KETEGASAN DAP memperjuangkan hak bukan Islam Malaysia untuk menggunakan kalimah ALLAH dan kitab Bible BM amatlah mengkagumkan.
Mereka berani mempertahankan apa yang dirasai betul, pada pendapat mereka, mengikut tafsiran mereka pada perlembagaan dan hak asasi manusia, meskipun terpaksa berdepan dengan cemuhan dan kritikan yang bertubi-tubi.
Tapi mengapa DAP mengambil sikap konfrontasi terhadap Pas yang ingin memperjuangkan agar hukum hudud dilaksanakan di Kelantan?
Hukum hudud adalah sebahagian daripada tuntutan agama orang Islam, yang wajib ditunaikan jika mampu. Ini adalah satu hak orang Islam untuk melaksanakan tuntutan agama mereka.
Keinginan orang Islam untuk melihat pesalah-pesalah beragama Islam diadili menggunakan hukum yang ditentukan ALLAH dan bukan manusia perlu dihormati dan diberi ruang.
Sikap DAP yang sering mempertikaikan hasrat Pas untuk melaksanakan hudud telah menyebabkan masyarakat bukan Islam melihat hukum hudud jauh lebih teruk berbanding rasuah di dalam Umno.
Ini terbukti apabila DAP menyatakan Putrajaya tidak akan dicapai oleh PR sekiranya hukum hudud dilaksanakan.
Kenyataan DAP itu membina persepsi seolah-olah rasuah di dalam Umno boleh diterima bukan Islam berbanding hukum hudud yang cuba dilaksanakan oleh Pas Kelantan untuk mengotakan janjinya kepada rakyat Kelantan yang menyokongnya selama 23 tahun.
Betul kata DAP, orang bukan Islam yang menyokong PR tidak mengundi untuk hukum hudud dilaksanakan. Tapi rakyat Kelantan yang beragama Islam menyokong Pas pula mengundi untuk sebaliknya. Betul hak bukan Islam perlu dihormati, tapi hak rakyat Kelantan turut tidak boleh diabaikan.
Sekiranya DAP boleh memahami perasaan orang Kristian yang dinafikan hak mereka menggunakan nama ALLAH dan Bible BM, mengapa DAP tidak boleh bertimbang rasa dengan perasaan rakyat Kelantan yang mengundi PAS kerana janjinya untuk melaksanakan hukum hudud?
DAP tak perlu bantah hudud sehinggakan hak orang Islam di Kelantan yang inginkan hukum hudud dilaksanakan turut dinafikan.
Jika DAP terus nak bantah hudud pun, biarlah ia sekadar memperjuangkan agar bukan Islam tidak tertakluk pada hukum hudud – sebagaimana keberanian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan orang bukan Islam tidak tertakluk pada fatwa yang melarang mereka untuk menggunakan 40 perkataan yang dikhaskan untuk orang Islam.
Cukuplah berpolemik dalam hudud untuk menjauhkan bukan Islam daripada Pas, kerana pada masa yang sama, sikap hipokrit kamu dalam memperjuangkan hak-hak bukan Islam juga terdedah untuk tatapan ramai.
DAP suka bercakap mengenai rasuah, teruskan usaha itu kerana itu adalah persamaan perjuangan Pas, PKR dan DAP. Biar rakyat nampak rasuah adalah masalah lebih besar yang sedang menyakitkan negara ini dan bukannya hukum hudud yang cuba dilaksana di Kelantan secara demokrasi dengan melalui Parlimen.
Kalau DAP bangkitkan hukum hudud lagi, bolehlah kita sama-sama minta mereka fokus pada isu rasuah ya, kerana mereka bersetuju bahawa itu adalah isu yang lebih penting. Yang lain, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment