Monday, February 19, 2018

Gaji Rakyat Memang Rendah

Memperkatakan tentang kos sara hidup. Apakah semua orang sudah dapat menyerap segala masalah itu dalam kehidupan masing-masing? Atau, terima sahaja dugaan yang mendatang.

Sebab itu mungkin kalau ditinjau di restoran makanan se­gera, atau ke gerai makan – jarang yang lengang. Tiba masa tertentu, penuh sesak.


Mahu tak mahu, walaupun bergaji kecil atau rendah, perut tetap perlu diisi.

Bukan auta tapi kenyataan – rakyat Malaysia ramai yang ber­pendapatan rendah. Tapi dengan promosi itu ini dan pe­ngaruh ajakan rakan, ramai juga orang Malaysia yang mampu melancong ke luar negara. Ada pula duit untuk ‘berparawisata’.

Serba salah dan keliru dibuatnya. Adakah rakyat Malaysia sememangnya boros dalam berbelanja atau hakikatnya gaji rakyat kita sememangnya rendah.

Bayangkan jika seorang itu berpendapatan RM5,000 sebulan, setelah ditolak bayaran ansuran rumah, ansuran kereta, minyak kereta/motosikal, perbelanjaan bulanan persekolahan anak, bayaran letak kereta dan tol, barang dapur, bil telefon, elektrik dan air, perkhidmatan itu dan ini, berapa yang tinggal?

Dengan kenaikan harga barangan serta perkhidmatan, pastinya gaji yang dibawa pulang belum tentu mampu untuk dibuat tabungan. Sebab tumpuan lebih banyak diberi untuk memenuhi tuntutan perbelanjaan harian.

Peningkatan kos hidup berbanding pendapatan isi rumah yang masih rendah itu sedikit sebanyak memaksa sesetengah rakyat kita berhutang. Tempoh bayaran balik hutang tersebut ada yang berjangka masa tiga, lima, tujuh, sembilan malah hingga 35 tahun.

Agak pelik juga tabiat segelintir masyarakat kita, selagi ada peruntukan kenaikan gaji tahunan, bagai ada jaminan untuk mereka ‘tutup lubang, gali lubang.’ Belum habis hutang lama, ditambah dengan hu­tang baharu. Jangan hina dan salahkan go­longan ini. Ada sebabnya!

Bayangkan indi­vidu yang bergaji bawah RM3,000-RM5,000 sebulan, bu­kan jaminan me­­­reka hidup se­le­sa dan boleh meng­hadapi pe­ning­ka­­tan kos hidup tanpa berhutang. Hal ini adalah ha­kikat kerana saya per­nah melaluinya. Jauh sekali untuk membuat simpanan.

Sebab itu, para majikan swasta dan kerajaan harus mencari formula bagaimana membantu rakyat yang ber­pen­dapatan ‘cukup makan’ itu untuk meningkatkan pen­da­patan mereka ke paras yang sepatutnya. Banyak golongan pertengahan yang dilihat kurang mendapat perhatian, sedangkan jumlah mereka ramai.

Harapan ini patut direalisa­si­kan kerana kerajaan sendiri se­tiap tahun melaungkan im­pian untuk men­jadikan Malaysia negara berpendapatan ting­gi.

Kalau pendapatan rak­yat tidak ditingkatkan, jangan kita harap rakyat ter­u­tama ma­joriti bu­miputera di negara ini mampu mem­beli rumah yang dika­te­gorikan harga mampu milik itu.

Pendapatan tinggi
Jangan guna alasan rak­yat perlu lakukan le­bih daripada satu kerja un­tuk meraih pen­da­patan tinggi. Tidak akan selesai juga masalah pemilikan ru­mah sebab harga rumah su­dah di luar kawalan. Dulu kerajaan ada cara me­nga­walnya tetapi kini di­­biar pada pasaran yang menentukannya.

Gaji rendah, kos sara hi­dup yang tinggi dan berhutang tidak dinafikan saling ada hubung kaitnya. Bukan sedikit golongan mu­da yang terjebak de­ngan skim cepat kaya dan Multi Level Marketing (MLM) ekoran tekanan ke­wangan. Ada yang berjaya tetapi banyak yang kecundang dan kecewa.

Masalah tekanan atau desakan hidup akibat gaji rendah ini barangkali antara salah satu punca yang mendorong berla­kunya rasuah.

Kita mohon kepada pemimpin kerajaan dan majikan swasta supaya keluarkan negara ini daripada persimpangan dan perangkap negara berpendapatan sederhana. Kita mahu status negara berpendapatan tinggi.

Jangan biarkan golongan berkelulusan SPM dan ke bawah terus dibayar kadar upah yang rendah. Sektor swasta kena bersedia untuk melabur dalam produktiviti dan latihan pekerja tempatan daripada hanya fikirkan keuntungan.

Slogan guna tenaga berkemahiran dan berteknologi tinggi supaya rakyat mendapat gaji tinggi jangan tinggal catatan dalam berita yang disimpan di dalam arkib.

Apa yang berlaku sejak dua dekad lalu ialah trend komunti peniaga dilayan dengan membenarkan kemasukan besar-besaran pekerja asing, terutama di kilang, untuk menggantikan pekerja tempatan yang gajinya lebih mahal.

Mitos bahawa orang tempatan memilih pekerjaan dan tidak bersedia untuk bekerja di kilang kemudiannya dibesar-besarkan, walaupun rakyat tempatan bersedia untuk bekerja di kilang sekiranya gajinya berpatutan.

Buktinya, lihatlah begitu ramai rakyat kita sanggup bekerja di Singapura. Walaupun menjadi buruh, mereka sanggup lakukan kerana bayaran yang diterima di negara itu berbaloi berbanding apa yang diterima di Malaysia.

Kerap kita dengar ucapan pemimpin bahawa konsep negara maju kita perlu berteraskan kepada modal insan yang menjurus kepada ekonomi inovatif dan berpengetahuan. Hal ini sudah berlangsung, tinggal kadar upah yang masih di takuk lama.

Kalau kita mahu bertaraf negara maju, rakyat pun mahu diberi gaji yang setimpal sama ada pekerja sektor awam atau swasta.

Kini gaji sektor awam dilihat bertambah baik dan lebih menarik berbanding de­ngan sektor swas­ta. Para majikan swasta perlu ambil perhatian, jagalah hati pekerja anda yang belum tentu terjamin pe­kerjaannya.

Oleh : Azman Anuar

No comments:

Post a Comment