang berlaku pada hari ini sejak berzaman dahulu adalah naratif pertentangan antara orang Islam dan bukan Islam sedangkan ia adalah bersalahan dengan tujuan asal penciptaan manusia di atas muka bumi.

Ingatlah, orang bukan Islam juga dicipta sama seperti kita dan mereka percaya adanya Tuhan, cuma tidak beriman kepada Allah.

Sebenarnya, perkataan Islam pada hari ini telah dikomersialkan sebagai satu jenama dalam kehidupan.

Contohnya, ucapan pemimpin sebuah parti politik ketika pilihan raya lalu yang menyatakan akan menyokong mana-mana parti yang berjuang untuk kebaikan Islam dan akan menentang mana-mana pihak yang berjuang untuk keburukan Islam.

Bagi saya, ini adalah pernyataan yang salah dan pemimpin tersebut sebenarnya keliru perbezaan antara Islam dan umatnya.

Sepatutnya pemimpin tersebut menyatakan bahawa parti mereka akan menyokong mana-mana parti yang berjuang untuk kebaikan ummah dan akan menentang mana-mana pihak yang berjuang untuk keburukan ummah.

Tetapi pemimpin itu menggunakan perkataan Islam kerana ia telah menjadi jenama komersial untuk dipolitikkan. Terdapat beberapa ucapan lain yang membuktikan kita masih dalam kerangka pemikiran tidak berubah seperti ungkapan untuk menakluk Putrajaya bersama Islam sedangkan sepatutnya bersama ummah.

Ada juga ucapan menyebut sesebuah parti itu tidak perlu berkempen kerana malaikat akan membantu memenangkan parti berkenaan. Sebenarnya, perkara yang diberi penekanan dalam al-Quran adalah nilai dan ideal yang dibawa oleh Islam. Itu yang seharusnya dipertahankan.

Sekiranya generasi muda bercakap untuk mempertahankan idealisme Islam, kita akan lebih banyak beruntung dan dapat bekerjasama dengan pihak lain. Tetapi jika kita lebih banyak mempertahan sifat-sifat Melayu kerana terlupa bahawa Melayu itu bukan agama tetapi bangsa, maka kita tidak akan dapat keluar daripada kepompong dengan identiti sebegitu.

Menyentuh ungkapan diguna sekarang seperti ‘Malaysia Baharu’ dan ‘Melayu Baharu’, ia sebenarnya tidak boleh diguna pakai kerana orang Melayu masih individu sama.

Kita adalah hamba Allah yang perlu mempertahankan ideal dan nilai Islam seperti yang telah diamalkan sebelum ini. Saya juga bersetuju dengan pandangan bahawa pendidikan dapat menentukan hala tuju generasi muda Melayu pada masa depan.

Dalam aspek mata pelajaran agama Islam pula, ruang lingkup silibus perlu diperluaskan dan tidak sekadar menyentuh mengenai Rukun Islam yang lima perkara sahaja.

Bagaimana pula soal-soal lain yang tidak kurang penting seperti mengambil hak orang lain, memfitnah, merompak dan menipu yang berlaku di mana-mana.

Kesimpulannya, orang Melayu pada masa sekarang sedang menghadapi cabaran cukup hebat. Maksudnya, masyarakat itu khususnya golongan muda sedang mengalami krisis kerana kita lebih tertumpu untuk mengekal identiti Melayu sedangkan sepatutnya mempertahankan nilai dan ideal Islam. Kekeliruan dan krisis ini harus diperbetulkan.

Oleh: Ahmad Nazri Abdullah 

Saturday, July 6, 2019

Bahasa Kebangsaan: Bagaimana Perlembagaan Boleh Bertukar Hiasan

SOAL papan tanda jalan selain daripada bahasa Melayu adalah antara cerminan bagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan boleh menjadi sekadar hiasan dalam dokumen perundangan tertinggi negara.

Biarpun disebut dalam Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang kemudian diberi tafsiran jelas dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967, namun masih ada yang tidak peduli.

Sehinggalah memaksa campur tangan institusi raja, barulah perkara yang sudah terang lagi bersuluh seperti itu mahu dipatuhi. Sedangkan di peringkat pentadbiran sama ada politik mahupun penjawat awam semuanya mengangkat sumpah menjunjung Perlembagaan.

Justeru timbul tanda tanya bagaimana dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan? Soal Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera, hak sah kaum lain, kebebasan asasi dan bermacam lagi.

Apakah peruntukan Perlembagaan akan dipatuhi atau sebaliknya dilanggari menerusi tafsiran berdasarkan selera dan kepentingan politik semasa?

Seperti mana papan tanda jalan, hal ini boleh berlaku kerana Perlembagaan tidak mempunyai kuasa menghukum, sebaliknya mengharapkan pihak lain iaitu kerajaan dalam memberi makna kepada setiap peruntukan di dalamnya.

Tidak ada peruntukan hukuman ke atas mereka yang tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan. Ini tidak seperti Kanun Keseksaan atau undang-undang lain.

Maka di sinilah letaknya kepada pemimpin kerajaan dan rakyat untuk menjunjung tinggi Perlembagaan dengan memastikan setiap tindak-tanduk menurut undang-undang tertinggi negara.

Dalam konteks bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan, elok benarlah diberikan kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menguatkuasakannya, bukan sekadar kuasa mengeluarkan surat nasihat.

Sudah lama tokoh dan aktivis bahasa meminta kuasa tersebut. Harapnya menjadi realiti dalam era Malaysia baharu.

Oleh: Herman Hamid

Thursday, July 4, 2019

Mahu Sperma Lebih Berkualiti?

Tidurlah sebelum 10.30 malam
Kajian terbaru menunjukkan lelaki yang tidur sebelum 10.30 malam memiliki sperma empat kali lebih berkualiti.

Penyelidik Aarhus University di Denmark berkata individu yang tidur selepas 11.30 malam spermanya kurang sihat, lapor Independent.

Mereka yang berjaga hingga lewat malam, kata kajian itu, hanya 2.75 kali lebih cenderung mempunyai sperma sihat berbanding lelaki yang tidur di waktu ‘normal’, antara 10.30 dan 11.30 malam.

Tidak mendapat tidur yang cukup pula, boleh jadi lebih bahaya, kerana lelaki yang kurang tujuh jam tidur malam, enam kali mungkin spermanya tidak baik.

Keputusan tersebut dicapai selepas hasil semakan ke atas kira-kira 100 sukarelawan lelaki yang datang ke klinik kesuburan di negara itu, 48 orang mempunyai sperma sihat dan 56 berkualiti rendah.

Tidur memainkan peranan penting dalam menyederhanakan hormon, kerana tekanan akibat kurang tidur boleh menyebabkan sistem kekebalan pada tubuh bertindak secara berlebihan dan menyerang sperma.

“Ada lelaki yang selama kira-kira dua tahun dapatkan anak dan tidur awal mungkin menjadi penting kerana ia membenarkan mereka tidur lebih lama,” kata penulis bersama kajian Profesor Hans Jakob.

“Puncanya boleh jadi secara psikologi, kerana lelaki yang kurang tidur mengalami tekanan dan tekanan memberi kesan kepada kesuburan.”

Monday, July 1, 2019

4 Tanda Anda ‘Bad Kisser’

Dalam hubungan rumahtangga perlu mempunyai kefahaman di antara satu sama lain.
Ia adalah asas dalam mengukuhkan sesebuah hubungan.

Ciuman adalah tanda kasih sayang yang paling klasik.

Nampak mudah tetapi ada banyak benda yang salah disaat anda melakukan aksi intim dengan yang tersayang ini.

Jika tidak mahu dilabel tidak pandai berkucupan, ini beberapa perkara kamu kena tahu dan belajar supaya pasangan rasa bahagia sentiasa.

Tidak beri perhatian bagaimana cara pasangan mahukan
Kalau kamu sahaja yang seronok sedangkan pasangan tidak, bukankah itu pelik.

Ciuman yang indah apabila kamu dan pasangan turut sama menghayati, merasai keseronokan dan keasyikan.

Tetapi jika kamu tidak memberi perhatian kepada pergerakan kepala ke kiri atau kanan dan gaya, maka ciuman yang berlaku tidak akan menyenangkan kedua belah pihak.

Kamu dan pasangan mungkin terasa kosong tanpa sebarang “percikan api”.

Nafas berbau
Spoil! Bayangkan rupa paras dah tahap Zayn Malik tapi bila buka mulut.. aduh ada bau kurang menyenangkan.

Tahukah, survei NationalToday.com mendapati bahawa nafas berbau adalah tanda terbesar bad kisser, menurut 1000 orang Amerika yang dikajinya.

Sebelum melakukannya, kunyah gula-gula pudina supaya nafas sentiasa harum bak Downy.

Langsung tidak berkomunikasi
Cuba minta pasangan menunjukkan kepada kamu bagaimana cara mereka mahu dicium.

Minta mereka memberikan maklum balas supaya kamu tahu apa yang perlu dilakukan kemudian.

Kamu mungkin boleh berseloroh dengan isteri dengan cara yang santai supaya dia tidaklah malu kemerahan bila ditanya, sekurangnya kamu bolehlah mendengar dan memperbaiki apa yang ada.

Kamu gelojoh
Itulah sebab kamu dilabel sebagai bad kisser.

Sepatutnya kamu mengambil langkah secara perlahan – mengeluarkan tutur kata romantik, renungan mata dan biarkan ia berlaku dengan sendirinya.

Bukan kamu terus terkam si isteri dan mengucup kasar dan ganas… melainkan kedua-dua suka gaya sebegitu.

Tahukah tanda yang buruk apabila pasangan mengelap mulut mereka kerana air liur atau menenangkan bibir yang sakit selepas berkucupan.

Nak mulakan langkah, lakukan secara perlahan dan semulajadi.

Sumber:  wanista.com