KUNJUNGAN penulis ke Kampung Sungai Manik, Teluk Intan, Perak memberi pandangan berbeza terhadap penduduk kampung itu.
Rata-rata penduduknya berasal dari suku Banjar yang datang dari wilayah Kalimantan Selatan pada abad ke-19. Namun sesuatu yang mengujakan penulis adalah kebanyakan penduduk kampung itu dan sekitarnya yang didiami suku Banjar masih mengamalkan adat dan budaya sejak turun temurun itu sehingga ke hari ini.
Menurut isteri kepada Ketua Kampung Permatang, Parit 7 Sungai Manik, Noor Zaharah Zainuddin, 53, antara adat yang masih dapat dilihat diamalkan oleh suku Banjar di Kampung Sungai Manik adalah tradisi ‘bapukong’.
Sekilas pandang, ramai yang akan menganggap tradisi bapukong itu kelihatan seperti suatu perbuatan mendera bayi tetapi sebenarnya, ia bukan seperti disangka.
Katanya, adat bapukong dilakukan oleh ibu bapa untuk menidurkan bayi mereka di dalam buaian. Ia biasanya dilakukan ketika ibu bapa mereka mahu melakukan aktiviti atau kerja di bendang sambil menjaga bayi yang masih kecil.
“Bayi tersebut diletakkan di dalam buai dalam keadaan seolah-olah duduk dan satu kain akan digunakan untuk melilit di bahagian leher bayi itu agar dia dapat duduk dengan tegak. Dengan cara itu, bayi akan tidur nyenyak dan ibu atau bapa boleh melakukan kerja dengan tenang.
“Biasanya ibu bapa yang mengerjakan sawah padi perlu menidurkan bayi agar mereka boleh melakukan kerja. Jadi, inilah antara cara yang digunakan untuk mengasuh bayi itu agar dia tidak mengganggu tugas mereka,” katanya.
Lebih menarik, rata-rata penduduk suku Banjar di situ masih bertutur menggunakan bahasa Banjar. Bukan sahaja orang-orang tua, generasi muda juga bertutur menggunakan bahasa Banjar.
Menurut Noor Zaharah, generasi muda yang menetap bersama keluarga mereka di kampung itu fasih berbahasa Banjar, selain berasa bangga kerana masih mampu mengekalkan bahasa itu.
Begitu juga dengan Saniah Md. Yusof, 65, yang berasal dari Sekinchan, Selangor namun menetap bersama anak-anaknya di Sungai Buloh, Selangor. Katanya, dia masih lagi bertutur bahasa suku itu dengan anaknya di rumah.
“Anak-anak juga tidak kekok bertutur dengan saya. Mereka masih boleh memahaminya,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak kekok malah mahu terus mengekalkan penggunaan bahasa itu, selain tradisi-tradisi lain yang menjadi kebanggaan suku Banjar.
Adat dan tradisi masyarakat Banjar terlalu banyak untuk disenaraikan, namun kesemuanya mempunyai ciri-ciri menarik dan ada keistimewaan tersendiri. Antara adat yang masih dapat dilihat sehingga hari ini termasuklah adat perkahwinan, adat membuai bayi, adat wanita mengandung dan adat upacara kematian.
Malah, ada adat-adat itu hampir serupa dengan adat masyarakat suku lain seperti Jawa dan sebagainya.
Adat tradisi yang masih diamalkan - utusan
No comments:
Post a Comment