Wednesday, February 28, 2018

Kerana DBP 'sudah mati'

Sastera, seni dan budaya sebenarnya memainkan peranan yang teramat penting sebagai pemangkin kesedaran masyarakat untuk membina sesebuah negara bangsa.

Sastera adalah contoh wadah yang nyata memainkan peranan membangunkan kesedaran khalayak dan sejak dulu mampu membangkitkan semangat nasionalisme.

Tanah tercinta ini suatu masa dulu mempunyai barisan pejuang watan seperti Usman Awang, Keris Mas, Pak Sako, A Samad Ismail, Wijaya Mala, Ahmad Boestamam dan ramai lagi yang menjadikan penulisan sebagai pencerah minda masyarakat supaya mengorak perubahan.

Sejak pada zaman prakemerdekaan mereka membaja semangat nasionalisme dalam jiwa rakyat. Sesetengahnya menggerakkan Angkatan Sasterawan '50 (ASAS 50) yang menjadikan slogan "Seni Untuk Masyarakat" sebagai kata keramat bagi meneruskan derap langkah perjuangan khalayak.

Tiada kesan pada bangsa
Namun kesan daripada sistem usang yang dibawa pemerintahan Umno sekian lama - dan lebih tampak pada hari ini - masyarakat diasuh untuk mencorak akademik berdasarkan ranking dan bukannya menatang nilai keilmuan.

Justeru peranan sastera serta budaya pun mati.

Masyarakat dipaksa atau diasuh mengejar kedudukan akademik bagi menggapai kedudukan sehingga menyebabkan sistem pendidikan kita memenjarakan pemikiran dan menghasilkan terlalu ramai robot.

Ya, ramai golongan akademia bukanlah bererti ramainya golongan pemikir. Akhirnya sistem sedia ada terbukti mencipta kelompok yang mewujudkan pemikiran kelas tanpa kita sedar.

Perlu disedari keilmuan dan akademik adalah dua perkara yang berbeza.

Tiada guna jika terlalu ramai orang memiliki PhD namun kajian yang dilakukan bagi memperoleh ijazah itu tidak membawa kesan kepada pembangunan nusa dan bangsa.

Buruan memperoleh gelaran doktor falsafah itu dibuat untuk kelangsungan hidup semata-mata dan bukannya melahirkan lebih ramai insan seperti mereka.

Jurnal-jurnal yang dihasilkan sepatutnya membawa kepada anjakan minda, bukan setaraf zine.

Malah apabila sarjana terlalu lama berkubang di menara gading mungkin ada antara mereka lupa akan dataran dan lembah gersang yang dahagakan ilmuan sejati.

Teringat bait-bait sajak Widji Thukul:

"Apa guna baca banyak buku
kalau mulut kau bungkam melulu!?"


Saya yakin, hilangnya peranan sastera dan budaya dalam mencorak pemikiran masyarakat menyumbang kepada keruntuhan sistem, khususnya pendidikan. Justeru wujudlah suatu sistem seumpama jasad tanpa roh! Itulah sistem yang ada pada kita hari ini.

Kritik sistem curang
Saya yakin masalah meruncing dalam sistem di tanah pusaka kita ini berlaku apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah 'mati'.

Dulu nama-nama yang saya sebutkan di atas menjadi susuk pemikir dan pejuang tanah air dan menjadi tunjang kepada DBP.

Di DBP suatu masa dulu pernah menjadi sarang kepada para nasionalis untuk menterjemah buah fikiran mereka buat membangun pemikiran masyarakat dalam acuan budaya Malaysia.

Namun hari ini DBP telah lumpuh. Masyarakat lebih mengenal DBP hanya sebagai 'kamus'.

Sedangkan peranan DBP itu besar iaitu menjadi ejen pendesak melangkaui aspek bahasa semata-mata. Melalui persuratan, penulisan atau sastera DBP sepatutnya berfungsi sebagai medan kritik ke atas mana-mana sistem yang gagal atau curang.

'Terkuburnya' DBP menyebabkan estetika sastera dan budaya dalam acuan membangun negara bangsa telah lenyap.

Lihatlah karya-karya yang ada pada hari ini. Tepuk dada tanyalah jiwa. Adakah benar penulisan dan persuratan yang mudah digapai kini benar-benar mampu membangun jiwa anak bangsa?

Lihat pula jiran kita, Indonesia. Legasi keilmuan melalui peranan kesusasteraan mereka meresap dari generasi ke generasi! Chairil Anwar nyata "hidup seribu tahun" dalam jelmaan yang pelbagai.

Susuk seperti Ayu Utami seorang yang turut mengarang kisah cinta yang sekali imbas mungkin kelihatan seperti kebanyakan penulis di Malaysia, namun ceritanya sering mendidik dan memperjuangkan soal feminisme.

Karyanya bertindak sebagai kritik sosial masyarakat dan yang paling penting senantiasa menzahirkan kecintaan terhadap negara.

Saturday, February 24, 2018

Kelemahan B. Melayu Jejas Identiti Nasional

Kelemahan murid sekolah vernakular khususnya di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dalam menguasai bahasa Melayu boleh menjejaskan hasrat kerajaan untuk membentuk masyarakat bersatu padu dan beridentiti nasional.

Felo Utama, Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, jelas dilihat ketika ini, bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular hanya diajar dan dipelajari untuk satu mata pelajaran sahaja dan tidak lebih daripada itu sedangkan bahasa Melayu perlu dijadikan sebagai pengantar utama sistem pendidikan negara.

Keadaan ini jelasnya, telah melahirkan lepasan murid di SJKC yang hanya fasih dalam satu bahasa sahaja iaitu bahasa Mandarin. Lebih memburukkan ke­adaan, pelajar-pelajar ini ha­nya bergaul sesama mereka dan kurang atau tidak langsung bercampur dengan kaum lain.

“Apabila hanya bahasa Mandarin sahaja dikuasai, kelompok pelajar ini hanya akan membaca akhbar berbahasa Cina serta menonton rancangan berbahasa Cina yang diimport dari luar negara seperti China, Hong Kong dan Taiwan. Hal ini diakui sendiri oleh banyak pemimpin masyarakat dan ahli politik Cina di negara ini.

“Sudah tentu sifat begini tidak membantu aspirasi nasional khususnya dalam usaha kita untuk membentuk negara bangsa melalui teras pendidikan. Dalam keadaan ini, tentulah sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu dilihat perlu dijadikan satu-satunya medan untuk memupuk rakyat menjadi sebuah komuniti yang bukan sahaja bersatu padu tetapi mendukung serta mempamerkan identiti nasional yang serupa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel dalam Siri Wacana Cendekiawan Institut Alam Tamadun Melayu (ATMA) bertajuk Konflik Antara Keperluan dan Kemahuan: Sekolah Kebangsaan Dan Sekolah Vernakular Dalam Pemba­ngunan Negara Bangsa Di Alam Me­layu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, dekat sini hari ini.

Turut menjadi ahli panel dalam wacana tersebut ialah Pe­nyandang Kursi Pengajian Melayu, Kementerian Pendidikan Tinggi di Beijing Foreign Studies University, Prof. Datuk. Dr. Awang Sariyan dan tokoh pendidikan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron.

Sehubungan itu juga, tambah Kok Seong, pembentukan sekolah satu aliran dilihat sebagai satu idea dan cara terbaik bagi membentuk identiti nasional kerana di situ semangat kebangsaan dan perkongsian budaya yang sama dapat dipupuk dengan sempurna.

“Kita perlu mempunyai model baharu persekolahan, tiga jenis sekolah sekarang iaitu, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama perlu digabung dan distruktur semula untuk dijadikan satu jenis persekolahan sahaja iaitu dalam bentuk sekolah satu aliran.

“Sekolah ini akan mempu­nyai tiga komponen utama iaitu akademik, etnik dan bahasa-bahasa ibunda ma­sing-masing serta keagamaan. Ini gagasan besar yang boleh kita teliti dan bahas, mungkin ada pihak yang tidak bersetuju oleh itu perbincangan sela­njutnya mengenai idea ini perlu sentiasa dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, sudah kerap kali perbincangan mengenai idea pembentukan sekolah satu aliran diadakan sebelum ini namun ba­nyak tumpuan diberikan bagi cadangan untuk menutup sekolah-sekolah vernakular sedia ada.

“Kita tidak mahu perbinca­ngan selepas ini memberi fokus untuk menutup sekolah-sekolah vernakular kerana hal itu tidak mungkin akan terjadi dan ba­nyak pihak pasti akan membantah malah lebih buruk boleh menimbulkan situasi konflik dalam negara,” katanya.

Sementara itu, menurut Awang, bahasa Melayu adalah milik setiap rakyat dalam negara ini bukan sahaja kepada orang Melayu. Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk memperkasakannya terutama da­lam bidang pendidikan.

“Menutup semua sekolah vernakular yang ada dalam situa­si semasa mustahil untuk dilaksanakan, oleh itu satu ikhtiar perlu dilakukan oleh kerajaan sekurang-kurangnya dengan memastikan peratus penggunaan bahasa Melayu dalam sesi pengajaran di sekolah vernakular dapat ditingkatkan.

“Sekiranya sekolah jenis kebangsaan berterusan menggunakan bahasa ibunda masing-ma­sing, isu ini akan terus menjadi duri dalam daging ke arah pembentukan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya.

Monday, February 19, 2018

Gaji Rakyat Memang Rendah

Memperkatakan tentang kos sara hidup. Apakah semua orang sudah dapat menyerap segala masalah itu dalam kehidupan masing-masing? Atau, terima sahaja dugaan yang mendatang.

Sebab itu mungkin kalau ditinjau di restoran makanan se­gera, atau ke gerai makan – jarang yang lengang. Tiba masa tertentu, penuh sesak.


Mahu tak mahu, walaupun bergaji kecil atau rendah, perut tetap perlu diisi.

Bukan auta tapi kenyataan – rakyat Malaysia ramai yang ber­pendapatan rendah. Tapi dengan promosi itu ini dan pe­ngaruh ajakan rakan, ramai juga orang Malaysia yang mampu melancong ke luar negara. Ada pula duit untuk ‘berparawisata’.

Serba salah dan keliru dibuatnya. Adakah rakyat Malaysia sememangnya boros dalam berbelanja atau hakikatnya gaji rakyat kita sememangnya rendah.

Bayangkan jika seorang itu berpendapatan RM5,000 sebulan, setelah ditolak bayaran ansuran rumah, ansuran kereta, minyak kereta/motosikal, perbelanjaan bulanan persekolahan anak, bayaran letak kereta dan tol, barang dapur, bil telefon, elektrik dan air, perkhidmatan itu dan ini, berapa yang tinggal?

Dengan kenaikan harga barangan serta perkhidmatan, pastinya gaji yang dibawa pulang belum tentu mampu untuk dibuat tabungan. Sebab tumpuan lebih banyak diberi untuk memenuhi tuntutan perbelanjaan harian.

Peningkatan kos hidup berbanding pendapatan isi rumah yang masih rendah itu sedikit sebanyak memaksa sesetengah rakyat kita berhutang. Tempoh bayaran balik hutang tersebut ada yang berjangka masa tiga, lima, tujuh, sembilan malah hingga 35 tahun.

Agak pelik juga tabiat segelintir masyarakat kita, selagi ada peruntukan kenaikan gaji tahunan, bagai ada jaminan untuk mereka ‘tutup lubang, gali lubang.’ Belum habis hutang lama, ditambah dengan hu­tang baharu. Jangan hina dan salahkan go­longan ini. Ada sebabnya!

Bayangkan indi­vidu yang bergaji bawah RM3,000-RM5,000 sebulan, bu­kan jaminan me­­­reka hidup se­le­sa dan boleh meng­hadapi pe­ning­ka­­tan kos hidup tanpa berhutang. Hal ini adalah ha­kikat kerana saya per­nah melaluinya. Jauh sekali untuk membuat simpanan.

Sebab itu, para majikan swasta dan kerajaan harus mencari formula bagaimana membantu rakyat yang ber­pen­dapatan ‘cukup makan’ itu untuk meningkatkan pen­da­patan mereka ke paras yang sepatutnya. Banyak golongan pertengahan yang dilihat kurang mendapat perhatian, sedangkan jumlah mereka ramai.

Harapan ini patut direalisa­si­kan kerana kerajaan sendiri se­tiap tahun melaungkan im­pian untuk men­jadikan Malaysia negara berpendapatan ting­gi.

Kalau pendapatan rak­yat tidak ditingkatkan, jangan kita harap rakyat ter­u­tama ma­joriti bu­miputera di negara ini mampu mem­beli rumah yang dika­te­gorikan harga mampu milik itu.

Pendapatan tinggi
Jangan guna alasan rak­yat perlu lakukan le­bih daripada satu kerja un­tuk meraih pen­da­patan tinggi. Tidak akan selesai juga masalah pemilikan ru­mah sebab harga rumah su­dah di luar kawalan. Dulu kerajaan ada cara me­nga­walnya tetapi kini di­­biar pada pasaran yang menentukannya.

Gaji rendah, kos sara hi­dup yang tinggi dan berhutang tidak dinafikan saling ada hubung kaitnya. Bukan sedikit golongan mu­da yang terjebak de­ngan skim cepat kaya dan Multi Level Marketing (MLM) ekoran tekanan ke­wangan. Ada yang berjaya tetapi banyak yang kecundang dan kecewa.

Masalah tekanan atau desakan hidup akibat gaji rendah ini barangkali antara salah satu punca yang mendorong berla­kunya rasuah.

Kita mohon kepada pemimpin kerajaan dan majikan swasta supaya keluarkan negara ini daripada persimpangan dan perangkap negara berpendapatan sederhana. Kita mahu status negara berpendapatan tinggi.

Jangan biarkan golongan berkelulusan SPM dan ke bawah terus dibayar kadar upah yang rendah. Sektor swasta kena bersedia untuk melabur dalam produktiviti dan latihan pekerja tempatan daripada hanya fikirkan keuntungan.

Slogan guna tenaga berkemahiran dan berteknologi tinggi supaya rakyat mendapat gaji tinggi jangan tinggal catatan dalam berita yang disimpan di dalam arkib.

Apa yang berlaku sejak dua dekad lalu ialah trend komunti peniaga dilayan dengan membenarkan kemasukan besar-besaran pekerja asing, terutama di kilang, untuk menggantikan pekerja tempatan yang gajinya lebih mahal.

Mitos bahawa orang tempatan memilih pekerjaan dan tidak bersedia untuk bekerja di kilang kemudiannya dibesar-besarkan, walaupun rakyat tempatan bersedia untuk bekerja di kilang sekiranya gajinya berpatutan.

Buktinya, lihatlah begitu ramai rakyat kita sanggup bekerja di Singapura. Walaupun menjadi buruh, mereka sanggup lakukan kerana bayaran yang diterima di negara itu berbaloi berbanding apa yang diterima di Malaysia.

Kerap kita dengar ucapan pemimpin bahawa konsep negara maju kita perlu berteraskan kepada modal insan yang menjurus kepada ekonomi inovatif dan berpengetahuan. Hal ini sudah berlangsung, tinggal kadar upah yang masih di takuk lama.

Kalau kita mahu bertaraf negara maju, rakyat pun mahu diberi gaji yang setimpal sama ada pekerja sektor awam atau swasta.

Kini gaji sektor awam dilihat bertambah baik dan lebih menarik berbanding de­ngan sektor swas­ta. Para majikan swasta perlu ambil perhatian, jagalah hati pekerja anda yang belum tentu terjamin pe­kerjaannya.

Oleh : Azman Anuar

Sunday, February 18, 2018

Ada minyak, Tiada angin

BANYAK perkara yang boleh menimbulkan stress ketika memandu. Jalan raya sesak setiap kali musim perayaan, sikap pemandu yang tergopoh-gapah dan memotong di laluan kecemasan adalah sebahagian daripadanya.

Pengalaman seperti ini se­ring mematikan keterujaan kita untuk memandu menuju ke destinasi. Namun sedar atau tidak, faktor tidak selesa ini kadang-kala bermula lebih awal sebelum kita memulakan perjalanan.

Antara masalah yang kerap dihadapi pemandu adalah kegagalan stesen minyak menyediakan kemudahan pam angin yang berfungsi dengan baik.

Lebih mengecewakan, terdapat segelintir pengusaha stesen minyak yang tidak pernah membaik pulih pam angin yang rosak selama berbulan-bulan dan seolah-olah wujud sekadar hiasan.

Dengan peningkatan kira-kira satu juta kenderaan pada setiap tahun, penulis pasti keadaan ini akan menimbulkan masalah kepada pemandu di negara.

Apatah lagi dalam kala­ngan pengusaha-pe­ngusaha stesen minyak yang beranggapan perkara ini sesuatu yang remeh dan tidak pernah terbayang kehampaan pemandu ketika hendak mengisi angin atau lebih perit lagi ketika tayar pancit.

Penulis rasa sudah sampai masanya pemilik stesen mi­nyak di negara ini sedar bahawa stesen mi­nyak pada zaman ini bukan lagi sekadar persinggahan untuk pelanggan mengisi petrol dan diesel tetapi perlu menyediakan kemudahan-kemudahan yang diselanggara dengan baik.

Jika mampu sediakan sekali ruang-ruang rehat yang bersih dan selesa untuk pelanggan beristirehat seketika dan menyegarkan diri sebelum me­nyambung semula perjalanan.

Selain pam angin dan paip air yang tidak berfungsi, kemudahan seperti tandas juga sering diabaikan tahap kebersihannya. Tidak hairan jika permukaan lantai yang kotor dan dinding tandas yang berconteng masih sinonim de­ngan tandas stesen minyak.

Hal ini menimbulkan persoalan apakah syarat pematuhan yang dikenakan kepada pengusaha stesen minyak di negara ini untuk beroperasi. Jika tiada, sudah tiba masa­nya untuk kerajaan atau badan yang berkaitan mengetatkannya.

Pengusaha stesen minyak tidak boleh mengaut keuntungan semata-mata tanpa menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat kerana pengguna mempunyai kuasa memilih stesen minyak pilihan mereka.

Namun tidak dinafikan, ada pengusaha dan syarikat bahan api yang berusaha meningkatkan tahap perkhidmatan untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Jaminan tandas yang bersih, pemberian cendera hati walaupun sekadar sekotak tisu dan sebotol air minuman seperti yang dilakukan oleh sesetengah syarikat stesen minyak adalah antara langkah yang patut dicontohi.

Friday, February 16, 2018

Bank Negara: Rumah di Malaysia masih tak mampu dibeli

Malaysia menghadapi kekurangan rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan ramai, dengan Bank Negara Malaysia menerusi laporan yang lengkap dengan data menunjukkan rumah di negara ini ‘tidak mampu dibeli’ pada 2016 oleh standard antarabangsa.

Untuk mengatasinya, bank pusat itu menggariskan lima strategi, termasuk memusatkan inisiatif perumahan mampu milik, menubuhkan pangkalan data perumahan bersepadu dan pendaftaran pemohon untuk merancang dan memperuntukkan rumah mampu milik.

Bank Negara juga mencadangkan halangan kos kepada perumahan mampu milik dikurangkan, memulihkan lembaran imbangan isi rumah dengan meningkatkan celik kewangan selain meningkatkan pasaran sewaan dengan mengukuhkan rangka kerja perundangan.

"Isu kemampuan untuk membeli rumah sebahagian besarnya disebabkan oleh penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan," kata Bank Negara.

Bank Negara menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000 berdasarkan pendekatan beban kos perumahan.

"Bagaimanapun, median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228," katanya dalam buletin suku tahunannya yang dikeluarkan hari ini.

Bank pusat itu menegaskan bahawa kekurangan bekalan rumah mampu milik terus menjadi masalah.

Ia menggariskan tiga faktor yang menyumbang kepada perumahan tidak mampu dimiliki di Malaysia iaitu bilangan penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, pelancaran baru yang jauh melepasi tahap kemampuan membeli serta peningkatan harga rumah mengatasi pendapatan isi rumah.

"Sejak 2012, bekalan rumah baru semakin berkurangan berbanding pertambahan permintaan oleh isi rumah," kata Bank Negara.

Sepanjang tahun berkenaan hingga suku pertama 2017, hanya 24 peratus daripada pelancaran baru dijual pada harga RM250,000 atau kurang, dan hanya 35 peratus isi rumah Malaysia yang mampu memilikinya.

Buletin itu juga menyebut sejak 2007 hingga 2016, harga rumah meningkat 9.8 peratus manakala pendapatan isi rumah hanya meningkat 8.3 peratus.

Kedudukan yang tidak seimbang itu paling ketara dari 2012 hingga 2014, apabila pertumbuhan harga rumah (26.5 peratus) meningkat lebih sekali ganda daripada tahap pertumbuhan pendapatan (12.4 peratus).

Susulan penawaran dan permintaan yang tidak sepadan itu, Bank Negara berkata tahap jumlah hartanah kediaman yang tidak terjual di Malaysia mencatat paras tertinggi dalam tempoh sedekad, dengan 146,497 unit pada suku kedua (Q2) 2017, berbanding 130,690 unit pada suku yang sama pada tahun sebelumnya.

Pada suku kedua 2017, hampir 82 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM250,000.

Bank pusat itu juga berkata pembiayaan terus disediakan untuk pembelian rumah bagi peminjam yang layak, dengan lebih daripada 70 peratus pinjaman perumahan diberikan kepada pembeli kali pertama dan hampir dua pertiga daripada pinjaman perumahan baru disalurkan kepada pembelian rumah berharga kurang daripada RM500,000.

Bagi penawaran, faktor struktur dan kitaran dalam pasaran perumahan di Malaysia mengakibatkan kegagalan pasaran menyediakan bekalan perumahan mampu milik yang mencukupi kepada orang ramai, manakala dari segi permintaan, pertumbuhan pendapatan isi rumah tidak sepadan dengan kenaikan harga rumah.

"Keadaan celik kewangan yang rendah dalam kalangan majoriti isi rumah Malaysia dan keutamaan budaya ke arah pemilikan rumah berbanding menyewa, turut menyumbang kepada permintaan tinggi untuk pembelian rumah," katanya.

Bernama

Wednesday, February 14, 2018

Sesumpah Jadi Pengintip


Bekas Pemimpin Tentera Iran Dakwa Barat Guna Sesumpah Jadi Pengintip
BEKAS pemimpin tentera Iran mendakwa bahawa negara barat menggunakan mengkarung untuk menarik gelombang atom sebagai sebahagian daripada teknik pengintipan mereka dalam program nuklear Iran.

Hassan Firuzabadi, penasihat ketenteraan terkemuka kepada pemimpin Ayatollah Ali Khamenei, menjawab pertanyaan daripada wartawan tempatan mengenai penangkapan ahli alam sekitar yang dibuat baru-baru ini.

Beliau berkata, negara-negara Barat sering menggunakan pelancong, saintis dan ahli alam sekitar untuk mengintip Iran.

"Beberapa tahun lalu, terdapat individu yang datang ke Iran untuk mengumpul dana bantuan buat Palestin, kami berasa curiga terhadap laluan yang digunakan mereka.

"Mereka membawa pelbagai spesies reptilia gurun seperti mengkarung dan sesumpah... kami mendapati kulit haiwan itu menarik gelombang atom dan mereka itu pula adalah pengintip nuklear yang ingin mengetahui di mana lokasi lombong uranium dan kegiatan atom dilaksanakan dalam Iran," katanya kepada agensi berita reformis ILNA yang dipetik oleh Times of Israel.

Firuzabadi mendakwa bahawa pasukan mata-mata itu gagal setiap kali cuba melakukan pengintipan di negara itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan oleh ahli alam sekitar Iran-Kanada, Kavous Seyed Emami yang telah membunuh diri di penjara selepas ditahan bersama ahli-ahli kumpulan hidupan liar yang lain pada bulan lepas.

Beberapa tuduhan mengintip yang melibatkan hidupan liar telah dibuat terhadap Israel dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Januari 2016, orang awam dari Lubnan menangkap burung helang griffon yang dipakaikan alat penjejakan Israel, tetapi melepaskannya apabila mereka menyedari alat itu digunakan untuk penyelidikan saintifik dan bukannya untuk pengintipan

Beberapa bulan sebelum itu, Hamas mendakwa telah menangkap ikan lumba-lumba yang memakai peralatan mengintip Israel.

Media Turki juga melaporkan mengenai dakwaan burung yang dipakaikan dengan peranti pengesan dari universiti Israel digunakan untuk mengintip.

Pada 2012 pula, helang dengan 'tag' Israel ditangkap di Sudan dan didakwa digunakan untuk misi agensi perisik Mossad.

Dua tahun sebelum itu, seorang pegawai Mesir pula mendakwa jerung yang dikawal oleh Israel mungkin terlibat dalam beberapa serangan terhadap pelancong di Laut Merah. 


- NY Post

Wednesday, February 7, 2018

Kejayaan HDB Singapura Mengkagumkan...

Kecewa kerajaan tak tiru lembaga perumahan di Singapura
 Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Alex Ting menyatakan kekesalan terhadap kerajaan yang tidak meniru kejayaan model Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB) di negara jiran.

"Kejayaan HDB tidak dilaksanakan di Malaysia.

"Ramai orang dalam industri ini sangat kecewa, dan orang ramai sepatutnya lebih kecewa," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya bersempena Laporan Sentimen Pasaran Hartanah MIEA 2018 yang dikeluarkan hari ini.

HDB adalah pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab menyediakan perumahan awam yang berpatutan kepada rakyat Singapura.

Pada awalnya ia bertujuan untuk menyediakan rumah pangsapuri kos rendah dan menyelesaikan masalah setinggan di negara itu, namun agensi itu mula berkembang sebagai penyedia perumahan untuk pelbagai golongan pendapatan.

Selain pangsapuri disewakan kepada mereka yang tidak mampu membeli rumah, pihak berkuasa Singapura juga memastikan komposisi kaum bagi setiap projek sesuai dengan komposisi nasional bagi mengelakkan pengasingan kaum.

Ting berkata polisi perumahan di Malaysia memerlukan perubahan.

"Saya sangat simpati kepada golongan muda yang tidak mampu membeli rumah dengan harga RM300,000. Jika kita lihat gaji mereka untuk membayar rumah berharga RM300,000, pinjaman 30 tahun adalah kira-kira RM1,500 sebulan.

"Anda perlu memperoleh kira-kira RM5,000 sebulan, dan saya fikir ramai anak muda tidak mendapat pendapatan seperti itu," katanya.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan pelbagai inisiatif perumahan mampu milik, tetapi ia tidak dilaksanakan secara berpusat apabila ia diletakkan di bawah beberapa kementerian persekutuan dan kerajaan negeri.

Salah satu program yang dilaksanakan secara meluas adalah Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) yang disasarkan kepada kelas pertengahan.

Bagaimanapun, Ting percaya PR1MA tidak menggunakan pendekatan yang betul.

"Saya perasan beberapa projek dilaksanakan di tempat yang salah, dan harganya bagi saya bukan betul-betul murah," katanya.

Rumah PR1MA adalah di antara RM250,000 hingga RM400,000 seunit. Ting menambah bagi Sarawak, julat kemampuan di negeri itu adalah sekitar RM200,000.

Sumber: malaysiakini

Sunday, February 4, 2018

Lelaki Sering Ejakulasi Lebih Panjang Usia

LELAKI akan suka melakukan hubungan seks apatah lagi mencapai klimaks. Di sebaliknya, ada manfaat yang anda belum tahu.

Kerana puncak klimaks alias orgasme tak hanya membuatkan anda berehat. Ada beberapa manfaat yang boleh dirasakan, seperti halnya boleh tidur nyenyak usai berhubungan seks.

Melegakan tekanan
Lelaki tidak bermakna dibebaskan dari tekanan apabila kerja terhenti. Apabila orgasme berjaya, terdapat hormon cinta yang dihasilkan oleh tubuh. Oleh itu, jangan terlepas ejakulasi pada akhir bercinta. Kerana manfaat lain juga menanti anda.

Tidur dengan baik
Jangan terkejut jika selepas ejakulasi, lelaki sebenarnya tidur nyenyak. Wanita juga tidak marah mengenainya. Apabila hormon ejakulasi yang mencetuskan otak lebih tenang. Oleh itu, kesannya menjadikan anda lebih tenang dan bebas kebimbangan.

Mencegah kanser prostat

Lelaki akan gembira apabila dia bebas dari ancaman kanser prostat. Apabila ejakulasi, selalu ada sperma yang baru terbentuk dan sangat menguntungkan. Walaupun berdasarkan kajian ini, lelaki yang mampu mengobati 22 kali sebulan, 33% mengurangkan risiko kanser maut.
Pengeluaran testosteron meningkat
Ada kalanya ejakulasi lelaki juga boleh meningkatkan pengeluaran testosteron. Fungsinya adalah tidak lain untuk membangkitkan ghairah atau berahi semasa bercinta. Ini adalah wajib, kerana testosteron juga memainkan peranan penting bagi kehidupan lelaki.

Panjang Usia
Bukan sahaja wanita yang mempunyai peluang untuk usia panjang, lelaki juga boleh mendapatkannya. Caranya ialah ejakulasi seks aka seks. Jangan terlepas masa ini menyeronokkan, Terdapat banyak kajian saintifik, lelaki yang sering orgasme hidupnya lebih bahagia dan akhirnya menjadikannya panjang usia.

Mencegah tekanan darah tinggi
Jangan meremehkan faedah ejakulasi yang dialami lelaki. Kerana ia boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi. Ini juga akan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung yang terdedah kepada mereka.

Bebas sakit
Lelaki juga boleh merasakan kesakitan ketika mengetuk atau mengalami sesuatu yang lain. Lebih-lebih lagi, masalahnya adalah kecederaan semasa sukan. Tetapi dengan ejakulasi, sama ada dengan perhubungan cinta atau onani, boleh mengurangkan rasa sakit yang tidak selesa.

Anonymous