nuffnang

Friday, August 19, 2016

Kegagalan UMNO....!

Agenda negara yang bercelaru
Semakin negara bergerak maju, semakin kuat warganya berpegang kepada agenda negara, agar semangat patriotisme semakin tinggi bagi menghadapi ancaman luar. Ini tidak, makin bercelaru, perkara berkaitan agenda dan identiti negara mahu dicairkan. Kalau boleh, mahu ditiadakan langsung, hanya kerana ia berkaitan bahasa dan agama negara iaitu Melayu dan Islam.

Sepatutnya kedua agenda negara ini mesti difahami dan dihayati oleh semua, tanpa berkecuali. Peliknya, sudahlah ia tidak dikuasai, malah diperlekehkan dan dipersendakan. Ke manakah arah tuju kita? atau sekadar mahu mengekalkan kedudukan dan kuasa?

Lihat RUU355, ultra kiasu amat bersatu, mahu mengumpulkan sejuta tandatangan, walaupun jawapan telah diberikan oleh pihak kerajaan bahawa ia hanya bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah, bukannya hudud. Tetapi terus ditentang. Kenapa? Kerana mereka takut perniagaan haram mereka terjejas.

Dalam bidang seni pula, ada segelintir anak seni mempertikaikan keputusan Festival Filem Malaysia ke 28 untuk mengkategorikan Filem berasaskan bahasa iaitu kategori Melayu dan Bukan Melayu. Ultra kiasu mengambil kesempatan ini, bersatu menentang, akhirnya kerajaan tunduk.

Lebih pelik lagi, Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA), mahukan Kementerian Pendidikan mewujudkan subjek ‘interfaith understanding’ bagi membolehkan para pelajar sekolah lebih memahami dan menghormati pelbagai fahaman agama di negara ini. Siapa yang patut memahami siapa? Minoriti memahami majoriti atau majoriti memahami minoriti?

Sangat memeranjatkan apabila Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan mencadangkan agar Sekolah Kebangsaan (SK) dicairkan identiti Melayu dan Islam bagi menarik perhatian pelajar bukan Melayu. SK pada hari ini dikatakan terlalu kemelayuan dan keislaman sehingga pelajar bukan Melayu dan orang Melayu sendiri tidak berminat untuk bersekolah di sana. Peratus pelajar bukan Melayu bagi SK hanya naik 4% manakala pelajar Melayu SJKC meningkat 18%. SJKC menggantikan SK dalam 10 tahun lagi.
Peliknya, SJKC/T tidak pula dinasihatkan untuk dicairkan sedikit kecinaan dan keindiaannya agar lebih menghayati falsafah pendidikan kebangsaan dan agenda negara.

Pendek kata, ultra kiasu ini mahukan identiti kebangsaan dicairkan, manakala identiti mereka semakin mencengkam. Patutkah pemikiran agenda sebegini dibiarkan berleluasa?

Persoalannya, apakah benar SK tidak mendapat perhatian disebabkan oleh kemelayuan dan keislamannya atau ada isu lain yang lebih besar lagi? Ini lah perkara yang gagal difahami oleh majlis ini.

Pertama, jangan berkompromi dalam perkara berkaitan agenda negara kerana ia adalah kedaulatan negara. Hilang daulat, kita akan menjadi bangsat. Agenda negara tidak boleh menjadi bahan ujian trial and error.Ianya mesti dilaksanakan tanpa rasa takut.

Kedua, jika kerajaan terlalu merasakan bahasa Cina itu terlalu penting dalam mengejarkan kemajuan dan kebangkitan kuasa ekonomi China, cadangan saya, binalah sahaja Sekolah Agama aliran Cina bagi memberikan saingan kepada Sekolah Cina. Saya amat yakin ramai anak mualaf dan Melayu lain akan menghantar anak mereka ke sini dan kita boleh bersaing dengan sekolah Cina yang lain. Perkara ini telah saya cadangkan dalam Persidangan Meja Bulat Cina Muslim baru-baru ini.

Selain itu, kerajaan mesti membuka SBP seperti SMKA dan MRSM yang selama ini dikhususkan kepada Melayu dan Bumiputera, kepada anak mualaf, bagi membolehkan anak Melayu bersaing secara sihat dengan anak Cina ini. Anak Melayu mesti dikeluarkan daripada zon selesa.

Kedua, adalah tidak adil jika SK sahaja minta diliberalkan manakala SJKC/T terus dengan perkaumannya. Justeru, BM mesti didaulatkan. Masa pembelajaran dan pengajaran BM mesti ditambah. Guru-guru BM dan BI tidak perlu disyaratkan mesti mempunyai kredit dalam bahasa Cina. Ringkasnya, kerajaan yang tentukan dasar bukan mereka.

Ketiga, silibus BM dan peperiksaan BM mesti diseragamkan mengikut BM SK. Kementerian Pendidikan tidak perlu membuang masa menyediakan dua (2) kertas BM yang berbeza antara SK dengan SJKC/T. Lebihan wang tersebut boleh digunakan untuk membantu pelajar-pelajar miskin. Percayalah, jika kertas BM diseragamkan pasti lebih ramai pelajar SJKC/T yang akan gagal BM dan tercicir disebabkan penguasaan BM mereka yang rendah.

Akhirnya, tidak ada sesiapapun menolak kemajuan dan kebangkitan kuasa ekonomi Cina masa akan datang. Malah, semua mengakui akan kepentingan mempelajari bahasa asing seperti BI dan bahasa Cina sebagai persediaan.

Tetapi biarlah kita maju dengan adanya identiti. Tidak ada erti sebuah kemajuan, jika pada akhirnya nanti, negara maju, tetapi identiti nasional hancur ditelan zaman arus sekular yang akan menghaiwankan manusia. Ingatlah, pemimpin datang dan pergi, tetapi keputusan yang dibuat akan kekal dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Setiap kali Menteri membuat lawatan keluar negara, apakah mereka tidak belajar dan mengambil pengajaran bagaimana negara lain mengakari agenda negara. New Zealand walaupun diperintah kulit putih, tetapi identiti bangsa Maori amat dihormati, dan dipertahankan. Jangan dibandingkan dengan Thailand, Indonesia, China, Jepun dan dunia lain. Kita bagaimana?

No comments:

Post a Comment