WHAT makes you happy? Atau dalam bahasa Melayunya, apa yang membuatkan anda gembira?
Soalan ini biasa ditanyakan oleh pakar psikologi dan motivasi. Buat sahaja carian dalam Internet, pasti terjumpa pelbagai rahsia mahupun petua untuk membuatkan anda gembira atau bahagia.
Dalam banyak artikel berkaitan, anda juga pasti terserempak dengan pandangan pakar psikologi Martin Seligman yang mengatakan bahawa wang, kuasa dan kemasyhuran tidak semestinya memberi kegembiraan dan kebahagiaan kepada seseorang.
Namun benarkah pandangan itu? Cukupkah dengan bersikap optimis sahaja untuk hidup gembira dan bahagia? Soalnya sejauh mana kita mampu bersikap optimis jika poket kosong, tiada kuasa (atau kerja) dan tiada nama iaitu tiada siapa yang mengenali kita?
Kita biasa mendengar ungkapan “wang tidak boleh membeli bahagia”. Begitu juga orang yang ada kuasa dan masyhur nama serta kedudukannya, tidak semestinya orang yang bahagia dan gembira.
Namun sekali lagi penulis hendak bertanya, benarkah pandangan itu? Benarkah wang, kuasa dan kemasyhuran tidak menjanjikan bahagia?
Apa yang penulis tahu tanpa kuasa dan kemasyhuran seseorang itu masih boleh hidup gembira dan bahagia, namun jika tanpa wang, ramai yang merana dan menderita.
Seorang teman sering kali naik berang apabila mendengar ungkapan “wang tidak boleh membeli bahagia” yang dianggapnya klise dan “tidak berpijak di bumi nyata”.
“Bak sini bagi aku RM1 juta, tahulah aku nak buat apa untuk ‘beli’ bahagia. Bukan aku saja, anak-anak aku, mak bapa aku dan adik beradik aku pun boleh tumpang bahagia,” kata teman ini.
Hakikatnya di negara kita, wang memang umpama udara yang amat diperlukan dalam kehidupan. Tanpa wang, boleh membuatkan kita sesak nafas. Lebih-lebih lagi dalam keadaan beban kos sara hidup semakin tinggi pada masa sekarang.
Bagi yang makan gaji dan hanya mengharapkan pendapatan tetap setiap bulan misalnya, bayangkan jika berlaku sesuatu yang menyebabkan gaji itu disekat atau dipotong, sudah pasti berpeluh dibuatnya.
Duit sewa rumah, ansuran kereta, bil elektrik, air dan telefon, mungkin sahaja boleh ditangguh bayar bulan depan, namun bagaimana dengan duit minyak, tol, belanja dapur, lampin, susu anak dan sebagainya?
Dapatkah sikap optimis semata-mata ‘membeli’ dan tolong ‘membayar’ semua itu? Jawapannya, kita semua tahu. Mungkin agak materialistik bunyinya, namun itulah realiti kehidupan yang sebenar.
Dalam dunia kebendaan sekarang, kita perlukan wang untuk hidup. Tidak terlalu banyak, tidak boleh terlalu sedikit, tidak juga sekadar cukup makan, yang penting mesti sentiasa ada.
Jika tidak, tanpanya, suami isteri boleh sahaja bermasam muka. Anak-anak pula berwajah kelat manakala jiran tetangga mungkin hanya memandang kita sebelah mata.
Di manakah letaknya bahagia dan kegembiraan jika keadaan ini yang berlaku?
Bagi penulis, orang yang berkeras mengatakan “wang tidak boleh membeli bahagia” adalah kelompok idealis yang hidup dalam dunia mereka sendiri.
Hakikatnya, untuk merasakan nikmat bahagia dan kegembiraan dengan berbuat apa sahaja mengikut kehendak dan minat mereka itu pun memerlukan wang untuk mencapainya.
Kita perlukan wang untuk gembira dan bahagia, namun tidaklah sampai melampau dan berlebihan.
Memandangkan bahagia atau gembira ini sesuatu yang relatif, standard ukurannya tidak sama dan berbeza-beza untuk setiap orang. Sesuatu yang menggembirakan dan membahagiakan seseorang mungkin juga tidak membawa apa-apa makna bagi orang yang lain.
Jadi pernahkah anda bertanya pada diri, apa yang membuatkan anda gembira atau bahagia? Jika pernah, apakah jawapan anda? Dan jika ditanya sekali lagi, adakah jawapan anda masih sama seperti sebelum ini? - coretan marhaen
No comments:
Post a Comment