Hebat tokoh ini. Saya ingat lagi dalam tidak kurang 10 kali menelefonnya untuk mendapatkan komen isu-isu semasa tanah air termasuklah aspek kenegaraan dan politik, mendiang sentiasa berpegang kepada fakta.
Biarpun pada sebilangan orang, beliau ‘boleh sahaja cenderung untuk prejudis’ dengan berpihak kepada kaum tertentu, tetapi tidak Kay Kim. Beliau jujur, berani dan berterus terang biarpun pedas sehinggakan saya sendiri tidak pasti Kay Kim ini ‘Cina, Melayu atau India kah?’.
Buku autobiografi mendiang, I, KKK: The Autobiography of a Historian pun bermula dengan sepotong ayat: “Memory comes in impression, history in facts.” Maksudnya, kenangan datang dengan gambaran, sejarah dengan fakta.
Dan sungguh benar bak dikata oleh baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika melancarkan autobiografi berkenaan pada 12 April 2017 yang menggelar mendiang sebagai ‘ensiklopedia berjalan sejarah Malaysia’.
Mendiang adalah pelopor yang menulis sejarah Malaysia dari perspektif kita - historiografi Malaysia sentrik berbanding sebelumnya yang berpusat Eropah atau Eropah sentrik.
RANGKA RUKUN NEGARA
Selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, Kay Kim antara sarjana yang terlibat merangka dan menjadi penulis lima prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan dan asas penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Menariknya hujah mendiang apabila ditanya oleh akhbar ini dalam pertemuan setahun lalu mengapa lima prinsip Rukun Negara yang dirangka selepas tragedi itu masih penting dan relevan sebagai alat perpaduan kaum di negara ini.
“Sebahagian besar masyarakat ketika itu, kita dapati sudah ada agama. Tidak kira apa agama mereka anuti, mereka sudah percaya adanya Tuhan.
“ Kita sebagai ahli-ahli panel Rukun Negara percaya semua bangsa di negara ini memiliki agama masing-masing dan tidak ada yang tidak beragama (ateis).
“Kita yakin seseorang yang mempercayai kewujudan Tuhan pastinya mereka lebih berdisiplin, memiliki tingkah laku yang baik dan bersikap terpuji sepanjang masa. Melalui sifat terpuji seperti disiplin diri dengan baik, itulah yang menyebabkan rakyat sentiasa memikirkan kebajikan orang lain dan memiliki sifat-sifat penyayang,” kata beliau.
Kepada Kay Kim, andai sekolah tidak titikberatkan sejarah, maka semangat patriotik tidak ada dalam kalangan orang muda. Mereka tidak tahu bagaimana sesebuah kerajaan itu diasaskan.
“Untuk membina negara bangsa terlebih dahulu bina sekolah,” kata Kay Kim.
Bagi mendiang, menjadi kewajipan setiap rakyat yang taat setia menjunjung keutuhan Perlembagaan tanpa soal, sebagai cara hidup bersama.
Sebab itu apabila bercakap atau berhujah pasal isu-isu sensitif atau yang menjadi taruhan parti politik tertentu, pendirian mendiang setara dengan termaktub dalam perlembagaan.
“Mana-mana pihak tidak perlu gunakan alasan pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) oleh negara-negara luar untuk ‘membawa’ ia dalam sistem Malaysia kerana ia amat bertentangan dengan Perlembagaan.
“Kalau pemimpin tidak menghormati Perlembagaan, mereka telah memberi isyarat yang salah kepada generasi muda,” tegas Kay Kim Julai tahun lalu.
MENJUNJUNG PERLEMBAGAAN
Semua pihak tidak kira dari ideologi dan perjuangan politik yang mana, kebanyakannya menghormati hujah-hujah mendiang. Kalau tidak setuju pun, mereka diam. Tidak kedengaran pun kritikan-kritikan terbuka terhadapnya.
Suatu ketika apabila pelbagai polemik berkaitan perundangan negara berlaku, mendiang lantas mengingatkan keperluan ahli-ahli Parlimen untuk celik sejarah Perlembagaan Persekutuan sebelum meminda sesuatu undang-undang.
Katanya, cara dan gaya segelintir ahli Dewan Rakyat sekarang adalah cerminan ketidakupayaan sistem pendidikan negara selama ini.
“Siapa yang meluluskan undang-undang? Parlimen. Siapa di dalam Parlimen? Orang yang dipilih oleh rakyat dan mereka mesti menjalankan tugas untuk kebahagiaan rakyat dan kalau timbul masalah tentang tafsiran undang-undang, siapa yang ada hak membuat tafsiran? Bahagian kehakiman,” katanya.
SEJARAH BUKAN CERITA
Bagi Kay Kim, sejarah bukan sekadar cerita, tetapi harus berdasarkan penyelidikan dengan penggunaan bahan-bahan yang boleh dibuktikan.
Sebab itu beliau ‘agak menyinga’ apabila dilihatnya ada ahli sejarah tempatan masa kini kelihatan tidak begitu bekerja keras dalam menjalankan penyelidikan terperinci terhadap sejarah negara.
Hal ini dibangkitkannya selepas menjadi ahli panel sebuah forum di ibu negara pada 2016.
“Sekarang mereka tidak begitu rajin, tidak macam dulu. Mereka tidak begitu sanggup mencari bahan dan kebanyakan bahan tentang negara ini misalnya berada di London, atau sekurang-kurangnya di Singapura. Bukan di Kuala Lumpur.
“Kita bernasib baik kerana banyak bahan, kita hanya yang perlu mencari bahan-bahan tersebut sama ada di Amsterdam, di Lisbon, di Singapura mahupun di Jepun.
“Bagaimanapun saya lihat, mereka kebanyakannya tidak memiliki kesanggupan tinggi. Jika bahan sejarah negara itu berada dalam simpanan Belanda dan ditulis dalam bahasa Belanda, mereka tidak memiliki keazaman untuk belajar bahasa tersebut demi mengkaji bahan itu,” jelasnya.
Kay Kim yang meninggal dunia dalam usia 82 tahun akan dikenang sebagai sejarawan yang tiada galang ganti.
Sayangnya mendiang kepada tanah air ini tidak ada tolok banding. Masih tergiang-giang di telinga saya kata mendiang tahun lepas:
“Dahulu, ada cogan kata dalam bahasa Inggeris: United we stand, divided we fall (Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh). Sebab, orang yang mungkin budayanya Cina, dia mahu budaya mereka itu dikekalkan untuk diamalkan sampai bila-bila.
“Tapi, kalau kita minta mereka bekerjasama, setiap kaum mesti faham tentang (identiti) kaum yang lain. Tapi, selama ini kita tidak memberikan keutamaan kepada soal (kefahaman) itu.
“Jadi di sini setiap kaum jahil tentang kaum lain. Misalnya, bahasa Tamil, bahasa ibunda orang India. Salah! Bagaimana dengan bahasa Malayalam, Urdu dan Punjabi. Dan orang Cina beragama Buddha. Orang Cina apa agama pun ada (Islam, Kristian, Hindu). Yang paling ramai Kristian itu orang Cina kan?
“Tapi, orang kita tak faham. Apa orang bukan Islam tahu tentang Islam? Langsung tak tahu walaupun Islam itu agama rasmi di Malaysia. Sebab kefahaman itu tidak diterangkan kepada mereka. Padahal kita dahulu dalam akhbar Inggeris banyak perbincangan tentang agama Islam.”
Terima kasih Kay Kim. Jasa anda kekal dalam lipatan sejarah tanah air.
Oleh: Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment