Tuesday, April 30, 2019

Ketika Malaysia Baharu Dalam Kecelaruan....

Singapura bakal bangunkan hab halal termaju di Asia Tenggara
Singapura akan memiliki hab halal yang berdedikasi dan termaju di Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun lagi.

Hab tersebut terletak di kawasan barat negara ini serta akan menempatkan unit pemprosesan makanan, dapur berpusat, bilik sejuk, Pusat Kecemerlangan Halal dan operasi logistik dalam sebuah kompleks bertingkat yang canggih.

“Singapura telah mencari peluang untuk membangunkan sebuah platform perniagaan halal bersepadu sejak beberapa tahun lepas. Cadangan hab halal ini adalah satu langkah yang tepat dan akan mempercepatkan serta memudahkan proses-proses perniagaan yang berkaitan dengan halal,” kata penasihat projek, Zainul Abidin Rasheed. - BERNAMA

Saturday, April 27, 2019

Gembiranya Gerombolan Chauvanist....

Tiada lagi pasukan STAGG, STING, Stafoc di PDRM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dimansuhkan sebagai langkah penstrukturan semula beberapa jabatan dalam agensi keselamatan itu.

Mohamad Fuzi ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, bagaimanapun, seperti dimaklumkannya sebelum ini, proses pertukaran membabitkan pegawai dan anggota di tiga pasukan khas tersebut memasuki 60 peratus dan dijangka lengkap dalam masa terdekat.

“Ya saya sahkan. Tiada lagi tiga pasukan khas seperti Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam PDRM,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan mengenai proses pertukaran dan penempatan semula pegawai dan anggota tiga pasukan tersebut giat dilakukan PDRM.

Namun, pertukaran tersebut bukan bermakna tiga pasukan khas PDRM itu akan dibubarkan kerana ia memerlukan waran pelaksanaan.

Susulan itu, tular di laman sosial sejak semalam sebuah video yang memaparkan rakaman majlis perpisahan pasukan Stafoc

Melalui video berdurasi 30 saat itu turut memaparkan sebahagian pegawai dan anggota terlibat sedih berikutan pembubaran pasukan itu. - UTUSAN ONLINE

Alahai Tun M.....!

Mengapa kepuasan pengundi terhadap pencapaian Tun M merosot?
Tahap kepuasan pengundi terhadap pencapaian Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri merosot kepada 46 peratus pada Mac lalu berbanding 71 peratus yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu.

Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center juga mendapati, hanya 39 peratus pengundi memberikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) rating positif pada Mac lalu.

Merdeka Center menerusi kenyataan hari ini berkata, kemerosotan sokongan awam kepada kerajaan boleh dilihat pada peningkatan jumlah peratusan yang menganggap ‘negara menuju ke arah yang salah’ iaitu daripada 24 peratus pada Ogos 2018 kepada 46 peratus pada Mac lalu.

“Kemerosotan ini boleh dikaitkan kepada tiga faktor, iaitu keadaan ekonomi seperti dilihat pengguna biasa, tanggapan tentang pencapaian pentadbiran kerajaan dan kebimbangan mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu serta layanan adil kepada kaum-kaum lain di Malaysia.

“Hasilnya kepuasan umum terhadap pengurusan ekonomi kerajaan menurun daripada 60 peratus pada Ogos 2018 kepada 40 peratus pada Mac lalu,” katanya.

Menerusi kaji selidik itu juga mendapati, hanya 34 peratus pengundi percaya negara kini berada di landasan yang betul, berbanding 55 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2018.

“Sentimen ini didapati lebih rendah dalam kalangan orang Melayu dengan menyaksikan hanya 24 peratus percaya negara bergerak ke arah yang betul,” katanya.

Kajian oleh Merdeka Center terhadap 1,204 responden itu juga mendapati 67 peratus pengundi percaya kerajaan PH memerlukan lebih masa untuk menunaikan janji pilihan raya mereka manakala 30 peratus pula sebaliknya.

Sementara itu, keadaan ekonomi kekal sebagai isu paling penting dalam kalangan pengundi iaitu sebanyak 67 peratus, konsisten dengan kajian sebelum ini.

“Diikuti oleh isu hubungan antara kaum seperti kontroversi penempatan semula kuil Hindu di USJ serta debat awam mengenai cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akhir tahun lalu.

“Kajian juga menunjukkan sikap awam terhadap beberapa dasar dan cadangan kerajaan dengan antaranya 69 peratus tidak bersetuju dengan rancangan menghapuskan hukuman mati mandatori, 50 peratus tidak bersetuju had usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan 40 peratus bersetuju untuk menyokong rancangan mengenakan cukai ke atas minuman bergula,” katanya.- utusan online 

Wednesday, April 24, 2019

Profesor Kangkung...!

Statut Rome: Benda boleh berhujah, buat apa nak menyindir
DALAM era Malaysia baharu, kebebasan bersuara sangat dialu-alukan. Ini juga antara perkara teras yang dicanang membezakan Malaysia baharu dengan Malaysia lama.

Namun seperti selalu, ada kalanya lebih mudah bercakap daripada buat. Terutama dalam menguruskan perbezaan pandangan. Apatah lagi pandangan itu pula menyanggah mereka yang berkuasa.

Yang tidak disangka apabila pihak yang tidak bersetuju diberi gelaran bukan-bukan. Janggal bunyinya apabila perlu membuat sindiran seperti itu. Terdesak sangatkah?

Kenapa harus melabel beberapa pakar perlembagaan dan undang-undang antarabangsa yang tidak bersetuju dengan langkah Kementerian Luar menandatangani Statut Rome sebagai ‘profesor kangkung’.

Menjunjung kebebasan bersuara datang bersama kesediaan menerima perbezaan dan untuk meyakinkan pandangan siapa betul, maka semuanya bergantung kepada hujah.

Hujah lawan hujah. Bukan hujah dibalas sindiran, apatah lagi dibuat oleh mereka yang berada di tampuk kuasa. Ini bukan perang dalam media sosial. Jangan rendahkan kedudukan berbanding empat profesor itu tadi.

Ingat, ahli akademik yang digelar profesor kangkung ini adalah mereka yang dihormati dalam lapangan undang-undang masing-masing. Mereka bukan ahli politik. Hujah mereka berasaskan ilmu undang-undang perlembagaan dan undang-undang antarabangsa.

Maka menyanggah mereka juga harus berasaskan fakta bukan memalukan atau ‘membuli’ mereka yang tiada pengikut ini. Rakyat bersedia mendengar pandangan kedua-dua pihak, sebelum membuat penilaian.

Justeru, yakinkan rakyat dengan menguatkan hujah mengatasi hujah empat profesor itu tadi mengapa Statut Rome itu perlu diterima Malaysia.

Semudah itu sahaja, tapi kalau Rebus sic stantibus pun tidak berapa pasti, kenalah belajar dengan Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamed, antara pakar undang-undang antarabangsa yang ada di tanah air. Tak ramai. - utusan online

Thursday, April 18, 2019

Kos hidup: Siapa lebih bahagia?

SEJAK tahun-tahun kebelakangan ini, tiada isu yang sering dibincangkan oleh rakyat marhaen kecuali kesulitan kehidupan seharian mereka.

Isu ini paling ketara menyentuh tentang kos sara hidup. Apa yang sedang dihadapi oleh mereka bukanlah sesuatu yang dimomok-momokkan tetapi sebaliknya nyata dan benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian mereka.

Kos sara hidup yang tinggi membimbangkan mereka kerana terpaksa berbelanja dengan kadar yang tinggi pada setiap hari.

Tidak sebagaimana dahulu, nilai wang kini semakin kecil. Wang sebanyak RM50 kini tidak sebagaimana nilai wang RM50 yang boleh dibelanjakan 20 tahun yang lalu.

Serba serbi mahal dengan pelbagai bil yang perlu dibayar pada setiap bulan. Ada yang terpaksa meminjam untuk menampung kehidupan mereka. Pinjaman yang dibuat pula terpaksa dibayar bertahun-tahun lamanya sebelum dapat dilangsaikan.

Kos semakin tinggi bagi mereka yang memiliki keluarga besar dan menetap di bandar-bandar besar. Ramai yang ditakrifkan sebagai miskin bandar. Nilai pendapatan berjumlah RM5,000 di bandar-bandar besar lebih rendah berbanding berada di kawasan luar bandar.

Namun itu bukan bermaksud kos sara hidup di luar bandar tidak tinggi. Kosnya pun semakin tinggi. Ini jelas kelihatan apabila golongan yang menetap di luar bandar pun terpaksa menanggung pelbagai perbelanjaan seharian.

Bukan setakat untuk diri sendiri semata-mata tetapi juga melibatkan anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Jadi, ini secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap kualiti kehidupan seseorang.

Ketika ini, Finland dikelaskan sebagai negara paling bahagia di dunia. Dengan kualiti kehidupan yang amat baik dan kadar perbezaan taraf dan kemiskinan terendah dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), maka tidak menghairankanlah Finland berada pada kedudukan teratas negara bahagia.

Di Malaysia pula, menurut kajian oleh Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar (Murninets) pada tahun 2018, penduduk luar bandar dikatakan lebih bahagia berbanding penduduk bandar.

Meskipun penduduk luar bandar juga terasa tempias kos sara hidup yang semakin tinggi, tetapi mereka dikatakan lebih bahagia berbanding penduduk kawasan bandar.

Pengukuran kebahagiaan bukan semata-mata dari segi ekonomi tetapi juga kualiti alam sekitar, hubungan kekeluargaan, kesihatan, aktiviti komuniti, keselamatan dan lain-lain.

Sering kali kebahagiaan dikaitkan dengan kemampanan. Dalam hal ini, sesuatu aspek dalam kehidupan seseorang sewajarnya mampu berkembang dengan baik.

Misalnya, dalam aspek kesihatan dan pendidikan, setiap manusia mendambakan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang semakin baik. Dengan memperoleh kualiti perkhidmatan kesihatan yang semakin baik, maka mereka akan menjalani kehidupan seharian yang lebih positif, misalnya lebih produktif semasa bekerja.

Tidak kurang juga, dalam aspek mendapatkan akses sistem pendidikan yang berprestasi baik. Dengan berada dalam kehidupan semakin baik, maka secara tidak langsung kebahagiaan juga akan dapat dinikmati.

Justeru itu, ketika kita sedang berusaha untuk merealisasikan kehidupan bahagia, maka aspek kemampanan perlu diberikan penekanan terlebih dahulu.

Jika tidak, kebahagiaan hanya sekadar seronok untuk diucapkan sedangkan hakikatnya, tidak pula dirasai oleh kita tatkala menghadapi suasana kehidupan yang serba mencabar dewasa ini.

Oleh : Prof. Madya Rohami Shafie

Monday, April 15, 2019

Melayu Semakin ‘Dihancurkan’

MUKADIMAH: SOKONGAN rakyat terutama orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin merudum terutama menerusi kekalahan ketiga berturut-turut pakatan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), terbaharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pelbagai faktor dilihat menjadi penyebab kepada perkara itu terutama apabila menyentuh tentang hal-hal berkaitan hak dan keistimewaan orang Melayu dan agama Islam yang sering dikaitkan dengan kerajaan PH.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, Mohamad Hafiz Yusoff Bakri, penganalisis politik, yang berpengalaman mengajar di American Liberty University selama lebih lima tahun, Profesor Dr. Hoo Ke Ping berkongsi pandangannya.

UTUSAN: Bagaimana Profesor melihat kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Rantau? Adakah tsunami Melayu bakal berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

KE PING: Saya rasa begitu. Sekarang ini pun sudah berlaku tsunami Melayu dalam siri PRK terdahulu. Malah ini juga merupakan satu petunjuk bahawa masyarakat Cina menerima kerjasama UMNO dan Pas dan ia telah terbukti dalam dua PRK iaitu di Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih . Ramai dalam kalangan orang Cina sekarang yang beralih arah. Jika dilihat kepada statistik, pengundi Cina di Rantau turun kira-kira 40 peratus berbanding 90 peratus dalam PRU-14. Sejarah juga pernah membuktikan orang Cina tidak menolak Pas sewaktu mereka bersama-sama dengan DAP.

Mengapa ini berlaku?
Sudah semestinya isu semasa di samping membabitkan isu kepentingan orang Melayu. Sebagai contoh, harga kelapa sawit dan getah yang merudum jatuh sehingga menyebabkan ramai pekebun atau penduduk luar bandar marah tanpa mengira bangsa. Itu menguatkan asas mengapa kerajaan PH semakin ditolak.

Sebelum ini, Profesor mengatakan PH tiada ‘roh Melayu’ untuk mendekati pengundi Melayu? Boleh Profesor ceritakan dengan lebih terperinci?
Kalau dilihat kepada jumlah kerusi antara parti dalam PH, DAP kuat dengan 42 buah kerusi. Dahulu dalam BN, wakil rakyat daripada UMNO pun ada lebih 90 kerusi. Jadi daripada jumlah kuasa politik, DAP terlalu kuat dan mereka masih berpegang kepada prinsip Malaysian Malaysia sedangkan itu bertentangan dengan orang Melayu. Selepas itu pula, banyak dasar daripada menteri PH yang tidak membantu serta tidak menjaga orang Melayu. Itu belum dikira dalam soal hibah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), isu status hak milik tanah 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu di Perak dan isu lain. Banyak impak dah dirasai. Di sinilah boleh dilihat kurangnya semangat Melayu dan ‘kemelayuan dihancurkan’. Ini satu konflik besar antara kaum.

Apakah yang perlu ada untuk memenangi hati orang Melayu?
Institusi dan hak mereka perlulah dijaga termasuklah perkara dalam Perlembagaan Persekutuan. DAP juga perlu ingat, walaupun mereka semakin kuat dari segi jumlah kerusi, tetapi mereka tiada jaminan dan undi mereka mampu berkurangan lagi pada masa akan datang.

Sebelum ini PH sering menuduh kerjasama UMNO dan Pas itu sebagai isu perkauman. Bagaimana Profesor melihat keadaan itu?
DAP cakap perkauman tapi bagaimana pula kerjasama mereka dengan Pas pada tahun 1999? Jadi ini tidak semestinya perkauman bukan? Ini satu tuduhan tidak berasas, ini juga satu strategi. Apa sahaja boleh berlaku. Sebenarnya banyak faedah jika UMNO dan Pas bergabung terutama untuk pilihan raya umum akan datang. Dan bagaimana pula jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergabung bersama dengan UMNO dan Pas? Sudah tentu sekurang-kurangnya 70 peratus undi orang Melayu akan pergi ke pakatan tersebut.

Sumber: http://www.utusan.com.my

Sunday, April 14, 2019

Macam Kera Dapat Bunga......

Bila polis pula diperiksa, AG kena keluar kenyataan tegas
Rule of law jangan dibiar menjadi law of the jungle
RULE of law iaitu kedaulatan undang-undang, prinsip penting dalam pemerintahan sesebuah negara demokrasi.

Antara intipatinya semua orang tertakluk kepada undang-undang dan dikuatkuasakan tanpa mengira sama ada rakyat, pemerintah mahu pun kerabat raja. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan hal ini.

Lawan kepada rule of law adalah law of the jungle. Di rimba, siapa kuat dia adalah betul. Gambarannya boleh dilihat dalam keadaan negara yang kacau bilau seperti ketika konflik politik di Afghanistan yang diperintah Taliban, Mesir, Amerika Tengah dan sebagainya suatu masa dulu.

Ketika itu orang ramai mengambil tindakan sendiri, bukan berdasarkan undang-undang tetapi apa yang dirasakan perlu. Ditahannya orang dan kenderaan awam sesuka hati.

Namun dalam negara bernama Malaysia, tidak boleh sama sekali wujud senario tersebut. Melihat peragut melakukan jenayah depan mata pun harus diserahkan kepada pihak polis untuk bertindak.

Orang ramai hanya boleh melakukan tangkapan awam kerana salah untuk ‘mengajar’ peragut berkenaan memandangkan Malaysia berpaksikan rule of law.

Namun melihat klip video sebuah kereta peronda polis diperiksa oleh sekumpulan penyokong memakai baju Pakatan Pakatan Harapan (PH) yang tular sejak semalam mengundang seribu pertanyaan, siapa polis? Undang-undang di tangan siapa?

Ini rule of law atau law of the jungle. Benda salah ini harus disusuli dengan kenyataan tegas Peguam Negara (AG) selaku pelindung kepentingan rakyat agar jangan ada isyarat salah seolah-olah boleh melakukan apa sahaja.

Apa yang berlaku ini jangan dipandang mudah apatah lagi dibiarkan berulang. Selain polis yang kini memburu lelaki terbabit, sama-sama juga menanti kenyataan AG.

Sumber: http://www.utusan.com.my

PH Tiada Roh Melayu

Tiadanya 'roh Melayu' dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi sebab mengapa parti itu ditolak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Walaupun PH cuba memenangi hati orang Melayu dengan mendedahkan kepincangan dalam Felda, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), namun parti itu sendiri dilihat gagal menekankan agenda Melayu.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Hoo Ke Ping berkata, keghairahan PH mendedahkan masalah dalaman organisasi Melayu dan Islam lama-kelamaan membuatkan pemimpin Melayu PH dilihat seperti mengkhianati dan tidak mempertahankan nasib kaum tersebut.

Kata beliau lagi, keadaan bertambah buruk apabila pemimpin Cina dan India PH sendiri nampak lebih ‘garang’ dalam kerajaan, sekali gus membuatkan orang Melayu semakin tidak selesa.
“Walaupun diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) atau Datuk Seri Anwar Ibrahim (bakal Perdana Menteri), kerajaan PH lebih kepada bukan Melayu. Ini berbeza berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO.

“PH kini terperangkap. Mereka menyalahkan tindak-tanduk kerajaan sebelum ini. Tetapi mereka sendiri tiada agenda Melayu,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Kata Ke Ping, semasa kerajaan BN, begitu terserlah kuasa yang dimiliki oleh orang Melayu menerusi UMNO, sedangkan dalam kerajaan PH tiada sebuah parti Melayu yang benar-benar menguasai parti kerajaa itu.

Baginya, masalah yang dihadapi PH ketika ini agak mencabar dan dirasakan sukar mengekalkan sebuah kerajaan stabil untuk tempoh yang panjang.

Pada masa sama, beliau berkata dirinya dari awal sudah menjangkakan kemenangan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan terutama hasil kerjasama UMNO dan Pas.

Sumber: http://www.utusan.com.my

Saturday, April 13, 2019

Membina Negara Dalam Negara....

Timbalan menteri pendidikan ultra kiasu licik, kena dipantau
HAIRAN sungguh saya dengan timbalan menteri pendidikan ultra kiasu ini. Sepatutnya dia bercakap bagi pihak kerajaan bukan bagi pihak Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah menengah persendirian Cina.

UEC masih dalam peringkat kajian untuk diiktiraf oleh kementerian beliau sendiri. Takkan beliau tidak maklum perkara ini? Tidak perlu mengeluarkan apa jua kenyataan apatah lagi menyokong seperti yang dilakukannya.

Beliaulah orang yang pertama mengucapkan tahniah apabila Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) yang diketuai Peguam Negara sendiri membuat pengumuman mengiktiraf UEC.

Menteri ultra kiasu ini melahirkan rasa gembira UEC pada tahap Senior Middle 3 diiktiraf sebagai kelayakan pada peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan A-Levels untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), dan berharap semua pihak tidak mempolitikkan keputusan LPQB itu.

Bukan soal mempolitikkan LPQB, tetapi LPQB telah mendahului kerajaan. Benar, ia di bawah bidang kuasa LPQB, tetapi tunggulah dulu kajian kerajaan yang diwakili oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Siapa lebih berkuasa? Kerajaan atau Peguam Negara.

Keadaan ini, jelas memperlihatkan kajian yang sedang berlangsung, yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC),
adalah laluan untuk mengiktiraf UEC. Itu yang saya katakan, membazirkan duit rakyat sahaja.

Saya mohon KPM supaya memerhati dengan rapi pergerakan timbalan menteri pendidikan ultra kiasu ini. Pergerakannya sangat licik dan kadang kala mendahului menteri beliau sendiri.

Tidak sepatutnya beliau mendahului menteri kerana beliau hanya timbalan. Timbalan mesti tertakluk kepada menteri dan tidak boleh bertindak sendirian dan mengeluarkan kenyataan sewenang-wenang mendahului menteri. Perlu diingat bahawa beliau berada dalam kerajaan dan bukan dalam parti ultra kiasu dan NGO ultra kiasu seperti Dong Zong dan Jiao Zong.

Sepatutnya beliau mengeluarkan kenyataan dan nasihat bahawa UEC mesti patuh kepada segala terma dan syarat KPM. KPM adalah institusi tertinggi dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.

Pengiktirafan UEC adalah tindakan zalim dan tidak berlaku adil kepada pelajar Cina yang lain berada dalam sistem kebangsaan, seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).

Bayangkan pelajar Cina yang berada dalam sistem, bertungkus lumus belajar, sehingga mendapat keputusan yang baik. Tiba-tiba terpaksa bersaing dengan pelajar UEC yang terkeluar daripada sistem pendidikan negara ini. Nyata sekali UEC bukan sahaja mengganggu sistem pendidikan sedia ada, tetapi turut menghalang pelajar Cina yang lain.

Sejak dahulu lagi, UEC keras kepala. Tidak pernah mahu mengalah. Mereka tahu, dan memang tahu, bahawa kerajaan sejak dahulu, hingga kini, masih tidak mengiktiraf. Keadaan ini akan menyebabkan mereka tidak akan diterima, seperti kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan kerajaan.

Mereka tahu semua ini… sangat tahu, tetapi mereka teruskan juga. Kenapa? Kerana mereka keras kepala dan mahu mencabar kerajaan. Mereka tahu suatu hari ini kerajaan mesti akan mengiktiraf UEC disebabkan oleh tekanan politik membabitkan undi. Peliknya, kenapa kita terus memberi muka?

Lebih menyedihkan lagi apabila, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tiada masalah untuk menerima pakai UEC bagi menduduki CLP, asalkan dasar bahasa dan pendidikan kebangsaan dimartabatkan. Katanya, kerajaan perlu memastikan mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diambil kira untuk dimasukkan dalam UEC.

Tahukah pemimpin PKR ini bahawa UEC tidak pernah patuh kepada syarat yang ditetapkan oleh KPM sejak dahulu hingga kini. Kurikulum, silibus dan peperiksaan mereka semuanya dikendalikan oleh NGO-NGO mereka iaitu Dong Zong dan Jiao Zong. KPM seolah-olah tidak ada peranan di situ.

Kenyataan Anwar yang dipetik dalam Berita Harian (31 Mac 2019), “Kita serah kepada Kementerian Pendidikan untuk meneliti… setakat kita tahu, memang mereka ikut kerana ia berpandukan kurikulum SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). ”

Sejak bila mereka ikut? Sejak bila pula kurikulum mereka berpandukan SPM? Peperiksaan SPM dan STPM dikawal oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia, sedangkan UEC langsung tidak mendapat kebenaran atau kelulusan LPM dan MPM.

Sijil ultra kiasu UEC ini tidak pernah ikut arahan LPM dan MPM? Yang ada adalah lembaga peperiksaan mereka sendiri dalam kalangan Dong Zong dan Jiao Zong. Mana ada sistem seperti ini di dunia, NGO menentukan hala tuju pendidikan negara dan turut mengeluarkan sijil kepada pelajar mereka. Jika asas sebegini tidak dipatuhi, kita mahu bercakap apa lagi?

Saya sudah letih bercakap isu ini sejak dahulu hingga kini. Tidak pernah selesai hanya kerana kemarukkan undi. Kerana undi yang membabitkan peralihan kuasa, kita sanggup korbankan agenda dan maruah negara. Saban hari saya menjadi hairan dan pelik. Kita nak bawa ke mana pendidikan negara ini?

Perlu diingat, agenda UEC, bukan hanya agenda DAP, tetapi MCA dan Gerakan. Mereka berjuang mempertahankan sekolah persendirian Cina ini bukan baharu, tetapi sejak dahulu lagi.

Cina bersatu dalam segala bidang termasuk pendidikan, tidak mengapa, tidak ada siapa halang. Begitu juga dengan India. Pelik bin hairan apabila ada Melayu/Islam yang baharu sahaja mengajak untuk kita semua bersatu, maka ada suara-suara macai kuda tunggangan yang berkata itu adalah rasis dan Taliban. Kebodohan dan kejahilan jenis apakah ini?

Sumber: www.ismaweb.net

Gerombolan Chauvanist Sedang Menunggu.....

Jangan buka ruang jadikan Malaysia ke arah republik
Perjanjian Statut Rom yang cuba ditandatangani kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mac lalu dilihat sebagai permulaan kepada usaha pihak tertentu cuba membuka ruang menjadikan negara ini ke arah sistem republik.

Exco Pemuda UMNO Malaysia (Pengerusi Kluster Peguam Muda), Nik Saiful Adli Burhan berkata, meskipun telah ditarik balik, hakikatnya ialah keputusan sebesar itu pernah dibuat tanpa dibentangkan di Parlimen dengan membelakangkan raja-raja dan meminggirkan pihak istana.

“Walaupun dianggap ringan oleh kerajaan, namun rakyat melihat ini sebagai permulaan membuka ruang ke arah sistem republik. Amat malang sekali jika sistem pemerintahan dan perlembagaan yang ada pada hari ini dirobek semata-mata kerana tamakkan kuasa.

“Saya ingin ingatkan kembali semua pihak tentang salah satu Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada raja dan negara. Jangan jadikan rukun yang lima menjadi empat. Hilang satu rukun, maka cacatlah negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nik Saiful Adli dalam pada itu berkata, sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak insiden perang mulut antara pemimpin kerajaan dengan pihak istana. Katanya, perkara itu dikhuatiri berkesudahan dengan hasutan jahat terhadap rakyat untuk membenci sistem beraja di negara ini termasuk menggunakan fitnah-fitnah yang tidak pernah terfikir layak dilemparkan rakyat kepada raja.

“Peranan raja untuk memberi nasihat dan pandangan terhadap pentadbiran seharusnya dipandang positif oleh semua pihak. Raja bukanlah ahli politik yang memberi pandangan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

“Campur tangan istana dalam pemerintahan kerajaan adalah suatu yang biasa apabila berlaku keadaan yang tidak kena lebih-lebih lagi jika melibatkan kepentingan agama, institusi raja, perlembagaan dan kepentingan rakyat secara am,” katanya.

Beliau turut memberi contoh penglibatan Raja Bhumibol Adulyadej yang sering membawa suara rakyat dengan menegur pentadbiran kerajaan Thailand serta rutin Ratu Elizabeth dengan Perdana Menteri England yang bertemu setiap minggu.

Sumber: http://www.utusan.com.my

Friday, April 12, 2019

Wanita Melayu Tak Pandai Jaga Badan?


WANITA Melayu sila ambil perhatian! Diperhatikan sejak akhir-akhir ini, ramai dalam kalangan lelaki Melayu sudah mula mencari pasangan mereka dari luar negara. Jangan terkejut, bukan sahaja golongan atasan atau elit yang berminat tetapi rakyat biasa berketurunan Melayu juga tidak terkecuali.

Pertubuhan wanita Islam di negara ini perlu berbincang sesama sendiri berhubung situasi yang berlaku ini dan jangan anggap perkara sebegini sebagai remeh-temeh. Ini kerana bukan itu sahaja yang mereka hadapi tetapi juga ramainya wanita Islam di negara ini menjadi ibu tunggal walaupun hanya beberapa tahun bernikah.

Kenapa dan mengapa serta apa puncanya sedemikian nasib wanita Melayu? Hendak dikatakan wanita Melayu tidak cantik dan menarik, tidak juga kerana mereka mempunyai daya kecantikan tersendiri.

Hendak katakan tidak berpelajaran pun susah juga kerana boleh dikatakan mereka mempunyai asas pelajaran mencukupi dan pekerjaan mengikut kelulusan masing-masing. Tidak ada cacat-cela, semua nya boleh dikatakan sempurna. Tetapi mengapa lelaki Melayu semakin pudar minatnya terhadap wanita bangsanya sendiri? Itulah tanda-tanya yang perlu dicarikan jawapan.

Pada pendapat saya, ada beberapa sebab dan antaranya yang ketara adalah wanita Melayu apabila sudah berumahtangga, selalunya mengabaikan menjaga badan dan berkeadaan kadangkala kusut masai apabila berada bersama suami.

Namun bila pergi berjalan atau bekerja, pandai pula mereka menghias diri. Jarang sekali diperhatikan para isteri menyambut suami pulang dari tempat kerja dengan penuh kemesraan atau menyediakan minuman.

Jauh sekali untuk hadiahkan senyuman ataupun kucupan mesra. Didapati juga ada yang biarkan keadaan di dalam rumah terutama sekali bilik tidur berselerak dan tidak terurus serta kadangkala bau hapak di sana-sini.

Berinteraksi atau bercakap dengan suami pun kadangkala suka meninggikan suara dan leteran yang tidak sepatutnya.

Oleh demikian adalah dinasihatkan supaya wanita Melayu mempelajari sedalam-dalamnya bagaimana hendak melayan dan memikat hati suami serta layanan hingga ke tempat beradu sebaik mungkin.

Peranan ibu adalah penting dan jangan malu atau sembunyikan pengajaran hidup berumahtangga kepada anak-anak gadis mereka sebelum masuk ke alam berumahtangga.

Oleh : Syed Abdullah Syed Osman

Wednesday, April 10, 2019

Mengapa Pula Kita Yang Terhegeh-Hegeh....

Statut Rom ICC: Patutkan Malaysia menerimanya?
Malaysia memutuskan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang ditandatangani pada 4 Mac lalu setelah berlaku penolakan daripada majoriti rakyat dan raja-raja Melayu di negara ini.

Ini kerana penyertaan itu dikatakan tidak mengikut Perlembagaan dan dipercayai cubaan untuk menghapuskan raja-raja Melayu, walaupun perkara itu dinafikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan jemaah Menteri lain, rakyat tetap berhak mendapat penjelasan berhubung perkara tersebut.

Berikut adalah ringkasan da­ripada perkongsian pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid MohamadAbdul Hamid Mohamad berke­naan perkara itu:
1. Kedaulatan:
Apabila sesebuah negara menjadi ahli kepada sesuatu konvensyen antarabangsa, negara itu tidak dapat mengelak kerana sedikit sebanyak ia akan menyentuh kedaulatan sesebuah negara itu. Sama ada sedikit atau banyak menyentuh kedaulatan sesebuah negara, ia bergantung kepada jenis perjanjian tersebut.

2. Kedaulatan semua negara:
Dalam isu Statut Rom ini, ia bukan sahaja akan menyentuh kedaulatan negara Malaysia sahaja bahkan semua kedaulatan negara yang menandatangani perjanjian itu akan mengalami nasib yang serupa. Semua negara yang menyertainya boleh membuat aduan dan disiasat.

3. Kekebalan atau imuniti Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu:
Menurut kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah: Penyertaan Malaysia ke Statut Rom tidak menjejaskan kedudukan dan kekebalan baginda.

Alasan yang digu­nakan adalah ringkasnya tugas-tugas Seri Paduka atas na­sihat Perdana Menteri atau jemaah Men­teri, oleh yang de­mikian segala tindakan baginda jika terjadinya jenayah perang, ia akan terletak pada bahu Perdana Menteri dan anggota Kabinet.

Hujah ini kelihatan betul tetapi banyak kesalahan yang sengaja disembunyikan. Sudah tentu apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan jemaah Menteri tidak akan menyebabkan baginda bersalah kerana jenayah itu bukan dilakukan oleh diri baginda. Jika kesalahan itu dilakukan oleh Seri Paduka dan raja-raja, mereka semua boleh dihadapkan ke ICC yang membawa maksud raja-raja tiada lagi kekebalan.

Yang hanya ada kekebalan adalah mereka yang berumur bawah 18 tahun sahaja. Mereka yang melebihi 18 tahun akan terletak di bawah bidang kuasa ICC.

Sama ada mereka melakukan atau tidak itu soal lain, sama ada kita mahu mereka dibicarakan itu soal lain. Persoalannya adalah sama ada kekebalan mereka terjejas jika kita meerima Statut Rom? Jawapannya, ya.

4. Perlukah Perlembagaan dipinda?
Saifuddin sekali lagi mengeluarkan kenyataan tambahan bahawa dengan menjadi negara pihak ICC, Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda.

Kenyataan ini tidak betul. Perlembagaan perlu dipinda ke­rana pertama, ia menyentuh kedudukan raja-raja. Jika raja-raja boleh di­dak­wa di ICC erti­nya kedudukan me­reka terjejas. Jika kedudukan terjejas maka Perlembagaan perlu dipinda.

Kedua, mengikut Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan, jika raja-raja mela­ku­kan kesalahan me­reka hanya boleh di­bicarakan atau dihukum di Mahkamah Khas.

Jadi, jika kita mahu membolehkan perbicaraan terhadap raja-raja di ICC, kita terpaksa meminda Perlembagaan tersebut untuk memberi kuasa kepada ICC membicarakan mereka.

Jika tidak dipinda, maka, ICC tiada kuasa. Jadi kenyataan Saifuddin yang dipercayai dinasihatkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas berkenaan hal ini adalah tidak betul.

5. Perlukah penyertaan Sta­tut Rom ini mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja?
Sekali lagi Saifuddin yang saya percaya mendapat nasihat daripada Tommy telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak perlu mendapat persetujuan Maj­lis Raja-Raja untuk menyer­tai Statut Rom kerana ia tidak menyentuh kedudukan raja-raja. Kita telah menyentuh bab ini tadi bahawa Statut Rome ini menyentuh kedudukan raja-raja.

Oleh kerana Statut Rom menyentuh kedudukan raja-raja, mengikut Perkara 159 (4)(Pembetulan:Perkara 159(5)) ti­daklah boleh diluluskan satu Perlembagaan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Diringkaskan, sekiranya untuk memberi kuasa kepada ICC ke atas Seri Paduka dan raja-raja, satu Perlembagaan mesti dipinda. Oleh kerana Perlembagaan yang akan dipinda itu menyentuh kedudukan raja-raja, maka persetujuan Majlis Raja-Raja perlulah diperoleh terlebih dahulu.

6. Patutkan kita terima Sta­tut Rom?
Dalam hal ini, pihak kerajaanlah yang sepatutnya memutuskan perkara itu. Kita percaya kerajaan mempunyai maklumat yang sepatutnya jika mereka mahu menyertainya berbanding kita semua. Pada hemat saya, apa-apa keputusan mereka adalah berdasarkan politik semata-mata. Apa pun mereka perlu mempertimbangkan perkara yang saya telah sebutkan tadi.

Sekiranya mereka ingin menyertainya juga, sila maklumkan kepada seluruh rakyat bahawa kesannya adalah seperti yang telah disebutkan tadi. Ja­ngan pula kata tiada kesan.

Amerika Syarikat (AS) menentang sekeras-kerasnya ICC, malah mereka telah mengeluarkan ke­nyataan bahawa tidak akan dibe­rikan atau menarik semula visa penyiasat-pe­nyia­sat ICC yang ingin masuk ke negara itu. Bahkan, Amerika mengugut akan mengenakan sekatan ekonomi kepada mana-mana negara yang membangkitkan hal itu.

AS malah menegaskan ja­ngan menyentuh negara itu dan Israel yang turut tidak menyertai Statut Rom.Sekiranya Malaysia menyertainya dan menjadi ahli Statut Rom sekalipun, kita tetap tidak tidak boleh mendakwa dan membicarakan Israel di ICC kerana mereka bukan negara ahli. Sebagaimana yang telah disebutkan pada awal tadi, ha­nya negara yang menyertainya sahaja boleh membuat aduan dan boleh dibicarakan.

Bagaimanapun, ada satu cara lain yang boleh digunakan iaitu meminta Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengusulkan ICC untuk membuat siasatan terhadap sesuatu negeri. Itu pun sekiranya Majlis Keselamatan bersetuju kerana apa yang pasti AS pasti akan menggunakan kuasa vetonya sekiranya sesiapa yang membangkitkan perkara itu.

Akhirnya, setakat ini hanya satu negara sahaja yang telah disiasat oleh ICC melalui Majlis Keselamatan iaitu negara Islam, Sudan Utara yang dikatakan me­lakukan kekerasan terhadap pemberontak Sudan Selatan yang terdiri daripada penganut Kristian yang ingin memisahkan Sudan Selatan dari Sudan Utara.

Negara Sudan yang dikuasai oleh orang Islam itulah akhirnya dijadikan mangsa untuk disiasat. Itulah keadilan PBB. Tuan-tuan fikirlah sendiri.

Baik, berbalik kepada AS tadi, sekiranya negara itupun menolak mengapa pula kita terhegeh-hegeh untuk menyertainya? Ini persoalan yang perlu kita fikir. Apatah lagi jiran-jiran kita juga tidak menyertai Statut Rom. Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand semua tidak menerimanya. Apa sebab kita hendak terima sangat?

Kita hendak terima mungkin sebab kita boleh hadapkan Singapura ke ICC tetapi Singa­pura bukan ahli Statut Rom, bagaimana untuk dibicarakan? Jadi apa sebab yang sebenar-benarnya yang kita hendak sangat menyertainya? Itu soalan-soalan yang perlu kita fikir.

Ringkasnya, kekebalan raja-raja Melayu akan terhapus setelah menyertai Statut Rom. Apabila kekebalan raja-raja sudah dihapuskan, ‘perkara’ selepas itu akan menjadi sungguh mudah. Adakah dengan me­nyertai Statut Rom merupakan satu cara untuk menghapuskan raja-raja Melayu seperti yang berlaku di Singapura?

Sumber: http://www.utusan.com.my

Tuesday, April 9, 2019

‘Bukan tukang sogok, gendang rebana’

HAIRAN dengan pendirian Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Walaupun budayawan itu dari sebuah parti kerajaan Pakatan Harapan (PH), pendirian Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu Negeri Sembilan itu dalam beberapa isu nasional semasa yang ‘berbahang’ kelihatan ‘tidak memihak’ kepada PH.

Berkesempatan bertemu Rais yang akan mencecah usia 77 tahun 15 April ini di Wisma Packer 195, pejabat guamannya di Jalan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur Selasa lalu, Tumpang membangkitkan ‘persoalan’ itu.

Rais yang berkhidmat di bawah enam Perdana Menteri (dua kali dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan dikira tujuh semuanya kerana pernah bekerja dengan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman, begitu berpengalaman luas antaranya sebagai Menteri Luar, Menteri Penerangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi Tumpang, realitinya, mana-mana pemimpin adalah juga kuda lejang atau soldadu perjuangan rakyat. Maka, adalah elok pemikiran tahap tinggi Rais yang bernas, jitu dan mudah difahami ini Tumpang kongsikan dengan orang politik dan menteri-menteri kerajaan hari ini.

MENGAPA KRITIS?
Saya tak mahu jual ‘saya punya hal saya’ demi menyumbang kepada kesejahteraan negara dan bangsa. Kalau jawatan seseorang itu ‘dimandulkan’, ia sudah lari dari perjuangan asas tentang nilai. Juga hak asasi kita untuk memperbaiki keadaan.

Sebagai lama dalam sistem, saya tumpukan kepada soal-soal ketrampilan, integriti, isi jati tidak begitu tertarik dengan retorik mengampu. Saya tak terikat lagi dengan tukang sogok, tukang gendang rebana. Saya hendak orang Melayu berfikir.

BEZA HAK MELAYU DENGAN KAUM LAIN
Bagi rakyat Malaysia, hak mereka ada. (Cuma) hak Melayu jangan disentuh. Itu prinsipnya. Mengenai hak Raja-raja, hak istimewa Melayu dan bahasa kita (semua kaum) bersama, (isu-isu mempersoalkan) itu sudah selesai. Tidak boleh dibangkitkan lagi.

TAHAP INTELEK MELAYU
Intelek Melayu terlampau bergantung kepada imbuhan atau hal-hal berkaitan habuan, pangkat dan kedudukan. Mereka tidak berani seperti dahulu menyuarakan hal tertentu demi kebenaran, perjuangan dan keintelektualan mereka.

Kalau seseorang itu intelek atau yang berkuasa di menara gading atau seseorang yang namanya pemikir tetapi tidak berani menyanggahi perkara yang nampak tidak baik, itu sudah lari dari tanggungjawab asas seorang intelek.

TABIK PROF. TEO...MANA PROF. MELAYU LAIN?
Dalam dunia Melayu Malaysia, begitu ramai intelek Melayu. Tetapi apabila persoalan seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) timbul, kenapa cuma Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong muncul?

Mengapa tidak profesor-profesor lain. Ini sesuatu yang pelik. Apabila Prof. Teo muncul, saya angkat topi pada dia. Cuma dia bukan Melayu tetapi dia pula yang menentang UEC.

PERNAH DITEGUR TUN M?
Tidak pernah. Itupun saya sedia terima kalau teguran itu berpatutan. Jika tidak, saya akan beri hujah, balas balik. Tapi dalam soal di mana hal-hal (isu-isu) rakyat begitu banyak, menteri harus cepat membuat garapan.

Masa masih ada lagi. Masih ada tempat untuk kerajaan PH menjadi payung besar kepada rakyat dan juga parti Bersatu untuk mengolah pendekatan mereka mengikut manifesto yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebenarnya banyak yang telah PH buat untuk rakyat termasuklah peruntukan RM45 juta membiayai skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI untuk golongan suri rumah. Mengenai tol (hapus kutipan tol dari pukul 11 malam hingga 5 pagi), sudah ada sedikit perubahan.

Berkaitan dengan bantuan kemajuan syiar Islam (peruntukan RM1.2 bilion) dan elaun untuk petani dan nelayan pun semuanya ada rekod-rekod semenjak setahun ini yang sangat menggalakkan.

KEMENTERIAN PERLU AGRESIF?
Saya tidak nampak Kementerian Komunikasi dan Multimedia memainkan peranan-peranan yang jelas terhadap capaian-capaian yang telah dibuat oleh Dr. Mahathir. Padahal sudah banyak yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat.

Jangan harapkan media sosial. Saya bersetuju dengan Tun Daim Zainuddin iaitu kita jangan banyak ‘pukullah’ orang dari kerajaan terdahulu. Itu dunia sudah tahu. Bawa saja ke mahkamah. Tak payah lagi ‘gendang kecapi’ itu ini.

PRESTASI MENTERI?
Kurang ketrampilan. Saya harap para menteri tidak kecil hati. Mereka perlu membuat beberapa jentera bengkel iaitu cara dan kaedah sebagai anggota pentadbiran memahami undang-undang asas seperti akta dan fungsi menteri Tahun 56.

Juga, mengkaji kanun etika anggota pentadbiran yang dikeluarkan selain memahami hubungan antara penjawat awam dengan menteri di bawah Perintah Am.

MANFAATKAN INTAN
Selain itu, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara harus mengadakan kursus bagaimana menteri harus berkhidmat mengetuai sesuatu kementerian.

Saya nampak ini tidak dijalankan sekarang. Semasa Tan Sri Samsudin Osman sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) ada dibuat.

Saya sarankan KSN adakan kursus bengkel ini sebagai mekanisme mentadbir negara menerusi kementerian.

Misalnya ramai menteri tidak faham apa itu tender terbuka, tender terhad, sebut harga? Asas ini mesti difahami.

KISAH LAMA DI WISMA PUTRA
Saya masih teringat dalam mengendalikan sesuatu isu antarabangsa, Menteri Luar biasanya akan buat hubungan interpersonal terlebih dahulu. Berjumpa dahulu menteri sesama menteri dengan minum kopi, teh.

Saya dengan Menteri Luar Singapura sebelum ini, George Yeo setiap minggu kami ada perbincangan. Bila sudah buntu, baru kami pergi ke peringkat tinggi antara Perdana Menteri dengan Perdana Menteri.

Saya faham ini ada dibuat tapi terbaiknya dikhususkan Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina mesti ada hubungan istimewa hingga ‘angkat gagang telefon’ boleh bercakap.

LATIH DUTA BERBAHASA INGGERIS
Perkara kedua adalah melatih para duta kita dalam bidang bahasa Inggeris aras tinggi. Kebanyakan pegawai yang saki baki sekarang kurang capaian bahasa Inggeris mereka.

Dahulu Malaysia terkenal sebab kebolehan Menteri Luar kita beretorik, berhujah dan melapor menerusi bahasa Inggeris. Kita dihormati oleh Washington. Trend dihormati ini perlu dikembalikan.

HATRIK DI RANTAU?
Hatrik BN di Rantau? Semacam trend yang PH sudah nampak tulisan di dinding. Kata orang putih writing on the wall.
Sekiranya dalam PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih sudah berlaku, di Rantau lagilah sukar (untuk PH menang). Di Semenyih dulu PH menang 8,000 undi, sekarang defisit 1,900 undi. Di Rantau, berkemungkinan sebab manifesto PH belum terasa di peringkat bawah.

Mungkin persaingan calon PKR itu akan datangkan keputusan negatif kepada PH.

Sumber: http://www.utusan.com.my

Saturday, April 6, 2019

Malaysia Baharu....Lucunya !!!

Bila Peguam Negara mendahului kerajaan ultra kiasu pun bertwist
BELUM lagi selesai Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan, untuk membuat kajian mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu UEC sekolah persendirian Cina, tiba-tiba Peguam Negara, Tommy Thomas, telah membuat kenyataan mengiktiraf sijil itu.

Peguam Negara minggu lalu mengeluarkan kenyataan bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia mengiktiraf UEC sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels.

Anggota PPDUEC yang telah dilantik pada 29 Oktober 2019, diketuai oleh Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Malaysia (Pusaka), Eddin Khoo Bu Eng selaku pengerusi; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim; dan Timbalan Presiden Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing selaku ahli.

Peguam Negara turut memaklumkan bahawa Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021.

Ultra kiasu bersorak gembira dengan keputusan itu. Mungkin juga menari twist mengikut irama ‘Let’s twist again’. Ultra kiasu turut mengucapkan tahniah secara khusus kepada Peguam Negara, selaku Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia atas pengiktirafan itu.

Ini bermakna, pelajar persendirian Cina boleh membuat permohonan untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG).

Jika pembaca Ismaweb mengikut tulisan saya sebelum ini, saya ada menyebut bahawa saya adalah salah seorang panel pakar yang dipilih untuk memberikan pandangan di hadapan pasukan itu hujung tahun lalu.

Pendirian saya jelas, jika UEC mahu diiktiraf, ia mesti melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dikawal selia oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, bukannya Dong Zong dan Dong Jiao Zong, seperti amalan hari ini.

Jelajah PPDEUC ini masih belum selesai. Masih berjalan, dijangka disiapkan pada Julai tahun ini.

Ini dibuktikan melalui kenyataan Menteri Pendidikan pada 21 Mac 2019, mengatakan bahawa keputusan untuk menubuhkan PPDUEC adalah susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Ogos 2018.

Menurut Menteri lagi, PPDUEC ditubuhkan untuk mengumpul maklumat dan mengemukakan syor kepada kementerian berhubung isu pengiktirafan UEC.

Garis masa pasukan ini mengkaji isu pengiktirafan UEC adalah dari Oktober 2018 hingga Julai 2019. Hasil dapatan daripada maklum balas mengenai pengiktirafan UEC akan dirumuskan dan syor-syor akan dirangka dan diangkat kepada menteri pada Julai 2019, untuk dipertimbangkan sama ada sijil itu akan diiktiraf dalam sistem pendidikan negara atau tidak.

Dalam fahaman saya, berasaskan kepada kenyataan di atas, Jemaah Menteri (kerajaan) adalah institusi paling tinggi dalam menentukan sebarang keputusan, terutama perkara berkaitan hala tuju pendidikan negara. Pihak lain tidak boleh mendahului. Persoalannya, kenapa Peguam Negara mendahului kerajaan?
Ya! Tidak menghairankan kerana sebelum ini, kerajaan negeri Sarawak dan Melaka telah mengiktiraf UEC. Jika kerajaan negeri Sarawak mengiktiraf saya masih lagi boleh menerima, kerana kita tertakluk kepada Perjanjian Malaysia 1963. Sarawak ada hak dalam membuat keputusan berkaitan hal ehwal dalam negerinya.

Itu pun masih kurang manis, kerana nampak kelakar, Kerajaan Pusat belum buat keputusan, kerajaan negeri sudah mendahului seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka.

Jika beginilah keadaan cacamarbanya, saya cadangkan, tidak perlu lagi dibuat kajian. Iktiraf sahaja UEC, bubar sahaja PPDUEC yang sedang dalam proses untuk menghabiskan kajiannya. Membazirkan duit rakyat sahaja, seolah-olah kita sudah tahu jawapannya.

Pengiktirafan Peguam Negara terhadap EUC pada hemat saya adalah satu penghinaan kepada KPM. Jika begitu besar kuasa Peguam Negara mengiktiraf UEC tanpa merujuk kepada KPM, siapa berkuasa ke atas siapa?

Negara kita akan menjadi bahan ketawa dunia. Keadaan ini mungkin akan menjejaskan ekonomi negara, kerana kebimbangan pelabur luar yang takut dengan dasar caca merba dan tidak tegas sebegini.

Setiap kali bertukar menteri (kerajaan), maka bertukar dan berubahlah sesuatu dasar. Itu belum dilihat lagi dalam soal perbelanjaan dalam merangka sesuatu dasar, kemudian memansuhkannya, seterusnya mengadakan yang baharu. Berapa duit habis?

Tidak salah jika mahu merubah (memansuhkan) sesuatu perkara (dasar), kerana dunia berubah, pendidikan dan apa jua sektor perlu selari dan mengikut peredaran zaman. Tetapi, kena pastikan akar atau tunjangnya tidak tercabut, bersekali dengan dasar yang berubah.

Pergilah merata dunia buat kajian, semua negara boleh dikatakan, rata-rata dasar mereka berasaskan kepada akar dan jati diri kehidupan bernegara. Hanya ada, satu sistem pendidikan, satu dasar bahasa negara, dan dasar-dasar lain berasaskan kepada jati diri bangsa majoriti, dengan mengambil kira hak minoriti.

Peliknya, sistem pendidikan negara kita tidak berlaku sedemikian rupa, sehinggakan terdapat ramai rakyat Malaysia tidak menghayati jati diri dan kehidupan bernegara.

Lebih menyedihkan lagi, masih ramai yang langsung tidak boleh menggunakan bahasa negara atau bahasa kebangsaan, meskipun menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam, termasuk Peguam Negara.

Apakah wajar seorang rakyat Malaysia, berjawatan tinggi, mewakili negara dan kerajaan dalam setiap perkara berkaitan dengan bidangnya, tidak dapat menjadi cerminan kepada negara yang diwakilinya? Teramat malang sekali.

Perkara ini tidak pernah berlaku dalam negara lain di dunia ini. Bayangkan jika Peguam Negara Thailand, tidak tahu berbahasa Siam. Peguam Negara China tidak tahu berbahasa Cina, begitu juga dengan Peguam Negara daripada negara yang lain.

Jika tidak percaya, kita tengok nanti bancian yang akan dibuat sekali lagi pada tahun 2020. Untuk makluman, bancian yang dibuat oleh kerajaan pada tahun 2010 (sepuluh tahun lagi pada tahun 2020), rupa-rupanya ramai rakyat Malaysia yang tidak menguasai bahasa negara sehingga terpaksa menggunakan penterjemah, untuk menterjemahkan Bahasa Melayu ke dalam Bahasa Cina dan sebagainya.

Mereka ini tinggal di mana? Bolehkah amalan membina negara dalam negara diamalkan dan dibiarkan? Wajarkan mereka ini dihantar balik ke tempat asalnya? Saya pulangkan kepada semua ini kepada mereka yang mahu mengiktiraf UEC. Juga rakyat Malaysia untuk menilai. https://www.ismaweb.net

Thursday, April 4, 2019

Pengiktirafan Yang Hancing....

Iktiraf UEC mencacatkan integriti dasar pendidikan negara
Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam melihat langkah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang menerima pakai sistem pendidikan dari luar, boleh mencacatkan integriti dasar pendidikan negara.

Dalam masa sama, beliau juga mempersoalkan kuasa yang ada pada Peguam Negara, Tommy Thomas sehingga boleh mengiktiraf UEC untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) tanpa dibawa ke Kementerian Pendidikan terlebih dahulu.

Beliau berkata, sepatutnya perkara tersebut dibincangkan melalui jawatan kuasa yang dibentuk oleh Kementerian Pendidikan melibatkan pakar-pakar akademik selain dibawa ke Kabinet sebelum dipertimbangkan.

"Adakah kuasa Peguam Negara boleh campur dalam urusan pendidikan di bawah kementerian. Jika Peguam Negara ada semua kuasa ini maka sudah tidak relevanlah adanya Kementerian Pendidikan dan pakar-pakar pendidikan.

"Jelas perkara itu (UEC) bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan dan tidak mengikut silibus yang telah ditetapkan selain tidak sesuai apabila meletakkannya sama taraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dalam soal ini (iktiraf UEC) dan kita perlu melindungi sistem pendidikan kita. Apabila sistem kita dicampur dengan sistem pendidikan luar ia boleh menjatuhkan maruah kita sebagai sebuah negara berdaulat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lalu, Tommy dalam kenyataannya memaklumkan CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021 selepas melakukan perbinca­ngan dengan beberapa pihak.

Bagaimanapun keputusan Tommy itu mendapat bantahan ramai pihak termasuk disifatkan sebagai mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Ramlah, sepatutnya sistem pendidikan negara yang sedia ada sudah cukup dan tidak perlu menggunakan sistem lain dari luar negara seperti UEC ini. - http://www.utusan.com.my

Monday, April 1, 2019

UEC - Pemimpin PH Jangan Berdiam

Pemimpin Pakatan Harapan khususnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya menegur tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang memberikan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Sambil menyifatkan keputusan tersebut sebagai tidak masuk akal, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) , Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pengiktirafan tersebut telah melanggari sistem sedia ada dan tidak menghormati bahasa kebangsaan di bawah Fasal 153.
“Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik seharusnya cakna dengan isu penerimaan UEC dalam sistem pendidikan yang jelas melanggar Dasar Pendidikan Negara dan jangan terus berdiam diri sehingga terus dibonekakan DAP.

“Tindakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang pantas memberi respon gembira mengenai pengumuman tersebut jelas menunjukkan hal ini merupakan agenda terancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dengan jawatan yang dimiliki Tommy cuba menjadi wira kepada kaum tertentu dengan usaha menempatkan lebih ramai orang bukan Melayu dalam profesion guaman.

“Selama ini kelonggaran menggunakan bahasa Inggeris sudah cukup mencabar kewibawaan mahkamah dan adakah perlu selepas ini bahasa-bahasa lain pula diberi kelonggaran kerana kelemahan dalam berbahasa Melayu.

“Semua pihak mengetahui bahasa Melayu bukanlah bahasa pengantar utama dalam silibus pendidikan UEC.

“Sampai bila kita mahu memberikan kelonggaran begini. Sepatutnya sekiranya tidak mahir, belajar dan berusaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu,” katanya lagi.

Sumber: http://www.utusan.com.my