Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini mencadangkan supaya Tambak Johor dirobohkan bagi membolehkan pembinaan "Jambatan Persahabatan" yang dicadangkan kerajaan.
Beliau berkata Tambak Johor menyebabkan pelbagai masalah terutamanya melibatkan isu alam sekitar dan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.
"Jika ia adalah sebuah jambatan, adakah kita masih perlukan sebuah tambak? Tambak ini menghalang air mengalir keluar dan ia juga sangat kotor.
Beliau berharap kerajaan tidak akan membina jambatan di tempat lain dan kemudian meninggalkan Tambak Johor di tempatnya kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Johor.
"Ia (Tambak Johor) perlu dirobohkan, jika tidak tak adalah persahabatan," katanya.
Dr Mahathir juga melahirkan kekecewaan beliau berhubung pembatalan projek pembinaan "Jambatan Bengkok" di Selat Johor, sebelah Malaysia menghubungkan Tambak Johor ke Singapura.
Beliau berkata sewajarnya jambatan berkenaan dibina kerana Tambak Johor menghalang pergerakan aliran air timur-barat yang boleh digunakan bagi tujuan komunikasi.
Pada 7 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan pembinaan "Jambatan Persahabatan" semasa sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong selepas kedua-dua mereka mengakhiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura selama dua hari di Putrajaya.
Bernama, 16 April, 2014.
No comments:
Post a Comment