Sunday, December 28, 2014

Hudud Dan Banjir

Kesungguhan Pas Kelantan untuk melaksanakan hu­dud nampak terserlah. Sejak dihebohkan lebih 24 tahun lalu, kali ini seperti tiada lagi hadangan dan tekanan politik yang mampu menggagalkan pelaksanaan hukum itu.

Pas Kelantan seperti telah menemukan kekuatan sen­di­ri untuk mengharungi arus deras penentangan dan po­litiking daripada rakan sekutu bahkan sebahagian pim­pinan tinggi parti sendiri. Rasanya semangat dan kemahuan itu tidak pernah setinggi sampai ke tahap ini.

Tentangan daripada DAP yang disokong PKR dianggap tidak lebih hanya gimik, umpama anjing menyalak bukit. Penolakan dari dalam kumpulan pimpinan Pas yang cenderung berpendapat hudud akan menjadi penghujung hubungan dengan DAP dan PKR dilayan secara ala kadar.

Muncul pula kalimat berslogan baharu bahawa hu­dud keutamaan nombor satu manakala perjuangan ke Put­ra­jaya jatuh nombor dua. Terpukul sungguh Datuk Seri An­war Ibrahim dan juak-juaknya yang diketahui sejak sekian lama sanggup menghalalkan apa sahaja demi menggapai Putrajaya.

Kini Pas Kelantan berkata sebaliknya. Putrajaya bukan tujuan utama mereka. Rancangan 16 September ciptaan Anwar yang kini cerita tentangnya sedang terdedah di mah­kamah, hanyalah cerita nafsu seorang itu.

Mungkin banyak yang keliru tentang dasar kesepakatan pakatan pembangkang. Dahulu perjuangan Pas ialah mem­bentuk negara Islam kemudian bertukar kepada ne­gara berkebajikan. Kemudian konsensus setuju untuk ti­dak bersetuju dan kini tinggal tidak bersetuju sahaja.

DAP dan PKR yang merasa pihak paling rugi. Mereka me­lihat cita-cita ke Putrajaya yang hanya selangkah sa­ha­ja bakal berkubur. Sudah dua kali pilihan raya mereka ber­jaya menafikan pencapaian dua pertiga BN.

Sedang mereka giat menanam keyakinan dan meng­ge­rakkan strategi bakal menawan Putrajaya pada pilihan ra­ya tiga tahun lagi, Pas pula menukar haluan. Bagi DAP, tindakan Pas itu telah mengelirukan pengundi yang me­mi­lih pakatan pembangkang dalam pilihan raya lalu. Ke­lak mereka akan dihukum dan yang ditakuti tsunami pe­ngundi Cina akan membadai mereka pula.

Bagi Pas pula, hudud ialah nyawa parti itu. Kedudukan Kelantan adalah realiti tetapi menawan Putrajaya belum pasti lagi. Nampaknya Pas sendiri pun tak yakin DAP dan PKR yang sekian lama menentang keras perjuangan asas par­ti itu mampu membawa pakatan pembangkang ke Put­rajaya.

Dalam keadaan ini, DAP pula cuba mengambarkan ba­hawa Pas telah menipu parti itu dan PKR. Pas telah menipu pengundi sehingga terpacul di mulut supremo DAP, Lim Kit Siang: ‘Apa yang memeranjatkan, pemimpin Pas kini mendakwa tiada salahnya dalam tindakan itu.’

Sejak sekian lama diketahui hudud dan hukum Islam bukan dasar pakatan. Hudud malah wujud sebelum pakatan terbentuk. Cuma ma­sa­lahnya mereka selalu buat-buat setuju. Kini terserlah se­mua permainan selama ini apabila dasar itu mahu di­lak­sanakan di negeri yang me­re­ka kuasai.

Tiada lagi hujah, helah atau ‘lubang-lubang’ politik yang boleh digunakan untuk memperdaya pengundi mere­ka terutama bukan Islam. DAP dan PKR sudah terlanjur berjanji tidak akan tunduk ke­pada desakan untuk melak­sa­nakan hudud Pas.

Hanya satu jalan keluar ia­itu terus menyakat Pas. Sen­jata ini pun yang mereka gunakan selama ini demi un­di kaum Cina. Mereka tahu pim­pinan Pas akhirnya akan akur. Itulah yang selalu berlaku, Pas akan mengalah.

Memperlekeh
DAP dan PKR tahu ha­buan Putrajaya atau menum­bangkan kerajaan BN akan membutakan mata hati pim­pinan Pas terhadap teras per­juangannya. Banyak kali Pas di­acah dan diuji termasuk yang terbaharu isu kalimah Allah.

DAP dan PKR menakut-na­­kutkan Pas kononnya ti­dak berdaya malah tidak akan mencapai kedudukan se­karang tanpa bantuan pe­ngundi kedua-dua parti itu. Entah berapa kali pula kedua-kedua parti itu mengherdik dan memperlekeh pimpinan Pas hanya kerana hudud.

DAP dan PKR seperti se­ngaja mahu menendang ke­luar Pas. Ada pemimpin DAP malah mencadangkan Pas digantung daripada kesepakatan longgar mereka. Ada yang mengancam untuk tidak hadir pada mesyuarat tertinggi pakatan pembangkang akan datang.

Tetapi gempuran berterusan daripada sekutu DAP dan PKR ini serta sebahagian pemimpin Pas tidak se­di­­­kitpun membuatkan Pas Kelantan gentar. Pada saat-sa­at akhir Kerajaan Pas Kelantan tetap komited untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2014) yang dijadualkan Isnin ini.

Hanya semalam setelah Kota Darul Naim, yang me­nem­patkan bangunan DUN turut ditenggelami air, ke­ra­jaan negeri mengumumkan untuk menangguhkan si­dang khas itu sekali gus cuti peristiwa bagi Kelantan. Be­­gitu sekali semangat dan kemahuan kerajaan negeri walaupun pentadbiran harian juga dikhabarkan terpaksa dipindahkan ke Masjid Telipot.

Hanya banjir besar yang disifatkan terburuk dalam se­jarah negeri itu yang mampu menangguhkan impian membara dan semangat untuk melaksanakan hudud.

Nampaknya DAP dan PKR serta sebahagian pimpinan Pas terpaksa mengharapkan keajaiban lain untuk me­nye­kat kesungguhan tinggi kerajaan Kelantan ini. Rasanya ke­mahuan itu tidak akan surut, sesurutnya kelak banjir yang melanda Kelantan kali Ini.

Oleh :  Zulkefli Hamzah

No comments:

Post a Comment