nuffnang

Tuesday, December 30, 2014

Demi Menghindar "Melayu Menang Sorak Kampung Tergadai"

Tema yang hendak dilontarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah soal betapa perlunya unsur perpaduan dalam memastikan kuasa politik terus dapat dipertahankan oleh orang Melayu.

Katanya, hakikat perwakilan politik Melayu kini diungguli tiga entiti politik – Umno, PAS dan PKR -- menonjolkan realiti bahawa kini asas kekuatan politik Melayu amat mudah dilarutkan.

Walaupun orang Melayu mempunyai kelebihan membentuk seramai 60 peratus daripada keseluruhan pemilih dalam sistem demokrasi negara, kini ada tiga parti yang menawarkan khidmat kepimpinan politik kepada mereka.

Hukum akal mengatakan jika peratusan ini dibahagi secara saksama, setiap parti akan dapat meraih kira-kira 20 peratus sokongan Melayu sepihak.

Ini bermakna jika dikumpulkan sokongan Melayu kepada PAS dan PKR di bawah satu payung Pakatan Rakyat, 40 peratus Melayu masih belum boleh membentuk sebuah kerajaan majoriti di Malaysia.

Ini bermakna jika mahu mendapat kuasa politik dan memerintah negara ini, sudah tentu, PAS dan PKR perlu kepada bantuan dan ihsan politik daripada rakyat bukan Melayu.

Bagi memudah bicara, Tun Mahathir mengkelompokkan pengundi bukan Melayu sebagai Cina dan menyebut ihsan politik yang diperlukan itu tentulah daripada rakyat kelompok ini.

Kini pola kesatuan politik pengundi Cina yang mewakili bukan Melayu ialah DAP. Lantas yang memegang teraju “kata putus” dalam menentukan sama ada kuasa politik selama 57 tahun yang didominasi Melayu-Umno, bakal berpindah ke tangan DAP.

Malah trend pilihanraya umum lalu menunjukkan memang magnet politik di Malaysia ialah DAP. Ia memenangi 38 kerusi parlimen berbanding 30 PKR dan 21 PAS.

Mujur realiti politik tidak begitu mudah dicongak. Dalam PRU lalu, Umno sendirian memenangi 88 daripada 120 kerusi parlimen yang ditandinginya. Umumnya boleh disimpulkan PKR dan PAS kini mempunyai 46 (PAS 21, PKR 15) kerusi parlimen Melayu.

Memang ada banyak faktor yang menentukan kemenangan ketiga-tiga parti berteras Melayu ini. Paling utama ialah soal sokongan dan tokokan undi daripada bukan Melayu. Sebab itu kerjasama dengan parti bangsa lain itu penting.

Sesungguhnya Tun Mahathir yang pernah memimpin Malaysia selama 22 tahun cukup akur hakikat ini. Yang menjadi fokus sekarang ialah adakah status quo politik ini wajar dipertahankan?

Tamadun manusia menunjukkan bahawa jika terlalu lama sesuatu kaum majoriti di sesebuah negara dinafikan kelebihan bilangan mereka untuk memerintah dan memeta halatuju negara, ia akan pasti menjadi “ancaman” kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara itu sendiri.

Lambat laun faktor bilangan ini akan meluapkan semangat kaum teras untuk menuntut tempat mereka dalam hiraki pentadbiran negara. Malaysia belajar mengenai hakikat ini pada tahun 1969. Sejarah Afrika Selatan juga tidak jauh berbeza.

Apabila soal “bilangan” tidak disaksamakan dengan faktor “hak”, pasti ia akan memercikkan kecurigaan, iri hati, kebencian dan mengundang keganasan.

Maka fokus Tun Mahathir membangkitkan soal kuasa Melayu ini adalah bagi meraikan hakikat bahawa perhatian harus diberi kepada pembelaan orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi bangsa teras di negara ini.

Namun memang menjadi ragam siasah, setiap kenyataan politik akan mengundang pelbagai reaksi dan serangan daripada parti pesaingnya jua.

PKR segera menegaskan bahawa soal hilang kuasa politik Melayu bukan masalahnya kerana ia adalah sebuah parti berbilang kaum. Sementara DAP pula menyindir bahawa yang lebih gusar Melayu hilang kuasa politik ialah Umno.

Isu sebenar di sebalik kemelut dan dilema politik Malaysia ialah masih perlukah ada konsep bangsa teras dalam membina sesebuah negara?

Jika diperinci senario di Malaysia hari ini, konsep inilah yang cuba hendak dikuburkan oleh Pakatan Rakyat.

Dengan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR menggembleng masa dan tenaga untuk meleburkan dominasi Umno dan memusatkan perhatian orang Melayu kepada partinya (dan mungkin juga PAS), ia secara langsung menghakis pengaruh dan kuasa politik Melayu.

PKR nampaknya menjadi agen kepada DAP untuk melabelkan suara majoriti Melayu – Umno – sebagai bersikap rasis dan jika mereka cuba kembali berpegang teguh kepada agama mereka – Islam – akan dijenamakan sebagai ekstremis pula.

Demikian ialah gula-gula politik PKR untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu ia berjuang untuk kesaksamaan seluruh rakyat Malaysia. Walhal hasrat asasnya ialah untuk menggunakan bukan Melayu untuk melonjakkannya berkuasa.

PAS pula teruja untuk turut menyambar kuasa dengan bantuan, kerjasama dan ihsan DAP. Sebab itu ia dalam Pakatan Rakyat. Status ini dihalalkan dengan menjaja konsep tahaluf siyasi.

Namun kini apabila sudah terang dan nyata bahawa DAP apabila sudah mula selesa dalam kedudukan sebagai “tauke kuasa politik” di Malaysia, ia menunjukkan sikap tidak perlukan sangat sumbangan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Kini dengan gigih dan celuparnya DAP menyindir dan mencela PAS kerana perjuangan hudud yang dianggap “nyawa”nya dan memperlekeh sistem kepimpinan PAS di hadapan khalayak.

Reaksi kalangan ulama PAS adalah tegas – sama ada DAP suka atau tidak, hudud tetap diteruskan juga. Namun sedihnya, ada pula di pemimpin “progresif” PAS yang “hidung tak mancung pipi tersorong-sorong” masih mahu menatang DAP “bagai minyak yang penuh” dan mahu tahaluf siyasi dipertahankan.

Bagi DAP, sokongan PKR sudah memadai. Memahami bahawa PKR pun mempunyai ramai keahlian bukan Melayu, kerjasama dengan parti itu adalah “selamat” bagi DAP untuk merebut fungsi penentu halatuju politik Malaysia.

Dalam konteks ini di mana salahnya jika Tun Mahathir menyatakan parti-parti politik Melayu seperti PKR dan PAS terpaksa “mengemis” kuasa politik daripada parti orang-orang Cina (bukan Melayu)?

Bagaimanapun dalam kes Umno, ia memang sudah lama insaf keperluan bekerjasama dengan rakyat keturunan bukan Melayu memeta pembangunan Malaysia berdaulat, bermula dengan Perikatan dan kemudian Barisan Nasional.

Namun dalam kes PKR terutamanya ia adalah sebuah parti politik yang mendakwa berbilang kaum tetapi sebenarnya kini sedang membuka pintu kuasa Malaysia kepada bukan Melayu.

Yang dikhuatiri Tun Mahathir ialah Melayu nanti “menang sorak tetapi kampung tergadai”. Berjaya tumbangkan Umno tetapi DAP pula yang mendalangi kuasa politik Malaysia. PKR hanya tempelan wajah Melayu tetapi bakal jadi pak turut DAP sahaja.

Oleh : Zainal Saleh

No comments:

Post a Comment