nuffnang

Saturday, December 27, 2014

Sejauh Manakah Keberanian Pas?

PELAKSANAAN hukum hu­dud di Kelantan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas kini semakin mengancam hu­bungan dalam pakatan pem­bangkang. Ketika Pas bertegas untuk melaksanakannya, DAP pula menentang keras manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil sikap menyebelahi DAP.

Bagaimanapun ramai yang ingin melihat sejauh manakah keberani­an Pas berhadapan tentangan DAP dan PKR memandangkan Pas sudah menyatakan hukum hudud adalah nyawa parti itu. Apabila ia diibaratkan sebagai nyawa sudah tentulah Pas akan berjuang habis-habisan untuk memastikan hukum yang selama ini menjadi modal politik kepada Pas menarik sokongan umat Islam akan dipertahankan habis-habisan.

Jika sebelum ini Pas sering menu­duh UMNO menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum tersebut, kini tentangan datang daripada sekutunya sendiri yang sebelum ini dianggap lebih memahami perjuangan Islam Pas berbanding UMNO. Tetapi ternyata, wajah sebenar DAP dan PKR semakin terserlah apabila mereka menentang habis-habisan usaha Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun ia hakikatnya hanya dikhususkan untuk orang Islam sahaja.

Entah mengapa DAP menjadi ti­dak keruan apabila Pas bertegas sehi­ngga bersedia memberi amaran tidak akan menghadiri mesyuarat Majlis Pre­siden pakatan pembangkang jika Pas bertegas untuk melaksanakan hukum tersebut.

Sudah jelas kini, persahabatan yang dijalin dalam pakatan pem­bang­kang adalah berkisar soal apa ke­hendak dan kemahuan politik DAP dan PKR, manakala Pas pula ti­dak boleh bertindak sendiri, segala-ga­lanya perlu mendapat kebenaran serta keizinan kedua-dua parti tersebut.

Apa yang anehnya, apabila pe­mimpin DAP mahu bercakap soal membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam manakala PKR pula merancang ‘Langkah Kajang’ sehingga menyaksikan perubahan jawatan Menteri Besar di Se­langor, kedua-dua parti itu tidak pula berbincang dengan Pas tetapi apabila Pas mahu melaksanakan apa yang dianggap dasar perjuangannya, parti itu perlu pula mendapat restu DAP dan PKR.

Keadaan itu sepatutnya memberikan isyarat kepada Pas bahawa DAP dan PKR hakikatnya tidak ikhlas unmenjalin hubungan politik de­ngan Pas. Mereka hanya mahu memperalatkan Pas bagi meraih sokongan dalam kalangan orang Melayu.

Walaupun Pas menyedari perkara ini, namun kepimpinan parti itu ma­sih tetap mahu berada dalam pakatan pembangkang dan seolah-olah me­rayu kepada DAP dan PKR supaya merestui hasrat mereka untuk me­laksanakan hukum hudud.

Sepatutnya sebagai sebuah parti yang jauh lebih senior, berpengalaman dan berwibawa daripada PKR dan DAP, Pas tidak perlu dilihat seolah-olah ‘menyembah’ kedua-dua parti berkenaan bagi melaksanakan agenda perjuangan partinya.

Bagaimanapun, walaupun kita melihat ada kenyataan tegas dibuat termasuklah kononnya akan mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang tetapi hakikatnya, Pas tidak ada keberanian untuk bertindak jauh lebih daripada itu.

Jika DAP dan PKR boleh memberikan kata dua kepada Pas untuk mengikut kehendak politik mereka kenapakah Pas tidak diberikan atau berkemampuan melakukan perkara yang sama? Lebih malang lagi, dalam Pas sendiri tidak begitu ramai pemipemimpin kanannya yang tampil mempertahankan hak parti itu untuk melaksanakan hukum hudud.

Setakat ini apa yang kita saksikan hanyalah kenyataan daripada go­lo­ngan ulama, manakala golongan bukan ulama lebih banyak mendiamkan diri. Situasi ini tidak akan menguntungkan Pas, sebaliknya boleh menimbulkan tafsiran di da­lam Pas sendiri tidak wujud kesepakatan bagi melaksanakan hukum hudud.

Apa pun, jika benar Pas menganggap hukum hudud adalah nyawa mereka, maka adalah wajar jika parti itu bertegas untuk mempertahankannya. Adalah sesuatu yang malang apabila secara tiba-tiba kita mendengar kenyataan daripada kepimpinan Pas bahawa parti itu bersedia menangguhkan pelaksanaan hukum hudud demi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam pakatan pembangkang.

Kalau itulah alasan yang akan diberikan sudah pastilah Pas akan dianggap sanggup menggadaikan maruah dan prinsip perjuangannya demi mahu mencari kuasa bersama DAP dan PKR.

Justeru adalah wajar jika Pas konsisten mempertahankan agenda untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Pas tidak perlu berasa takut dengan ancaman DAP atau gertakan PKR kerana Pas bukanlah parti yang melukut di tepi gantang untuk memerintah Kelantan sejak 1990 tetapi Pas adalah parti dominan di negeri tersebut.

Lagipun apa yang hendak dihairankan dengan ‘ancaman’ dua buah parti yang ibarat tidak wujud di Kelantan tersebut. Percayalah, ketegasan Pas dalam soal melaksanakan hukum itu tidak akan menjejaskan populariti parti itu, sebaliknya ia menyakinkan ahli dan penyokongnya bahawa Pas bukanlah ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang.

Cukup-cukuplah selama ini Pas dilayan bagaikan parti tidak bermaruah dan tidak berprinsip dalam pakatan pembangkang. Sampai bilakah Pas mahu menjadi bahan ketawa dan jenaka kerana sikapnya yang sering tunduk kepada kehendak politik DAP dan PKR. Pas perlu ada keberanian untuk menegakkan prinsip perjuangannya dan bukannya membiarkan ke­­dua-dua parti itu menentukan segala-galanya. Selama ini pun, DAP dan PKR bukannya menghargai sangat sumbangan Pas dalam pakatan pembangkang sebab itulah dalam tindakan yang dianggap kontroversi ia tidak dibincangkan dahulu dalam mesyuarat pakatan tersebut.

Oleh itu kenapakah perlu apabila Pas bertegas mahu melaksanakan hukum hudud ia mesti mendapat persetujuan sebulat suara DAP dan PKR? dan kita juga tertanya-tanya kenapakah DAP takut sangat dengan hukum tersebut?

Namun apa yang diharapkan konflik hukum hudud dalam pakatan pembangkang bukanlah satu sandiwara. Ini memandangkan ia berkaitan maruah Pas yang dilihat sering sahaja diperkotak-katikkan oleh sekutunya. Kalau benar Pas ikhlas mahu melaksanakan hukum hudud maka mereka perlu bersedia berhadapan dengan tentangan dan tidak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Sesungguhnya, umat Islam sedang menilai sejauh manakah keberanian Pas berhadapan dengan tentangan sekutu politiknya. Setakat ini beberapa pemimpin kanan Pas menunjukkan ketegasan dalam soal itu tetapi sama ada ia akan berkekalan atau tidak, ia akan ditentukan pada Isnin ini.

Pada hari itu, Dewan Undangan Ne­­geri Kelantan akan mengadakan sidang khas untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II 1993. Sehingga ke hari ini biarpun bencana banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah menegaskan sidang tersebut diteruskan.

Semoga semangat yang ditunjukkan oleh kepimpinan Pas di Kelantan untuk merempuh apa juga halangan demi memastikan hukum hudud di negeri itu dilaksanakan benar-benar menjadi kenyataan. Janganlah pula secara tiba-tiba ia dibatalkan hanya kerana terus disergah DAP dan ditentang PKR.

Jika itu berlaku, Pas perlu mengakui bahawa hukum hudud hanya sekadar omong kosong dan modal politik paling ampuh untuk parti itu meraih undi dalam pilihan raya, bukannya demi menegakkan syariat Allah SWT di muka bumi ini, biarpun Pas sering mendabik dada mereka adalah pembawa obor kebangkitan Islam.

No comments:

Post a Comment