Bagi saya, itu semua retorik politik individu dan kumpulan yang taksub kepada pemimpin mahupun parti politik tertentu semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Namun, niat jahat kenyataan retorik itu juga tidak bermakna negara ini sudah tiada orang susah ataupun berpendapatan rendah.
Inilah sebabnya kita diajar mengenai sejarah di sekolah rendah dan menengah khususnya sejarah Malaysia sendiri supaya generasi muda dapat menilai apa sebenarnya maksud ‘hidup susah’.
Nenek moyang kita hidup beratus tahun lamanya di bawah cengkaman penjajah di samping menjadi mangsa peperangan di tangan tentera Jepun sekitar 1940-an dan juga komunis sehingga lewat 1980-an.
Mereka hidup dengan makan ubi kayu sebagai makanan ruji, daging sangat jarang menyentuh lidah malahan pada satu ketika nasi bercampur garam sudah cukup mewah.
Oleh itu, bagaimana sewajarnya kita menilai taraf hidup seseorang secara khusus dan rakyat Malaysia secara umumnya?
Pendekatan sesetengah pihak mengambil purata pendapatan umum untuk dibandingkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai rujukan kemampuan rakyat khususnya dalam mengejar status negara maju jelas tidak tepat dan hanya cantik dilihat atas kertas.
Pihak berwajib sepatutnya menilai kuasa membeli rakyat khususnya kemampuan membeli barang asas, membayar bil-bil kemudahan asas, memiliki kenderaan peribadi (sejajar dengan pendapatan) dan kemampuan membeli atau menyewa kediaman.
Jika kemudahan paling asas seperti makanan, rumah dan pengangkutan pun sukar dimiliki, maka golongan itu boleh dianggap hidup susah tetapi jika semuanya ada dan cukup maka boleh dikira sebagai hidup ‘selesa’.
Perubatan tidak dimasukkan memandangkan telah disediakan hampir percuma sepenuhnya oleh kerajaan tetapi pengangkutan peribadi perlu diambil kira memandangkan pengangkutan awam sedia ada masih tidak mampu memenuhi keperluan pengguna.
Jika kemudahan asas semuanya ada, lihat pula kepada kuasa membeli atau mengumpul barang sampingan khususnya yang mahal dan berjenama (termasuk pelaburan dan simpanan), kemampuan membeli makanan atau makan di luar serta mempunyai kelapangan masa dan kemampuan untuk riadah berkeluarga ataupun melancong.
Kumpulan ini boleh dianggap sebagai hidup cukup mewah tetapi perlu juga dilihat kadar hutang berbanding aset mereka bagi menilai sama ada golongan ini hidup mengikut kadar kemampuan sebenar atau ‘tidak berpijak di bumi nyata’.
Begitu juga dengan aktiviti mencari pendapatan sampingan. Jika di zaman sebelum dan awal kemerdekaan dahulu, kerja sampingan ataupun menjalankan beberapa pekerjaan secara serentak kebiasaannya dalam kalangan mereka yang hidup susah dan miskin.
Bagaimanapun, mencari pendapatan sampingan kini lebih menjadi amalan dalam kalangan orang yang mahu hidup mewah dengan mengejar kebendaan sejajar dengan globalisasi dunia.
Tidak wajar sekiranya seseorang yang sudah mempunyai semua kemudahan asas hidup tetapi mendakwa kehidupan mereka susah kerana terpaksa mencari pendapatan sampingan sedangkan dia sendiri mengejar kebendaan dan sebenarnya iri hati terhadap rezeki orang lain.
Niat mencari pendapatan sampingan untuk menambah baik hidup yang benar-benar susah ataupun bagi mengekalkan taraf hidup selesa sangat digalakkan tetapi jika kemewahan menjadi sasaran, tidak wajar menyalahkan cabaran kehidupan ke atas orang lain.
Mengejar keselesaan hidup itu niat murni yang wajar dimiliki semua orang tetapi mengejar kemewahan itu akan membawa kepada rasuah dan salah guna kuasa.
Saya akhiri tulisan ini dengan aduan trafik sesak ketika Hari Raya Aidilfitri ini disebabkan jumlah kenderaan yang terlalu banyak.
Cuba bandingkan situasi di lebuh raya Malaysia sepanjang 10, 20 atau 30 tahun lalu dan ulang semula ayat ‘rakyat Malaysia semakin susah’!
Oleh : Hashim Ismail
No comments:
Post a Comment